Jumaat, 22 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sumber inspirasi anak muda

Posted:

Hari ini, genaplah 21 tahun Penghibur 1Malaysia milik masyarakat Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, kembali ke rahmatullah.

Begitu pantas sekali masa berlalu namun yang jelas, legasi Sudirman menerusi lagu-lagunya tetap mekar dalam persada seni di Malaysia.

Tidak kira dalam babak percintaan, kekeluargaan, patriotik mahupun sambutan hari raya, lagu-lagu dendangan Sudirman atau Sudir begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana ia mampu membangkitkan pelbagai perasaan.

Siapa yang boleh menafikan kehebatan lagu seperti Hujan, Merisik Khabar, Pelangi Petang, Nilai Cintamu, Salam Terakhir, Balik Kampung, Chow Kit Road! Chow Kit Road!, Anak Dagang, Basikal Tua, Ayah Dan Ibu, Warisan, Anak Gembala serta dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf.


Semuanya ada nilai sentimental tersendiri hingga belum ada artis angkatan baru mampu memecahkan rekod jumlah album dan lagu yang dirakamkan ketika hayat dulu.


Mengimbas semula latar belakang dan sejarah hidup Sudirman sendiri sudah cukup mengilhamkan sebuah filem cereka atau autobiografi yang hebat. Namun sehingga kini belum ada pengarah yang berani menghasilkan karya seperti itu.

Apa yang nyata, sikap dan perjuangan insan bertubuh hanya setinggi 1.47 meter itu sudah cukup menggambarkan betapa istimewanya bakat beliau. Dia nyata seorang penghibur berilmu.

Peluang menyertai dan seterusnya menjadi Juara Bintang RTM 1976 menjadi titik tolak yang mengubah terus sejarah hidup Sudirman buat selama-lamanya. Tanpa Internet, YouTube dan laman sosial pada zaman beliau pun, Sudirman masih mampu menawan hati jutaan peminat di Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Lebih penting, mereka yang menggemari Sudirman bukan saja masyarakat Melayu, sebaliknya semua bangsa kagum dengan kebolehan beliau menyampaikan lagu pelbagai bahasa yang sering dinyanyikan termasuk Inggeris, Cina dan Tamil dalam pelbagai genre.

Di pentas, Sudirman sentiasa kreatif melahirkan pelbagai gimik. Antara 'trademark' beliau adalah menyanyi sambil melakar wajah tetamunya. Malah lakaran kartun Sudirman pernah menghiasi sebuah majalah hiburan suatu ketika dulu.

Secara ringkas, dalam bahasa lain seperti Cina dan India pada persembahannya. Malah, beliau juga tak kekok mengajak peminat beraksi bersamanya di pentas.

Seorang penghibur yang ramah dan suka merendah diri, Sudirman mencatat kenangan paling bermakna sebagai Penghibur Terbaik Asia dalam Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Siapa sangka bintang dia berjaya menewaskan penghibur hebat lain dari Hong Kong, Singapura, Filipina, Indonesia dan China.

Anak bongsu daripada lima beradik, bakat seni Sudirman mula tergambar sejak kecil apabila kerap menyertai koir, bersyair, berpidato, berpantun dan teater sekolahnya iaitu Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan).

Pun begitu, dia rajin belajar dan kepintarannya dalam bidang pelajaran akhirnya membawa beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian ke Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) pada 1976 dan pada 1980, beliau menerima segulung ijazah.

Pada 1983, Sudirman pernah menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai peguam setahun kemudian. Namun dia mengambil keputusan meninggalkan bidang guaman kerana minat yang terlalu mendalam kepada bidang seni.

Apapun, pilihan dibuat Sudirman yang memilih seni sebagai kariernya adalah tepat dan berbaloi kerana kemunculannya terus diterima peminat dengan pantas.

Selepas mencipta nama, Sudirman tidak lupa untuk terus menghargai peminat yang menjadi tulang belakang terhadap kejayaannya itu lalu muncul dalam konsert terbuka di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 1986. Ia ditonton ratusan ribu warga kota dan kekal sebagai satu sejarah manis buat Chow Kit Road sendiri.

Bagi memperkatakan mengenai kehebatan Sudirman, RAP hari ini menampilkan beberapa wajah popular di Malaysia ketika itu dari pelbagai kaum.

Jaclyn Victor

"Biarpun saya tidak pernah bertemu Datuk Sudirman, namun sebagai anak seni, saya amat kagum dengan bakat dan pencapaian yang diraihnya itu. Bagi saya, Sudirman seorang penghibur yang sangat 'versatile'.

"Melihat persembahan beliau, ia sangat menghiburkan dan selalu berbeza-beza. Dia mampu menyanyikan lagu Inggeris dengan baik dan bertenaga," kata Jaclyn atau Jac.

Menurut pemenag Malaysian Idol ini lagi, kalaulah Sudirman masih hidup dan pasti antara artis yang tidak akan melepaskan peluang untuk menjalin kerjasama untuk album termasuk berduet.

"Saya sangat meminati lagu Terasing. Melodi, lirik dan vokal Sudirman dalam lagu itu sungguh hebat. Saya pernah menyanyikan lagu itu dalam persembahan.

"Apapun, Sudirman kini hanya dalam kenangan saya. Sebagai salah seorang peminatnya, saya akan terus meminjam semangat beliau. Semoga beliau tenang di sana," katanya.

Aizat Amdan

"Arwah Datuk Sudirman cukup memberikan inspirasi kepada saya untuk menjadi artis yang beridentiti dan gigih. Semangat kental Sudirman dalam perjuangan seninya wajar kita contohi. Bukan semua orang dianugerahkan bakat sehebat beliau.

"Saya juga sangat kagum dengan 'pendekatan rakyat' yang dilakukannya dalam konsert percuma dan Jalan Chow Kit. Konsert itu terus menjadi sebutan hingga sekarang.

"Tak dinafikan, saya juga pernah menyimpan impian untuk menjayakan konsert besar seperti itu satu hari nanti. Pun begitu, ia bukan mudah dan perlukan aura serta pencapaian yang hebat," kata Aizat.

Meminati lagu Mat Disko dan One Thousand Million Smiles, Aizat berkata, Sudirman sememangnya insan seni berkaliber dan berjasa kepada Malaysia kerana kelompok peminatnya meliputi pelbagai kaum.

"Lihatlah, hingga kini, lagu-lagu Sudirman masih lagi bertahan dan mendapat tempat di hati peminat sekali pun beliau sudah lama meninggal dunia," katanya.

Shila Amzah

"Allahyarham Datuk Sudirman pada saya sememangnya seorang anak seni Malaysia yang terlalu jujur dalam karyanya. Paling membuatkan saya kagum, beliau mampu memberikan 'soul' atau jiwa dalam lagu yang disampaikannya. Begitu juga dalam setiap persembahannya yang berjaya membuatkan penonton terhibur.

"Beliau juga sanggup menggayakan apa saja kostum, bersesuaian dengan lagunya kerana bidang seni tidak dilihatnya sebagai menyanyi semata-mata tetapi bidang yang sangat kreatif.

"Selain itu, saya sangat menghormati Sudirman kerana beliau seorang anak seni yang mengutamakan ilmu. Melihat pelajaran penting bagi seseorang artis, beliau berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan undang-undang di universiti," katanya.

Menurut penyanyi lagu Patah Seribu yang berjaya merangkul gelaran juara Asian Wave 2012 di Shanghai ini, dia juga sedang mengikut jejak langkah Sudirman untuk menawan hati peminat bukan Melayu.

Ini dilihat pada undangan menjayakan persembahan sempena Tahun Baru Cina 2013 baru-baru ini, apabila dia mendapat peluang untuk menghiburkan masyarakat Cina dengan pelbagai lagu yang menarik.

Mengakui dirinya masih jauh jika hendak dibandingkan dengan Sudirman, anak sulung dalam keluarga ini berkata apapun, dia bersyukur kerana artis pada zaman maju lebih bertuah kerana semua maklumat mudah diperoleh hanya di hujung jari.

Jimmy Palikat

"Saya sangat menyanjung tinggi bakat seni yang dimiliki oleh Datuk Sudirman. Beliau memang seorang lagenda seni yang hebat, berbakat dan sukar dicari ganti.

"Pun begitu, sayangnya beliau meninggal dunia pada usia muda, 37 tahun. Kematiannya satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air.

"Saya kagum dengan Sudirman kerana beliau juga berjiwa besar dan berjaya seperti mana P Ramlee. Ia nyata dibuktikan menerusi lagu-lagunya yang begitu dekat dengan masyarakat dan secara tidak langsung terus mengekalkan kehebatan muzik Melayu itu di hati peminat.

"Apapun, saya yakin kalau tiada anak seni seperti P Ramlee dan Sudirman, muzik tempatan kita boleh lenyap begitu saja kerana kebanyakan penyanyi baru sekarang ini lebih suka terikut-ikut dengan muzik Barat.

"Muzik kita sangat halus. Jadi, menerusi lagu-lagu rakyat didendangkan Sudirman seperti Balik Kampung dan Apa Khabar Orang Kampung, ia pastinya cukup sebati dengan jiwa masyarakat tempatan," katanya.

Menurut Jimmy, mengambil dorongan semangat dan inspirasi Sudirman yang banyak menghasilkan lagu rakyat, jadi dia akhirnya muncul dengan lagu Anak Kampung yang nyata menjadi siulan ramai.

Hafiz Suip

"Tak dinafikan, Arwah Datuk Sudirman salah seorang idola saya. Saya cukup kagum dengan Sudirman kerana semangat dia yang begitu gigih, jujur dan ikhlas dalam perjuangannya.

"Memiliki bakat besar yang tiada bandingan, Sudirman seorang tokoh seni yang memiliki keperibadian diri yang begitu disenangi ramai.

"Apa yang saya dengar mengenai Sudirman, dia seorang yang bijak membawa diri sebagai artis, tidak sombong dan juga suka merendah diri. Saya juga selalu berusaha mengikut jejak langkah Sudirman yang disenangi banyak pihak itu," katanya.

Menurut Juara Akademi Fantasia 7 (AF7) dan penyanyi Awan Nano ini lagi, Sudirman juga memilih haluan untuk menjadi artis bukan hanya kerana mahu menghiburkan masyarakat semata-mata tetapi bersandarkan kepada hiburan yang berilmu.

Hafiz berkata, sebagai legenda seni, tiada mana-mana artis dapat meniru cara dan gaya Sudirman.

Anak jati Sarawak ini cukup meminati lagu Warisan dan menyifatkan lagu-lagu Sudirman mempunyai mesej tersendiri.

Pada hari ini juga, satu majlis tahlil untuk arwah Sudirman akan diadakan oleh rakan karibnya yang juga penulis lirik terkenal, Habsah Hassan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, mulai jam 3.30 petang. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.

Al-Fatihah.

PROFIL:

Nama: Datuk Sudirman Haji Arshad
Tarikh lahir: 25 Mei 1954
Tarikh meninggal dunia: 22 Februari 1992
Asal: Temerloh, Pahang
Kerjaya: Penyanyi, peguam, pelakon, penulis, pelukis dan ahli perniagaan

Perkahwinan: Berkahwin pada 14 Februari 1981 dengan Kamariah Jamaluddin, bercerai selepas tiga tahun kemudian

Pencapaian Seni: Juara Bintang RTM (1976), Penghibur Terbaik RTM (1977), Penghibur TV Terbaik (Anugerah Seri Angkasa, 1978), Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia (1986), Konsert Gergasi Chow Kit Road (1986), Persembahan Terbaik menerusi lagu Merisik Khabar (Anugerah Juara Lagu 1987), Penyanyi Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular 1989) dan Penghibur Nombor 1 Asia Asian Popular Music Awards (1989)

Anugerah Kebesaran: Pingat Ahli Mahkota Pahang (1992), Darjah Indera Mahkota Pahang (membawa gelaran Datuk, 2009)

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

'Rating' paling tinggi

Posted:

Program realiti Mimpi Ke Bintang terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) mencatat rating penonton paling tinggi dalam kategori program realiti di RTM setakat ini 700,000 penonton.

Selaku penganjur, pencapaian ini cukup membanggakan RTM dan JKKN kerana peningkatan jumlah rating itu tidak diukur melalui nilai komersial semata-mata.

Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata, penonton mula mengerti
tanggungjawab sosial penganjur dalam mencungkil pelbagai jenis bakat seni dalam kalangan masyarakat yang mungkin boleh dikomersialkan dan memberi nilai ekonomi.

"JKKN dan RTM sebagai penganjur program ini sebenarnya tidak menjangka langsung ia menjadi program yang hebat dan diminati ramai. Namun, kami percaya dengan keunikan konsep yang diketengahkan membuatkan penonton meminati rancangan ini.

"Jika kebanyakan program realiti membabitkan nyanyian dan lakonan dengan pembabitan wajah komersial, sebaliknya dalam Mimpi Ke Bintang peserta yang bertanding terdiri daripada rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai kemahiran dalam bidang hiburan," katanya dalam sidang media di Program Strategik di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pe–ngarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail.

Norliza berkata, program ini diwujudkan RTM dan JKKN bagi melaksanakan saranan kerajaan supaya kedua-dua agensi bertanggungjawab ini bergabung mengadakan kerjasama strategik dalam penerbitan televisyen khususnya dalam bidang seni dan kebudayaan.

Katanya, selepas perbincangan, empat program dengan formula baru diperkenalkan iaitu Sri Pantun, Lantai Cilik, My Ekspresi dan Mimpi Ke Bintang yang dijelmakan menerusi satu aktiviti lapangan iaitu Karnival Bakat My Gempak.

Menurutnya, JKKN dan RTM sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanah air dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu untuk dikongsi bersama.

Semua program berkenaan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM124,000 untuk Mimpi Ke Bintang, Lantai Cilik (RM75,000) dan My Ekspressi sebanyak RM79,000.

Sementara itu, Norhyati berkata, RTM dan JKKN bersetuju dengan formula dan format pencarian bakat dan program realiti dalam menarik minat generasi muda.

"Apabila bercakap mengenai program realiti, kos penerbitannya menelan belanja yang besar, namun kami menyahut cabaran ini demi satu pembaharuan," katanya.

Mengimbas pengisian Karnival Bakat My Gempak yang dilaksanakan sepanjang Oktober hingga Disember lalu, ia dilaksanakan secara agresif dengan skala lebih besar membabitkan empat program TV menerusi Mimpi ke Bintang, Sri Pantun, My Ekspressi dan Lantai Cilik yang sudah pun memasuki peringkat akhir.

Program pertandingan nyanyian dilihat sudah menjadi biasa dan banyak pertandingan seumpama itu diadakan, namun bakat seni seperti seni tari, seni mereka dan mengolah karya tari, seni berbahasa (sri pantun) dan seni persembahan seperti lawak jenaka spontan atau luar biasa jarang diketengahkan atau hampir tiada.

Sehubungan itu, program seperti Lantai Cilik adalah program TV pertama di Malaysia yang mengetengahkan pertandingan mencari juara tarian tradisional dan kontemporari dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved