Isnin, 21 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kawal rentak kehidupan

Posted: 21 Jan 2013 05:57 AM PST

Gelagat lima selebriti tempatan selaku duta kempen Kuasa Ke Atas Kanser Serviks (POCC) anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melakukan peragaan di pentas disediakan cukup menghiburkan.

Bertempat di depan butik Kitschen pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, keletah gila-gila Rina Omar, Genevieve Sambhi, Sarimah Ibrahim, Vanessa Chong dan Pamela Chong menarik perhatian tetamu jemputan dan orang awam di situ.

Walaupun bukan bergelar model profesional, ternyata lenggok gaya mereka tidak mengecewakan. Turut sama menunjukkan bakat di pentas peragaan ialah penulis blog POCC, Shelby Kho.

Menggayakan pakaian daripada jenama butik berkenaan, suasana bertambah meriah apabila mereka turut mengadakan sesi teka-teki harga pakaian dan aksesori yang diperagakan pada hari berkenaan kepada umum.

Foto

REKAAN beg hasil tangan Adibah diharap dapat menyampaikan mesej berguna.

Foto

ADIBAH gembira mereka beg yang membantu memberi kesedaran mengenai kanser serviks.


Apa lagi, banyaklah tangan yang diangkat untuk meneka bagi membolehkan mereka memenangi hadiah menarik disediakan iaitu baucar membeli-belah di Kitschen.


Acara pada petang Khamis lalu itu sebenarnya sempena majlis penutup kempen berkenaan yang mula diadakan pada tahun lalu de­ngan pelbagai aktiviti menarik yang sudah berlangsung dengan jayanya.

Bertemakan BFFs Break The Silence, kempen itu untuk menggalakkan orang ramai berkongsi dan me­nyebarkan seberapa banyak maklumat mengenai kanser serviks dengan teman baik (BFF) bagi mengambil langkah awal pencegahan pe­nyakit berkenaan.

Hasil inisiatif NCSM itu turut disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) dan Kitschen sendiri demi kesihatan ma­syarakat.

Bagi menyemarakkan tema kempen ini, aktiviti memandu go-kart turut diadakan pada Jun lalu yang memberi mesej, selepas anda berjaya mengawal pemanduan, anda sebenarnya berjaya merasai kuasa untuk melakukan kawalan.

Ia memberi maksud, diri kita sendiri bertanggungjawab mengawal rentak kehidupan sama ada ia membawa kebaikan mahupun sebaliknya.

Semasa perlumbaan go-kart berlangsung, pengunjung yang tidak terbabit de­ngan perlumbaan berpeluang menyertai aktiviti lain di trek termasuk kereta lumba kawalan jauh serta merakam video atau gambar mereka dengan BFF, sebagai tanda sokongan untuk melindungi.

Berbicara mengenai fe­syen, golongan wanita secepat kilat membuka mulut berkongsi apa saja yang mereka ada dan tahu mengenai perkembangan bidang itu dengan rakan.

Namun apabila disuruh bercerita mengenai masalah kesihatan meliputi pelbagai jenis penyakit sama ada yang banyak dihidapi oleh lelaki mahupun wanita, bagaikan liat telinga mahu mendengar.

Kadang-kadang, melihat pada gerak tubuh saja sudah tahu mereka mende­ngar kerana terpaksa atau sukarela atas sebab kesedaran diri sendiri demi kebaikan bersama.

Mungkin bagi mereka, isu kesihatan ini membosankan atau tidak penting selagi diri sendiri belum menghidap sebarang penyakit berbahaya.

Ketua Pegawai Perubatan di Pusat Pemeriksaan Kanser Wanita NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kanser serviks ialah kanser ketiga paling kerap menyerang wanita di Malaysia manakala di seluruh dunia, ia kanser kedua tertinggi dihidapi wanita.

"Di rantau Asia Pasifik, dalam tempoh setiap dua minit, ia boleh meragut empat nyawa wanita. Seharusnya statistik ini sudah cukup menyedarkan orang ramai mengenai bahaya kanser pangkal rahim.

"Atas sebab itu juga, kesedaran mengenai penyakit berbahaya ini khususnya dalam kalangan wanita sering menjadi keutamaan banyak pihak NGO seperti NCSM sendiri dan kerajaan.

"Kanser serviks boleh dihidapi wanita apabila mereka dijangkiti virus Human papilloma (HPV) yang berlaku sewaktu melakukan hubungan kelamin, merokok atau faktor lain seperti sistem imunisasi (pertahanan badan) yang rendah dan genetik.

"Justeru menerusi kempen seperti ini, kami tekankan kepada semua yang mempunyai rakan baik supaya berkongsi cerita se­sama mereka dan jangan sesekali malu, begitu juga berkongsi cerita dengan ahli keluarga seperti emak, kakak mahupun adik perempuan," katanya.

Jika mahukan penerangan lebih lanjut, mereka juga boleh mendapatkan bantuan di NCSM, NGO berkaitan dan doktor pakar bertauliah.

Menurut Dr Dalilah, memandangkan statistik yang dicatat membimbangkan, menjadi satu kelalaian untuk kita tidak mengetahui perihal kanser serviks kerana ia boleh dicegah sebelum dijangkiti.

Sejak 2009, kempen POCC sudah menyokong, memperkasa dan menggalakkan wanita untuk berbincang dengan pakar perubatan bagi mendapatkan perlindungan daripada penyakit ini menerusi pelalian vaksin atau ujian pap smear.

"Kami juga mengunju­ngi beberapa sekolah untuk menyampaikan mesej dan kesedaran agar mereka tahu mengenainya lebih awal. Kempen pendidikan dan kesedaran seperti ini boleh memberikan pengetahuan serta maklumat mengenainya.

"Anda ialah penyokong terbaik terhadap diri sendiri, perlu bertanggungjawab demi kesihatan dan membuat keputusan untuk melindungi diri sendiri daripada kanser serviks," katanya yang ditemani Pengarah Unit Perniagaan, Vaksin dan Urusan Kerajaan GSK, Henri Antaki serta Pengurus Pemasaran Kitschen, Ai Lee Tan.

Pada majlis sama, pemenang Pertandingan Design A-Bag yang diadakan sempena kempen berkenaan turut diumumkan. Gelaran juara menjadi milik Adiba Abd Rahman, 23, dan beg hasil rekaannya juga dipertontonkan buat pertama kali pada hari itu.

Berwarna merah jambu dan dipenuhi perkataan ringkas tetapi mempunyai maksud mendalam, Adiba turut dipilih berdasarkan pemahamannya mengenai kanser serviks.

"Saya menghasilkan rekaan beg bukan tenunan ini berdasarkan pemahaman yang saya miliki mengenai kanser serviks selain mahu orang lain memahaminya berdasarkan apa yang tertulis.

"Selepas melakukan bacaan dan mengikuti beberapa kerja amal, saya sedar mengenai bahaya penyakit ini yang mungkin boleh membuatkan saya, ahli keluarga, rakan serta anda dijangkiti," jelasnya.

Beg istimewa edisi terhad itu boleh didapati di semua butik Kitschen pada harga RM2 dengan sebarang pembelian, sementara stok masih ada.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21

Tok Kenali dalam novel

Posted: 21 Jan 2013 05:39 AM PST

Kesukaran menulis buku mengenai seseorang walaupun ahli keluarga sendiri memang amat sukar. Pernah ahli keluarga mencadangkan supaya menulis buku me­ngenai perjalanan hidup ibu penulis sendiri dan spontan memikirkannya sebagai perkara mudah. Betapa penulis amat salah dalam hal ini.

Di peringkat awal kala membuat penyelidikan mengenai perjalanan hidupnya, penulis berasa amat tertekan dengan kesusahan yang dilaluinya. Pada usia 14 tahun, ibunya meninggal dunia dan meninggalkannya untuk bertanggungjawab kepada lima adik yang masih kecil. Cabaran hidupnya sentiasa sukar dan menyedihkan, perang pula melanda. Lalu penulis mengambil keputusan tidak meneruskannya kerana tekanan emosi yang mengganggu.

Nor Hayati Mohd Redzwan, 35, berasal dari Jalan Tok Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan melakukan sesuatu untuk moyangnya. Anak kepada Che Lijah Yusof dan Mohd Redzwan Ahmad ini pasti membanggakan seluruh keluarganya dengan menulis buku mengenai Tok Kenali dengan nama pena Hayati Ridhwani.

Siapakah Tok Kenali? Tok Kenali ialah tokoh terbilang agama Islam yang berkait rapat dengan negeri Kelantan. Bukan saja anak Kelantan yang mengenali namanya, malah boleh dikatakan seluruh negara biasa mendengar nama ini.


Walaupun asalnya Nor Hayati gusar juga menulis mengenai Tok Kenali, semangat kental insan istimewa itu sudah menjadi inspirasinya.


Wanita tinggi lampai ini ialah generasi keempat Tok Kenali, datuknya yang bernama Haji Ahmad adalah anak pertama Tok Kenali.

"Sebenarnya, berkali-kali saya memikirkan sama ada saya layak untuk melakukannya. Menulis buku mengenai seseorang memang suatu yang sukar dan ia bukanlah mudah hanya kerana orang itu moyang sendiri," katanya.

Kebimbangan Nor Hayati antaranya kerana cucu cicit Tok Kenali berada di merata negeri, termasuk di tanah suci Makkah. Dia bimbang tersalah fakta dan melukakan hati pihak terdekat.

Semangat Nor Hayati kembali bangkit setelah dia memikirkan sedalam-dalamnya. Kisah Tok Kenali ditulis ramai orang, daripada bidang akademik di universiti, dijadikan tulisan jurnal dan artikel, sehingga buku nipis bagi bacaan orang awam. Jadi mengapa tidak dia, cicit Tok Kenali sendiri.

Tekad diambil dan dengan dorongan suami, Nor Hayati pun memulakan penulisannya. Dia menggunakan cara tersendiri yang digarap dalam bentuk novel tetapi berfakta kerana ia berkait rapat dengan sejarah.

Dia juga mengakui penulisannya beberapa kali terhenti kerana dia seakan mengimbau jauh pada situasi yang terjadi di zaman itu, di zaman Tok Kenali masih bernafas dan menjalani kehidupannya.

"Saya kerap merenung jauh ke masa silam, membayangkan situasi sebenar waktu itu. Saya bagaikan berada bersamanya dan me­nyaksikan sendiri kehidupannya di depan mata.

"Keluarga saya sebenar­nya agak terkejut dan bagai tidak percaya apa yang saya lakukan itu. Maklumlah sebelum ini saya tidak pernah menunjukkan minat mahu menulis atau mampu menulis. Siapa sangka saya kini bergelar seorang penulis baru," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini.

Setelah segalanya terbukti dan novel Tok Kenali berada dalam genggaman, ahli keluarga Nor Hayati turut teruja dan bangga. Keluarga besar Tok Kenali terus mahu memilikinya begitu juga mereka yang berada di Makkah. Pihak Nor Hayati segera menghantarnya melalui pos.

Nor Hayati, anak kedua daripada lapan beradik tidak memandang enteng kerja penyelidikan dan bersungguh-sungguh melakukannya.

"Ia novel sejarah, jadi fakta harus tepat serta dikumpul mengikut kronologi masa dan tempat. Saya mencari semua buku yang berkaitan dan membaca semua artikel di peringkat universiti bagi mendapatkan maklumat tepat. Selain itu, saya menemuramah bapa saya serta cucu Tok Kenali yang berdekatan iaitu ibu dan bapa saudara.

"Syukur kerana saya juga tinggal berdekatan Kampung Kenali, tempat tinggal moyang saya sendiri. Justeru, latar belakang cerita dapat dibayangkan dengan melihat sendiri tapak rumah dan kawasan berkaitan termasuk tempat dikebumikan," katanya.

Kisah biografi perlu dibuat berhati-hati. Nor Hayati mengumpul maklumat dan fakta dari sumber yang boleh dipercayai saja.

"Setiap buku dan artikel berkaitan ditulis dari sudut kajian masing-masing. Ada yang difokuskan dari sudut latar belakang kekeluargaan, perkembangan akademik dan sumbangannya, malah ada yang hanya menceritakan kisah luar biasa Tok Kenali sebagai wali.

"Novel Tok Kenali garapan saya tidak banyak menceritakan kisah luar biasa ini atas faktor tidak mahu mencampurkan fakta dan cerita yang tidak pasti kesahihannya," katanya yang juga mempu­nyai kerjaya sampingan sebagai pensyarah sambilan, penterjemah dan penyelidik.

Nor Hayati yang baru bergelar isteri setahun lalu, mempersembahkan perjalanan hidup Tok Kenali dalam bentuk novel yang menggunakan prinsip 70 peratus hingga 80 peratus fakta, manakala selebihnya imaginasi penulis.

"Sebagai contoh keadaan cuaca ketika itu dan beberapa watak tambahan bagi menghidupkan cerita. Kisah hidup Tok Kenali banyak memberi saya pengajaran dan renungan. Paling terkesan di hati mengenai kisahnya berkelana di Makkah dalam keadaan yang serba payah demi mencari ilmu.

"Bekalan wang yang sa­ngat sedikit dan pakaian pula sehelai sepinggang. Semangatnya kuat mencari rezeki yang halal dengan bergantung kepada Allah sepenuh hati. Doalah yang menjadi senjata beliau sepanjang menempuh ujian di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved