Khamis, 7 Februari 2013

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pelatih juruterbang nyaris maut

Posted:

MELAKA: Seorang pelatih juruterbang Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) nyaris maut apabila pesawat ringan dipandunya terbabas lalu terhempas di tebing berdekatan kondominium Cheng Height, di sini, kira-kira jam 11.57 tengah hari tadi.

Mangsa, P Devenis Roa, 20, cedera di kepala dan tengkuk bagaimanapun berjaya keluar dari pesawat jenis Piper 28 itu.

Mangsa dikatakan sempat menghubungi menara kawalan berdekatan sebelum merempuh beberapa pokok dan terhempas di tebing berdekatan lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) menghala ke Melaka.

Tiada kebakaran berlaku dan keadaan berjaya dikawal bomba yang menggunakan buih untuk memadam kebocoran pesawat itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Harimau layu di Doha

Posted:

"DENGAN apa yang pemain persembahkan, saya fikir kami layak mendapat penghormatan," kata ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal ketika mengulas kekalahan skuad kebangsaan 0-2 kepada Qatar pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 di Doha malam tadi.

Menurut pengendali negara itu, dengan krisis kecederaan pemain sehingga memaksanya mengetepikan tujuh tonggak utama, beliau berpuas hati biarpun tewas kepada pasukan pilihan Kumpulan D itu.

"Saya bangga dengan aksi pemain malam ini, walaupun tanpa pemain utama, mereka masih boleh memberikan tentangan kepada Qatar.

"Qatar mempunyai bahagian tengah yang bagus, kami cuba menyekat pergerakan Khalfan (Ibrahim). Kami berjaya bertahan dengan baik dan menyukarkan mereka untuk mencipta gol," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan itu.


Pada aksi di Stadium Jassim Bin Hamad itu, skuad kebangsaan berjaya mengekang asakan Qatar pada babak pertama yang berkesudahan 0-0.


Namun skuad tuan rumah yang dikendalikan Fahad Thani memperoleh dua gol pada separuh masa kedua yang dianggap Rajagobal seperti `percuma'.

Gol pertama Qatar pada minit ke- 54 menerusi sepakan percuma Khalfan yang terkena Mohd Amri Yahyah sehingga mengelirukan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Skuad pilihan Kumpulan D itu kemudian menambah gol kedua di penghujung permainan selepas pemain pertahanan negara K Reuben gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti dan memberi peluang kepada Yusef Ahmed mencipta nama selaku penjaring.

"Dua gol itu adalah gol mudah. Gol pertama kerana bola terbias pemain kita dan gol kedua pula kerana serangan balas pada minit akhir. Saya harus memberi pujian kepada semua pemain atas kerja keras mereka," kata Rajagobal.

Rajagobal hampir mengekalkan barisan sama ketika tewas 0-3, di tangan Iraq pada aksi pemanas badan Jumaat lalu kecuali memasukkan Mahali Jasuli menggantikan pemain tengah Abd Shukor Jusoh bergandingan bersama Mohd Shakir Shaari.

Ia satu keputusan di luar kebiasaan dilakukan pengendali itu dengan meletakkan Mahali yang sering beraksi di posisi pertahanan kanan ke bahagian tengah namun ia tampak berkesan terutama dalam merantai pergerakan pemain perancang Qatar, Khalfan.

Skuad Harimau Malaya cuba menyaingi Qatar yang lebih banyak menguasai permainan dengan mencipta peluang terbaik pada minit ke-20.

Pemain sayap, Azamuddin Mohd Akil melakukan larian dari sebelah kanan sebelum membuat hantaran lintang ke dalam kotak penalti namun tolakan Mohd Amri Yahyah hanya sedikit tersasar.

Selepas babak pertama berakhir dengan 0-0, Qatar yang dikenali dengan Al-Annabi (The Maroon) beraksi lebih agresif pada separuh masa kedua.

Qatar yang mara ke suku akhir pada edisi 2011 hampir menggandakan jaringan namun sepakan lambung Hasan berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Dalam usaha memburu gol penyamaan, Rajagobal memasukkan penyerang Abdul Hadi Yahya dan Mohd Norfarhan Muhamad menggantikan Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Mohamad Ashaari Samsudin.

Peluang terbaik skuad kebangsaan hadir pada minit ke-73 apabila tandukan Abdul Hadi gagal menepati sasaran meskipun tidak dikawal dalam kotak penalti.

Namun segalanya berakhir buat Malaysia apabila Yusef meledak gol Qatar kedua menerusi serangan balas pantas di penghujung permainan.

Malaysia akan meneruskan kempen kelayakan dengan menentang Yaman di Stadium Shah Alam, 22 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved