Isnin, 14 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gigih majukan bisnes

Posted: 14 Jan 2013 07:04 AM PST

BAGI sesetengah individu, setiap de­tik yang diabadikan dalam sekeping gambar berbingkai membawa seribu makna. Gambar mampu menjadi gambaran emosi tanpa suara malah biarpun tidak disertakan pergerakan, ia tampak hidup bagaikan sebuah penceritaan kerana semua kenangan mampu disingkap hanya dengan memandangnya.

Begitu menakjubkan ni­lai atau harga sekeping gambar yang mampu menjadi rantaian emosi dan jiwa yang cukup kuat sehinggakan sesiapa juga mampu menitiskan air mata tatkala melihat hasil kerja seorang jurugambar berpengalaman.

Dulu dunia fotografi bukanlah kerjaya wanita. Malah boleh dibilang dengan jari jurugambar wanita yang menjadikan bidang ini sebagai sumber rezeki. Membawa bebanan peralatan kamera dengan jadual kerja yang padat dan lasak menjadikan kerjaya ini sangat mencabar kewibawaan fitrah semula jadi wanita yang bersifat lemah lembut.

Jika diikutkan, bukan senang bergelar jurufoto profesional sepenuh masa. Selain perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, jurugambar wanita terpaksa berhadapan pelbagai cabaran termasuk melayan kerenah pelanggan seperti ditipu dan tidak menerima bayaran.

Foto

KAMALIA memilih gambar yang sedia dibingkai untuk diberikan kepada pelanggan.

Foto

JANGAN ragu pada kebolehan jurugambar wanita.

Foto

GAMBAR menjadi sumber rezeki Kamalia.


Begitu juga dengan persaingan di kalangan jurugambar lelaki sehingga terpaksa memperkemaskan pelbagai teknik pemasaran dan kualiti untuk terus kukuh di dalam industri.


Namun biar dihambat seribu kepayahan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan, semua cabaran dan kepayahan yang dilalui tidak menghalang Kamalia Kamal, 29, berjaya dalam bidang fotografi. Dia kini membuktikan dengan keazaman dan keyakinan, wanita yang terkenal dengan sifat lemah lembut mampu menawan kerjaya yang sebelum ini banyak dikuasai kaum Adam ini.

Ketika berkunjung ke studio The Photolicious di Cheras, Kuala Lumpur, tergambar kegigihan wanita bergelar isteri dan ibu ini dalam menaikkan martabat jurugambar wanita apabila lapan daripada 12 jurufoto profesional yang terbabit dengannya ialah wanita.

Menerusi sistem yang sistematik dengan melantik enam pekerja di bahagian pengurusan dan dua di bahagian penjualan dan pemasaran, Kamalia bukan sekadar menjadikannya sebagai kerjaya tetapi mewujudkan peluang perniagaan yang dulunya langsung tidak difikirkan.

Berasal dari Kuala Lumpur, ibu kepada dua cahaya mata ini tidak pernah menjalani latihan formal dalam bidang fotografi. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perniagaan) daripada Universiti Arizona, Amerika Syarikat ini hanya memasuki kelas fotografi di universiti sehingga mampu menjual sekeping gambar pada harga lima dolar sekeping. Sebagai pelajar, penjualan gambar sedemikian pasti menjadi sumber pendapatan lumayan ketika itu.

"Dari situ saya mula terfikir bidang fotografi sekiranya dilakukan secara serius mampu menjana pendapatan lumayan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain khususnya wanita. Selepas pulang ke Malaysia, saya mula mengorak langkah sebagai jurugambar perkahwinan secara sambilan sehingga akhirnya menubuhkan KamaliaKamal Photography sebelum menukar kepada The Photolicious pada 2006 bagi menjadikannya jenama yang dikenali ramai," katanya.

Ia bermula daripada majlis kecil hari jadi, berkhatan, keraian, perkahwinan, sebelum perkahwinan, penggambaran korporat, produk dan model. Malah sejak 2007, Kamalia giat menyertai pameran dan melakukan penggambaran sebelum majlis perkahwinan yang dulu jarang dibuat pengantin Melayu. Hasil yang kreatif, gambar yang hidup dan penuh emosi menjadi tanda pengenalan kepada jenama The Photolicious sehingga menjadi pilihan kebanyakan mempelai untuk mengabadikan kenangan mereka.

"Dulu kami bermula dengan modal sangat sedikit yang dilaburkan khas untuk peralatan kamera. Dari situ, sedikit demi sedikit The Photolicious mengorak langkah mengembangkan kebolehan, keunikan serta kualiti yang tinggi dalam melahirkan idea sehingga mencipta jenama tersendiri dalam bidang ini.

"Siapa sangka dengan dipelopori jurugambar wanita, keuntungan syarikat meningkat sehingga 60 peratus bermula pada 2007 yang mencecah RM500,000 setahun untuk jualan tahunan. Ini pengiktirafan yang tidak ternilai buat saya dan kumpulan The Photolicious," katanya yang kini semakin dikenali sebagai jurugambar perkahwinan selebriti.

Terbaru, syarikat terbabit menjadi jurugambar rasmi untuk perkahwinan bintang bola sepak negara Apek dan pasangannya, Luiney.

Pada masa sama, ia kini aktif menganjurkan kelas Keusahawanan Fotografi khususnya bersama pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu jurugambar Bumiputera lebih berkembang dalam industri fotografi.

"Kursus anjuran bersama MARA itu bukan mengenai cara me–ngambil gambar tetapi mengajar aspek keusahawanan fotografi dan menjadikannya sumber mata pencarian," kata Kamalia yang aktif menjalankan bengkel di luar Kuala Lumpur seperti Kelantan, Pahang, Perak dan Johor.

Selaku jurugambar wanita pertama di Malaysia yang menumpukan sepenuh masa dalam industri perkahwinan, Kamalia Kamal sentiasa tampil dengan membuka kelas percuma khas untuk kaum wanita dan ibu yang ingin memantapkan lagi kemahiran mereka.

Walaupun kini jumlah jurugambar semakin bertambah dengan persaingan dalam bidang penggambaran perkahwinan, Kamalia sedikit pun tidak gentar malah gembira dengan penerimaan masyarakat terhadap jurugambar wanita yang semakin meningkat. Pada masa sama, dia ingin meletakkan standard tertinggi bagi semua gambar di bawah The Photolicious bersesuaian slogan syarikat Live, Like dan Love.

"Kami percaya komposisi dan limpahan krea­tiviti berbeza terhadap setiap projek membenarkan kami menghasilkan gambar yang seakan bernafas selamanya. Begitu juga tanpa kecintaan yang utuh dalam bidang ini, cerita dalam setiap gambar tidak akan dapat disampaikan dengan baik manakala cinta ialah nadi utama yang membuatkan gambar kami sentiasa segar bagi memastikan setiap keping gambar bakal memberi impak yang besar kepada pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Menghias sambil asuh si kecil

Posted: 14 Jan 2013 06:24 AM PST

SUDAH menjadi aliran sekarang, sebaik membeli rumah baru, pemilik rumah sibuk memikirkan konsep tata hiasan dalaman dan luaran. Inggeris, Melayu, Bali atau moden?

Namun semuanya berpandukan bajet dan juga paling penting kemampuan masa.

Bagi Intan Kamariah Shah Rani pula, dia sangat mengambil kira keadaan rumah dan keselesaan keluarganya dalam menerapkan minat dan konsep hiasan dalaman yang disukainya.

Rutin mengemas dan mencuci rumahnya juga diambil kira tambahan pula rumah pangsa dua bilik kepunyaan Intan mempunyai ruang tamu yang terhad dan kecil. Namun ia tidak menghalang Intan daripada memanfaatkan minat mendalamnya terhadap gaya Inggeris.


Menariknya, minat menghias ini juga bukan penghalang buat dirinya yang juga mengasuh anak jiran dan rumahnya sentiasa ada anak-anak kecil. Ia sentiasa meriah dengan gelak tawa dan keletah mereka.


Kata orang, kehadiran anak kecil mungkin susah untuk menjadikan rumah sentiasa kemas tetapi Intan tidak berfikir begitu. Dia melatih dan mendisiplinkan mereka.

"Untuk melatih mereka, saya sediakan tong sampah supaya mereka tahu tempat membuang sampah.

Tuala tangan juga disediakan untuk mengelap tangan selepas mereka makan bagi mengelakkan mereka mengelap tangan sesuka hati selain sentiasa menyediakan kertas tisu. Lama kelamaan, mereka sendiri tahu mendisiplinkan diri," katanya.

Mempunyai anak lelaki bukan masalah bagi Intan kerana mereka juga membantu mengemas rumah.

"Alhamdulillah anak lelaki saya juga membantu mengemas rumah walaupun mengikut cara mereka sendiri. Selebihnya, saya perbetulkan agar nampak lebih kemas contohnya mengemas bilik dan katil mereka," katanya.

Mempunyai banyak barang perhiasan bukan sesuatu yang mudah. Ia mudah berhabuk dan tampak tidak elok. Intan memang akan luangkan masa dengan membasuh semula pinggan mangkuk perhiasannya, menjemur sehingga kering dan kemudian menyusun semula.

"Selalunya kerja membersihkan barang saya lakukan pada hari Sabtu atau Ahad sebab saya lapang pada hujung minggu," kata Intan.

Walaupun meminati sesuatu konsep yang mahu diterapkan ke dalam hiasan rumah, baginya amat penting memahami dan menerima hakikat kita jangan sesekali terlebih gaya.

Apabila rumah cantik, jangan sangka ia berhenti setakat itu. Rumah yang cantik berseri tetap memerlukan perkara susulan bagi mengekalkan keadaannya iaitu penjagaan dan cuciannya apatah lagi jika ia membabitkan pelbagai hiasan dalaman.

Ada orang yang meminati gaya moden, minimalis, Inggeris, Bali, Jepun dan pelbagai lagi. Tidak kurang yang suka menggabungkan dua tiga konsep sekali gus. Kini ramai juga yang meminati produk kayu jati dan menerapkan hiasan perabot jati pada keseluruhan rumahnya.

"Walaupun saya menggemari gaya Inggeris tetapi saya kontra hiasan rumah saya dengan warna yang menyeimbangkannya seperti putih," katanya.

Putih warna pilihan Intan yang membuatkan rumah tampak luas dan bergaya. Dinding putih itu juga menaikkan warna hiasan dan tatarias Inggeris yang diterapkannya.

Dia juga tidak mahu memenuhkan segala ruang dengan tatarias Inggeris kerana dia sedar hiasan penuh berbunga-bunga akan menyempitkan rumah atau menampakkan ia lebih sempit.

Ini supaya ruang lalu lalang tidak menyukarkan keluarganya bergerak apatah lagi Intan suri rumah sepenuh masa yang juga menjaga anak-anak kecil jirannya.

Kerana tetap mahu menghias tanpa terlalu memenuhkan ruang tamu, Intan mempergunakan ruang sudutnya. Sudutnya sama ada diletakkan para atau bingkai memanjang. Pada para disusun set cawan gaya Inggeris, bingkai memanjang
pula dihias piring klasik bercorak bunga kangkung.

Konsep hiasan Inggeris Intan ternyata tidak serabut kerana suai padan yang diaturnya dengan hiasan lain. Alas meja utama dan meja sudut juga berwarna polos putih. Jadi apabila pinggan mangkuk ala Inggeris yang berbunga digunakan, barulah ia menyerlahkan apa yang diletak di atas meja.

Paling utama, mata jadi sejuk memandang kerana dinding rumahnya yang dicat putih bersih itu. Setelah mendapat apa yang dihajati, Intan turut memastikan rumahnya sentiasa disapu setiap hari, sebaik bangun pagi.

"Kabinet dan rak yang ada di dalam rumah pun dilap sekali-sekala. Kalau tengok lantai nampak kusam, saya akan mop," katanya.

Bahagian yang selalu dititikberatkan Intan ialah dapur dan ruang tamu. Begitu juga bilik air dan suaminya juga sering ringan tulang membantunya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved