Rabu, 6 Februari 2013

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


'Kami mahu rumah'

Posted:

Kuala Lumpur: Ibarat jatuh ditimpa tangga, lebih 20 mangsa kebakaran di Kampung Sungai Mulia, Jalan Gombak, di sini, buntu memikirkan nasib mereka selepas dikatakan tidak layak mendapat bantuan rumah.

Dalam kejadian 18 Januari lalu, enam rumah yang dijadikan 36 bilik sewa didiami 50 penghuni hangus dijilat api.


Sebahagian mereka kini menjadikan pusat pemindahan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, di sini, sebagai tempat berteduh kerana tidak mampu menyewa rumah lain berikutan dihimpit kemiskinan.

Mangsa Khalib Amin Gol, 52, berkata, kira-kira 12 keluarga yang masih tinggal di pusat itu tidak tahu ke mana hendak dituju kerana masalah kewangan dan rata-rata daripada mereka berpendapatan rendah.


"Kebakaran itu menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang dan amat sukar memulakan hidup baru di kota raya ini tambahan pula sewa rumah yang terlalu mahal serta kos sara hidup tinggi.


"Lebih memilukan, ada antara mangsa yang menderita penyakit kronik terpaksa berteduh di sini dan mengalami kesukaran mendapatkan rawatan kerana kehilangan punca pendapatan.

Foto

SEBAHAGIAN daripada 12 keluarga mangsa kebakaran di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

"Justeru, kami merayu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu kami selain menyegerakan penempatan di rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya di sini, semalam.


Difahamkan mangsa kebakaran yang masih tinggal di pusat berkenaan terdiri daripada lapan keluarga warga Malaysia, dua keluarga penduduk tetap dan dua keluarga warga asing, manakala selebihnya sudah menumpang di rumah saudara atau mencari rumah sewa lain.

Sehingga kini, mereka menerima bantuan makanan dan peralatan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan RM2,000 di bawah Skim Bantuan Musibah Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) setiap keluarga serta sumbangan wang tunai daripada DBKL.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL Datuk Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihaknya kini dalam proses menyiasat latar belakang mangsa bagi membolehkan bantuan penempatan diberikan mengikut prosedur ditetapkan.


"Bagaimanapun, bantuan penempatan bagi mangsa kebakaran hanya terhad kepada warga Malaysia sahaja, manakala bagi penduduk tetap tidak layak menerima bantuan penempatan walaupun anak-anak mereka bertaraf warga negara.


"Selain itu, bantuan berbeza antara kebakaran yang berlaku di penempatan di tanah milik kerajaan atau penempatan di tanah persendirian. Bagi mangsa (kebakaran) di tanah milik kerajaan boleh dipertimbangkan untuk mendapat bantuan rumah PPR dan mangsa yang masih bujang ditawarkan ke unit bujang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved