Sabtu, 16 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Malam ekspresi Ella & Caroline

Posted:

Liriknya puitis, melodinya sempurna. Setiap satu bait tulisannya diterjemah de­ngan kemas, lebih-lebih lagi dilontar vokal memukau.

Itulah istimewanya lagu Melawan Arus Cintamu, karya indah sentuhan komposer terkenal, Ajai yang dicipta khas buat juara program Mentor musim keenam, Puteri Caroline Mohd Kamel.

Realitinya, kini ia perlahan-lahan mendaki tangga carta stesen radio tempatan dan mula mendapat perhatian pendengar. Meskipun hampir setahun lamanya untuk menembusi selera peminat, Caroline optimis dan tidak sama sekali kecewa.

"Biar lambat asalkan ia tetap ada dan tidak hanyut begitu saja. Saya akui lagu sulung ini agak lambat untuk menjadi pilihan peminat sejak pentas akhir Mentor, namun saya bersyukur apabila ia kini mula diberi perhatian.


"Mendengar Melawan Arus Cintamu kerap berkumandang dan ada saja peminat yang meminta ia diputarkan, itu sudah cukup memberikan saya senyuman dan semangat untuk terus berusaha membina nama sebagai penyanyi.


"Insya-Allah jika diberi ruang dan rezeki, saya ingin sekali lagu ini berada di kedudukan yang sepatutnya kerana Ajai menciptanya dengan sempurna dan indah sekali," katanya yang bijak menyusun bicara.

Gadis berusia 20 tahun kelahiran Tanah Merah, Kelantan adalah protege kepada ratu rock, Ella yang diangkat menjadi juara Mentor atas kelebihan luar biasa vokalnya.

Bertemu dengannya yang ditemani Ella malam kelmarin membuka satu perspektif berbeza. Caroline jauh lebih matang dan 'berani' meluah rasa. Apa saja ditanya, jawapan diberi lancar dan bernas.

Usik Ella yang menyifatkan protegenya istimewa dan hebat, itulah perkembangan positif Caroline selepas hampir setahun bertapak sebagai penyanyi.

"Saya bersyukur kerana Caroline cepat menyesuaikan diri dalam industri seni dan tidak henti belajar mengukuhkan bakat yang ada.

Jujurnya, itulah yang saya inginkan sejak dulu yang mana biar Caroline berdikari mencari peluangnya sendiri dan tidak terus bersandar pada nama saya.

"Alhamdulillah rezekinya mudah dan apa yang direncana untuknya semua berjalan lancar. Lihat saja hari ini, Melawan Arus Cintamu sudah menjadi hit dan namanya kembali bermain di bibir peminat.

Maklumlah, bintang realitinya sepertinya perlu bijak mencari jalan untuk terus relevan.

"Seperti apa yang pernah kami percaya sebelum ini, lagu sulungnya itu akan membawa bakat dan kelainan vokal Caroline ke satu fasa lebih baik," kata Ella sesekali mengusik Caroline yang pemalu dan lebih selesa ketawa melihat gelagatnya.

Tambah Caroline yang dipersetujui Ella, inilah masa paling sesuai untuknya kembali mencuri peluang tampil ke depan mempromosikan produknya.

"Saya menjadikan Ella idola dan setiap inci perancangan kerjayanya adalah inspirasi buat saya yang mana tidak sekali meletak soal peribadi di depan sebaliknya hanya fokus pada kerjaya.

"Kiranya, jika tiada produk atau soal kerjaya yang ingin dikongsikan, saya tidak mahu 'menjual' kisah peribadi pula. Kebetulan Melawan Arus Cintamu kembali popular dan kini hit dimainkan di radio, saya teruja untuk bercerita dengan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya.

"Apa yang tinggal kini, impian saya untuk merakamkan lagu bersama Ella satu hari nanti selain sibuk merencana promosi jelajah bertemu peminat bagi terus menghangatkan lagi fenomena lagu balada saya ini," katanya yang kini sibuk mengumpul material bersama Ella untuk pembikinan album sulungnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16

Kejutan istimewa malam ini

Posted:

Dua tahun lalu, Dataran Merdeka pernah digegarkan dengan persembahan Ella sempena Konsert Terima Kasih 20 Tahun Harian Metro.

Mengangkat objektif dan konsep yang sama, penyanyi terkenal yang sinonim dengan vokal tiada tandingan ini sekali lagi dijadualkan mencipta sejarahnya sendiri malam ini di lokasi yang sama.

Bezanya, Ella tidak lagi keseorangan sebaliknya Dataran Merdeka akan menyaksikan persembahan Ella dengan anak didiknya, Caroline bagi memeriahkan lagi Konsert Ekspresi Harian Metro, jam 9 malam ini.

Kiranya, impian Caroline untuk berduet bersama mentornya berjaya direalisasikan, malah ia akan dipersembahkan dalam suasana yang cukup istimewa.


"Sejak awal lagi, akhbar Harian Metro tidak henti menyokong kerjaya nyanyian saya.


Pastinya apabila diundang seperti ini, ia mustahil untuk ditolak kerana ia satu platform untuk mendekati peminat, sekali gus menghargai pembaca setia akhbar nombor satu negara ini.

"Saya masih baru dan sudah tentu peluang beraksi di pentas besar bersama Ella adalah ruang terbaik dalam kerjaya nyanyian. Saya tidak sabar dan menjanjikan sebuah persembahan istimewa buat peminat semua," katanya.

Konsert Ekspresi Harian Metro dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan malam ini turut dimeriahkan kehadiran ramai bintang terkenal lain termasuk Ramli Sarip, Azlan The Typewriter, Black, Najwa Latif, kumpulan Sleeq, Alyah, Soo Wincci dan band dari Indonesia, Zivilia.

Tambah Ella, selain bakal berduet dengan Caroline menerusi lagu Melawan Arus Cintamu, peminat yang datang malam ini akan turut dihiburkan dengan dua lagi lagunya, Rama-Rama dan Kesal.

"Sesuatu yang cukup menarik malam ini adalah pertemuan penyanyi dan penghibur terkenal dari tiga negara, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Sudah tentu Dataran Merdeka akan bergegar dengan lautan peminat.

"Bayangkan papa rock Ramli Sarip ada, kumpulan hip hop dengan bintang muda Najwa pun ada, per­sembahan istimewa Azlan dan Black yang baru saja menang pada Anugerah Juara Lagu 27 akan sama memeriahkan konsert malam ini. Saya sudah dapat bayangkan kemeriahannya.

"Saya sendiri tidak sabar untuk menghiburkan peminat malam ini dan menjanjikan sebuah kejutan istimewa buat mereka juga pembaca setia Harian Metro," katanya.

Pastikan anda tidak terlepas untuk sama-sama datang menyaksikan Konsert Ekspresi Harian Metro jam 9 malam ini yang diacarakan Nabil dan Along Raja Lawak.

Konsert percuma ini akan turut diserikan dengan kehadiran pelakon jelita, Anzalna dan mungkin kejutan akan berlaku yang mana aktor Aaron Aziz akan tampil menyanyi bersama Sleeq menerusi lagu Salam Semua.

Seawal jam 10 pagi Dataran Merdeka sudah hangat dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk konsert mini pada jam 2 petang menampilkan empat kumpulan indie juga protege Faizal Tahir, Anas Ridzuan.

Datang beramai-ramai untuk menjadi sebahagian daripada sejarah tersendiri bersama akhbar nombor satu Malaysia, Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved