Jumaat, 7 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Suami agak keberatan

Posted: 06 Dec 2012 05:17 AM PST

KEMUNCULANNYA pada saat popular dengan lagu Pelamin Anganku Musnah benar-benar mendapat perhatian sehinggakan di mana-mana saja semua orang kenal dan tahu siapa tuan empunya lagu itu.

Selepas itu, muncul pula sekuel lagu berkenaan Kau Tetap Di Dalam Anganku, penyanyi Roeziah Mustapha atau Azie semakin dikenali dan lagu-lagunya kerap menjadi siulan ramai ketika itu.

Pada tahun 2000, wanita bertubuh kecil molek ini mendirikan rumah tangga bersama Nazarudy Abdul Wahed, 38, dan terus meninggalkan Kuala Lumpur untuk kembali dan menetap di Kuching, Sarawak bersama suaminya.

Hampir 12 tahun sepi tanpa cerita, Azie muncul sebagai pengacara pada pertandingan Akhir Bintang P Ramlee yang diadakan di Auditorium Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Masih kelihatan cantik dan menawan, ibu kepada tiga cahaya mata, Nurul Izza Amani, 10, Mohd Aiman Alhakim, 8 dan Adryiel, 2 tahun setengah ini masih ramah seperti dulu sedikitpun tidak menunjukkan rasa kekok ketika ditemubual malah tetap seperti pada awal kemunculannya.


Ditemui selepas tamat pertandingan, Azie kelihatan kelam kabut hendak pulang berikutan suami dan anak-anaknya turut serta menemaninya selama hampir seminggu berada di Kuala Lumpur menjayakan pertandingan Bintang P Ramlee di samping anak keduanya terbabit dalam pertandingan golf di Shah Alam.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, kata Azie tiada yang menarik kerana dia belum bersedia sepenuhnya untuk membuat kemunculan semula disebabkan komitmen terhadap keluarga dan anak-anak yang sedang membesar.

"Selepas berkahwin, saya masih aktif menyanyi di sekitar Sarawak termasuk mengadakan persembahan di RTM Kuching. Sebenarnya saya berat hati untuk aktif kembali suami juga tidak begitu menggalakkan.

"Namun melihat minat saya yang suka menyanyi dia memberi pelepasan untuk saya menerima jemputan mengadakan persembahan yang tidak mengambil waktu lama. Maklumlah sekarang sudah setahun lebih saya uruskan anak-anak sendirian tanpa pembantu.

"Suami pula seorang yang tidak suka makan di luar, dia hanya mahu makan masakan saya. Justeru ketika ada pembantu saya juga tetap menguruskan anak-anak dan keperluan suami tugas pembantu hanya membantu mana yang perlu saja," katanya.

Melihat kemunculannya pada malam Pertandingan Akhir Bintang P Ramlee mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah wanita kecil molek bernama Azie itu, ada yang sudah dapat meneka tidak kurang yang ingat-ingat lupa.

Sambil ketawa, Azie mengatakan dia sudah mengagak akan perkara itu. Baginya menjadi perkara biasa jika ada artis yang sudah lama tidak muncul di persada seni.

"Saya masih ada, tidak ke mana-mana. Sejak berkahwin saya menetap di Kuching dan sepenuh hidup saya dihabiskan di sana bersama suami dan anak-anak.

"Kebanyakan persembahan nyanyian saya lakukan untuk RTM Kuching dan ada juga pada majlis-majlis makan malam yang tidak mengambil waktu lama.

"Kehadiran saya pada malam Bintang P Ramlee sebagai menghargai RTM yang banyak memberi peluang kepada saya melepaskan rindu untuk menyanyi dan membuat persembahan," katanya.

Menyentuh perkembangan terbaru, wanita berusia 35 tahun itu berkata baru-baru ini penggubah lagu, Saari Amri ada menghubunginya untuk menawarkan dia membuat kompilasi lagu-lagu ciptaan Saari.

Biarpun berminat dengan tawaran itu, Azie mengakui hatinya belum terbuka sepenuhnya untuk serius menyanyi semula. Baginya diberi peluang oleh suami menyanyi sudah cukup membuatkan dia puas.

"Saya belum memberi kata putus mengenai tawaran yang diberikan, pastinya jika suami tahu, dia tidak membenarkannya. Saya tidak menyalahkan suami sebaliknya sangat bersyukur kesempatan dapat menyanyi sekali sekala yang diberikan oleh suami sudah cukup buat saya.

"Bagi saya, kini keutamaan adalah keluarga dan anak-anak yang semakin membesar.
Anak saya yang nombor dua sedang aktif menyertai pertandingan golf selepas sering melihat suami bermain ketika dia berusia lima tahun.

"Selepas ini saya akan terbabit dengan persembahan bersama RTM Kuching, tidak dinafikan saya banyak mengadakan persembahan untuk meareka. Bagi saya itu semua sudah cukup memberi saya peluang melepaskan rindu untuk menyanyi.

"Biasanya pada waktu lapang kami sekeluarga akan berkaraoke bersama-sama di luar atau di rumah. Malah kesemua anak-anak saya mempunyai bakat menyanyi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Soseh Soseh: Melalut tak tentu pasal

Posted: 06 Dec 2012 05:07 AM PST

KEMERIAHAN Piala AFF 2012 kian dirasai semua peminat setia Malaysia apabila mereka tidak henti-henti memberi sokongan kepada semua pemain. Masakan tidak, setiap kali berlawan, Stadium Putra Bukit Jalil yang menjadi saksi setiap pertembungan, penuh dengan lautan rakyat Malaysia yang hadir memberi sokongan.

Kekalahan dengan Singapura sedikit terubat apabila Malaysia berjaya menewaskan Laos dan Indonesia yang melayakkan Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir dan bakal bertembung Thailand.

Namun bukanlah mengenai perlawanan bola sepak hendak SS kongsikan, tetapi sikap seorang pelakon yang juga presiden sebuah kelab yang melalut tidak tentu pasal di dalam Twitter miliknya.

SS tidak tahu apa lagi kontroversi yang diciptanya kerana cuba mengaitkan kekalahan Malaysia yang kononnya menggunakan khidmat pemain negara sendiri sedangkan negara lain menggunakan orang asing untuk menang.


Pada SS, setiap negara punya cara sendiri untuk memantapkan permainan pasukan mereka, tidak perlulah pelakon itu mempertikaikan perkara berkenaan sehingga mengaitkan dengan kehadiran artis luar di negara ini di dalam industri hiburan.


Bidang sukan dan hiburan berlainan cara kerjanya, pada SS mungkin itu cara negara berkenaan. Lagipun apa yang SS ketahui, banyak negara Asia yang mempertaruhkan pemain asing dalam menimba pengalaman bekerjasama dengan mereka.
Rasanya Malaysia juga pernah melakukan perkara yang sama.

Semua itu terpulang pada hak masing-masing. Tidak perlulah pelakon berkenaan mempertikaikannya dengan cara mengaitkan perkara berkenaan dengan dunia hiburan.

Kalau rasa hendak jadi jaguh biarlah kena pada caranya bukan dengan meroyan tidak tentu pasal. Lama-lama orang semakin meluat dengan perlakuan anda, berlakon tidak seberapa kecoh saja yang banyak.

SS: Tidak suka layan orang yang suka cakap besar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/06



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved