Rabu, 6 Februari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gabungan rona terang, gelap

Posted:

Sesiapa juga pasti teruja setiap kali melihat wanita berpenampilan menawan sama ada pada busana mahupun solekan. Jika ditenung, selain sapuan bedak asas pada kulit, kerlipan mata menjadi tarikan penting yang mampu menyerlahkan personaliti sesuai dengan pepatah, dari mata turun ke hati.

Bagi mendapatkan lirikan menggoda serta menjadi tumpuan, solekan smokey menggunakan kombinasi dua rona pembayang mata mampu menyerlahkan penggayaan wanita.

Ini diakui Eksekutif Pemasaran Kanan Averine, Tan Cher Lynn yang menjelaskan, mendapatkan asas solekan smokey terletak pada gabungan dua jenis rona pembayang mata iaitu gelap sebagai bayangan dan terang sebagai asas sapuan.

Bagi mendapatkan paduan solekan mata sekata, aplikasi dimulakan dengan sapuan rona cerah ke seluruh kelopak mata sehingga ke tulang kening, diikuti sapuan rona gelap pada seluruh kontur mata.

Foto

SAPUAN bedak asas untuk menutup cela dan menjadikan rona kulit sekata.

Foto

SOLEKAN smokey perlu memilih gabungan pembayang mata gelap dan cerah.

Foto

BENTUK kening menggunakan celak.

Foto

CELAK berfungsi menjadikan mata lebih galak bersinar.

Foto

MASKARA menjadikan bulu mata lentik dan lebat.

Foto

OLESKAN gincu sebagai pelengkap kepada gaya smokey.

Foto

TAMPIL gaya elegan dan menyerlah dengan solekan smokey.


Namun begitu, kreativiti dan keberanian jurusolek ketika mengadun warna menjadikan solekan smokey lebih unik dan tersendiri.


"Apa yang perlu diketahui ialah pemilihan serta teknik dalam mengadun warna. Ini kerana tidak semua rona pembayang mata sesuai untuk solekan smokey. Sebaiknya, pilih rona gelap dan terang, kemudian sapu berulang kali pada kelopak mata sehing-ga ia mewujudkan kesan menyerlah," ujarnya.

Selepas itu, tambah celak pada atas dan bawah mata bagi mewujudkan kesan dramatik. Maskara sangat penting untuk solekan smokey kerana ia akan membuatkan mata lebih bersinar disebabkan bulu mata yang hitam, panjang dan lebat. Selepas itu, sapukan pemerah pipi dan gincu sebagai pelengkap kepada gaya smokey.

Walaupun ada berpendapat wanita bermata kecil tidak sesuai mengenakan solekan jenis ini, sebenarnya teknik ini mampu membuatkan mata lebih besar, galak dan bersinar. Apa yang penting, jangan takut memilih warna kerana selagi tidak membuat sapuan, kesempurnaan solekan tidak dapat dilihat dengan jelas.

Selain untuk majlis makan malam, solekan mata smokey boleh digayakan ke majlis minum petang atau majlis bertema seperti hari jadi, acara permaidani merah atau aktiviti kasual sama ada mengenakan pakaian berkonsep elegan atau santai.

Panduan solekan smokey

  • Mulakan dasar solekan smokey dengan sapuan penyamar cela di seluruh bahagian wajah termasuk bawah mata.
  • Gunakan celak untuk membuat garis bawah mata, bermula dari bahagian tengah menuju ke luar.
  • Menggunakan berus pembayang mata kecil atau putik kapas, lembutkan penjuru garis celak tadi. Sapu sedikit pembayang rona gelap untuk mencipta bayang semula jadi.
  • Adunkan pembayang mata rona cerah dan semula jadi ke seluruh kontur mata atas termasuk di bawah kening. Kemudian dengan pembayang rona gelap, oleskan alat solek secara berlapis-lapis agar dapat memilih tahap kegelapan yang diingini. Berikan perhatian pada penjuru mata agar kemas dan sapukan maskara sebagai penyeri solekan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06
  • Nur Ayuni tak mudah mengalah

    Posted:

    Pengasas perniagaan kasut secara dalam talian jenama You, Me and Shoes (YMS), Nur Ayuni Mohd Azri, menyifatkan pengalamannya ditipu pembekal menjadi kenangan yang tidak mung­kin dilupakannya seumur hidup.

    Berbekalkan modal RM800 yang dipinjam daripada ibunya untuk memulakan perniagaan, akhirnya duit modal lesap sekelip mata akibat terlalu percayakan kata-kata pembekal.

    "Ketika itu saya masih baru dalam bidang perniagaan. Saya menganggap apa yang ditawarkan pembekal terbabit yang terbaik, tetapi ternyata saya tersilap percaturan.

    "Akhirnya modal yang dibekalkan ibu itu hangus begitu saja tanpa sebarang pulangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dutamas Seroja 1, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    Dia akui, bukan mudah untuk berjaya dalam sesuatu bidang, namun ia juga tidak mustahil. Pelbagai cabaran perlu dilalui sama ada suka mahupun duka sekiranya inginkan hasil yang lumayan.


    Malah, adakalanya kesukaran yang berlaku mencetus tekad supaya jangan sesekali menjadikannya alasan untuk tidak berpandangan jauh. Begitulah yang dipamerkan gadis manis berusia 23 tahun ini yang ternyata cekal dalam mengharungi dugaan.

    Selepas kejadian itu, dia memulakan langkahnya sekali lagi dan kali ini lebih berhati-hati dengan mencari pilihan sendiri bekalan dan keperluannya.

    "Saya tidak bermula dengan jualan kasut buatan sendiri sebaliknya memilih untuk mengetengahkan kasut sedia dipakai sebagai tanda pengenalan jenama ini.

    "Selepas beberapa ketika, barulah membuat keputusan untuk menghasilkan rekaan kasut sendiri yang nyata lebih mudah dari segi pemilihan saiz kasut serta bahan," katanya.

    Sungguhpun sibuk menelaah pelajaran yang kini memasuki tahun akhir pengajiannya dan bakal bergelar jurutera perisian, ia sedikit pun tidak mengurangkan minatnya dalam dunia rekaan kasut.

    Dia tidak sesekali membelakangkan aktiviti pembelajarannya kerana baginya, kedua-duanya sama penting dan perlu diberikan tumpuan seimbang.

    "Walaupun keluarga memberikan sokongan penuh terhadap apa yang dilakukan, bukan bermakna saya boleh bersikap sambil lewa.

    "Saya perlu berusaha untuk buktikan saya mampu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa, tetapi paling penting, pengajian perlu dihabiskan dengan cemerlang.

    "Ia suatu cabaran yang agak sukar, tetapi boleh dicapai sekiranya saya fokus dan melakukan yang terbaik untuk mencapai kecemerla­ngan dalam kedua-dua bidang," katanya.

    Kebanyakan kasut yang disediakan untuk gaya kasual dan ranggi menggunakan bahan jenis kulit kerana ia lebih tahan lama.

    Walaupun menganggap diri masih bertatih dalam dunia rekaan kasut, dia berharap untuk melebarkan sayap rekaannya ke peringkat lebih tinggi.

    "Jika sebelum ini saya bertindak sebagai pengedar kasut dari luar negara, kini saya mula menghasilkan rekaan kasut mengikut cita rasa dan kehendak pelanggan serta keselesaan apabila menggayakannya," katanya.

    Selain itu, dia banyak menitikberatkan gaya bagi wanita yang gemarkan pemakaian kasut bertumit tinggi dan kasut baji untuk tampil langsing.

    Bagaimanapun kini, dia banyak memberi peluang kepada pelanggan mendapatkan rekaan kasut tersendiri dan hanya perlu menghantar lakaran kasut dikehendaki.

    "Saya tidak berpeluang menghasilkan rekaan kasut kerana sibuk dengan urusan pengajian dan hanya memberi tumpuan kepada rekaan dihantar pelanggan.

    "Tetapi bukan bermakna saya tidak memberikan idea untuk menghasilkan rekaan kasut terbaru cuma mengehadkan sedikit pembabitan dan memberi fokus kepada pelajaran," katanya.

    Di samping itu, dia turut memiliki dua kilang mini dengan bantuan lima kakitangan bagi menampung permintaan terhadap koleksi kasutnya.

    Memandangkan setiap rekaan buatan tangan, ia sememangnya memerlukan masa yang agak lama untuk menyediakannya.

    "Kami boleh menyediakan 50 tempahan kasut sehari mengikut kesukaran rekaan dan bahan digunakan.

    "Selain kasut wanita, saya turut menghasilkan rekaan kasut lelaki walaupun permintaan tidak sehebat koleksi wanita," katanya.

    Terbaru selain kasut, dia mengetengahkan rekaan beg kulit buatan sendiri dengan memfokuskan corak etnik sebagai daya penarik.

    Walaupun rekaan diketengahkan masih baru di pasaran, sambutan diberikan penggemar beg amat memberangsangkan.

    Antara selebriti terkenal yang pernah menggunakan kasut jenama YMS ialah Nasha Aziz, Yasmin Hani, Lisa Surihani dan Marsha manakala Nazmi Faiz pula bagi koleksi kasut lelaki.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved