Selasa, 15 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Simpati dengan mangsa tsunami

Posted: 14 Jan 2013 03:08 PM PST

Tragedi menyayat hati apabila ombak 'pembunuh' tsunami mengorbankan ratusan ribu nyawa di beberapa negara Asia pastinya masih terpahat segar di ingatan. Bencana pada 26 Disember 2004 itu yang datang tanpa diduga dan tiada amaran bukan saja meragut nyawa, malah mengakibatkan antara kemusnahan paling buruk dalam sejarah dunia.

Kini, selepas lapan tahun, barulah ia diangkat ke filem menerusi karya Juan Antonio Bayona, The Impossible yang meraih satu-satunya pencalonan di The Oscars 2013 dalam kategori Aktres Terbaik daripada lakonan Naomi Watts.

Diangkat daripada kisah benar bagaimana lima sekeluarga terselamat dalam bencana itu di pulau peranginan, Phuket, Thailand, pastinya bukan mudah untuk meresap jauh ke empunya diri yang menempuh detik cemas itu. Namun, menyebut nama Naomi Watts, siapa yang boleh mempertikaikan kredibiliti cemerlang aktres berusia 40 tahun setiap kali membawakan wataknya.

Memegang watak Maria, ibu kepada Lucas (Tom Holland), Thomas (Samuel Joslin) dan Simon (Oaklee Pendergast), ketegangan itu pastinya lebih dirasainya memandangkan dia sendiri juga bergelar seorang ibu. Apalagi berdepan dengan bencana paling ditakuti itu seorang diri selepas terpisah dengan ahli keluarganya, sesuatu yang sangat sukar.


Berpeluang berjumpa sendiri dengan keluarga sebenar Maria, Naomi berkata, dia sangat berbesar-hati apabila mendengar sendiri bagaimana tabahnya setiap mereka menempuh tragedi itu. Bagaimanapun, dia mengakui sangat gementar sebelum berjumpa mereka terutamanya Maria.


"Apabila sudah bertentang mata dengan Maria sendiri, saya tidak tahu bagaimana harus saya mulakan perbualan. Saya hanya seorang pelakon dan Maria, dialah yang menghadapi sendiri tragedi itu. Selepas hanya lima minit duduk dan saya hanya mampu berdiam, dia kemudian memulakan ceritanya.

"Sebaik dia bercerita, barulah saya mula rasa selesa dan menyelami setiap kisahnya dengan teliti sehingga tiga setengah jam lamanya. Selepas perjumpaan itu, kami sentiasa berhubung menerusi emel untuk menyatakan secara terperinci lagi mengenai kejadian itu.

"Cukup mengagumkan, dia banyak bercerita mengenai naluri serta kebolehannya untuk sentiasa percaya kepada dirinya yang mana kemampuan sebegitu susah untuk dikekalkan. Semakin saya mendalami dan tertanya lebih lagi mengenai apa yang dia lalui, saya merasakan cerita ini semakin menarik dan istimewa," katanya.

The Impossible mengisahkan kegembiraan satu keluarga Sepanyol diragut sewaktu ingin meraikan Krismas di Phuket. Berdasarkan kisah sebenar, filem ini merungkai bagaimana mereka tidak berputus-asa menjejak ahli keluarga lain selepas masing-masing terpisah dihanyutkan ombak ganas itu.

Amat menyentuh hati, sarat dengan permainan emosi, peminat juga pastinya dapat melihat sendiri lakonan mantap Naomi yang mengakui dapat merasai sendiri penderitaan Maria manakala watak suaminya, Henry Bennett pula dilakonkan Ewan McGregor.

Bergelar ibu kepada Sasha, 5, dan Sammy, 4, dan isteri kepada aktor terkenal, Liev Schreiber, menurutnya, pengalaman menjayakan penggambaran yang serba mendebarkan itu sedikit memberinya gambaran bagaimana situasi dilalui setiap mangsa bencana berkenaan.

"Setiap perincian yang saya dapat membantu saya untuk berimaginasi mengenai kejadian itu. Setiap babak yang dilakukan memberikan kami pengalaman walaupun jika dibandingkan dengan peristiwa sebenar, tidaklah sehebat itu.

"Paling mengagumkan saya, apabila dalam pada berusaha menyelamatkan dirinya sendiri, Maria tetap menguatkan nalurinya untuk percaya ahli keluarganya yang lain masih hidup. Dia sangat yakin dengan dirinya walaupun terpaksa membuat keputusan terbesar dalam hidupnya, sesuatu yang tidak pernah saya fikir saya sendiri boleh lakukannya.

"Walaupun sudah banyak kali melakonkan watak ibu dan sekarang pun saya seorang ibu, saya sendiri sering risau meskipun hal-hal kecil menimpa anak saya. Namun, membawakan watak berkenaan, saya berusaha menyuntik karakter lebih berat seperti yang diceritakan Maria," kata aktres yang bakal mendukung watak Puteri Diana menerusi kisah biografi mendiang itu menerusi filem Diana nanti.

Hampir lemas ketika 'shooting'

Terkenal dengan profil cemerlang membawakan watak berat dalam pelbagai filem termasuklah 21 Grams, King Kong dan Mulholland Drive, Naomi sekali lagi membuktikan kebolehannya dalam filem ini. Ternyata bukan seorang yang gentar menyahut cabaran, mengakui takut dengan air, Naomi bagaimanapun menolak semua itu hingga hampir berhadapan kematian.

Naomi berkata, ketakutannya terhadap air tercetus apabila dia pernah menempuh detik hampir lemas ketika berenang di perairan Australia beberapa tahun lalu.

"Kejadian itu berulang lagi ketika menjalani penggambaran untuk satu babak dalam The Impossible apabila berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan saya hampir lemas.

"Untuk babak itu saya diikat pada satu kerusi dan sewaktu berendam dalam air, tiba-tiba kerusi itu berpusing-pusing serta menarik saya ke dalam air. Memang mencemaskan ketika itu kerana saya hampir-hampir tidak dapat keluar dan kehabisan nafas manakala kru pula tidak jumpa suis untuk memadamkannya," katanya.

Menyifatkan cabaran utamanya adalah daripada segi fizikal, Naomi berkata, paling disukainya ialah babak dia bermain dengan emosi.

"Sewaktu mendengar idea mengenai tsunami ini difilemkan, saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ia sesuatu kejadian yang menjadi bualan ramai dan bagaimana pula penerimaannya nanti.

"Ia menceritakan mengenai kerosakan harta benda, kematian dan tidak terkecuali, gangguan psikologi," katanya.

Filem ini mula ditayangkan di Malaysia pada 17 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14

Cinta jarak jauh Hafiz

Posted: 14 Jan 2013 05:45 AM PST

Menjangkau usia 29 tahun, Hafiz Hamidun memasang impian bergelar suami dan dia sudah pun bertemu wanita idamannya. Namun jarak memisahkan mereka kerana wanita yang dikenali dengan nama Nabila itu menetap di kota suci Makkah bersama keluarganya.

Dua insan itu bertemu di Makkah ketika Hafiz mengerjakan umrah pada Mac lalu. Pertemuan antara mereka tidak disengajakan kerana ia bermula daripada perbincangan perniagaan antara Hafiz dengan bapa Nabila. Keluarga Nabila berasal dari Bandung, Indonesia tetapi sudah lama menetap di Makkah.

Daripada situlah perkenalan bermula dan kali pertama bersua, terdetik di hati Hafiz inilah wanita yang sesuai menjadi penemannya.

"Harap dapat disegerakan perkara (berkahwin) yang baik itu. Saya akan mengerjakan umrah pada Mac ini dan berharap dapat bertemu dengan Nabila dan keluarganya. Nabila masih belajar dan hanya akan menamatkan pengajian lebih kurang dua tahun lagi.


"Hubungan jarak jauh pasti ada dugaannya tetapi saya yakin kalau ada jodoh tidak akan ke mana. Pun begitu saya tidak mahu menjanjikan apa-apa, jika sudah termeterai segala perjanjian antara kami, barulah akan saya maklumkan kepada semua. Harapan saya juga kami dapat diijab kabulkan di hadapan kaabah yang suci itu," katanya.


Hafiz ditemui pada sidang media mengumumkan Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang akan diadakan buat kali kedua di Stadium Bandaraya Johor Bahru pada 23 Februari ini, jam 8.30 malam.

Konsert Zikir Terapi yang julung kali diadakan di Dewan Perdana Felda, pada 14 November lalu mendapat sambutan yang cukup baik. Lebih 2,000 penonton datang menyaksikannya.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, dia mendapat permintaan daripada peminatnya di JB supaya mengadakan konsert yang sama di sana. Peminat di Singapura juga khabarnya sanggup turun ke JB untuk menyaksikan persembahannya.

Tanpa penajaan pada Konsert Zikir Terapi yang pertama, Hafiz menerusi syarikatnya Arteffects International sanggup membiayai sendiri kos kerana mahu membudayakan zikir.

"Sebelum berlangsungnya konsert itu, album Zikir Terapi berjaya dijual sebanyak 80,000 unit dan selepas konsert itu, album itu berjaya dijual 40,000 unit lagi dan menjadikan semuanya berjumlah 120,000, album paling laris jualannya pada 2012.

"Saya ikhlas mengeluarkan kos penganjuran konsert ini dan untuk konsert kedua ini ada beberapa syarikat yang mengatakan hasrat mereka untuk menaja tetapi semuanya masih dalam perbincangan kerana saya mahu pelaburan mereka mendapat pulangan setimpal.

"Persiapan untuk konsert kedua ini lebih rapi dengan kehadiran pasukan pemuzik yang diketuai Faizal Uzir, penampilan Zainal Ariffin Ismail selaku narator, kemunculan istimewa Imam Muda Asyraf dan ramai artis terkenal lain yang akan saya umumkan nanti," katanya yang turut menghasilkan VCD Karaoke Zikir Terapi.

Impian terbesar Hafiz untuk mengadakan Konsert Zikir Terapi di Istana Budaya (IB).

"Membuat persembahan di IB adalah impian setiap anak seni. Saya mahu menjemput pengarah muzik handalan mengiringi persembahan saya dan artis undangan terdiri daripada mereka yang bernama besar. Saya mahu mencetuskan fenomena baru dalam dunia muzik Islam.

"Setiap manusia perlu mengingati Allah SWT pada setiap masa, tidak kira dia siapa dan di mana berada. Jadikan zikir amalan harian dan saya mahu orang pandang betapa indahnya kalimah suci Allah SWT itu. Andai kata ia berjaya 'masuk' ke IB, ia kejayaan terbesar saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved