Jumaat, 8 Mac 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Puas hati reka sendiri

Posted:

Rekaan menarik, menawan, elegan dan selesa, antara elemen utama menjadi pilihan bakal mempelai. Bagi pereka busana pengantin pula, kebiasaannya keinginan pelanggan paling diberi perhatian sebelum menghasilkan sesuatu rekaan.

Empat elemen itu juga yang diamalkan oleh pereka fesyen, Amir Mirza menerusi labelnya, Amir Mirza Couture, kerana menyifatkan pelanggannya adalah pengkritik terbaik kepada sebarang penghasilan rekaan terbaru.

"Setiap pelanggan mempunyai keinginan berbeza dan saya juga ada pendapat sendiri. Justeru, kerjasama menjadi kunci penting agar busana yang memuaskan hati kedua-dua pihak boleh dihasilkan.

"Semua kerja seperti menghasilkan rekaan, memotong kain, menjahit baju dan menjahit manik saya lakukan sendiri sebab saya amat cerewet. Malah saya mementingkan semua aspek berkenaan selain diri sendiri berasa lebih puas," katanya.


Anak sulung daripada tiga beradik ini paling gemar membuat baju pengantin yang labuh atau baju pendek yang dipakai bersama kain berpotongan kembang atau duyung.


Tidak dilupakan, Amir juga menerima tempahan bagi membuat baju untuk majlis anugerah, baju kurung moden, baju kurung tradisional, kebaya, kaftan dan baju songket.

Pendek kata, dia suka menghasilkan rekaan yang berkonsepkan dua dalam satu. Selain boleh digunakan sebagai busana pengantin, ia juga boleh digunakan semula untuk menghadiri majlis makan malam.

Menurutnya, pengalaman yang ditimba dengan bekerja di butik milik pereka terkenal seperti Jovian Mandagie, Sharifah Kirana dan Mior Apparel banyak mengajarnya cara menghasilkan sesuatu rekaan baju.

"Pengalaman bekerja dengan Jovian selama lebih dua tahun dan Mior selama dua tahun menyuntik semangat kepada saya untuk menghasilkan rekaan sendiri.

"Sebab itu saya berhenti dan membuat sendiri di rumah kerana kepuasan lebih dirasai malah kita akan bekerja lebih keras jika melakukan sendiri," katanya yang juga pakar dalam jahitan manik, kristal swarovski dan perincian pada baju.

Tambahnya, dalam menghasilkan sehelai baju, kita harus memastikan kain dipotong dengan betul, jahitan mesti kemas manakala susunan manik pula cantik dan rapi.

Lebih gemar menggunakan fabrik sifon, bridal satin, organza dan renda Perancis dalam rekaannya, Wan Ahmad Amirullah mengambil masa selama dua minggu bagi menyiapkan tempahan termasuk jahitan manik dan perincian.

Kebanyakan koleksi busana dan gaun pengantinnya bercirikan moden dan kontemporari serta perincian yang dijahit atau ditampal tidak terlalu sarat agar memudahkan pengantin bergerak.

Potongan busana yang dipilih juga selalunya ringkas dengan perincian minimum agar penampilan pengantin tampak lebih anggun dan menawan.

Untuk musim 2013 ini, Amir banyak bermain dengan rona terang, semula jadi dan pastel seperti jingga, fuchsia, merah jambu terang, biru, merah, krim selain putih dan hitam.

Dia turut menasihati bakal pengantin supaya tidak mengenakan busana yang mempunyai warna sama dengan warna tema majlis kerana ia tidak menonjolkan diri mempelai.

Contohnya, elak daripada memilih warna busana yang sama dengan warna langsir di khemah, pelamin, bilik tidur mahupun meja makan beradab. Baju pengapit pula harus berlainan warna agar dapat membezakan antara pengantin dan pengapit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Topi comel tampil kelainan

Posted:

Berbicara mengenai fesyen bagaikan tiada kesudahannya. Setiap hari ada saja gaya dan rekaan dapat dilihat hasil karya pereka yang membawa idea masing-masing untuk dijamu oleh pelanggan setia.

Sama ada lelaki mahupun wanita, mencari pakaian bersesuaian de­ngan selera dan kegemaran diri bukan lagi menjadi masalah pada masa kini.

Pergi saja ke butik di pusat beli-belah, pelbagai jenis fesyen pakaian sudah tersedia. Namun, untuk pereka antarabangsa yang satu ini, rekaannya begitu eksklusif dan kadang-kadang sukar untuk merung­kainya de­ngan kata-kata.

Begitu juga apabila melihat koleksi musim luruh dan panasnya tahun ini yang berkonsepkan Kajal. Hasil karya Giorgio Armani kali ini jelas menyerlahkan gaya anggun yang sofistikated tanpa perlu dipaksa.


Menekankan kepentingan mainan warna dan bentuk tubuh wanita yang feminin tanpa perlu terlampau seksi, koleksinya mempunyai identiti tersendiri bagi memberi kelainan yang diinginkan pencinta fesyen.


Sekali imbas pada koleksi terbarunya ini, bagaikan menonton filem berlatarbelakangkan zaman dulu apabila topi kepala comel menjadi aksesori penting yang me­nyerlahkan si pemakai.

Penekanan kepada elemen bentuk tubuh dapat disaksikan menerusi rekaan pakaiannya yang berstruktur. Dihasilkan melalui fabrik seperti baldu dan berbulu, rekaan tampak kaku tetapi ia diseimbangkan dengan alunan jaket serta blaus.

Gaun, seluar pendek Bermuda dan seluar panjang juga menepati cita rasa wanita masa kini yang mementingkan keselesaan sepanjang masa.

Setiap rekaan tampak lebih menarik dengan tambahan aksesori seperti beg tangan, anting-anting, kasut, rantai leher, cincin dan gelang tangan kontemporari sebagai pelengkap gaya.

Tidak hanya memandang pada potongan, rekaan kali ini turut memberi perhatian pada penggunaan warna pastel seperti kuning, krim, hijau, biru dan merah agar tampil lebih yakin dalam bergaya unik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved