Sabtu, 2 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Goulding tak sangka jadi penyanyi

Posted:

Keunikan penyanyi berambut perang ini pantas mencuri perhatian pengikut muzik sedunia. Vokal dan cara nyanyiannya berbeza dengan penyanyi sedia ada membuatkan pendengar tertanya-tanya siapakah gadis berusia 26 tahun ini.

Kemunculan Elena Jane Goulding atau Ellie Goulding membawa dimensi baru apabila genre indie pop, synthpop, folktronica, indietronica, dream pop dan alternative dance membezakan dia dengan penyanyi baru yang lain.

Memiliki identiti tersendiri dan kebolehan membuat lagu membuktikan Ellie tahu hala tujunya serta bagaimana mahu menakluk pendengar masa kini.

Tidak terfikir akan menjadi penyanyi, penyanyi Lights itu pernah menyimpan niat untuk menceburi bidang lakonan, namun sewaktu menamatkan zaman persekolahannya, Ellie mulai sedar dia patut memilih muzik.


Berpeluang mendekati gadis kelahiran Lyonshall, Herefordshire, England ini ketika konsertnya di Singapura baru-baru ini, Ellie berkata, dia bermula agak lambat sebagai penyanyi iaitu di usia 17 tahun.


"Sebenarnya dulu saya selalu fikir akan menjadi pelakon suatu hari nanti. Semua orang boleh menyanyi, namun terlepas pandang sebenarnya saya punya keunikan daripada segi suara dan cara nyanyian.

"Padahal pada masa itu, saya sudah pun berjinak-jinak dengan pelbagai instrumen muzik seperti gitar dan klarinet. Maka, tamat saja zaman persekolahan, saya mula menyanyi di acara kecil, festival dan pub demi menyambung minat dalam muzik," katanya yang mula serius sebagai penyanyi sejak 2007.

Cukup mesra dan tenang bercerita, meniti zaman kemuncak dilimpahi populariti dia turut menyatakan kebimbangan terutamanya setiap kali berhadapan dengan media.

"Saya takut setiap kali menjalani temu bual kerana bimbang ditanya soalan mengenai kisah lampau. Jika boleh saya tidak mahu menceritakan kisah silam saya. Bukan tidak suka, saya tidak kisah ditemuramah, namun sebaiknya tidak menyentuh pasal itu.

"Semakin dikenali ramai, sebenarnya saya juga takut dengan pasang surut seorang artis itu yang sudah menjadi asam garam dalam bidang ini. Kerana itu, saya mahu pastikan akan terus bekerja-keras menghasilkan karya terbaik buat peminat," katanya.

Bakal mengiringi penyanyi tersohor Bruno Mars dalam siri jelajahnya tidak lama lagi, Ellie mengaku teruja dapat menyertai penyanyi itu apatah lagi Bruno memang satu nama besar.

"Selain menjalani siri jelajah sendiri, berpeluang menjadi artis jemputan untuk Bruno adalah satu penghormatan buat saya.

Bukan saja dapat berbual secara dekat dengannya, dia juga seorang penyanyi yang tidak lokek memberikan tips menulis lagu," katanya yang akan membuka konsert itu kelak dan menghiburkan peminat selama setengah jam.

Dia yang pernah bekerjasama dengan nama-nama besar termasuklah Tinie Tempah, Calvin Harris dan Jessie J kini mencari peluang untuk mengikat kolaborasi dengan rapper terkenal, Drake pula.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02

Cungkil bakat menyanyi, lawak

Posted:

Program realiti terbaru terbitan TV3, Bintang Mencari Bintang dijangka mendapat sambutan penonton selepas sesi uji bakatnya yang diadakan di beberapa lokasi seperti Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru dan Kuala Lumpur minggu lalu amat menggalakkan.

Lebih 1,000 peserta berusia 18 hingga 28 tahun hadir ke semua lokasi terbabit dan daripada jumlah itu hanya 12 orang akan dipilih untuk menjadi anak didik kepada enam sifu yang dilantik iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Wahid, Mazlan dan Azlee dari kumpulan Senario, Raja Azura, Sabri Yunus dan Faizal Ismail (FBI).

Dalam sesi uji bakat terakhir di AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur, minggu lalu, mereka dinilai juri yang terdiri daripada pengarah dan pelakon, Fauziah Ahmad Daud; komposer, Ajai dan penerbit program ini, Muhamad Sufian Isa.

RAP yang berkesempatan meninjau sesi uji bakat itu mendapati agak sukar melihat mereka yang benar-benar berbakat dan membuat persiapan rapi.


Kebanyakan mereka dilihat kurang bersungguh-sungguh hingga mendapat teguran juri yang serius mahu mencari yang terbaik.


Muhamad Sufian berkata, ada peserta kurang faham dengan konsep program yang mencari mereka yang berkebolehan dalam bidang nyanyian dan lakonan.

"Kedua-dua pakej ini perlu ada pada peserta. Kebanyakan mereka kurang kualiti untuk diambil menyertai program ini. Bagaimanapun, kami berjaya juga mengenal pasti beberapa peserta berbakat untuk diketengahkan.

"Ada juga peserta yang pernah menyertai beberapa program realiti lain, tapi kami tetap beri peluang untuk sertai uji bakat. Kami tak menilai pada paras rupa atau penampilan kerana yang penting ialah bakat.

Dalam pada itu, Fauziah agak kecewa dengan peserta yang bersikap sambil lewa dan tidak mahu perkara ini menjadi kebiasaan kepada mereka.

Ajai pula menyifatkan peringkat uji bakat adalah kayu ukur kepada kesungguhan setiap peserta untuk mengembangkan bakat mereka.

Penampilan sulung mereka di atas pentas sudah menggambarkan segala-galanya.

Program Bintang Mencari Bintang akan menemui penonton menerusi TV3 mulai esok pada jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved