Rabu, 9 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Saya tidak ditaja VIP'

Posted: 08 Jan 2013 07:29 AM PST

DESAS-DESUS dirinya ditaja golongan VIP untuk hidup mewah masih diperkatakan orang hingga hari ini. Apatah lagi, penampilannya kini jauh berubah berbanding lima tahun lalu. Jika dulu, penampilan pelakon meningkat naik, Nazim Othman hanya sederhana, kini dia dikatakan mengamalkan cara hidup mewah dengan kelas tersendiri.

Berbekalkan wajah kacak persis model terkenal, pastinya Nazim menjadi kegilaan ramai wanita dan bukanlah mustahil jika ada wanita di kalangan VIP ingin mendekati dirinya. Namun, sejauh manakah kebenaran gosip yang tersebar itu?

Bagaimanapun, pertemuan dengan anak muda berusia 29 tahun kelahiran Labuan, Sabah dalam sesi fotografi eksklusif bersama RAP yang diatur di Naza Quest, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini menyingkap segala-galanya. Lebih menarik, Nazim sempat memberikan pose menarik khusus untuk pembaca akhbar ini bersama model kereta terbaru Chevrolet Sonic dan Chevrolet Cruze.

Nazim yang tampil segak dengan jaket jenama terkenal petang itu menafikan sekeras-kerasnya gosip yang tersebar itu. Ia terbukti apabila wajah duta jam tangan Ellesse ini kerap muncul di kaca televisyen menerusi pelbagai telefilem dan drama bersiri lakonannya.


"Saya mampu hidup selesa sekarang hasil kerja keras siang dan malam. Saya juga tidak ditaja VIP, sebaliknya saya yang 'menaja' diri sendiri. Mana ada saya hidup mewah. Sejak dulu saya memang amalkan cara hidup sederhana.


"Selepas bergelar artis, saya sentiasa mementingkan aspek penampilan kerana sentiasa meraih perhatian orang. Dari segi imej, saya sukakan jaket kerana nampak segar. Orang nampak saya mewah mungkin kerana saya pandai menyesuaikan baju yang dipakai," katanya.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar, Nushrul Alif Othman mengakui dirinya jauh lebih matang berbanding lima tahun lalu. Bukan saja perubahan dari segi penampilan yang lebih segar, malah semakin bijak menentukan hala tujunya dalam bidang seni.

"Jika dulu, saya memang takut-takut untuk menonjolkan diri kerana kurang keyakinan diri. Kini, ia sudah berlalu kerana saya sekarang adalah 'Nazim yang baru'.

"Bayangkan saya terpaksa menunggu selama lima tahun untuk menyerlah. Apapun ia berbaloi kerana ramai pihak sudah mula nampak dan percaya dengan bakat saya termasuk di kalangan pihak korporat.

"Bersandarkan pengalaman lima tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya semakin berani menonjolkan diri dan yakin dengan apa yang saya lakukan. Saya percaya, kunci kejayaan seseorang adalah yakin dengan kebolehan diri sendiri dan bakat yang dianugerahkan Tuhan," katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Dejavu Di Kinabalu dan Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima ini merancang untuk mengembangkan lagi cabang seninya sempena kedatangan tirai tahun baru 2013.

"Bagi saya, cabang seni itu luas. Saya tak mahu dikenali sebagai pelakon saja kerana sebagai 'public figure', cabangnya juga luas. Pada masa sama, saya juga ingin menjadikan nama sebagai satu jenama seperti dalam bidang perniagaan.

"Selain pelakon, saya juga baru saja dilantik sebagai duta produk jam tangan Ellesse. Saya juga menjadi model untuk iklan komersial. Saya juga sudah mencuba bakat di pentas teater menerusi pementasan Tun Siti Hasmah di Istana Budaya hujung tahun lalu," katanya.

Nazim ingin kembangkan bakat dalam bidang nyanyian

PASTI ramai yang tidak tahu Nazim juga berbakat dalam bidang nyanyian. Justeru, kata Nazim, dia merancang untuk melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian sempena kedatangan tirai 2013.

"Sebenarnya, saya pernah merakamkan dua lagu tema sebelum ini iaitu lagu Cinta untuk drama Begitulah Cinta dan Langit Menangis untuk drama Dejavu Di Kinabalu.

"Saya tidak menghantar lagu itu ke stesen radio untuk diputarkan kerana saya hanya menyanyikannya untuk kepuasan sendiri. Namun saya lega kerana maklum balas yang diperoleh daripada peminat sangat positif," katanya.

Terbaru, jejaka ini merancang untuk menghasilkan lagu baru berentak pop balada untuk diputarkan di stesen radio nanti dan yakin ia akan diminati.

Ditanya sama ada dia ditaja mana-mana pihak untuk menghasilkan album, Nazim menafikan sekeras-kerasnya.

"Saya menceburi bidang nyanyian bukan sekadar suka-suka atau kejar glamour, sebaliknya serius menggilap bakat dan potensi diri. Pada masa sama, saya tidak ditaja mana-mana pihak dan buat lagu dengan duit simpanan sendiri.

"Insya-Allah, jika lagu atau single baru saya mendapat sambutan, saya merancang untuk menghasilkan album penuh pula," katanya.

Dalam pada itu, Nazim berkata, dia bersyukur kerana tawaran berlakon yang diterimanya tidak pernah putus dan jadualnya penuh bermula bulan ini hingga Mei depan.

"Dalam tempoh itu, saya sudah terikat dengan tiga penggambaran telemovie dan tiga drama bersiri. Saya juga akan bekerja lebih keras lagi untuk memastikan momentum itu kekal sampai tahun akan datang," katanya.

Antara telemovie dan drama bersiri yang dilakonkannya ialah Hadiah, Tersalah Cinta dan Terlanjur Cinta arahan Pali untuk TV9. Selain itu, pementasan Tribute Teater Tun Siti Hasmah arahan Erma Fatima di Istana Budaya.

Beralih kisah cintanya yang hangat diperkatakan dengan pelakon baru, Bella Dally, Nazim nampaknya tidak dapat mengelak apabila diajukan soalan itu.

"Setakat ini, hubungan kami berjalan lancar sejak menjalin hubungan setahun yang lalu," katanya.

Bagaimanapun, Nazim enggan terlalu membicarakan kisah cintanya itu kerana tidak mahu peminat terlepas pandang karier seninya.

"Buat masa ini, kami ingin fokus pada karier seni masing-masing. Soal kahwin pula, kami berdua belum bersedia ke arah fasa itu lagi. Apa yang penting, hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Niat murni Rabbani

Posted: 08 Jan 2013 07:15 AM PST

APABILA berbicara mengenai Gaza, pasti mengundang air mata. Penderitaan mereka lalui bukannya sedikit malah sangat menduga keimanan dan kesabaran.

Serangan demi serangan tentera Zionis tanpa henti dan mengira waktu. Insan paling menderita adalah kanak-kanak yang baru nak mengenal dunia. Belum puas menikmati kasih ibu ayah, mereka ditinggalkan sebatang kara untuk menempuh hidup yang suram.

Bagi penduduk Gaza yang sememangnya lali dengan perangai Israel mereka tidak putus asa mempertahankan hak mereka demi kesinambungan hidup generasi yang akan datang. Rakyat Malaysia tidak wajar sekadar menjadi pemerhati saja kepada keganasan yang berlaku.

Justeru, kumpulan na­syid Rabbani sedang berusaha bersama Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) untuk membangunkan sebuah hospital materniti dan pediatrik di Gaza. Mapim sudahpun berjaya mendapat restu daripada Organisation of Islamic Cooperation (OIC) iaitu badan yang bertanggungjawab memastikan penduduk Gaza dapat hidup dengan aman makmur.


OIC adalah persatuan antarabangsa yang kedua terbesar di dunia membabitkan pelbagai negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Projek H4G (Hospital For Gaza) yang sedang diusahakan itu melantik Rabbani sebagai Duta Hospital 4 Gaza (H4G).


Segera memulakan lang­kah awalnya, Rabbani menganjurkan, Majlis Makan Malam Amal H4G. Ia bukanlah bertujuan untuk berseronok semata-mata tetapi untuk mencetuskan keinsafan dan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang ditanggung penduduk Gaza.

Azadan Abdul Aziz daripada Rabbani berkata, orang ramai amat dialu-alukan untuk menjadi ahli H4G di mana mereka boleh me­nyumbang secara berterusan sehingga hospital itu siap.

"Sebelum ini kita dengar hospital di Gaza tidak dapat membantu rakyat yang menderita kerana kehabisan ubat. Oleh itu ahli H4G akan sentiasa menyumbang mengikut kemampuan mereka sehinggalah Palestin merdeka dan hospital yang dibangunkan itu dapat berjalan dengan sendiri.

"Ahli H4G boleh dianggap sebagai pemegang saham kepada pembangunan hospital ini. Semoga mereka meraih keuntungan pelaburan mereka di akhirat nanti.

"Sebagai usaha mengajak seramai mungkin rakyat Malaysia yang ingin mahu menjadi ahli H4G, Rabbani mengatur strategi dengan mengadakan Majlis Makan Malam Amal H4g dan Konsert Malam Amal H4G di seluruh negara. Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin memikul tanggungjawab ini bersama-sama menjadi penaja kepada acara yang dianjurkan.

"Mereka boleh menjadi penaja utama atau penaja bersama untuk Majlis Makan Malam Amal yang akan berlangsung di Hotel Singgahsana Petaling Jaya pada 26 Januari ini," katanya.

Tambah Azadan, mereka boleh membeli meja pada harga RM5,000, RM2,000 dan RM1,500. Sambil menikmati jamuan, mereka dihiburkan dengan persembahan daripada Rabbani dan Datuk Sharifah Aini.

Sebagai rangsangan kepada projek H4G untuk sepanjang 2013, Rabbani mengambil inisiatif menerbitkan album yang berjudul Mawar Berdarah yang diharapkan dapat membuka mata orang ramai terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Gaza.

"Turut dimuatkan dalam album itu, lagu pilihan dari pada koleksi album Rabbani yang berkonsepkan perjuangan. Untuk setiap pembelian album itu, RM1 akan disumbangkan kepada pembinaan hospital di Gaza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved