Sabtu, 26 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Lonjak nama budak baru

Posted:

Dramatik, kasar dan kadangkala sedikit kejam. Inilah gambaran watak yang menghantui penonton menerusi siri drama TV popular Juvana yang disiarkan menerusi TV3 pada penghujung April 2011.

Paparan karakter pelakonnya melekat di minda peminat kerana sebaik melihat wajah Johan Asari, serta merta mereka akan terbayang Botak, pelajar Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti yang kasar dan sentiasa bersikap bengis.

Begitu juga dengan rakan-rakannya yang lain antaranya Apek (Syazwan Zulkifly) dan Ayam (Adam Shah) yang turut mempunyai sisi kasar dalam diri masing-masing.

Meskipun konsep ceritanya mendapat tentangan segelintir penonton yang kurang senang, drama 13 episod terbitan Filmscape ini membuktikan kehebatannya apabila menang Anugerah Drama Rantaian TV Terbaik Anugerah Skrin 2011.


Mengambil kira faktor itu, penerbitnya tanpa ragu-ragu mengangkat karya ini ke filem dengan mengekalkan tajuk serupa. Sekali lagi Juvana memaparkan kisah Botak, Apek, Ayam, Kicap, Komeng dan Daim selepas Wira Bakti ditutup.


Johan, Syazwan dan Adam melihat filem yang mula menemui peminat pada 24 Januari lalu di 70 pawagam mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia turut diperkuatkan dengan kehadiran Sharnaaz Ahmad, Syafie Naswip dan Shiera Aiyob.

Johan, 27, berkata, berbanding drama, semua karakter menampilkan perubahan terutama dari segi emosi yang seterusnya akan membuat penonton tidak senang duduk. Pembahagian watak juga sama rata terhadap semua pelakon.

"Impak keganasan akan lebih dirasai oleh penonton kerana berbanding drama, filem lebih menonjolkan permainan lebih besar. Kami perlu lebihkan permainan emosi dan inilah yang mencorakkan lagi filem ini.

"Botak masih lagi terbawa-bawa dengan perangai negatifnya. Dia masih lagi ingin jadi hero di kalangan kawan-kawan. Tapi akhirnya dia kena mengaku ada lagi orang yang lebih hebat darinya," kata Johan.

Biarpun dianggap ganas, Syazwan, 26, mahu masyarakat memandang lebih dalam terhadap mesej yang disampaikan. Baginya Juvana sebuah cerita yang ada inspirasi.

"Kalau nak kata kami tonjolkan sisi jahat semata-mata sememangnya salah kerana di sebaliknya ada pengajaran diselitkan. Penonton perlu meneliti dari satu babak ke babak untuk melihat pengajaran yang disampaikan.

"Pada saya Juvana mampu memberi impak dalam masyarakat. Cuba lihat unsur persahabatan dan simpati yang ditonjolkan. Juga tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seseorang atas kesalahan yang dilakukan," katanya.

Kata Adam, 30, Juvana tidak disambung sebagai siri TV kerana penerbitnya mempunyai alasan tersendiri. Ini adalah tindakan bijak yang diambil Filmscape.

"Kena ingat jika ada sambungan Juvana di kaca TV, ceritanya mungkin tak sama lagi dengan yang pertama. Jadi menghasilkannya dalam bentuk filem lebih memberi kepuasan kepada peminat.

"Di sini mereka dapat lihat graf penceritaannya mengikut karakter masing-masing. Penonton akan dapat rasa kesedihan, geram dan sesekali ada sisi lucu.

Kami diberi pilihan untuk membentuk kreativiti sendiri untuk mencorakkan lakonan sendiri," katanya.

Sememangnya perasaan tertekan ketika bekerja tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun pada mereka ia adalah perkara biasa. Bahkan mereka menganggap Juvana membawa kenangan manis kerana memberi banyak impak dalam karier seni.

"Kerana drama Juvana saya dikenali dan seterusnya bergelar Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2011.

Sememangnya anugerah ini jadi idaman setiap pelakon baru dan ia menjadi satu kenangan manis yang kekal terpahat dalam hidup saya selamanya.

"Dari situlah saya mula ada kelab peminat sendiri iaitu Johan Asari FC (JAFC). Sebagai penghargaan, saya akan bersama mereka dalam program Cuti Cuti Ke Melaka Bandaraya Bersejarah pada 31 Januari hingga 2 Februari ini," kata Johan yang akan muncul dalam filem Tokan, Pencinta dan Paku serta pelbagai drama selepas ini.

"Saya bermula dengan drama siri Gemilang juga terbitan Filmscape tapi hanya dikenali menerusi Juvana. Menerusi drama inilah saya kenal Johan dan kagum dengan kerja kerasnya dalam lakonan," kata Syazwan yang turut berlakon dalam filem Laga, Sunti serta drama 6 Progresif dan Bunga Merah Punya.

Adam berkata, dia banyak bekerja di belakang tabir produksi dan pernah berlakon dalam drama siri Akademi Polis. Namun Juvana adalah pentas yang memperkenalkan saya kepada peminat. Impaknya besar dan semua pelakon dapat bahagian masing-masing.

"Alhamdulillah bermula dari sini saya terus dapat tawaran berlakon tanpa henti," kata Adam yang pernah membintangi filem SAM dan Hantu Air serta berlakon drama Sayangku Damia dan Musang Tak Berjanggut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Kes anak bunuh ibu

Posted:

Meneliti jalan ceritanya, Juvana mengisahkan Daim dibebaskan dari sekolah juvana ekoran didapati tidak bersalah membunuh ibunya. Dia cuba menjalani kehidupan di dunia luar.

Namun didapati kehidupan di dunia luar tidak jauh bezanya dari kehidupan di penjara juvana.

Daim mula bersekolah di sekolah menengah biasa dengan harapan untuk menamatkan pengajian SPM. Tetapi dia dibuli oleh pelajar lain dan tidak mempunyai kawan melainkan Sara, seorang gadis.

Manakala, pengawal yang mengetahui statusnya sebagai bekas pelajar juvana sentiasa memerhatikannya. Daim juga bekerja keras di sebuah kilang membuat batu bata untuk menyara hidupnya.


Statusnya sebagai bekas pelajar juvana juga menjadikannya tumpuan pekerja lain. Kalau ada salah dan silap yang berlaku, maka dia yang dipersalahkan.


Sementara itu, apabila Sekolah Wirabakti ditutup, Botak, Apek, Ayam dan pelajar lain dihantar ke sebuah sekolah juvana lain untuk meneruskan tempoh hukuman mereka.

Di sekolah itu, mereka menjadi sasaran Lan Todak (Sharnaaz), ketua samseng di sekolah itu. Namun Apek serta pelajar lain tidak mahu melawan kerana mengamalkan apa yang dipelajari dari guru mereka, Cikgu Zakiah.

Botak pula tidak setuju dan ingin melawan balik menggunakan kekerasan. Akhirnya keadaaan meruncing apabila sehari sebelum dibebaskan, Kicap dan Gaban dibuli teruk oleh Lan Todak.

Botak pula bertindak, dan membelasah Kecik, orang suruhan Lan Todak, hingga nyawa-nyawa ikan. Apek pula mulai sedar yang ajaran Cikgu Zakiah tidak berkesan di sekolah baru itu.

Dia mula bertukar menjadi ganas, dan akhirnya membalas dendam untuk rakan-rakannya, sehingga berjaya mengetuai semua pelajar.

Apek tidak banyak berubah dari seorang penjahat. Dia mula membuli ramai pelajar lain, terutamanya musuh-musuhnya yang terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved