Sabtu, 2 Mac 2013

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


'Abah dah meninggal'

Posted:

"Abah dah meninggal....kena bom....masuk kubur." Itu kata Mohamad Akmaruddin Zulkifli, 5, yang mungkin masih tidak faham apa sebenarnya berlaku di sebalik kematian ayahnya, Inspektor Zulkifli Mamat, 29.

Allahyarham Zulkifli, anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Hulu Kinta, dekat sini, adalah antara dua anggota pasukan keselamatan negara yang terbunuh dalam operasi pengusiran penceroboh dari Sulu, Filipina di Lahad Datu, Sabah, semalam.


Seorang lagi anggota PDRM yang terbunuh dalam kejadian jam 10 pagi itu ialah Koperal Sabarudin Daud, 46, manakala tiga lagi rakan setugas mereka cedera. Dalam insiden itu, 12 penceroboh yang dikatakan dari pasukan tentera Sulu dilaporkan terbunuh, namun jumlah yang cedera tidak dimaklumkan kepada media. Mohamad Akmaruddin, anak sulung arwah Zulkifli ditemui di rumah datuk angkatnya, Hussain Harun, 53, di Desa Putra Indah, Bandar Sri Putra, Bercham, di sini, dengan ditemani adiknya, Mohamad Akhil, setahun.

Ibunya, Nor Aziah Nor, 28, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan pemergian suaminya selain tidak berapa sihat berikutan alahan kerana mengandung dua bulan.


Suasana pilu menyelubungi rumah berkenaan semalam apabila Nor Aziah berulang kali menyebut 'nak balik... nak balik' (ke rumahnya) sambil menangis sebelum dipapah dan ditenangkan Hussain dan isteri, Nor Anita Mohamad, 49, dan beberapa rakan.


Malah, Nor Aziah yang kini menjalani latihan praktikal perguruan di sebuah sekolah rendah di Tanjung Rambutan, di sini, dikatakan pengsan tiga kali sepanjang tempoh berada di rumah bapa angkatnya itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02

'Tsunami lumpur'

Posted:

"Kejadian banjir lumpur mendadak akibat runtuhan bukit berhampiran ibarat tsunami hingga menyebabkan semua penduduk tidak sempat berbuat apa-apa," kata penduduk di Jalan Kledang Utara, di sini, Khairul Faiz, 37.

Dalam kejadian 3 pagi semalam, hujan lebat lebih enam jam selain sebuah kolam pecah di puncak bukit menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa banjir lumpur ke kawasan kediaman berhampiran Kilometer 10.2, Lebuhraya Ipoh-Lumut, di sini.


Banjir lumpur sedalam lebih 0.5 meter itu turut mengakibatkan lebih 220 rumah, 70 rumah kedai dan 25 kilang ditenggelami lumpur tebal.

Khairul berkata, dia hanya mengetahui kejadian banjir lumpur yang berlaku sebaik bangun daripada tidur jam 6 pagi.


Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati keretanya ditimbus lumpur dan tersadai di tengah Jalan Kledang Utara, di sini.


"Malah, kawasan rumah saya turut ditenggelami lumpur tebal dari bukit berhampiran. Kawasan kediaman kami umpama 'tongkang pecah' yang turut ditimbusi sisa buangan sampah, pokok dan kayu hanyut.

"Bencana ini sukar dipercayai berikutan ia berlaku sekelip mata. Malah, banjir lumpur ini turut memasuki rumah penduduk tanpa disedari berikutan kebanyakan mangsa tidur," katanya.


Menurutnya, bencana itu walaupun tidak meragut nyawa penduduk, namun menyebabkan mereka berhempas-pulas membersihkan kediaman masing-masing.

"Malah, saya membelanjakan ribuan ringgit bagi membaik pulih kereta yang dimasuki lumpur terutama pada bahagian enjin," katanya.


Sementara itu, seorang tukang jahit, V Thanga, 42, mendakwa kerugian ribuan ringgit apabila semua pakaian di dalam premisnya rosak akibat ditenggelami banjir lumpur itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved