Isnin, 11 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


FAM bakal berdepan dilema

Posted:

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pasti akan berdepan dilema sekiranya Barcelona tidak berganjak dengan pendirian asal untuk mengadakan perlawanan menentang Harimau Malaya pada 10 Ogos ini sempena Jelajah Asia kelab gergasi Sepanyol itu ke Kuala Lumpur.

Biarpun kunjungan kali pertama anak buah Tito Vilanova itu pastinya amat dinantikan peminat tempatan namun ia dilihat tidak sesuai memandangkan ia bakal berlangsung ketika umat Islam negara ini sibuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada hari raya ketiga.


Berdasarkan laporan web rasmi kelab itu, www.fcbarcelona.com, Barcelona bakal berada di ibu negara selepas beraksi di Shanghai, China (4 Ogos) dan di Bangkok, Thailand tiga hari kemudian dalam rangka lawatannya ke Asia.

Sekiranya kelab pendahulu La Liga itu tidak mahu menimbangkan permintaan FAM yang mahu tarikh itu dipercepatkan, mana mungkin Barca akan datang ke Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan mengadakan sesi latihan pada hari raya kedua sebelum perlawanan.


Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata, semua ini bakal terjawab apabila wakil kelab itu datang mengadakan perbincangan dengan pihaknya minggu depan.


"Keputusan mengenai Jelajah Asia Barcelona di Malaysia dijangka akan diketahui minggu depan. Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan membuat pengumuman itu selepas pihak FAM bertemu dengan wakil Barcelona," katanya.

Badan induk bola sepak tanah air pastinya bersedia mengalu-alukan kedatangan kelab The Catalans itu sekiranya tarikh itu ditukar lebih awal biarpun ketika bulan Ramadan kerana Harimau Malaya pernah berdepan situasi sama ketika menentang kelab Inggeris Arsenal pada Julai tahun lalu.


Ketika ini perkara utama yang mahu diteliti oleh FAM adalah status pihak penganjur yang mendakwa mendapat kontrak daripada Barcelona.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, FAM juga perlu membuat pengesahan mengenai wakil syarikat itu adakah ia benar-benar sahih. Ini kerana kita perlu lihat dokumentasi kontrak mereka dengan Barcelona walaupun kami sudah bertemu wakil syarikat itu sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11

Hang Kasturi gah

Posted:

Melaka: Pasukan Hang Kasturi berjaya mengungguli Kejohanan Tenpin Bowling Kampus Bandaraya Melaka (KBM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Ampang Super Bowl Bandar Hilir baru-baru ini.

Manakala pasukan Hang Li Po dan Hang Lekir meraih tempat kedua dan ketiga diikuti Hang Tuah, Hang Kasturi, Tun Mutahir, Tun Teja dan Parameswara masing masing menduduki tangga ke ke-4 hingga 8.


Seramai lebih 80 peserta menyertai kejohanan yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan KBM dan pengurusan kampus berkenaan.

Urusetia program Bakri Husin berkata, Program "Heart Race 2013 – Road To Bowling " bermula di Kolej Tun Mamat, Jalan Hang Tuah menyusuri persisiran Sungai Melaka dan berakhir di pusat bowling berkenaan.


Katanya, peserta turut menyertai aktiviti senamrobik dan seterusnya menyertai perlawanan boling.


Menurutnya, kemenangan bukan matlamat utama penyertaan kerana yang penting adalah membentuk setiakawan jitu di kalangan peserta selain membentuk staf sihat dan cergas.

Program dirasmikan Penolong Rektor UiTM KBM, Profesor Madya Mohd Zainuddin Hassan yang turut menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/11
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved