Rabu, 6 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Shae cari Hafiz

Posted:

Entah berapa kali stesen radio tempatan ketika ini asyik memutarkan lagunya, Sayang. Sekali dengar saja, melodi lagu nyanyian Shae itu terus melekat dalam ingatan.

Ternyata lagu dan vokal 'simple' penyanyi kacukan Riau-Australia itu cukup popular dewasa ini membuatkan nama Shae atau Shirley Gething terus menjadi sebutan.

Sekalipun usia Shae baru mencecah 18 tahun, namun kematangannya dalam berbicara begitu terserlah, malah dia sudah mampu menyusun hala tuju karier seni untuk jaminan masa depan.

Berkesempatan menemu bual penyanyi itu di Shah Village, Petaling Jaya, baru-baru ini, nyata satu pengalaman menyeronokkan.


Ajukan apa saja soalan, baik muzik, sukan, hobi, gosip mahupun 'pacar' idaman, Shae pasti ada jawapan logik membalas semula dengan rasa yakin!


Kedatangan kali kedua Shae ke Malaysia, baru-baru ini bagi mempromosikan lagu Sayang yang menjadi siulan ramai. Malah sejak video muzik Sayang dimuat naik ke dalam YouTube Disember lalu, angka peminat menontonnya sudah mencapai 1.6 juta 'hits'.

Kata Shae, dia tidak sangka lagu bertema cinta remaja dinyanyikan dengan santai itu begitu disukai ramai dalam tempoh singkat.

"Saya rasa sungguh bahagia mendengar lagu Sayang popular di sini (Malaysia). Sebenarnya single Sayang adalah salah satu lagu dalam album sulung saya yang berjudul The First.

"Apapun, album ini mengambil masa lebih setahun pembikinannya sebelum berjaya dilancarkan hasil kerjasama saya bersama produser muzik selaku pencipta lagu, Posan Tobing, ketika saya berusia 16 tahun.

"Disebabkan jadual persekolahan saya yang padat, saya hanya dapat melancarkan album The First edaran Warner Music di Jakarta dan Kuala Lumpur pada Disember lalu.

"Album 10 lagu diterbitkan Posan turut menyenaraikan satu lagi lagu 'catchy' bertajuk Kok Telfon Telfon Sih," katanya.

Di sebalik perbualan santai petang itu, Shae sempat memberitahu, kedatangannya kali kedua ke Malaysia masih belum lengkap. Kenapa?

"Ooh kerana Hafiz (penyanyi Awan Nano). Kedatangan saya ke Malaysia tahun lalu hanya tiga hari, jadi memanglah tidak sempat bertemu Hafiz. Kali kedua ini saya datang selama lapan hari, juga masih belum dapat bertemu Hafiz kerana saya difahamkan jadualnya sangat padat. Dia (Hafiz) antara penyanyi Malaysia saya minati untuk berduet," kata Shae.

Antara beberapa idola nyanyiannya yang lain adalah Avril Lavigne, Britney Spears serta dua penyanyi sensasi Indonesia, Agnes Monica dan Lucky.

Pada usia 14 tahun, Shae berhasrat menjadi penyanyi wanita bersama kumpulan sendiri. Dia bertemu Posan dua tahun kemudian untuk meminta pandangan dan hasrat menjadi penyanyi berkumpulan.

"Selepas mendapat nasihat Posan, saya merakam lagu sebagai artis solo dan beliau menghantarnya ke Warner Music Indonesia.

"Bagaimanapun, pelancaran album itu tertangguh selama lebih setahun atas nasihat syarikat rakaman disebabkan industri muzik Indonesia kurang rancak.

"Jadi, kami mengalih perhatian kepada pengurusan artis membuat persembahan berbanding menjual CD dalam pasaran dan sekarang saya gembira kerana lagu Sayang sudah mula mendapat tempat di Indonesia dan Malaysia," katanya.

Diaju soalan apakah perancangan masa depan dalam bidang seni, Shae yang sudah belajar bermain piano sejak usia sembilan tahun berkata: "Saya mahu menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan fesyen. Saya meminati perkembangan fesyen semasa antarabangsa, cenderung kepada idea baru berkaitan warna dan rekaan terbaru."

Katanya, buat masa ini, dia ada mencipta beberapa lagu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia untuk lagu simpanan pada masa depan.

Tegas buat keputusan

Shae berkata, sikap terbuka dirinya banyak dipengaruhi ibu bapanya yang memberi kebebasan tetapi tegas dalam keputusan dibuat.

"Peribadi saya 'simple' saja dan suka ketawa. Saya suka ketegasan membuat keputusan dan orang tua tidak menghalang pilihan dibuat.

"Apapun, saya sentiasa bersemuka dan berbincang secara terbuka dengan mereka kerana cara itu memberikan kefahaman lebih baik.

"Selain itu, kematangan diri boleh didapati dengan melihat tempat lain. Kebetulan saya suka melihat keindahan dan geografi di tempat lain kerana sejak kecil, orang tua saya sering membawa saya mengembara menaiki kereta api di sekitar Jakarta.

"Sukan juga antara kegemaran saya mencergaskan fizikal dengan bermain badminton. Ibu pula sangat meminati MotoGP kerana beliau suka kepada pelumba Itali dengan angka 46, Valentino Rossi. Ayah kelahiran Brisbane, Australia, memang tidak pernah melepaskan peluang melihat aksi pelumba Australia, Mark Webber beraksi di litar lumba F1.

Ditanya pula mengenai hubungannya dengan seorang penyampai radio popular Malaysia, Shae berkata, mereka hanya teman biasa.

"Untuk pacar, saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat, jenis itu, jenis ini. Biarlah orangnya jujur, setia pada teman, sedikit gila-gila tetapi saya hanya akan memberi komitmen berkahwin pada usia 28 tahun. Yang penting, ada 'connection' antara kami," katanya sambil ketawa dengan gelaran 'orang putih kampungan' diberikan kepadanya di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05

Bukan kerana tiket tak laris

Posted:

"Alhamdulillah, setakat ini 80 peratus tiket sudah habis dijual," kata Anuar Zain menolak spekulasi bahawa pertukaran lokasi Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta Dan Sanubari dari Stadium Nasional Bukit Jalil ke Stadium Malawati, Shah Alam disebabkan kelembapan penjualan tiket.

Anuar ketika ditemui pada sidang media di Shah Alam, Isnin lalu menjelaskan, pertukaran lokasi konsert yang akan berlangsung pada 16 Februari ini tidak ada kena-mengena dengan isu yang dibangkitkan sebaliknya ia terpaksa dilakukan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Masalah teknikal yang berlaku adalah di luar kawalan kami. Kalau
ikutkan, kami sudah menempah Stadium Putra Bukit Jalil sejak tiga bulan lalu. Bagaimanapun, pihak kami dimaklumkan, sehari selepas Konsert Tiga Dekad Muzik Cinta dan Sanubari di Stadium Putra, sebuah majlis akan diadakan.

"Justeru, pertukaran ini dilakukan kerana pihak kami sendiri tidak mahu mengambil sebarang risiko, sekali gus memberi laluan pada acara berkenaan," katanya.

Dengan senyuman yang sentiasa terukir, Anuar melanjutkan perbualannya dengan berkata, biarpun keputusan dibuat pada saat akhir, namun ia bukan sesuatu yang harus dikesalkan, sebaliknya tersirat pelbagai hikmah.

"Selepas melihat sendiri keadaan Stadium Malawati, saya sifatkan perpindahan ini sesuatu yang bagus kerana kapasiti dan reka bentuknya akan menjadikan konsert ini lebih intim serta tempat duduk lebih dekat dengan pentas. Dekat dengan peminat, memang itu yang saya inginkan dalam konsert ini.

"Malah, banyak kelebihan kami peroleh daripada pengurusan Stadium Malawati di mana tempat letak kereta, bil air dan elektrik tidak dikenakan sebarang bayaran. Ruang tempat letak kereta juga luas," katanya.

Katanya, bagi peminat yang sudah membeli tiket, mereka tidak perlu bimbang kerana kedudukan tempat pun sudah diatur sebaik mungkin.

"Kepada peminat yang sudah mendapatkan tiket, mereka akan dihubungi pihak TicketCharge pada 6 hingga 8 Februari ini untuk urusan penukaran tempat duduk.

"Bagi yang belum mendapatkan tiket, boleh membelinya di Stadium Malawati kerana banyak kaunter akan dibuka, tidak perlu berebut-rebut, bersenang-senang saja, sekali gus memudahkan peminat," katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, perjalanan untuk merealisasikan konsert berkenaan bukannya mudah kerana dia diuji dengan pelbagai dugaan, namun sedikitpun tidak melunturkan semangatnya kerana yakin ia akan berjaya.

"Sebelum berdepan dengan isu pertukaran lokasi, ada penaja yang menarik diri. Namun, saya tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu berita yang mengecewakan mahupun melemahkan kerana percaya mereka mungkin ada alasan tersendiri.

"Paling penting bagi saya, konsert ini harus diteruskan biar apapun bentuk cabarannya sekalipun Anuar Zain Network dan Universal Music menanggung sepenuhnya kos penganjuran konsert ini. Saya bertuah kerana pasukan yang terbabit dalam pelaksanaan konsert ini kaya dengan idea dan sentiasa ada 'plan B' bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

"Tidak dinafikan kos pembikinan konsert ini sangat tinggi kerana segala aspek, baik dari segi penggunaan visual, lampu dan rekaan pentas, saya menggunakan khidmat mereka yang pakar.

"Konsert ini bukan mencari keuntungan sebaliknya untuk memberi yang terbaik kepada peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/05
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved