Sabtu, 19 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


GDA27 cermin sebenar k-pop

Posted: 18 Jan 2013 11:04 AM PST

Berdiri atas 'aura' tersendiri, penyanyi tampan, G-Dragon atau GD jelas menarik tumpuan dunia biarpun pada masa sama masih lagi menganggotai kumpulan K-Pop sensasi, BigBang.

Di mana-mana saja, namanya pantas meniti bibir peminat bahkan turut jadi buruan lensa media dan paparazzi.

Jejaka berusia 24 tahun ini bukan saja hadir dengan pakej lengkap, kacak dan berbakat, malah di bidang 'moda' atau fe­syen Korea juga, dia juga paling di atas.

Segala elemen itu bersatu dan tidak hairan, GD kini artis paling dikagumi selain Psy.


Tidak ketinggalan memeriahkan anugerah berprestij, Golden Disk Awards ke-27 (GDA27) yang melabuhkan tirai di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, malam Rabu lalu, sejak awal lagi kelibat penyanyi lagu Crayon ini memang dinantikan.


Khusus buat peminat BigBang sendiri, semestinya kehadiran GD mengubat kedukaan lantaran anggota lain kumpulan yang sedang hangat dengan lagu Fantastic Baby itu tidak bersamanya kali ini.

Terpalit dengan beberapa kontroversi sepanjang tahun lalu, nyata bukan alasan buat peminat untuk tidak menyukai 'fashionista' Korea itu. Kecemerlangan sisi kariernya lebih dominan dan hasil kerja-kerasnya berkecimpung dalam bidang seni sejak 2001 jelas dihargai.

Ini terbukti pada malam kedua GDA27 apabila dia membawa pulang trofi anugerah CeCi Popularity dan GDA Song Division selain berkongsi kemenangan BigBang menerusi kategori MSN International serta GDA Song Division.

Namun bukan sekadar itu, ketara sekali rata-rata penonton yang membanjiri tapak acara berkenaan memang menantikan kemunculannya. Malah sejurus melangkah keluar daripada kereta mewah di perkarangan lokasi karpet merah, jeritan kuat peminat lantas menyusul mengiringi lang­kahnya.

Tidak terkecuali, menjadi penutup tirai persembahan malam itu, mendendangkan lagu popularnya One of a kind, Light it up, Heartbreaker selain Crayon, sekali gus menggamatkan suasana apalagi keletahnya dan aksinya yang 'berapi'!

Bukan puji melambung tetapi kehebatan penyanyi yang sudah memenangi pelbagai anugerah ini memang mengasyikkan. Hampir semua yang menonton nyata dibuai dan bernyanyi sama GD merancakkan lagi kehangatan acara itu.

Hadir kali kedua di Malaysia, sempat berkongsi betapa bertuahnya baik dia mahupun BigBang sendiri mempunyai kelompok peminat yang sangat mengagumkan, GD berharap sokongan sedemikian akan terus berlanjutan.

"Terima kasih tidak terhingga atas pengiktirafan ini. Namun bagi saya anda (peminat) yang sebenarnya menjadi tulang-belakang kami selama ini.

"Menerima empat anugerah kesemuanya malam ini cukup menggembirakan dan kemenangan ini pastinya akan menjadi pembakar semangat buat kami," katanya.

Malam kedua itu menyaksikan beberapa lagi persembahan hebat menyusul sejurus malam pertama berlabuh dengan gemilangnya. Larut dengan persembahan bertenaga dengan koreografi tarian hebat turut mencuri tumpuan adalah pe­nyanyi baru, LeeHi.

Bertubuh genit dan jelita, LeeHi memukau penonton dengan vokal hebatnya menerusi lagu 1,2,3,4 dan 'cover version' Mamado (Pixie Lott). Jika persembahan lain banyak menggunakan suara 'auto-tone', keseksian vokal yang cukup jelas penyanyi berusia 17 tahun itu cukup mengagumkan.

Turut menggegarkan pentas yang menampilkan Dasom (Sistar) dan Lee Hong Ki (FT Island) sebagai hos, T-ara membuka tirai dengan lagu Sexy Love, Lovey-Dovey dan Roly Polym, disusuli miss A (Touch/I Don't Need A Man), B.A.P (Power/Warrior), AiLee (Umbrella/I Will Show U), Sistar (Alone/Loving You), Heo Gak (Person I Used To Love/One Person), f(x) (Jet/Electric Shock) dan Teen Top (To You/Crazy).

Tidak ketinggalan persembahan khas daripada K. Will dan HyoLyn (Sistar), Secret dan B.A.P, Miss A dan T-ara seterusnya Epik High (Get Out The Way/Love Love Love), K. Will (Please Don't Do/I Need You) serta Secret (Talk That/Poison/Love Is Move).

Seperti dijangkakan, anugerah utama, Song of the Year atau Lagu Terbaik dimenangi penyanyi fenomena masa ini, Psy menerusi Gangnam Style yang juga artis naungan YG Entertainment. Bukan sesuatu yang mengejutkan apatah lagi lagu berkenaan berjaya melakar kejayaan luar biasa di seluruh dunia.

Meskipun tidak hadir, sebuah video ucapannya sempat ditayangkan dan ternyata kesibukan menjadi punca penyanyi itu gagal bersama yang lain di GDA27.

"Saya amat gembira dengan kejayaan luar biasa yang dicetuskan lagu serta video Gangnam Style di seluruh dunia. Namun sedih sekali saya tidak dapat menghadiri GDA kali ini dan beraksi untuk anda," katanya yang juga memenangi kategori Song Division.

Apa yang pasti, syarikat rakaman berkenaan melakar kejayaan cemerlang sele­pas memenangi lapan anugerah daripada sembilan kategori dipertandingkan pada malam pengiktirafan kategori lagu itu.

Malam sebelumnya, Super Junior (SuJu) meneruskan dominasi selepas membolot tiga anugerah termasuk Album Terbaik atau Album of the Year.

Selain GD, BigBang dan Psy, Epik High membawa pulang anugerah Best Hip Hop Star manakala Lee Hi memenangi kategori New Rising K-Pop Star.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19

AKW lebih segar

Posted: 18 Jan 2013 10:49 AM PST

Mengekalkan Zam­­zarina Zambri sebagai pengacaranya, musim kelima program bual bicara, Apa Kata Wanita (AKW) tampil dengan konsep dan pengisian yang lebih menarik dan segar, sempena musim barunya tahun ini.

AKW Bersama Zamzarina juga memperkenalkan beberapa segmen baru tanpa menjejaskan segmen utamanya ia­itu membincangkan satu topik berkisar isu wanita dan keluarga pada setiap minggu.

Dua segmen baru yang diperkenalkan ialah berkonsep realiti kesihatan iaitu Fat To Fit (F2F) dan Tangkas memaparkan demonstrasi teknik bela diri yang dijangka mampu meraih perhatian menonton.

Zamzarina yang juga pengacara dan penerbit kandungan program itu berkata, dirinya sudah sebati sepanjang lima musim menjadi pengacaranya.


"Terus terang, program ini begitu dekat dengan diri saya sekali gus mewakili golongan wanita di luar sana. Setakat ini, ia juga mendapat 'rating' yang bagus sepanjang lima musim bersiaran di saluran RTM.


"Dari segi kandungan segmen untuk musim ini, ia memang dihasilkan dari idea sendiri menerusi kajian dan pemerhatian sekeliling membabitkan isu semasa membabitkan golongan wanita yang dilaporkan di media cetak mahupun elektronik," katanya.

Ditanya sampai bila dia akan terbabit dalam program itu, kata Zamzarina, dia hanya menyerahkan perkara itu pada pihak atasan RTM.

"Sebenarnya, saya hanya bekerja secara sambilan dengan RTM sekarang. Justeru, saya tidak tahu berapa lama lagi akan terbabit sebagai pengacara dan penerbit kandungan AKW. Mungkin selagi diri diperlukan dalam program ini.

"Pada masa sama, saya juga sudah berjinak-jinak dalam perniagaan dan bakal melancarkan produk kecantikan sendiri, Zarra yang berasaskan produk tempatan tahun ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai segmen baru, Fat To Fit, kata Zamzarina, ia membabitkan enam peserta dengan berat badan berlebihan yang akan melalui latihan kecergasan dan pemakanan sihat selama tiga hingga empat bulan sehingga mencapai berat badan ideal. Ia membabitkan khidmat pakar fisiologi senaman dan pemakanan bertaraf antarabangsa, Dee Dee Mahmood.

"Objektif program ini untuk menerapkan budaya sihat dalam kalangan masyarakat dan mendapat­kan panduan yang betul untuk menurunkan berat badan. Berbanding program kesihatan lain ialah ia tidak ada penyingkiran peserta.

"Segmen Tangkas pula memaparkan demonstrasi teknik bela diri khusus untuk wanita bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah atau perkara tidak diingini.

"Setiap minggu, satu tek­nik bela diri wanita akan diperkenalkan secara teori, demonstrasi teknik dan lakonan situasi sebenar yang membolehkan penonton mempraktikkan teknik berkenaan. Ia mendapat kerjasama CPP Training & Services Sdn Bhd (CPPTS)," katanya.

Selain menyentuh isu semasa, AKW masih mengekalkan segmen Kerja@ Rumah dan perbincangan topik utama berkaitan isu-isu semasa bersama panel jemputan dan tokoh-tokoh wanita cemerlang dalam bidang diceburi untuk berkongsi inspirasi kejayaan dengan penonton.

Zamzarina berkata demikian ketika ditemui di maj­lis pelancaran musim baru AKW Bersama Zamzarina yang berlangsung di Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Penga­rah Bahagian Program TV RTM, Suhaimi Jamalim dan Penerbit dan Pengarah Siaran AKW, Nik Ramzi Nik Hassan.

Sementara itu, Suhaimi berkata, pihaknya yakin segmen baru yang diperkenalkan dalam AKW akan memantapkan lagi program berkenaan pada musim baru ini.

"Banyak perubahan yang dilakukan dalam AKW sejak bersiaran pada 2009 sehinggalah sekarang. Justeru, pujian harus diberikan kepada penerbit, pengacara dan semua kru terbabit.

"Pada pandangan saya, dua segmen baru ini iaitu F2F dan Tangkas juga memiliki kekuatan tersendiri untuk kebaikan golongan wanita di luar sana termasuk seluruh anggota masyarakat," katanya

Apa Kata Wanita bersiaran setiap Sab­tu jam 11 pagi di saluran TV1.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/19
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved