Rabu, 23 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Penyental berasas kopi

Posted: 23 Jan 2013 09:29 AM PST

Setiap kali berkunjung ke pusat kecantikan dan spa selain persekitaran mendamaikan serta dekorasi menyerlah, rawatan disediakan menjadi perkara utama yang sering dititikberatkan wanita. Di pasaran kini, terdapat pelbagai jenis spa dengan perkhidmatan dari hujung rambut hingga kaki, bezanya dari segi layanan serta bahan digunakan bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.

Bagi pemilik Amaryllis Salon & Day Spa, Nurul Ain Nadia Yusoff, walaupun berjiwa muda, dia tetap memilih produk berasaskan bahan semula jadi kerana percaya keaslian ramuan bukan saja memberikan kesegaran malah tidak mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna.

Dia yang mempelajari teknik menghasilkan minyak urut orang kampung daripada nenek yang juga seorang bidan menjelaskan, minyak yang diperoleh daripada 99 jenis daun herba ini mempunyai pelbagai khasiat dan digunakan untuk merawat pelanggan.

"Setiap kali melihat nenek mengurut saya percaya minyak dihasilkan mampu mengurangkan masalah terutama kepada wanita selepas bersalin. Dihasilkan daripada 99 jenis daun herba terpilih yang diambil di belakang rumah, daun ini kemudiannya dimasak selama tiga hari berturut-turut sehingga mengeluarkan minyak.

Foto

KONSEP moden untuk spa dan rawatan badan.

Foto

BILIK urutan yang selesa.

Foto

RAWATAN kuku tangan dan kaki turut disediakan.


"Lebih istimewa minyak ini langsung tiada campuran bahan kimia kerana seratus peratus menggunakan tumbuh herba saja," jelasnya.


Menyedari keberkesanannya terutama memulihkan masalah sakit badan, kejang urat serta kesegaran badan, sedikit demi sedikit dia mempelajari teknik menghasilkan minyak urut ini kerana bercadang ingin mengkomersilkan sebagai satu produk tradisional tempatan sedikit masa lagi.

"Memang saya bercadang menjadikan minyak orang kampung sebagai satu produk tempatan yang menggunakan seratus peratus bahan asli. Mungkin ia akan mengambil masa kerana perlu membuat penyelidikan terlebih dulu mengenai pemasaran serta jualan," katanya.

Selain minyak urut, spa yang terkenal dengan rawatan dari hujung rambut hingga kaki ini turut menyediakan bahan penyental berasaskan kopi yang dihasilkan sendiri. Kopi diakui bukan saja minuman pemberi tenaga tetapi bijinya berkhasiat dalam merawat kulit. Caranya, biji kopi dipanggang kemudian dikisar bagi mendapatkan rasa serta kesan berbeza. Hasilnya, kulit kekal licin dan lembut walaupun selepas beberapa bulan menjalani rawatan.

Menurut anak kelahiran Terengganu ini, dia percaya penggunaan bahan organik lebih bagus kerana tidak mendatangkan alahan kepada pengguna.

"Misalnya untuk rawatan wajah, dia menggunakan Blue Oak Valley yang menggunakan ramuan organik. Hasilnya ia bukan saja berkesan menangani masalah kulit sensitif malah kulit lebih halus tanpa meninggalkan kesan merah atau radang," jelasnya.

Spa yang terletak di tingkat lima, bangunan Busana Kuala Lumpur itu dibuka pada September 2012. Ia cawangan kedua selepas pembukaan pertama di Wangsa Maju, Kuala Lumpur berikutan permintaan ramai juga tawaran daripada pihak Majlis Amanah Rakyat yang meminta dia menambah cawangan di tengah ibu kota.

"Mulanya saya kurang yakin dengan kemampuan tetapi suami banyak memberikan dorongan untuk saya memperbesarkan perniagaan. Saya perlu bekerja keras untuk mempromosikan perkhidmatan namun lama-kelamaan saya percaya sekiranya kualiti yang dipersembahkan, pelanggan pasti akan datang lagi dan mempromosikannya menerusi mulut ke mulut," kata anak sulung enam beradik ini.

Berkonsepkan alam semula jadi serta organik menjadi tema bukan saja pada produk tetapi juga dekorasi santai yang ditampilkan. Walaupun terletak di dalam bangunan, reka bentuk serta susun atur dengan penggunaan bahan kayu serta tumbuhan hijau di luar pintu masuk memberikan kedamaian kepada pengunjung lantas mencipta ketenangan tersendiri.

Sesuai dengan makna Amaryllis yang bermaksud bunga, konsep disediakan memenuhi selera wanita kota yang sentiasa sibuk bekerja namun inginkan lokasi yang dapat menenangkan minda dan jiwa.

Spa terbabit dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 10 malam termasuk hujung minggu serta cuti umum. Malah wanita bukan saja boleh memanjakan diri dengan melakukan urutan badan menggunakan teknik Swedish, aromaterapi atau tradisional orang kampung tetapi boleh juga melakukan rawatan wajah, rambut, kuku tangan dan kaki. Lebih istimewa setiap rawatan disertakan dengan urutan pada bahagian tertentu.

"Misalnya pelanggan yang mendapatkan rawatan rambut akan diberikan urutan kepala, begitu juga kuku tangan dan kaki akan disertakan urutan bagi melancarkan peredaran darah serta memberi kelegaan kepada pelanggan," katanya yang memiliki 10 ahli terapi untuk kedua-dua cawangannya.

Pada masa hadapan, Nurul berazam menambah cawangan spa di beberapa negeri di Malaysia. Bagi wanita yang ingin menambah ilmu mengenai jati diri serta keyakinan diri boleh menyertai program anjuran Amaryllis Salon & Day Spa yang akan diadakan pada 23 Februari ini bertempat di Hotel Grand Continental Kuala Lumpur atau boleh melayari www.amaryllis.com.my atau Facebook Amaryllis Salon & Day Spa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

'Modal sebenar diri kita'

Posted: 23 Jan 2013 08:33 AM PST

BERMULA sebagai guru bahasa Melayu dan penterjemah kepada beberapa duta asing dan syarikat multinasional, Datuk Dr Maznah Hamid yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, kini memiliki 10 syarikat dan empayar perniagaan yang luas dalam beberapa cabang termasuk penyelesaian sekuriti dan hartanah.

Pengalaman sebagai­ gu­ru bahasa selama beberapa tahun benar-­be­nar­ membuka mata, pe­luang dan memberi inspirasi kepadanya untuk melangkah lebih jauh dalam membina kerjaya dan perniagaan.

Hasil usaha gigih, kebijaksanaan perancangan dan strategi pelaksanaan, akhirnya syarikat kecil milik Maznah berkembang dan berjaya dibesarkan menjadi empayar dalam pelbagai cabang perniagaan.

Apa yang menarik, semua syarikat yang ditubuhkannya, berkembang maju tanpa sebarang bantuan kewangan daripada pihak bank.


Kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan datang bergolek tetapi ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh dengan penuh amanah tanpa mengambil mudah pandangan dan permintaan pelanggan, menjadikan dirinya dipercayai dan diyakini, selain menjadikan integriti sebagai suatu jenama.


Berpegang kepada prinsip modal perniagaan sebenar ialah diri sendiri, kejayaan Maznah mampu memberi inspirasi kepada orang lain terutama golongan wanita bahawa mereka juga boleh berjaya sekiranya mempunyai matlamat, cekal dan sanggup berusaha.

Seorang yang peramah, merendah diri dan bersahaja, Maznah pernah menjadikan kawasan setinggan tanpa bekalan elektrik atau air, sebagai kediaman­nya lebih 30 tahun lalu demi mencari sendiri wang yang cukup untuk memulakan perniagaan.

"Saya sedar berasal dari orang susah, justeru untuk menjadi orang senang, saya perlu bertekad untuk berjaya dalam bidang perniagaan biarpun terpaksa menghadapi apa juga rinta­ngan dan kepayahan.

"Saya amat bersyukur kerana mendapat mentor yang sangat baik dan berpengalaman terdiri daripada pelbagai bangsa yang melatih dan menegur saya hing­galah saya boleh berdikari dan berlari," tegas Maznah.

Beliau sanggup melakukan bermacam jenis kerja termasuk menyertai jualan langsung serta menjadi ejen insurans dan pada masa sama, mengikuti kelas malam dalam pelbagai bidang perniagaan sebagai modal untuk dirinya berjaya dalam bidang diceburi.

Maznah juga terpaksa bergolok-gadai untuk memulakan perniagaan dalam bidang kawalan keselamatan. Ketika itu, pihak bank memberi alasan tidak yakin dengannya kerana beliau seorang wanita tetapi ingin memulakan perniagaan dalam bidang keselamatan yang dianggap di luar kelaziman kaum Hawa.

"Ketika menjadi guru bahasa Melayu kepada duta asing dan juga ketua pegawai eksekutif syarikat multinasional, saya ke rumah mereka dan sungguh terpesona dengan kesenangan hidup mereka. Hampir setiap hari saya bertanya kepada mereka bagaimana untuk menjadi berjaya seperti mereka.

"Disebabkan minat saya yang mendalam dalam bidang perniagaan, mereka kemudian memberi galakan kerana berasa saya memang mempunyai ciri-ciri yang boleh membuatkan saya berjaya dalam bidang perniagaan seperti berdisiplin, rajin dan tidak kisah untuk bekerja kuat tanpa mengira masa.

"Apabila saya berfikir jenis perniagaan yang hendak saya lakukan, akhirnya saya mendapat idea untuk menyediakan pengawal kepada golongan VIP memandangkan setiap rumah duta yang saya kunjungi pasti mempunyai pengawal," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun disebabkan tidak mempunyai modal yang banyak, Maznah memulakan perniagaan dengan hanya RM5,000 dan lima pengawal kepada lima pelanggan VIP dalam kalangan 'anak muridnya'.

Hasil kerja kerasnya yang tidak pernah mengenal lelah antara 12 hingga 14 jam sehari selama 32 tahun dan sanggup melupakan masa rehat di waktu cuti seperti orang lain, Maznah berjaya membangunkan syarikat penyelesaian kawalan keselamatan yang kukuh di Malaysia serta mampu menyaingi 500 syarikat lain dalam bidang sama.

Beliau turut mengepalai lebih 65 cawangan dengan 6,000 pekerja. Kini, Securiforce mempunyai beberapa anak syarikat yang berkembang maju antaranya Danau Lumayan, pemaju hartanah di Bandar Tun Razak, memfokus kepada pemba­ngunan pangsapuri, kondominium mewah, penthouse eksklusif dan kompleks perniagaan.

"Pengalaman yang memberi pengajaran, idea dan inovasi perniagaan apabila saya terpaksa menjadi pengawal di pasar raya dan kediaman VVIP sewaktu pengawal saya ponteng kerja ketika cuti Aidilfitri.

"Pengalaman yang mahal itu rupa-rupanya berjaya melahirkan inovasi dan sistem sekuriti lebih canggih serta memenuhi kehendak pelanggan," katanya.

Securiforce juga sudah melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa de­ngan menubuhkan Securiforce Logistik sebagai ejen penghantaran menggunakan medium darat, laut dan udara hingga ke rantau Asia, Eropah dan Timur Tengah. Ia kini mempu­nyai cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman.

Menurut Maznah yang juga mempunyai klinik keusahawanan bagi memberi maklumat kepada orang ramai yang hendak mula berniaga, beliau sering bertemu orang ramai yang ingin berniaga tetapi memberi alasan tiada modal dan mendapati masalah kewangan menjadi kekangan utama memulakan perniagaan.

Katanya, kerajaan sentiasa menggalakkan orang Melayu berniaga hingga pelbagai inisiatif dan usaha dijalankan.

"Namun berdasarkan pe­ngalaman saya selama lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan, saya dapati wang bukan modal perniagaan yang utama sebalik­nya diri sendiri, minat, kecekalan, sifat berani mencuba dan sanggup berkorban keringat, air mata, masa, tenaga dan wang ringgit demi mencapai apa yang dicita-citakan.

"Saya masih ingat ketika menjadi Ahli Lembaga Pengarah PUNB, pernah meluluskan modal yang agak besar kepada golongan profesional termasuk ketua pegawai eksekutif, akauntan dan jurutera tetapi ternyata, kelulusan akademik bukanlah penentu kejayaan sebenar, sebaliknya banyak bergantung kepada faktor dalam diri usahawan itu sendiri.

"Apabila perniagaan gagal, mereka terpaksa juga melunaskan bayaran pinjaman setiap bulan kerana sudah ambil pinjaman. Sebab itu saya sarankan mereka yang mula berjinak-jinak berniaga, elakkan diri daripada membuat hutang pinjaman dengan bank kerana perniagaan ini umpama percubaan dan belum tentu lagi akan berjaya dan membawa keuntungan," kata­nya.

Beliau menyarankan modal kewangan perlu dikumpul sama ada melalui pinjaman daripada rakan dan keluarga atau menjual barangan milik sendiri secara bijaksana.

Katanya, wang memang penting tetapi ia harus dimulakan dalam jumlah yang berskala kecil terlebih dulu bagi melihat sama ada seseorang boleh menguruskan perniagaan itu dengan baik dan mempunyai minat menjayakannya kerana selepas berjaya, barulah bank akan mula membantu.

"Saya nasihatkan mereka yang hendak berniaga pilih bidang yang kita tahu dan kita minat. Jangan ikut orang kerana tidak semestinya anda bagus dalam bidang berkenaan tetapi cari bidang yang kita tahu dan minat kerana dengan cara itu perniagaan boleh berjaya. Oleh itu, bekerja atau menjadi pelatih dulu dengan syarikat yang perniagaan­nya kita minati.

"Saya memegang prinsip kita mesti sanggup bekerja lebih daripada apa yang dibayar kerana akhirnya kita akan dapat bayaran lebih daripada apa yang kita kerjakan. Kita juga perlu bijak 'menjual diri', kemahiran diri dan keunikan kita.

"Apabila melihat kita berjaya memberikan hasil yang diingini, dengan sendirinya syarikat terbabit akan yakin dan ia akan mempromosi syarikat kita dari mulut ke mulut kepada orang lain dan dari situ perniagaan akan berkembang," katanya yang juga juga dikenali sebagai 'guru keusahawanan'.

Maznah juga pernah membantu pelanggannya menyelesaikan masalah seperti anak yang tidak tahu hendak memilih aliran pelajaran termasuk masalah rumah tangga dan dari situ perniagaan mempunyai jaringan yang semakin luas.

Sebagai seorang yang suka membantu menaikkan semangat orang lain untuk berjaya seperti dirinya, Maznah menubuhkan Maznah Motivational Centre (MMC) yang mengelolakan seminar keusahawanan dan pembangunan insan selain me­ngeluarkan buku bertajuk Motivasi Memburu Kejayaan dalam versi bahasa Melayu dan Mandarin selain memberi dorongan dan kata-kata semangat melalui ruangan Facebook, www.fb.com/maznahhamid.

Laman Facebook milik­nya boleh dilawati bagi membentuk satu rangkaian rakan media sosial yang bermotivasi tinggi dan berfikiran positif untuk mencipta kejayaan, kebahagiaan dan kekayaan.

"Bagi saya kandungan kata-kata semangat serta kisah kejayaan yang saya paparkan dalam Facebook umpama multivitamin setiap hari untuk minda dan jiwa. Saya akan menjawab apa saja masalah berkaitan perniagaan atau kehidupan.

"Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa, kita perlu sanggup berfikir, bertindak, bekerja dan bersusah-payah secara luar biasa juga, bukan sebagai insan biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved