Isnin, 14 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Tak menang tangan'

Posted: 13 Jan 2013 10:51 AM PST

Bermula dari program realiti pencarian bakat pelawak, Raja Lawak Astro musim pertama, Zizan Razak nampaknya tidak menoleh ke belakang lagi.

Selepas enam tahun membina nama akhirnya bakat besar pelakon, pelawak dan pengacara terkenal ini berjaya membuka mata ramai pihak sekali gus menjadi rebutan pengarah drama serta filem di luar sana.

Terkini, tuah terus menyebelahi anak kelahiran Terengganu ini apabila berjaya mendominasi senarai Top 5 membabitkan sebanyak lapan pencalonan termasuk lima kategori 'online' sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012.

Ia membabitkan tiga kategori utama, Pengacara TV Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular bersaing dengan Bintang Paling Popular 2011, Aaron Aziz, Adi Putra, Shaheizy Sam dan Bront Palarae.


Manakala, lima lagi kategori online ialah Watak Jahat Dalam Filem atau Drama Popular, Gandingan Di Layar Serasi (bersama Johan Raja Lawak), Artis Berpengaruh Di Laman Media, Artis Lelaki Stailo dan Artis Asia Paling Popular.


Secara peribadi, pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak berkata, dia bersyukur dengan pencapaiannya dalam bidang seni ketika ini.

"Semuanya berkat doa yang tidak pernah putus supaya diri diterima peminat seperti sekarang. Apa yang penting, saya ikhlas menjadi anak seni. Saya juga tidak memiliki kelulusan yang tinggi dan hanya bersandarkan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja. Sebab itu saya perlu buat betul-betul supaya orang terhibur setiap kali melakukan persembahan.

"Dari segi kalah atau menang pada ABPBH 2012, semuanya terserah pada undian peminat. Jika saya menang, ia juga kejayaan mereka yang mengundi saya.

"Saya melihat kemenangan dalam ABPBH juga penting dalam membantu melariskan seseorang artis itu.

Namun, sebagai artis tanggung-jawab saya ialah terus bekerja keras dan berikan yang terbaik untuk kepuasan diri dan peminat," katanya.

Zizan ditemui pada majlis pengumuman senarai Top 5, ABPBH 2012 yang berlangsung di Hotel Holiday Villa & Suites, Subang di sini, baru-baru ini.

Tidak dapat dinafikan kata Zizan, agenda seninya cukup padat sepanjang tahun ini.

"Saya akui tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon dan mengacara dari pelbagai pihak. Kalau boleh saya ingin menjaga hati semua orang dan menerima semua tawaran yang datang.

"Tapi saya takut ia akan menimbulkan masalah pada saya jika tidak dapat memberikan komitmen pada pihak terbabit. Terus terang, saya tidak ingin dikaitkan dengan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik dalam bidang seni.

"Pada masa sama, saya juga tidak mahu tamak merebut semua tawaran yang datang tanpa memikirkan kemampuan diri.

"Maklumlah, sekali kita melakukan kesilapan itulah yang orang nampak kerana mereka tak tahu perjalanan karier seni saya macam mana. Tapi perkara baik yang kita lakukan orang tak nampak pula," katanya.

Selain sibuk dengan persiapan dalam program Maharaja Lawak Mega 2012, (MLM) Zizan juga akan terbang ke Gold Coast, Australia untuk menjayakan sesi fotografi bersama majalah Santai selama lima hari. Menyusul selepas itu, dia bakal menjayakan penggambaran komersil di London untuk satu produk makanan.

Diminta mengulas dakwaan yang mengatakan dirinya kini lebih cenderung ke arah keagamaan, Zizan berkata, dia masih seperti dulu.

"Saya hanya berkongsi dengan peminat apa yang saya tahu. Tidak salah, jika saya kongsi apa yang saya tahu untuk kebaikan orang lain," katanya.

Menyentuh sisi peribadinya pula, kata Johan yang pernah dikaitkan dengan pelakon Juliana Evans, dia akui masih berhubung dengan pelakon berdarah kacukan yang kini menuntut di Universiti Michigan, Amerika Syarikat.

"Memang kami ada berhubung tapi jarang kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sedia ada. Dia juga tumpang gembira dengan pencapaian saya dalam karier seni sekarang," katanya.

Zizan sahut cabaran final MLM 2012 kemungkinan tanpa Johan

Bukan mudah untuk beraksi secara solo dalam MLM 2012 tanpa gandingan mantapnya, Johan. Namun, itulah yang terpaksa dilakukan anggota kumpulan Jozan ini apabila Johan tidak dapat beraksi dalam MLM 2012 kerana dimasukkan ke hospital, baru-baru ini.

"Saya akui ia bukan tugas mudah kerana kami sentiasa berdua dalam persembahan sebelum ini. Apapun, saya melihat ketiadaan Johan ada kebaikannya juga kerana mengajar erti berdikari dalam persembahan.

"Sebab itu saya menangis sebelum ini selepas persembahan solo selesai kerana sedar sukarnya untuk buat orang ketawa. Justeru, bila saya berjaya buat orang ketawa dan terhibur dengan persembahan solo itu, saya terus berasa sebak yang lain macam. Kini, saya sangat menghormati pelawak yang boleh beraksi secara solo kerana ia bukan tugas mudah.

"Cabaran sangat terasa kerana jika sebelum ini kami kongsi idea untuk beri yang terbaik pada Jozan tetapi kini semuanya saya terpaksa lakukan secara solo. Ia terpulang pada saya sama ada mampu atau tidak untuk melakukannya.

"Saya juga tidak tanya pendapat Johan dari segi persembahan solo dalam MLM kerana saya tidak mahu mengganggu dirinya yang masih dirawat di hospital," katanya.

Pada masa sama, kata Zizan, dia juga tidak tahu sama ada akan beraksi bersama Johan atau tidak pada peringkat akhir, MLM 2012 yang bakal menjelang kira-kira dua minggu lagi.

"Semuanya bergantung pada tahap kesihatan Johan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Air mata Mek Habsah, Azizah tumpah

Posted: 13 Jan 2013 10:42 AM PST

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mereka pernah menghiburkan masyarakat dengan nyanyian lemak merdu dan jenaka mencuit hati. Ramai tertunggu-tunggu suara mereka di corong radio dan kelibat mereka di kaca TV.

Kini segala-galanya sudah berubah di mana keadaan tubuh sudah tidak sekuat dulu. Inilah situasi dilalui penyanyi pop yeh yeh, Datin Azizah Mohamad, 65, yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur akibat komplikasi penyakit darah tinggi, kencing manis dan jangkitan paru-paru.

Beliau yang popular menerusi lagu Syurga Idaman dimasukkan ke HKL sejak 9 Januari lalu, tidak lekang dengan kehadiran suami, Datuk A Rahman Hassan, 66, anak-anak serta kaum keluarga yang tidak jemu-jemu memberi kata-kata semangat.

Tidak terlepas menderita sakit adalah pelakon Mek Habsah, 57, yang dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang, di sini, sejak Selasa lalu akibat jang­kitan kuman dan masalah paru-paru bocor.


Paling memilukan, artis yang nama sebenarnya, Habshah Bakar ini dimasukkan ke hospital pada 8 Januari lalu yang jatuh pada tarikh ulang tahun kelahirannya.


Hospital ini boleh dianggap rumah keduanya sejak 16 tahun lalu. Kehadiran keluarga dan rakan sedikit sebanyak melegakan artis yang popular menerusi drama radio, Fajar Di Bumi Permata, drama RTM serta album komedi bersama kumpulan Asam Pedas.

Bagaimanapun penderitaan mereka mendapat reaksi segera Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) yang diterajui Presidennya, Datuk Irwan Shah atau DJ Dave.

Sebaik diberitahu perkhabaran ini, Dave bersama ahli jawatan kuasanya, Datuk M Nasir, Nash, Nancie Foo dan Mas Omar, segera hadir melawat kedua-dua mereka pada Jumaat lalu dan menghulur sumbangan berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban penderitaan mereka.
Ketika lawatan, Azizah kelihatan begitu lemah dan sukar untuk berkata-kata. Awalnya dia dimasukkan ke wad ICU. Bagaimanapun selepas itu dia dipindahkan ke wad perubatan NW 25 dengan diberikan pengawasan rapi oleh doktor dan jururawat bertugas.

Menurut Datuk A Rahman Hassan, biarpun menghidap pelbagai jenis penyakit, ini kali pertama isterinya dimasukkan ke hospital dan ditahan di wad.

"Terima kasih kepada yang datang melawat. Saya minta peminat mendoakan agar isteri saya cepat sembuh. Juga terima kasih buat Datuk DJ Dave dan YA1M atas sikap prihatin dan bantuan yang diberikan," katanya.

Sementara itu, tiada kata mampu diluahkan Mek Habsah sebaik menerima sumbangan ini. Hanya tangisan mampu diterjemahkan sebagai tanda terharu atas bantuan dan tanda ingatan yang diberikan.

"Biasanya saya akan berada seminggu untuk rawatan sebelum dibenarkan keluar. Bagaimanapun kali ini saya berasa pelik kerana menerima kunjungan ahli keluarga dan rakan yang ramai datang melawat berbanding sebelum ini.

"Rupa-rupanya, tanpa pengetahuan saya, beberapa hari lalu doktor melihat keadaan saya agak kritikal lalu memberitahu suami supaya menghebahkan berita ini kepada semua untuk melawat sementara saya masih bernafas.

"Saya sememangnya terharu dengan kunjungan semua termasuk kawan-kawan sepejabat. Di kesempatan ini juga, saya memohon ampun dan maaf kepada rakan dan semua yang mengenali saya," katanya sebak dan mengalirkan air mata.

Sejak meninggalkan bidang seni, Mek Habsah yang kini bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) di ibu pejabat Jalan Sultan Salahuddin masih aktif dalam kerja dakwah serta turut bergelar pengerusi dakwah di tempatnya bekerja.

Suaminya, Rahamis Hamid, 61, yang setia menemaninya di wad bersama anak sulung mereka, Rosmawaty, 35, akui kagum dengan semangat Mek Habsah.

"Doktor juga kagum de­ngan kekuatan semangat isteri saya yang mampu bertahan hingga sekarang. Bagaimanapun, dia perlu bergantung kepada bantuan alat pernafasan termasuk ketika berada di rumah.

"Doktor menyarankan isteri saya menggunakan alat bantuan pernafasan mudah alih berharga RM28,000 dan kami sedang berusaha mencari bantuan untuk membelinya," katanya.

Rosmawaty pula akui sedang berusaha menemukan ibunya dengan seniwati Sarimah Ahmad dalam masa terdekat. Ini kerana hubungan ibunya dengan Sarimah memang erat suatu ketika dulu.

"Saya sendiri anggap Sarimah sebagai ibu angkat kerana pernah berlakon watak anaknya dalam filem Ranjau Sepanjang Jalan pada 1980a-n," katanya.

Bercerita mengenai sumbangan yang disampaikan, DJ Dave berkata, YA1M sentiasa tampil memberikan bantuan kepada artis-artis yang memerlukan.

"Ini bukan sumbangan saya atau sesiapa. Ini adalah sumbangan daripada Perdana Menteri kita sendiri yang disalurkan kepada kami sebagai tanda prihatin beliau kepada golongan penggiat seni yang memerlukan.

"Hujung bulan ini kami akan memperkenalkan insuran kepada penggiat seni berusia 55 tahun ke atas. Ia dijalankan dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK)," katanya yang sebelum ini membantu pelawak Yahya Sulong.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved