Rabu, 9 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Penampilan semula jadi kian popular

Posted: 09 Jan 2013 07:02 AM PST

Tatkala kaki melangkah, mata pasti tertumpu kepada pasangan mempelai yang anggun menawan dan segak bagai pinang dibelah dua. Si dara menyerlah dengan busana indah dilengkapi gaya solekan yang bukan saja memperlihatkan kejelitaan ratu sehari malah menonjolkan wajah semula jadi empunya diri.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan jurusolek dalam mengadunkan palet warna bersesuaian ton kulit serta rona pakaian agar pengantin tampil menyerlah serta tidak keterlaluan sehingga menampakkan perbezaan.

Menurut jurusolek Nurin Adlina Basir daripada Nurin Makeover Kuala Lumpur, berbeza pada zaman dulu pengantin inginkan gaya solekan luar biasa sehingga menampakkan perbezaan ketara. Ini bermaksud dari segi pemilihan warna, rona terang dan menyerlah bagi menimbulkan kesan berbeza sehingga menampakkan mempelai berlainan daripada wajah sebenar.

"Berbeza pada masa kini, dengan pelbagai alat solek di pasaran, solekan yang lebih terarah mengikut gaya selebriti sama ada untuk pernikahan dan persandingan semakin mendapat tempat. Rata-rata mempelai gemarkan penampilan semula jadi dengan gaya tersendiri," katanya.

Foto

PEMILIHAN warna bedak asas bersesuaian dengan kulit serta teknik sapuan mampu memberikan solekan sempurna serta tahan lama.

Foto

UNTUK persandingan, pilih warna cerah seperti merah jambu, biru dan ungu digabungkan rona coklat untuk gaya solekan smokey.

Foto

JANGAN diabaikan sapuan celak kerana mampu membuatkan mata lebih galak bersinar.

Foto

PEMERAH pipi menjadikan senyuman lebih menawan. Pilih warna segar seperti merah jambu lembut.

Foto

BIBIR nampak seksi dan menyerlah dengan sapuan gincu dan pengilat bibir.

Foto

RONA lembut dan tipis bersesuaian tema pernikahan.

Foto

ANGGUN dengan teknik solekan smokey menjadikan mempelai tampil menyerlah.

Foto

SOLEKAN dengan padanan busana ungu sesuai untuk persandingan di taman atau di dewan.


Dalam hal ini, teknik pemilihan warna sama ada pastel atau terang disesuaikan dengan sapuan bedak asas menjadikan solekan lebih menawan. Untuk majlis pernikahan, wajah disapu menggunakan rona cerah bagi menonjolkan keayuan. Dalam erti kata lain sapuan bedak digunakan agak nipis bagi menonjolkan kesegaran namun masih memperlihat­kan gaya feminin wanita.


Ini bersesuaian dengan tema busana pernikahan yang kebiasaannya menggunakan rona lembut seperti putih, krim, kelabu, biru lembut dan merah jambu lembut sebagai pilihan.

"Warna terang dan garang patut dielakkan sama ada untuk solekan mahupun pemilihan busana. Ini kerana kedua-duanya tidak bersesuaian dengan tema akad nikah yang sepatutnya menonjolkan keserian serta kesegaran wanita dalam tema semula jadi," kata Nurin.

Ini berbeza untuk majlis persandingan kerana solekan dikenakan perlu bertepatan dengan cita rasa mempelai yang inginkan raut wajah lebih glamor, anggun dan menyerlah dan pada masa sama, menampakkan riak semula jadi wanita.

Dalam hal ini solekan glamor harus diberi penekanan terutama dari segi pemilihan warna serta teknik sapuan pada wajah. Solekan sedikit tebal diberikan agar pengantin tampak lebih berseri, anggun serta segar sepanjang hari. Ini kerana pada hari persandingan pengantin perempuan akan menjadi tatapan umum dari hujung rambut hingga kaki. Oleh itu solekan mata harus diberi keutamaan agar kelihatan lebih galak, besar dan seksi.

Pemilihan rona segar seperti ungu, biru serta merah jambu dengan kombinasi coklat dan kelabu berkonsep­kan gaya smokey mampu memperlihatkan sisi wajah berbeza. Hasilnya, mempelai bukan saja tampil menyerlah malah menonjolkan kejelitaan tatkala dipadankan dengan busana impian mereka.

Selain mata, jelas Nurin, sapuan rata bedak asas de­ngan pemilihan rona semula jadi sangat penting bagi mengelak wajah bertompok, apatah lagi dalam keadaan cuaca panas terutama sekiranya persandingan di taman.

"Sekiranya bedak asas mudah cair ia akan mero­sakkan solekan sehingga mencacatkan penampilan. Apa yang penting ialah pemilihan warna bedak asas supaya tidak berbeza dengan ton kulit dan selebihnya terpulang kepada jurusolek bagi menyesuaikan dengan teknik sapuan agar wajah tidak bertompok," katanya.

Selepas itu, pilih koleksi warna gincu lembut seperti merah jambu atau merah dengan olesan pengilat bibir bagi menampakkan sedikit seksi. Apapun, kemahiran membentuk bayangan pada tulang pipi (shading) dan memakai bulu mata perlu dalam setiap solekan bagi menampakkan perubahan gaya mempelai.

Panduan solekan pengantin:

  • Elak solekan mengikut gaya semasa. Sebagai ratu sehari, solekan selamat dan cantik sangat praktikal.
  • Solekan berkurangan itu lebih baik terutama bagi mereka yang memiliki wajah dan kulit sedia cantik. Namun ia juga bergantung kepada keadaan kerana sekiranya terlalu bersederhana, ia mungkin akan nampak sangat biasa.
  • Pastikan alat solek digunakan kalis air seperti maskara dan celak untuk memastikan ia tidak luntur disebabkan peluh atau air mata.
  • Pilih warna pembayang mata yang selamat seperti rona tanah coklat dan gangsa. Namun, jika mahu bermain dengan warna, pilih variasi harmoni seperti ungu, biru, hijau dan merah jambu. Untuk kelihatan semula jadi, campurkan warna itu dengan pembayang mata coklat.
  • Untuk mengelak solekan bibir luntur, pastikan anda memakai rona gincu tahan lama atau pusam, kemudian disapu pengilat bibir.

    Terima kasih:

  • Nurin Makeover
  • No 10-1, Jalan Rampai Niaga 1, Sri Rampai Business Park, Kuala Lumpur.
  • Facebook Butik Nurin Makeover Wedding, Kuala Lumpur. Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09
  • Bedah plastik kian popular

    Posted: 09 Jan 2013 06:36 AM PST

    Biarpun berulang kali Suk Jee Hoon menafikan dirinya melakukan pembedahan plastik, dia diserang de–ngan cercaan dan cakap belakang menyakitkan hati.

    Malah ketika dia tampil dalam program bual bicara Hello Counselor pada November lalu, tiga panel jemputan terdiri daripada Eunhyuk, Sungmin dan Shindong daripada kumpulan Super Junior turut mengatakan mustahil Jee Hoon tampil cantik tanpa sebarang bantuan pembedahan plastik.

    Shindong yang pernah melakukan pembedahan kelopak mata, tidak ketinggalan melakukan 'imbasan wajah' pada Jee Hoon dengan meneliti setiap inci wajahnya.

    Bagi masyarakat Korea Selatan, pembedahan plastik suatu perkara normal dilakukan wanita juga lelaki bagi memperbaiki penampilan mereka dengan harapan mendapat pekerjaan serta pasangan yang baik.


    Namun apabila penuntut jurusan seni di salah sebuah universiti ternama Korea itu mengatakan tiada langsung pisau bedah singgah di wajahnya, masyarakat mula memandang serong hingga melabelkannya penipu dan takut dengan bayang-bayang sendiri.


    Lebih mengejutkan apabila dia juga jarang melakukan rawatan di spa dan sekadar mengamalkan rutin penjagaan wajah harian.

    "Saya digelar hipokrit. Sejak di sekolah menengah, rakan sekelas mengejek dan menuduh saya menipu mereka. Dalam laman sosial, saya juga sering jadi mangsa hinaan.

    "Saya dipanggil raksasa pembedahan plastik, pandai berpura-pura dan bermacam lagi. Cara mereka lihat saya berbeza, seperti saya ini manusia palsu. Kemuncaknya, teman lelaki memutuskan hubungan kerana mendengar kata orang lain dan merasakan saya menipunya selama ini.

    "Ibu saya juga sentiasa jadi bahan kutukan di kawasan kejiranan kami kerana dikatakan cuba menyembunyikan pembedahan plastik anaknya. Saya mula rasa tertekan dan cuba mengelak apabila perlu bercakap secara bersemuka dengan orang lain," ujar Jee Hoon.

    Semuanya terjawab apabila pihak penerbitan Hello Counselor membawa Jee Hoon ke hospital bagi menjalani pemeriksaan menyeluruh termasuk imbasan CT dan sinaran-x.

    Pakar bedah mengesahkan wanita berusia 20 tahun itu tiada sebarang kesan pembedahan di wajah serta tubuhnya. Apa yang pasti, kecantikan yang dikurniakan padanya 100 peratus asli!

    Nyata, insiden itu mem–buatkan masyarakat Korea mula memikirkan masih wujud istilah kecantikan semula jadi. Berdasarkan statistik Persatuan Pakar Bedah Estetik Antarabangsa, sejumlah 770,913 prosedur pembedahan plastik dilakukan pada 2010 dengan meletakkan Korea Selatan di tangga ketujuh dalam senarai global.

    Pembedahan kelopak mata ialah prosedur paling popular, selain mengecilkan wajah, kontur rahang dan pembentukan hidung.

    Kini, makin ramai pelajar sekolah menengah memilih melakukan pembedahan plastik selepas peperiksaan kemasukan ke universiti, hinggakan golongan ibu di Korea sanggup membayar pakej pembedahan terbabit sebagai ganjaran atas usaha anak mereka berjaya ke pusat pengajian tinggi.

    Bagi negara Barat seperti Amerika Syarikat, pembedahan plastik juga perkara biasa dalam kalangan penduduk khususnya barisan selebriti mereka yang mahu sentiasa tampil menarik.

    Namun, masyarakat di negara itu enggan mendedahkan aktiviti pembedahan plastik mereka serta berusaha menafikan sekeras-kerasnya.

    Sememangnya isu pembedahan plastik ini agak tabu di kalangan masyarakat dunia. Di Malaysia juga, pembedahan plastik dianggap perkara yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ia melanggar norma kehidupan.

    Agama Islam juga melarang umatnya melakukan perubahan pada diri jika semata-mata untuk kecantikan hingga menimbulkan riak apabila dilihat orang lain.

    Tapi dengan munculnya budaya kecantikan moden ini, segelintir masyarakat Malaysia mula menerima konsep kecantikan menerusi pembedahan lalu tidak gentar melakukannya.

    Biarpun kes terpencil, makin ramai penduduk negara ini dikatakan rela berhabis wang menjalani prosedur di luar negara biasanya Singapura dan Thailand kerana bimbang diketahui masyarakat jika melakukannya di tanah air sendiri.

    Justeru, timbul persoalan lain sama ada perlukah mereka bertindak sejauh itu semata-mata atas nama kecantikan bagi memperbaiki kekurangan pada diri?

    Tidak cukupkah dengan hanya mengenakan pakaian menarik, menjalani rawatan kecantikan biasa di spa, meluruskan rambut di salun dan memakai kanta lekap berwarna untuk tampil cantik?

    Budaya K-pop cetusan selebriti Korea yang melanda dunia ketika ini sedikit sebanyak dikait–kan sebagai punca tapi sebenarnya ia bergantung kepada tahap keyakinan diri seseorang individu itu.

    Namun menurut Pakar Pembedahan Estetik dan Rekonstruktif Plastik, Pembedahan Estetik Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Eileen Fong, wujud tiga sebab yang membuatkan seseorang itu mengambil keputusan melakukan pembedahan plastik.

    "Motif, jangkaan dan keselamatan dikenal pasti antara tiga perkara yang difikirkan sebelum menjalani pembedahan. Tapi jika motif utama untuk mendapatkan cinta atau penerimaan orang lain, sukar untuk memenuhi jangkaan yang ditetapkan tanpa terlebih dulu menyelesaikan isu atau masalah dalaman diri.

    "Dari segi keselamatan pula, setiap pembedahan berisiko. Jika manfaat yang diterima mengatasi risiko yang bakal dihadapi, pembedahan adalah pilihan munasabah," katanya.

    Tapi yang pasti, pembedahan plastik tidak boleh dilakukan sambil lewa kerana ia mungkin boleh memudaratkan pada masa depan.

    "Ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan tanpa pertimbangan sewajarnya. Terdapat kes yang memang dibolehkan menjalani pembedahan plastik.

    "Sebagai contoh, jika seseorang mengalami penurunan berat badan mendadak disebabkan penyakit atau kemala–ngan, hingga menyebab–kan kulitnya melendut hingga menyukarkan aktiviti sosial dan mengganggu rutin kebersihan, pembedahan boleh meningkatkan kualiti kehidupannya dan membuat–kannya rasa lebih baik secara fizikal dan psikologi. Ia bukanlah bertumpu kepada aspek kecantikan dan kepuasan diri semata-mata," tegasnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/09
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved