Isnin, 11 Mac 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Sokongan guru bawa jaya

Posted:

Jika ada yang berpendapat kerjaya di bidang gubahan bunga tidak menjanjikan masa depan yang baik, pengalaman mereka yang terbabit dalam bidang ini boleh dijadikan panduan.

Idayu Daud, 32, misalnya menceburkan diri dalam bidang berkenaan kerana sedar potensinya yang begitu luas.

Walaupun meminati gubahan bunga sejak berusia 13 tahun, hasratnya terpaksa dilupakan kerana tidak bertemu dengan pengajar yang dapat membantu memantapkan kemahirannya ketika itu.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan bekerja di sebalik tabir dengan menghias pentas dan menggubah bunga setelah tamat zaman persekolahan.

Foto

WIN Chan (kanan) memberi tunjuk ajar kepada seorang pelajarnya.

Foto

IDAYU menggunakan bahan terbuang untuk menjadikan gubahan tampak unik.


Selain itu, dia menambah kemahiran dalam gubahan bunga dengan mengikuti kursus tahap satu pada Ogos 2011 sebelum gurunya, Kathy Ong melihat bakat yang dimilikinya.


"Walaupun saya lebih banyak berdiam diri ketika di dalam kelas, Kathy banyak mengajar teknik sebenar menggubah bunga untuk memastikan saya lebih serius di bidang ini.

"Malah, bagi mempraktikkan ilmu dipelajari, saya banyak mengisi masa lapang dengan membuat gubahan bunga atau hantaran perkahwinan yang ditempah oleh rakan terdekat dan saudara-mara.

"Memang cita-cita saya untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang ini tetapi saya juga perlu banyak mendedahkan diri kepada aktiviti gubahan bunga di dalam mahupun luar negara," kata pelajar Akademi Lee Flower Design (LFDA) itu.

Menariknya, melalui kelas yang diikuti itu juga dia mampu pergi lebih jauh dalam bidang gubahan bunga yang dianggap sebagai pendedahan awal terhadap kerjaya pilihannya.

Buktinya, dia meraih kejayaan dalam kategori Susunan Bunga pada Pameran Orkid Antarabangsa China (Sanya) Ketujuh di Hainan, China, baru-baru ini.

Menewaskan peserta dari 20 negara termasuk Thailand, Myanmar, Singapura, Jerman, Denmark, Ecuador, Brunei, Switzerland, Hong Kong, Macau dan Taiwan, ia sekali gus membuatkan dia percaya pada bakat dimilikinya.

Malah, dia turut membawa pulang pingat perak bagi kategori Rekaan Bunga Pasu pada pertandingan sama yang berlangsung pada 10 Januari hingga 16 Januari lalu.

Walaupun tidak bersedia sepenuhnya, atas semangat dan sokongan diberikan Kathy, dia meneruskan hasrat menyertainya.

"Saya mendapat maklumat mengenai pertandingan itu sebulan sebelum tarikh ia berlangsung. Jika ingin menyertainya, kita perlu melengkapkan diri seawal tiga bulan supaya tidak lupa pada teknik gubahan bunga yang ingin diketengahkan.

"Disebabkan belum berkeyakinan untuk bersaing dengan peserta yang kebanyakannya berpengalaman luas dalam dunia gubahan bunga, saya tidak begitu memikirkannya.

"Tetapi guru saya memberi sokongan untuk meneruskan niat bagi membuka minda dan mempelajari banyak perkara yang tidak pernah diketahui sebelum ini," katanya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia ketika mula-mula membabitkan diri dalam dunia gubahan.

Pendedahan menerusi pertandingan peringkat antarabangsa itu banyak mengajarnya untuk memanfaatkan bahan terbuang seperti ranting atau daun kering dalam gubahan agar kelihatan unik dan menarik.

Walaupun mula belajar gubahan bunga dengan mencucuk daun saja, semangatnya kian membara dan terus memantapkan teknik gubahan dipelajari ke peringkat profesional selepas tamat kursus asas.

Jelasnya, cabaran yang dilalui setelah memilih bidang ini memang banyak. Antaranya ada yang menganggap kerjaya gubahan bunga tidak mendatangkan keuntungan.

Baginya, tanggapan seperti itu harus dibuang ke tepi kerana jika tidak mencuba terlebih dulu dan mudah berputus asa, pastinya kejayaan tidak akan diperoleh walau berada dalam apa bidang sekalipun.

Ada matlamat

"Matlamat memang penting bagi penggubah bunga sama ada ia dilakukan kerana minat atau ingin mendapatkan wang lebih.

"Jika penggubah bunga itu mementingkan keuntungan, mereka begitu mengambil kira setiap kos perbelanjaan walaupun untuk belajar kemahiran ini.

"Berlainan dengan mereka yang meminati seni. Mereka biasanya sanggup menghabiskan banyak duit atau masa untuk mempelajari teknik gubahan terbaru," kata Pengajar LFDA, Win Chan.

Baginya, penggubah bunga yang ingin membuka perniagaan seharusnya perlu mempunyai ramai kenalan dan pelbagai cara untuk memajukannya.

Kerjaya sebagai penggubah bunga juga banyak cabangnya jika individu itu benar-benar berminat dan tahu matlamatnya dalam bidang itu.

Banyak menyertai pertandingan, membuat demonstrasi serta pameran gubahan bunga di dalam dan luar negara, Win Chan membuktikan kerjaya sebagai penggubah bunga bukan hanya membabitkan skop kerja yang kecil.

"Sebenarnya, menyertai pertandingan dan demonstrasi gubahan bunga juga dapat meningkatkan kemahiran seseorang.

"Bukan itu saja, malah ia dapat menaikkan nama baik diri sendiri, sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan. Disebabkan itu, untuk menjadi penggubah bunga yang bagus, teknik yang betul sangat penting.

"Untuk mendapatkan teknik yang banyak dan menarik, jangan berhenti belajar kerana itu saja cara untuk memperbaiki kelemahan diri," nasihatnya kepada sesiapa saja yang mahu menceburi bidang gubahan bunga.

Tambahnya, kemahiran yang meliputi rekaan, kombinasi warna, teknik dan kawalan masa sangat penting dalam gubahan bunga apatah lagi jika berhasrat untuk menyertai pertandingan menggubah bunga.

Mempunyai pengalaman lebih dari 15 tahun, Win Chan berasa Malaysia perlu lebih aktif mempromosikan kelebihan pendidikan gubahan bunga dalam menyediakan kerjaya yang berpotensi tinggi selain mencipta nama di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Siber ruang perdaya wanita

Posted:

Kepesatan penggunaan ruang siber dengan berkembangnya laman sosial di Internet era ini nyata memberi impak positif dan negatif dalam aspek sosioekonomi, kebudayaan serta politik masyarakat global.

Namun, di saat ruang siber menyediakan platform selesa untuk digunakan di mana kebanyakan pengguna Internet dapat menikmati kebebasan bersuara, pengumpulan maklumat dan komunikasi secara persendirian platform yang sama digunakan untuk aktiviti jenayah siber khususnya gangguan terhadap wanita.

Telefon pintar dan Internet dengan mudah menjadi alat untuk memperdayakan wanita dan ia mula menjadi gejala dalam kalangan penduduk negara membangun.

Kisah wanita yang ditipu kekasih siber, menjadi mangsa bahan lucah dan 'dirompak' dalam talian kerana memberikan maklumat diri tanpa memikirkannya terlebih dulu adalah antara kes yang dilaporkan setiap hari disebabkan majoriti wanita kurang kesedaran mengenai aspek keselamatan kala melayari Internet.


Justeru, bagaimana Internet boleh memperbaiki dan memperkasakan kehidupan seseorang wanita?


Peguambela Keselamatan Internet di Norton, Marian Merritt menjelaskan, peningkatan bilangan wanita yang menyertai aktiviti dalam talian antara faktor pemacu ekonomi global.

"Masih ada banyak penambahbaikan perlu dilakukan. Akses Internet tidak boleh didapati secara meluas di beberapa negara membangun terutama di kawasan luar bandar, tapi semua tanda menunjukkan ia tidak dapat dielakkan dan manfaat ekonomi yang diberikan membuatkan kerajaan serta masyarakat perlu menggunakannya sama ada mahu atau tidak.

"Laporan baru Intel dan World Pulse jelas menggambarkan situasi buruk penggunaan Internet dalam kalangan wanita seluruh dunia dan mencadangkan inisiatif menarik untuk menanganinya.

"Kita tahu betapa pentingnya menarik lebih ramai wanita mengakses Internet kerana golongan ini yang menentukan hala tuju permainan ekonomi global.

"Keupayaan untuk melayari Internet akan memberi wanita ini akses kepada maklumat serta sumber luar melangkaui had komuniti mereka daripada program pendidikan asas literasi hinggalah program ijazah lanjutan, kesihatan dan maklumat reproduktif wanita, teknik keibubapaan juga kepada perkara paling utama iaitu pekerjaan dan maklumat kerjaya.

"Keselamatan siber sentiasa menjadi isu semula jadi wanita. Dengan jangkaan peningkatan pengguna Internet yang baru ini, pendidikan keselamatan Internet mesti menjadi komponen utama.

"Kita tahu lebih banyak masa dihabiskan oleh wanita secara dalam talian, lebih banyak laman sesawang yang dilawati, lalu lebih tinggi pula risiko untuk menjadi mangsa penganiayaan dalam talian.

"Wanita berisiko menjadi sasaran utama untuk penipuan temu janji, menghendap dalam talian dan ancaman serius yang lain seperti penipuan kad kredit ketika membeli-belah.

"Menurut Laporan Jenayah Siber Norton 2012, dua daripada tiga orang pernah menjadi mangsa jenayah siber dalam hidup mereka. Malaysia saja dianggarkan mempunyai 18 juta pengguna Internet, bersamaan 61 peratus populasi dalam talian.

"Pada masa sama, rakyat Malaysia dianggarkan menghabiskan masa purata 20 jam menggunakan Internet setiap minggu iaitu kira-kira 33 peratus daripada masa itu digunakan melayari media sosial," katanya.

Perubahan sifat jenayah siber pada platform sosial itu menandakan wanita kini perlu berhati-hati melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

CyberSecurity Malaysia mengeluarkan kenyataan pada 2012 bahawa bilangan pengguna Internet yang tampil melaporkan jenayah siber meningkat secara mendadak sejak empat tahun kebelakangan ini.

Penipuan cinta dan pembelian dalam talian menduduki tempat tertinggi kes yang dilaporkan. Kekerapan kes jenayah siber mula meningkat pada 2011 dengan 6,586 laporan berbanding 6,238 kes pada 2010.

Wanita yang menjadi tulang belakang sesebuah institusi kekeluargaan perlu dibantu dan diperkasakan dengan kesedaran mengenai keselamatan siber agar mereka dapat membimbing keluarga mereka menggunakan komputer dengan lebih baik.

Biasanya, golongan ibu berasakan anak mereka lebih tahu mengenai Internet berbanding mereka, lalu membuatkan golongan ini enggan terbabit dalam aktiviti berkaitan atau tidak tahu cara hendak mengajar anak mereka mengenai prinsip keselamatan Internet.

Kala meraikan Hari Wanita Antarabangsa bulan ini, Marian menggesa wanita mengambil inisiatif mudah sebagai langkah pertama memastikan keselamatan mereka apabila melayari Internet.

"Kerap menukar kata laluan dan memeriksa akaun kewangan dalam talian, pastikan laman sesawang media sosial mempunyai ketetapan privasi tertinggi dan pastikan anda log keluar terutama apabila menggunakan WiFi di tempat awam atau berkongsi komputer seperti di hotel dan kafe siber.

"Wanita juga perlu lebih waspada dan mempunyai rasa curiga yang tinggi apabila didekati orang asing dalam talian di samping mengelak memberikan terlalu banyak maklumat peribadi dalam profil atau status situasi anda di laman media sosial.

"Dengan memperkasakan diri, kita boleh mempertahankan diri daripada berterusan menjadi mangsa dan pada masa sama, memastikan perubahan positif dalam kalangan wanita serta keluarga mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved