Sabtu, 2 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


FAM masih berdiam

Posted:

Ia cukup menimbulkan tanda tanya apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih merahsiakan keputusan mengenai kes kritikan Presiden Persatuan Bola Sepak negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia kelmarin.

Biarpun pengerusi, Datuk Taufek Abd Razak (gambar) mengaku jawatankuasa itu yang bersidang kelmarin sudah membuat ketetapan mengenai kes itu, namun mereka 'menangguhkan' seketika pengumumannya bagi mendapatkan bukti video terlebih dulu.


Jika dilihat tiada beza antara kes Tunku Ismail dengan isu terbaru Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim yang digantung dua tahun enam bulan kerana melanggar Artikel 88 selepas mengkritik dan membuat kenyataan media tanpa kebenaran.

Tanpa bukti video, nasib Shahidan sudah boleh ditentukan hanya melalui kenyataannya di dada akhbar saja.


Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, badan induk bola sepak tanah air itu tidak mengamalkan dasar pilih kasih dan menegaskan kes Tunku Ismail dan Shahidan dua kes berbeza.


"Kes Tunku Ismail dan Shahidan berbeza. Ini kerana berdasarkan siasatan FAM, laporan yang mengeluarkan kenyataan Tunku Ismail masih tidak menggambarkan motif sebenar.

"Selain itu, dalam laporan atau keratan akhbar itu juga menyatakan satu sidang akhbar diadakan. Oleh itu, FAM memerlukan bukti lebih kukuh dengan meneliti pita rakaman yang merujuk kenyataan Tunku Ismail.


"Bagi kes Shahidan, kenyataan beliau dalam akhbar dilihat dibuat secara terbuka kepada media dalam tempoh yang agak lama. Beliau sudah diberikan surat pertuduhan untuk menjelaskan perkara sebenarnya selama tempoh lapan hari, tapi malangnya, Shahidan tidak melakukan demikian dan menghantar surat bela diri sehari lewat dari tarikh akhir surat pertuduhan itu.

"Isu Shahidan sudah selesai dan bagi kes Tunku Ismail, FAM akan cuba menyelesaikannya dengan cara lebih profesional. Kami hanya memerlukan sedikit masa," katanya.


Sebelum ini selain Shahidan, Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa turut menjadi mangsa Artikel 88 kerana mengkritik prestasi skuad kebangsaan tanpa kebenaran hingga dijatuhkan hukuman gantung dua tahun enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02

'Kami makin hampir'

Posted:

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengingatkan pemain, mereka kini semakin hampir ke kemuncak dalam usaha merangkul tiga kejuaraan utama tahun ini.

Ferguson yang bakal menyaksikan anak buahnya melayan kunjungan Norwich, esok, berusaha merangkul tiga kejuaraan iaitu memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara.


Beliau meminta pemain tenang kerana tekanan pasti tinggi menjelang kemuncak saingan musim ini.

Pengendali dari Scotland itu sudah memaklumkan kepada pemain, mereka perlu akur kebarangkalian tidak diberi peluang membarisi kesebelasan utama pada setiap perlawanan kerana beliau mahu memastikan pemain cergas dan bebas daripada kecederaan.


United berada di landasan tepat meneruskan penguasaan selepas selesa dengan kelebihan 12 mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris sekali gus membolehkan Ferguson merehatkan beberapa pemain utama ketika bertemu Norwich sebelum turun pada perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid, Selasa ini.


"Pemain mungkin menganggap musim ini tahun penting untuk mereka. Tetapi dalam situasi sekarang, apa saja boleh berlaku," katanya.

"Mungkin ada pemain terkejut apabila mereka diberi peluang pada aksi final atau perlawanan penting kerana saya mempunyai skuad yang lengkap." Ferguson mendedahkan sudah berbincang dengan pemain yang kecewa kerana tidak diturunkan ketika seri 1-1 dengan Real di Bernabeu.


"Sangat sukar melakukan pertukaran pemain dalam skuad ketika ini. Mereka mahu beraksi ketika bertemu Real dan ramai pemain kecewa.

"Ia sesuatu yang hebat. Ia dapat mengukur tahap keyakinan pemain. Saya beritahu mereka jangan terlalu kecewa kerana tidak diturunkan." Penyerang United, Wayne Rooney mungkin diturunkan ketika bertemu Norwich selepas pulih daripada jangkitan virus dan dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika menang di QPR, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved