Sabtu, 26 Januari 2013

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


SALUN UNTUK BERMANJA

Posted:

Ia dilabel sebagai kedai gunting rambut atau salun, namun anehnya sebahagian besar pelanggan bukan ke situ untuk menggunting rambut, sebaliknya kerana ingin menikmati pakej belaian manja daripada wanita separuh umur yang sebahagiannya layak digelar nenek.

Dengan bayaran serendah RM10 untuk pakej selama 30 minit, deretan kedai di Jalan Mustafa Al Bakri, di sini, amat popular dalam kalangan lelaki.


Ini kerana pakej disediakan itu termasuk boleh memeluk dan baring di atas riba 'tukang gunting' wanita berpakaian seksi biarpun berusia 40-an dan 50-an, selain diurut seluruh tubuh di atas sofa khas.

Tinjauan Harian Metro di satu daripada premis itu mendapati di ruang depan disediakan kerusi untuk menggunting rambut yang sudah usang, namun ia jarang digunakan.


Ini kerana kebanyakan pelanggan yang melanggan pakej belaian manja dibawa ke bahagian belakang premis yang dilengkapi sofa empuk, selain bar mini menjual minuman.


Bagi Presiden Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kesejahteraan Insan Negeri Perak (Wawasan) Fauzi Muda, aktiviti tidak sihat salun belaian manja itu wajar segera dihentikan kerana ia satu kerja maksiat dan boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.

"Nyata mereka bukan menjalankan perniagaan menggunting rambut, tetapi lebih kepada khidmat berorientasikan seks, biarpun bukan 100 peratus khidmat pelacuran. "Memandangkan kegiatan ini sudah lama berlaku, tindakan drastik perlu segera dilakukan untuk menghentikannya. Jika tidak kesan negatifnya kepada masyarakat pasti menjadi lebih buruk," katanya.


Menurutnya, ketika ini sebahagian besar pelanggan membabitkan golongan dewasa, namun ada kemungkinan pada masa akan datang, remaja termasuk pelajar sekolah turut bertumpu ke salun belaian manja itu.

"Ini kerana caj dikenakan murah iaitu RM10 dan saya percaya faktor ini menyebabkan kegiatan tidak bermoral terbabit amat laris," katanya.


Seorang pekerja restoran berhampiran deretan salun terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Harun, 40, berkata, kegiatan maksiat di situ seolah-olah sudah menjadi mercu tanda di jalan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.


Menurutnya, apa yang ditawarkan pekerja wanita yang sebahagiannya layak digelar nenek itu bukan kepakaran menggunting rambut, tetapi lebih kepada khidmat belaian kasih sayang untuk lelaki yang kemaruk.


"Mungkin pelanggan terdiri daripada lelaki sepi atau tidak mendapat kasih sayang daripada pasangan masing-masing. Mereka biasanya datang jam 12 tengah hari hingga 7 malam.


"Di dalam salun, pelanggan dilayan bagai raja kerana mereka boleh baring di atas riba wanita separuh usia itu sambil dibelai.


"Malah, pelanggan bebas merasai kehangatan pelukan dan urutan manja daripada wanita terbabit tanpa membabitkan hubungan seks," katanya.


Seorang pelanggan salun yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 35, berkata, dia sering ke situ kerana khidmat disediakan disifatkannya lain daripada lain. "Di sini, saya dilayan bagai raja. Mereka (pekerja kedai gunting) ini pandai mengambil hati, bijak berkomunikasi dan memanjakan lelaki. "Walaupun tua, tapi mereka ini banyak pengalaman. Ringkas kata, mereka tahu apa yang lelaki mahukan," katanya yang belum berkahwin.


Ditanya sama ada dia berasa jijik berdamping wanita warga emas terbabit, Wan hanya tersenyum dan mendakwa ia 'terapi minda' untuk menghilangkan tekanan kerja.


"Saya dapat tahu ada pelanggan yang berantakan rumah tangga selepas isteri mereka mengetahui hubungan mereka dengan wanita kedai gunting ini.


"Malah, saya pernah melihat ada wanita datang menyerang pekerja kedai gunting ini yang didakwa menjadi punca suami mengabaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Memang anak kami...William

Posted:

SUBANG JAYA: Berdasarkan pengecaman ahli keluarga Zheng Zhong, polis mengesahkan mayat ditemui di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, adalah William Yau yang dilaporkan hilang di Putra Height, 16 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pengecaman dibuat ibu bapa mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang berdasarkan pakaian dan kesan parut, pagi tadi.

Mayat William, 6, ditemui tersangkut di sebuah bot berhampiran jeti Sungai Sireh, dekat sini.

Kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang pada Rabu minggu lalu selepas keluar dari kenderaan ibu bapanya ketika mereka sekeluarga singgah di kedai alatan elektrik di Jalan Putra Mahkota, Putra Height.


KRONOLOGI KEHILANGAN WILLIAM YAU


16 JANUARI 2012- William Yau Zhen Zhong berusia enam tahun hilang ketika ibu bapa kanak-kanak itu bersama tiga lagi anak yang lain singgah di kedai menjual barangan elektrik di Putra Heights.

18 JANUARI 2012 - Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dipercayai hilang di Jalan Putra Mahkota 7/6c Putra Heights.

20 JANUARI 2012 - Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli mengadakan sidang media menjelaskan individu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) kerana melarikan mangsa daripada penjaga yang sah yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

21 JANUARI 2012 - Keluarga William menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai anak mereka. Bagaimanapun, individu terbabit meminta keluarga mangsa memberikan sejumlah wang terlebih dulu sekiranya mahu mendapatkan maklumat lanjut.

22 JANUARI 2012 - Polis meneliti lebih 10 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian William dilapor hilang, namun kelibat mangsa tidak dapat dikesan.

Keterangan lebih 10 individu termasuk ahli keluarga mangsa juga diambil dan belum menemui sebarang petunjuk berkenaan kehilangan kanak-kanak terbabit malah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) turut mengambil inisiatif melakukan rondaan selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai kanak-kanak itu di kawasan Segambut Dalam, di sini.

23 JANUARI 2012 - Gerakan mengesan William masih diteruskan polis menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) dengan mencari di kawasan kejadian di Jalan Putra Mahkota 7/6C, Putra Heights bermula kira-kira jam 9.30 pagi.

24 JANUARI 2012 - Mayat seorang budak lelaki berbaju kuning ditemui yang tersangkut di sebuah bot berhampiran jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, kira-kira jam 6.30 petang.

Berdasarkan ketinggian, kanak-kanak lelaki itu berusia di antara enam atau tujuh tahun. Dia memakai baju T berwarna kuning, berseluar pendek dan berkulit putih. Di baju T tersebut tertera tulisan 'Active Group' berwarna putih dan 'Best Team' berwarna biru.

25 JANUARI 2012 - Berdasarkan pakaian yang dicam ahli keluarga, mayat budak lelaki yang dijumpai di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, lewat petang 24 Januari, disahkan William yang dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/25
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved