Isnin, 21 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Haziq 'luar biasa'

Posted: 20 Jan 2013 04:24 AM PST

Gandingan aktor popular Aaron Aziz dan pendatang baru meningkat naik, Siti Saleha dalam drama bersiri popular Nora Elena yang bersiaran di TV3 sebelum ini masih diingati peminat hingga hari ini. Justeru, pastinya, ramai yang tidak sabar melihat gandingan mantap Aaron, 36, dan Saleha, 23, buat julung kalinya di layar perak pula menerusi filem genre misteri, thriller dan aksi berjudul Kerat 14.

Filem garapan pengarah muda berbakat besar, Arjin Uppal terbitan White Merpati Entertainment ini akan mula menjengah pawagam seluruh negara bermula 14 Februari ini.

Bagi aktor yang pernah mengungguli trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH) ini, watak Haziq dalam filem Kerat 14 antara karakter yang mencabar kredibilitinya sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan sejak 13 tahun lalu.

"Saya tertarik untuk berlakon dalam filem ini kerana jalan ceritanya yang unik dan ada kelainan. Bagi saya, watak Haziq 'luar biasa' kerana tidak semua orang melaluinya. Bayangkan Haziq membunuh tanpa niat dan dia terpaksa mengerat mayat itu untuk mengelakkan dari dikesan polis.

Foto

Aaron Aziz dan Siti Saleha berganding di layar perak menerusi filem genre misteri, thriller dan aksi berjudul Kerat 14.


"Saya juga membuat kajian mendalam untuk menjiwai watak Haziq dengan menonton filem Hollywood berkaitan seperti Red Dragon, Silence Of The Lambs, Hannibal dan sebagainya lagi.


"Saya perlu konsisten dalam menjiwai watak Haziq kerana ia naik dan turun sehinggalah dia dijatuhkan hukuman di mahkamah supaya orang tidak bosan," katanya.

Pada sesi fotografi diatur RAP, Aaron digandingkan dengan Siti Saleha untuk mempromosikan filem Kerat 14 sekali gus pencalonan mereka dalam ABPBH 2012 di Balai Berita, baru-baru ini.

Jika Aaron tercalon dalam dua kategori utama iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon TV Lelaki Popular dan lima lagi kategori online, Saleha pula tercalon dalam satu kategori utama iaitu Artis Baru Wanita Popular.

Selain cukup serasi bergandingan dengan heroinnya Siti Saleha, pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz mengakui dia tidak ada masalah bekerja di bawah pengarah muda seperti Arjin dalam filem berkenaan.

"Saya sudah anggap Saleha seperti 'adik' sendiri dan selesa bergandingan dengannya. Arjin juga pengarah muda yang berbakat, 'soft spoken' dan ada cara pengarahan tersendiri. Walaupun dia banyak 'play safe', Arjin tahu apa dimahukannya sekali gus memberikan yang terbaik untuk filem ini. Dari segi harapan, sudah pasti saya mengharapkan ia akan mencecah kutipan pecah panggung nanti," katanya.

Aaron kecewa sering difitnah

Bukan sekali dua dirinya difitnah, tapi acap kali seperti didakwa berpura-pura sakit, promosi diri sendiri dan sombong yang sedikit sebanyak menjejaskan nama baiknya dalam bidang seni tempatan. Namun, Aaron reda dengan ujian itu kerana menganggapnya sebagai sebahagian asam garam dalam dunia seni.

"Saya percaya gosip itu disebarkan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menjatuhkan saya dalam bidang seni. Saya harap pihak terbabit menghentikan cerita tidak betul itu kerana ia tidak sihat dalam industri seni," katanya.

Pada masa sa­ma, kata Aaron, dia juga lebih berhati-hati ketika menjayakan sesuatu penggambaran terutama di kawasan kotor yang boleh menjejaskan tahap kesihatannya, ketika ini.

"Saya pernah jatuh sakit ketika menjayakan satu penggambaran tidak lama dulu. Ketika itu, saya terbabit dengan babak di tempat kotor dan berpasir di lokasi penggambaran hingga mendapat demam panas yang teruk.

"Kali kedua jatuh sakit ialah apabila mendapat pneumonia tahap awal ketika penggambaran Fear Factor Selebriti Malaysia di Capetown, Afrika Selatan. Saya mendapat demam panas hingga dimasukkan ke hospital kerana cuaca yang panas di sana. Justeru, saya berasa sangat kecewa apabila ada orang buat gosip saya pura-pura jatuh sakit pula di sana.

"Kini, isteri menasihatkan saya lebih berhati-hati ketika berada di lokasi penggambaran terutama jika di kawasan yang kotor bagi menjaga kesihatan. Maklumlah, saya sudah berkahwin dan menyara keluarga dalam bidang lakonan," katanya.

Saleha cabar diri dalam Kerat 14

Pelakon muda berdarah kacukan Melayu-Belanda-Inggeris yang juga pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharum mengakui dia menerima tawaran beraksi dalam filem Kerat 14 kerana ingin mengembangkan sayapnya di layar perak.

"Saya tertarik dengan jalan cerita filem ini yang unik dan pada masa sama ingin bekerjasama dengan nama-nama besar iaitu Aaron dan Zamarul Hisyam. Kejayaan sesebuah filem juga membabitkan hasil kerja secara berpasukan dari pengarah, barisan pelakon dan kru terbabit dalam merealisasikan filem ini," katanya.

Saleha sangat berharap peminat akan menerima gandingannya dengan Aaron dalam filem Kerat 14 itu.

"Kali pertama melihat Aaron, saya melihatnya seperti seorang 'ayah' kerana perwatakannya memang terserlah sebagai lelaki yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak. Tapi bila sudah bergandingan dengannya, dengan cepat dia menukar dirinya mengikut karakter dikehendaki dalam skrip.

"Saya tidak ada masalah bekerja dengan Aaron kerana ia gandingan keempat kami. Sebelum ini kami bersama dalam drama iaitu Habil Qabil di TV3, Nora Elena dan Kekasih Awal dan Akhir. Terus terang, saya tidak tumpang populariti Aaron atau sesiapapun kerana saya masuk dalam bidang seni bersandarkan bakat dipertaruhkan," katanya.

Menyentuh watak sebagai Nur Zara dalam filem itu, kata Saleha, ia agak mencabar dirinya sebagai pelakon.

"Saya perlu melalui tiga peringkat dalam cerita ini iaitu dari naif, termasuk dalam keadaan tidak boleh keluar (buntu) dan ketiga bermain dengan emosi dalaman. Paling mencabar ialah ketika menjayakan babak bermain dengan emosi di mana Nur Zara berada dalam keadaan terdesak bila melihat mayat yang dikerat dalam rumah," katanya.

Filem ini dimantapkan lagi dengan penampilan Zamarul Hisyam, Fouziah Gous, Aurora Salwa, Arash Mohd dan Afiq Zulhelmi.

Selain Kerat 14, Saleha turut mempertaruhkan enam lagi filem lakonannya tahun ini iaitu Pak Pong , KL Zombie, Bravo 5, Pencinta dan Mamak Cupcake yang semuanya membabitkan penggambaran tahun lalu. Drama terbaru lakonannya ialah Asmara Luna arahan (Jinggo) untuk Slot Lestary, TV3.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Zakiah hadiah lagu buat suami

Posted: 20 Jan 2013 03:57 AM PST

Lagu Mencintaimu yang dipopularkan Krisdayanti dialunkannya dengan penuh perasaan. Bagi Zakiah Anas, hanya seorang lelaki bertakhta teguh di hatinya dan orang itu tidak lain daripada Raja Shahrul Azmi Raja Sahar.

Nyata Zakiah yang suatu ketika pernah merakamkan lagu masih mampu menyanyi dengan hebat dan mendapat tepukan gemuruh barisan tetamu.

Begitulah suasana meriah dan santai yang terlihat di majlis persandingan Zakiah dan Raja Shahrul di D'Saji Felda, Jalan Semarak, malam kelmarin.

Apa yang menarik, pertemuan mereka kira-kira 21 tahun lalu ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam akhirnya menyatukan semula dua hati mereka.


Bagaimanapun, Zakiah yang ketika itu menuntut dalam bidang Komunikasi Massa manakala Raja Shahrul pula dalam bidang Pelancongan & Pengurusan Hotel terputus hubungan apabila Raja Shahrul melanjutkan pengajian ke Jepun.


Takdir menentukan bahawa Zakiah yang sudah berpisah dengan bekas suaminya, Mohamed Yusof Mohamed Taib, bertemu semula dengan Raja Shahrul, setahun lalu yang ketika itu juga bergelar seorang duda.

"Saya tidak sangka akan berkahwin buat kali kedua tetapi tiada siapa mampu menolak jodoh yang ditetapkan Allah SWT. Kami akan jadikan kesilapan pada perkahwinan pertama dulu sebagai teladan untuk menyusuri kehidupan berumah tangga baru ini.

"Saya akan cuba memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri begitu juga dengan Raja Shahrul. Kami akan saling melengkapi demi kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga ini serta mengharapkan berkekalan hingga akhir hayat," kata Zakiah,
Pasangan itu bernikah di Masjid Kota Damansara pada 12 Disember lalu.

Zakiah dan Raja Shahrul tampak anggun dan segak dengan persalinan serba krim. Konsep perkahwinan dalam taman itu juga keseluruhannya menggunakan warna cerah sebagai lambang cinta suci dua jiwa.

Persediaan majlis itu diserahkan kepada kepakaran perancang perkahwinan Eiry Elegant Element Bridal dan solekan Zakiah oleh Lova Cinta dari Indonesia.

Pada usia 46 tahun, wajah jelita Zakiah masih mampu menyerlahkan seri pengantin baru dan ternyata dia sedang melalui detik yang membahagiakan.

Difahamkan, Bali dan Eropah bakal menjadi destinasi romantik bulan madu mereka namun tarikhnya belum ditetapkan lagi.

Pada hari persandingan itu, dua anak lelaki Zakiah, Aiman Muzammil, 18, dan Amir Muzhaffar, 14, yang kini dijaga bekas suaminya tidak hadir kerana ada urusan lain. Anak perempuan mereka, Ashfeeya Myazarra, 6, kini di bawah jagaan Zakiah.

Raja Shahrul yang berusia 42 tahun pula memiliki empat anak hasil perkahwinan pertamanya iaitu Raja Khairy Iskandar, 15; Raja Harris Adam, 12, Raja Haider, 12, dan Raja Kaiser, 7.

Turut hadir pada majlis berkenaan ramai rakan setugas di TV3 seperti Datin Norazlina Redzuan, Azizah Ariffin dan Aziah Jasmin yang datang bersama suami masing-masing. Turut hadir bekas personaliti TV3, Ras Adiba Radzi.Ras Adiba Radzi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved