Khamis, 7 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Rezeki tetap ada

Posted:

Seperkara terlintas di fikiran saat memerhati gaya dan lenggang pemilik senyuman manis ini dari jauh, dia semakin manis dan berseri.

Hakikatnya, umum mengetahui penghijrahan Nor Azzarima Zawari Aziz atau lebih sinonim dengan panggilan Azza yang kini sudahpun bertudung.

Realitinya, ia tidak semudah dilihat dan tidak sekemas disangka. Sebaliknya jelas pelakon juga bekas anggota kumpulan terkenal, Elite ini, 1001 dugaan datang melanda dan sebanyak itu juga rasa manis datang menyimbah.

"Inilah saya dan alhamdulillah sehingga kini, selepas lebih dua bulan saya berhijrah mengenakan tudung, segala-galanya lebih sempurna dan menyenangkan," katanya membuka bicara petang itu.

Foto

SUAMINYA, Azlan adalah tulang belakang dan sahabat setia Azza.


Hampir dua dekad bertapak membina nama, Azza mengakui puas menikmati segala macam perasaan dan sepak terajang industri. Usah ditanya mengenai gosip dan kontroversi kerana ia umpama 'sahabat' kepada Elite yang dianggotainya dulu.


Tambah Azza lagi, percaya pada rezeki dan ketentuan adalah kunci segala-galanya.

"Saya sendiri ada kalanya tersenyum sendiri memikirkan keputusan saya lakukan. Bohong kalau tidak saya terfikir soal kerja dan tanggungjawab menjadi anak seni. Maklumlah ia mungkin terbatas berbanding sebelumnya. Saya perlu memikirkan soal lokasi dan konsep persembahan sebelum terus menerima, begitu juga dengan lakonan, bimbang juga jika tiada lagi penerbit datang memberikan skrip.

"Bagaimanapun, itu semua hanya persepsi dan kata-kata nakal yang singgah untuk memberikan rasa keliru. Mujur, suami khususnya dan keluarga banyak menyokong serta teman rapat yang gembira melihat keberanian saya membuat keputusan. Tiada apa harus dikesalkan kerana saya sudah merasai kegemilangan dan pahit maung dunia seni ini.

"Sudah tiba masanya, saya mengikut kata hati. Itulah dinamakan takdir, beberapa kali diberikan watak bertudung dalam drama lakonan sejak akhir tahun lalu termasuk drama bersiri tayangan RTM, Mujahid, ia menjentik jiwa saya untuk terus melekat mengenakan tudung.

Bukan soal fesyen atau ingin sebuah perubahan, namun ini adalah hijrah yang sudah lama saya fikirkan," katanya tekad bertudung sepenuhnya sejak 6 Januari lalu.

Azza bersyukur kerana diberi peluang untuk sempat berhijrah kerana hidayah itu perlu dicari dan tidak datang bergolek. Dia juga bersyukur kerana menemuinya sendiri.

Apa yang mengusik jiwa wanita ini untuk tiba-tiba mengambil keputusan besar seperti ini? Menyedari statusnya sebagai selebriti, bertudung memerlukan pengorbanan baik fizikal mahupun mental.

Ternyata, kenyataan itu disokong penuh Azza yang melaluinya sendiri.

"Memang kena kuat dan nekad. Saya sendiri awalnya bimbang namun syukur jalan ini dipermudahkan. Suami awal lagi sudah pesan ketika saya bertanya dengannya, adakah saya sudah benar-benar sedia kerana dia tahu akan kerjaya saya. Namun saya yakin dan percaya, rezeki itu ada di mana-mana jika niat itu ikhlas dan jujur.

"Bayangkan, banyak pula tawaran lakonan datang, namun semuanya tidak lagi bersesuaian dengan saya yang sudah berhijab. Itulah dugaannya. Tapi dalam pada banyak terpaksa ditolak, penuh juga jadual saya dengan rezeki lain. Saya bersyukur kerana ramai penerbit drama dan pengurus acara yang yakin dengan bakat saya.

"Kini saya banyak melakonkan watak wanita bertudung dan Muslimah. Itu lebih sesuai dan sebenarnya memberikan kepuasan berbeza. Malah kelakarnya, ada juga memanggil untuk saya mengacarakan majlis dan membuat persembahan di majlis korporat.

Itu sudah membuktikan yang wanita dengan imej bertudung sudah jauh melangkaui segala batasan yang dianggap 'stigma industri' sebelum ini.

"Lebih membuatkan saya gembira dan bertambah yakin apabila peminat tidak henti menyokong dan memuji penghijrahan saya menerusi laman sosial Twitter dan Instagram. Itulah sebenarnya yang membuatkan saya lebih nekad dan berani untuk mengambil segala risiko atau kemungkinan," katanya yang mengagumi Yuna dan Shila Amzah yang sudah mampu menempa nama di peringkat antarabangsa dengan mengekalkan imej bertudung.

Wanita keletah menyusun kata dan tidak henti berjenaka ini masih sama orangnya yang dikenali sebelum ini. Beza hanya pada imej dan penampilan saja.

Sengaja diusik persoalan itu, lekas pelakon yang popular menerusi beberapa filem lakonannya termasuk Bara, Mami Jarum Junior, Jutawan Fakir, Kuliah Cinta, Sembilu 2005 dan Bujang Senang mencelah.

"Saya bertudung kerana Allah SWT dan diri sendiri. Ia tiada kaitan untuk saya mengubah segala-galanya termasuk karakter dan pendirian diri. Apa yang penting adalah tuntutan agama untuk saya menutup aurat. Namun untuk saya berubah secara drastik, ia tidak mungkin kerana jujurnya saya tahu kemampuan dan kredibiliti diri sendiri.

"Belum lagi rasanya untuk saya berceramah atau menasihat orang lain. Jauh sekali membabitkan diri dalam agenda peribadi lain kerana saya masih lagi berada dalam industri ini, tempat saya mencari rezeki," kata ibu kepada Marissa Janna yang kini berusia tujuh tahun, anak angkat daripada perkahwinan terdahulu.

Lebih sejam bersembang dengannya, jelas tiada apa berubah. Azza masih sama, ketawanya, jenaka dan usikan tetap 'gila'.

Sesekali dia melemparkan senyuman pada suami tercinta, Azlan Zulaily yang setia menemaninya.

"Inilah hadiah terindah saya, suami dan perkahwinan kami sejak April tahun lalu. Walaupun saya dan suami pernah berdepan dugaan terbesar, saya keguguran selepas tujuh minggu mengandung September lalu, namun ia tidak sekali memberikan tekanan, sebaliknya menguatkan lagi hubungan kami berdua.

"Insya-Allah saya mohon kepada semua peminat untuk terus mendoakan kebahagiaan saya. Mana tahu, esok lusa jika diberikan rezeki, saya mengandung sekali lagi," katanya berseloroh.

Teroka bisnes bedak sejuk

Istimewanya lagi bagi Azza yang bakal muncul dengan drama Mujahid, Musim Cinta Atuk dan Sepai di TV1 serta Kiah Spy di Astro Warna, kini dirinya perlahan-lahan mengukuhkan lagi kerjaya dengan menceburi lapangan perniagaan pula.

Bekerjasama dengan dua lagi temannya termasuk pelakon baru, Azam Pitt, Azza bersyukur kerana berkesempatan melancarkan produk kecantikan dan kesihatan pertamanya, SAZ.

"Ini satu usaha dan alternatif untuk saya. Selain berlakon, menyanyi dan mengacara, saya memang sudah lama mengimpikan menjadi usahawan yang berjaya, mempunyai rangkai perniagaan yang boleh dibanggakan.

"Alhamdulillah rezeki dan peluang itu datang cepat dan siapa sangka, semua urusan dan perancangan berjalan lancar," katanya.

Azza tidak henti-henti bersembang mengenai produk yang menjadi rahsia turun-temurun keluarganya, bedak sejuk yang kini sudah diadunkan dalam peket menarik, Azza's.

"Azza's adalah formula lama yang kini diperbaharui. Bayangkan, sebelum ini sejak saya kecil lagi, kita pakai bedak sejuk untuk pelbagai kebaikan dengan meletakkannya di wajah, habis putih melepak tapi dengan adanya Azza's, saya jadikan bentuk serbuk itu kepada cecair yang mudah digunakan.

"Hanya sapukan tipis setiap malam sebelum tidur, sesiapa saja yang menggunakannya dapat melihat perubahan seperti mencerahkan lagi kulit, melembutkan dan menyegarkan wajah," kata­nya.

Kepada sesiapa yang berminat ingin mencuba produk Azza's, bolehlah menghubungi talian 017-3077012.

Tambah Azza, jika diberikan rezeki, dia ingin mengembangkan lagi Azza's ke peringkat lebih jauh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06

Pemenang AJL27 terima habuan

Posted:

Kehangatan Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) yang diadakan pada 6 Januari lalu di Stadium Putra Bukit Jalil masih dirasai apabila semua pemenang pertandingan itu diraikan pada majlis penyerahan cek yang diadakan di Sri Pentas, Isnin lalu.

Pada majlis ringkas itu semua pemenang hadir kecuali Yuna yang diwakili Aizat yang juga menggantikannya menyanyikan lagu Terukir Di Bintang pada pertandingan akhir itu.

Selaku juara, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai menerima hadiah wang tunai RM35,000. Naib juara yang dimenangi lagu Idola ciptaan Audi Mok dan dinyanyikan Azlan & The Typewriter menerima RM15,000 manakala lagu ciptaan Ajai berjudul Ku Akui yang mendapat tempat ketiga mendapat RM12,000.

Hafiz yang menyanyikan lagu Ku Akui turut menang Vokal Terbaik buat kali ketiga berturut-turut, mendapat RM10,000 dan jumlah hadiah sama turut diterima Black dan RJ yang menang Persembahan Terbaik menerusi lagu ciptaan Malique, Teman Pengganti.


Aizat yang mahu me–ngikut jejak langkah Yuna dikenali di peringkat antarabangsa ketika ditemui mengharapkan penyanyi itu dapat hadir untuk menerima cek itu, bagaimana harapan itu tidak tertunai kerana Yuna berada di Amerika Syarikat.


Pada petang itu tetamu turut dihiburkan dengan lagu yang mencipta kejayaan pada AJL27 kecuali Hafiz yang tidak menyampaikan lagunya kerana sakit tekak.

Aizat menyanyikan lagu Terukir Di Bintang dengan nada yang cukup romantis dan pengacara pada petang itu, Ally Iskandar meletakkan kerusi di pentas mini itu dan cawan sebagaimana corak persembahan Aizat di pentas akhir AJL27.

Selain itu, Azlan dan Black serta RJ turut membuat persembahan pada petang itu.

Penyerahan cek itu dilakukan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar. Hadir sama, Ketua Pengurusan 8Unit & Monkey Bone, Datin Jacynta Au Yong.

Izham turut melancarkan Video Cakera Padat (VCD) khas memuatkan lagu yang bertanding pada AJL27. Ia boleh didapati di pasaran dengan harga RM29.90.

Izham berkata, majlis itu diadakan bagi meraikan kejayaan AJL27 yang membuktikan segala usaha kerjasama dan perancangan rapi semua pihak yang terbabit seperti produksi, pengurusan jenama, kreatif, peserta dan program terbitan dalaman yang sentiasa menyokong usaha Media Prima.

AJL27 turut mencatat rating tinggi iaitu sebanyak enam juta penonton.

"Maklum balas yang diterima daripada penonton juga amat menggalakkan, malah pihak kami menerima permintaan daripada penonton untuk menyiarkan siaran ulangan AJL27.

"Bagi menghargai dan sebagai tanda terima kasih AJL27 kepada semua, kami dengan rasminya melancarkan album AJL27 memuatkan barisan lagu finalis AJL27. Semoga dengan terhasilnya album ini, ia akan menjadi simbolik kenangan AJL27 yang berjaya mencipta fenomena yang tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/06
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved