Rabu, 23 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Perang mulut American Idol

Posted: 22 Jan 2013 08:47 AM PST

Jika sebelum ini penyanyi kontroversi, Lady Gaga mencuri tumpuan dunia dengan fesyennya yang 'tidak masuk akal' serta persembahannya yang di luar jangkaan, sudah tiba masanya tumpuan itu dialihkan kepada Nicki Minaj pula.

Diberi jolokan Barbie Doll berkulit hitam, siapa tidak kenal dengan rapper yang banyak kali meledak dengan kisah 'panas' namun masih tetap jadi sanjungan ramai kerana bakat besarnya ini.

Paling mendidih pasti-nya isu pertengkaran dengan diva tersohor, Mariah Carey yang rancak diperkatakan apalagi rancangan realiti pujaan ramai, American Idol kini sudah memulakan musim barunya.

Kerana 'mulut longkang' penyanyi kelahiran Trinidad & Tobago itu, sengketa itu berterusan hingga kini walaupun keduanya seakan berpura-pura hubungan mereka baik-baik saja.

Foto

RAPPER wanita solo yang paling cemerlang.

Foto

UNIK dan pelik namun bakatnya mengagumkan.


Menggantikan juri terdahulu, Steven Tyler dan Jennifer Lopez untuk musim ke-12, Nicki dan Mariah serta penyanyi muzik country, Keith Urban akhirnya dilantik menduduki kerusi rebutan ramai itu di antara ramai calon yang disebut-sebut.


Pemilihan Nicki juga sekali gus mencetuskan banyak persoalan mengambil kira pembabitannya yang masih baru dan perjuangan muziknya pula adalah genre hip hop.

Perbalahan antara mereka tercetus apabila wujud perbezaan pendapat terhadap seorang peserta uji bakat American Idol mengakibatkan Nicki hilang kawalan kerana tidak tahan dengan perangai 'diva' Mariah dan akhirnya menyumpah penyanyi 'senior' berkenaan.

Namun di sebalik kelancangan mulut serta sifat kasar pemilik nama sebenar Onika Tanya Maraj berusia 30 tahun itu, siapa tahu dia sebenarnya kurang yakin apabila ditawarkan kerusi juri berkenaan pada awal-nya.

Penyanyi yang meledak dengan lagu Superbass itu malah mengakui dia tidak melihat dirinya layak 'duduk' di kerusi berkenaan serta mampu melakukan tugas berat itu.

"Budaya hip hop sering dibayangi pandangan serong yang lebih menjurus kepada perkara negatif dan saya cukup lali dengan situasi demikian. Sering terbit juga perasaan di mana saya amat bimbang sekiranya terlampau popular dan tidak nampak pun kehebatan menjadi tumpuan ramai.

"Muncul dan ditonton setiap minggu di kaca televisyen, saya langsung tak pernah terfikir untuk menjadi seorang daripada golongan itu dan sehingga kini tidak percaya kenapa saya ambil keputusan menerima tawaran itu," kata pemenang empat anugerah di American Music Awards itu.

Susur galur karier Nicki tidak seindah yang disangka apabila cita-cita sebenarnya adalah untuk menjadi pelakon terkenal. Namun rezeki penulis lagu, pelakon suara dan personaliti TV itu nampaknya berpihak di bidang nyanyian.

Berpindah ke Queens, New York, Amerika Syarikat (AS) pada usia lima tahun, selepas memahat kejayaan di lapangan 'underground', album studionya berjudul Pink Friday pada 2010 lantas menjulang namanya apabila mendaki tangga pertama di carta Billboard AS.

Kejayaan luar biasa album itu turut membolehkannya dianugerahkan kutipan Platinum oleh Persatuan Industri Rakaman AS (RIAA) hanya sebulan selepas ia mencipta rekod cemerlang itu.

Setakat ini, Nicki juga mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi solo wanita pertama yang berjaya menempatkan tujuh lagunya serentak di carta terkemuka, Billboard Hot 100.

Nicki tidak jahat

Meskipun dihambat dengan pelbagai tohmahan terhadap pemilihan belum lagi kontroversi yang membabitkannya, Nicki ternyata mengejutkan ramai kru produksi terbabit.

Menyifatkan rapper berkenaan wanita gila dan tidak cukup pendidikan, Penerbit Eksekutif American Idol, Ken Warwick bagaimanapun menyatakan kekaguman terhadap Nicki yang nampaknya masih memiliki nilai terpuji.

"Semakin mengenali Nicki, dia sebenarnya seorang wanita yang punya hati dan perasaan. Perkara itu makin terserlah dan walaupun perangainya begitu namun dia ternyata seorang wanita bijak juga.

"Lihat saja bagaimana tafsirannya terhadap bakat yang hadir mencuba nasib. Dia boleh memberi komen dengan lancar dan begitu bagus kepada mereka. Sangat mengejutkan!" katanya.

Kian senyap dan masing-masing tidak mahu membuka mulut dengan 'drama' yang berlaku antara mereka, Nicki cuma memberi komen ringkasnya terhadap kejadian luar dugaan itu.

"Perkara itu sudah cukup menakutkan dan membuat saya bimbang. Saya cuma mahu dihormati itu saja. Terus-terang, saya bukan-nya sejahat yang disangka dan sifat penyayang itu masih cukup menebal dalam diri.

"Bagaimanapun, sekarang ini saya berharap perkara itu tidak akan berulang-lagi," katanya merujuk kepada provokasi Mariah terhadapnya sewaktu insiden itu terjadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Iktiraf penggiat seni Cina

Posted: 22 Jan 2013 08:37 AM PST

Selepas 12 tahun tidak dianjurkan, kini Anugerah Industri Muzik (AIM) Cina kembali dan bakal berlangsung pada 6 Julai nanti di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) jam 7.30 malam dengan sebanyak 18 kategori anugerah dicalonkan untuk mengiktiraf penggiat seni Cina yang berjaya.

Dianjurkan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), penganjuran semula kali ini dianggap tepat dan berlangsung pada masa yang sesuai. Apatah lagi, ramai penggiat seni di kalangan masyarakat Cina tempatan sudah berjaya mencipta nama di pasaran luar negara seperti China, Hong Kong dan Taiwan.

Presiden RIM Norman Abdul Halim berkata, jika penganjuran AIM ke-19 baru-baru ini lebih menjurus kepada memberi pengiktirafan karya seni penggiat Melayu, pastinya AIM Cina yang dirancang berkenaan memberi ruang pada bangsa lain di negara ini.

"Pun begitu, pencalonan tetap dibuka kepada penggiat seni Melayu mahu pun India tempatan untuk turut serta sekiranya mereka ada yang menghasilkan karya seni dalam bahasa Cina. Malah, seiring dengan Malaysia yang dihuni masyarakat majmuk maka pencalonan terbuka pada semua kaum.


"Seperti di AIM ke-19 lalu juga, RIM bersikap terbuka menerima pencalonan daripada penggiat seni Cina dan India di negara ini yang ada menghasilkan lagu Melayu. Apatah lagi, sekarang ini semuanya lebih menjurus pada saranan kerajaan untuk menuju matlamat ke arah 1Malaysia," katanya.


Menurut Norman, selain penganjuran AIM dan AIM Cina akan datang, pihaknya juga kini dalam perancangan menganjurkan AIM India untuk mengiktiraf insan seni yang memperjuangkan lagu Tamil yang dijangka akan diadakan tahun ini.

"RIM sepakat menganjurkan AIM Cina ini apabila mendapati pasaran muzik di kalangan masyarakat Cina sekarang makin membangun dengan cukup baik. Bahkan, ramai juga anak tempatan di kalangan masyarakat Cina di negara ini sudah berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Ramai nama besar penggiat seni Cina dari negara ini cukup dikenali serta menjadi perhatian ramai di China, Taiwan dan Hong Kong. Jadi, saya tumpang berbangga untuk itu kerana apa yang diinginkan ialah kejayaan diraih mereka berpaksikan atas nama negara Malaysia. Jadi, ia sesuatu yang amat bermakna," katanya.

Selain itu, Norman yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) turut menjawab rintihan segelintir pembuat filem Cina di negara ini yang khabarnya kecewa kerana gagal memperoleh tarikh tayangan untuk filem dihasilkan mereka bersempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Norman berkata, semua penerbit filem sama ada Cina, Melayu dan India perlu menghantarkan semua produk filem mereka kepada pihak Wajib Tayang di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk dinilai dan seterusnya mendapatkan tarikh tayangan filem di pawagam.

"Namun, harus diingat bahawa kini industri filem di negara ini juga berkembang baik apabila banyak filem dihasilkan. Apatah lagi, ramai juga penerbit baru yang muncul. Oleh itu, dalam keadaan sekarang apa yang pasti semua penerbit harus akur untuk sabar menunggu giliran penayangan filem mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved