Rabu, 6 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sampai masa jadi matang

Posted:

Setiap butir bicaranya memperlihatkan kematangan. Jauh berbeza berbanding saat mula mengenali jejaka ini enam tahun lalu di mana ketika itu dia mencuri perhatian setiap anak gadis yang mengagumi bakat selain wajah 'babyface' beliau ketika menyertai Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

Cuma yang tidak banyak berubah, wajahnya masih kekal keanak-anakan seperti pelajar lepasan sekolah menengah.

Sekurang-kurangnya dia tidak perlu berusaha untuk kelihatan muda, namun Gadaffi Ismail Sabri atau lebih dikenali sebagai Dafi yang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-25 pada 14 Disember nanti, mengakui wajahnya yang keanak-anakan itu kadang-kala mengundang kesulitan padanya.

"Masalah itu bukan dari segi kerja, tetapi kepercayaan orang. Bagi mereka yang pernah bekerjasama dengan saya, mereka tahu bagaimana saya menjaga kerja saya. Namun bagi yang belum pernah, ada yang ragu-ragu dengan kebolehan saya kerana menganggap saya budak-budak.


"Contohnya, jika memberi watak dalam lakonan, saya mesti diberi peranan remaja. Sebagai seorang artis tentu saja saya mahu dicabar dengan watak yang memerlukan saya menjadi individu lain," katanya.


Sehubungan itu, bagi menampakkan dirinya lebih matang, Dafi memulakan transformasi pada penampilan yang kini selesa dengan imej 'smart kasual'. Pendek kata, peminat tidak lagi dapat melihat gaya rambut Dafi yang sering bertukar warna serta potongan berani seperti sebelum ini.

Kematangan itu juga bakal dipamerkan Dafi menerusi pembikinan album terbaru-nya di mana dia berkolaberasi dengan penerbit dan komposer terkenal, Ajai.

Dafi yakin Ajai mampu merealisasi apa yang diimpikan dan sudah pun merakam sebuah lagu iaitu Salahkah Aku juga hasil ciptaan Ajai.

"Saya pernah bekerja dengan Ajai sebelum ini untuk runut bunyi filem Baby Harus Bersama. Sejak itu saya sering berhasrat untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan Ajai kerana dia mempunyai 'beat' dan sentuhan lagu-lagu yang saya inginkan untuk album terbaru ini.

"Saya suka hampir semua lagu ciptaan Ajai untuk Hafiz dan terbaru, Biar Sampai Ke Bintang nyanyian Asmidar. Selepas sekian lama tidak menghasilkan album, saya perlukan 'magis' daripada Ajai untuk menghangatkan kembali nama saya di persada nyanyian," katanya.

Dafi berkata, lagu Salahkah Aku memaparkan sisi yang lebih matang dari dirinya. Lagu ini dibuat khas untuk halwa telinga pendengar mengikut kebolehan yang ada pada Ajai dan dia percaya buah tangan Ajai itu mampu menjadikan lagunya popular.

Sering bekerjasama dengan KRU sebelum ini, antaranya lagu Bila Terasa Rindu dan Seumur Hidup, Dafi berkata, ia satu pengalaman yang sangat berharga buatnya.

Malah, Dafi tidak menolak untuk kembali bekerja dengan syarikat diusahakan tiga beradik cukup dihormati dalam industri seni tanah air itu.

"Tidak bekerjasama de-ngan KRU untuk album kali ini bukan kerana saya sudah bosan atau ada alasan lain. Cumanya, saya ingin mencari kelainan. Kelainan wajar dicari seorang penyanyi dalam memastikan peminat dan pendengar tidak bosan.

"Tidak mustahil selepas ini saya kembali bekerjasama dengan KRU kerana karya-karya mereka terbukti diterima selain berjaya membentuk muzik saya sebelum ini," katanya.

Selain sibuk dengan pembikinan album terbaru, Dafi juga ligat mengusahakan syarikat pengurusan artis, LOL Entertainment. Buat masa ini Rozita Che Wan dan Sherry Ibrahim adalah artis naungan syarikatnya.

BERCINTA DENGAN ELFIRA?

Bagi yang mengikuti perkembangan Dafi menerusi laman sosial Instagram, pasti pernah melihat beberapa foto aksi mesra antara Dafi dan pelakon jelita bertubuh genit, Elfira Loy.

Dua daripada foto yang dimuat naik Dafi menerusi laman Instagram miliknya menyaksikan Elfira sedang nyenyak tidur di bahu dan lengan jejaka itu yang dipercayai berlaku di lokasi berbeza. Semestinya, pada mereka yang tidak mengerti hubungan Dafi dan Elfira menganggap dua selebriti ini mempunyai hubungan lebih daripada seorang sahabat.

"Elfira itu sudah saya anggap seperti adik saya sendiri. Gambar tertidur di bahu dan lengan saya itu bukan 'pose' yang dibuat-buat. Memang dia tertidur betul-betul kerana terlalu keletihan.

"Gambar itu diambil sewaktu saya dan Hairul Azreen sedang rancak berbual, tengok-tengok Elfira yang berada di antara kami sudah tertidur di lengan saya. Memang kelakar dan semua kawan-kawan pelik dengan sikap unik Elfira. Dia kalau sudah penat boleh tertidur di mana-mana saja!," katanya.

Dafi berkata, dia sudah lama me-ngenali Elfira dan mereka bertambah rapat ketika sama-sama menjayakan rakaman program Fear Factor Selebriti Malaysia, baru-baru ini.

"Jika saya menjemput Elfira keluar, orang tuanya tidak menghalang kerana mereka percaya saya menjaga Elfira seperti adik saya sendiri.

"Bukan saja Elfira, saya juga bersahabat baik dengan hampir semua yang terbabit dalam program Fear Factor. Malah untuk klip video Salahkah Aku, saya menampilkan sahabat-sahabat saya di program itu antaranya Kaka Azraff, Hairul Azreen, Didie Alias, Hefny Sahad dan Hafizul Kamal sebagai cameo.

"Manakala Elfira Loy pula memegang watak heroin dalam muzik video arahan Hadith Omar itu. Kalau boleh saya mahu semua mereka terbabit tetapi jadual kerja masing-masing yang sibuk menjadi penghalang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Jejak Bintang: Aubrey nampak bakat Jac

Posted:

Dalam siri kedua Jejak Bintang semalam, rakan sekolah Jaclyn Victor iaitu Sundera Valli, 34, menceritakan bagaimana dia mengajar Jac menunggang motosikal selain gurunya, Usha Sivadason yang bercerita mengenai kehebatan Jac sebagai atlit olahraga sehingga terpilih sebagai Olahragawati Sukan. Hari ini dalam siri RAP menjejak kembali bagaimana nama Jac melonjak menjadi sebutan ramai dalam persada seni tanah air.

Ramai mengenali Jac selepas dia bergelar juara Malaysian Idol pada 2004, tetapi bakat dan kemampuannya sebagai penyanyi sudah menjadi buah mulut pengunjung kelab-kelab malam terkenal di sekitar Kuala Lumpur sejak pertengahan 1990-an.

Jac bukan sekadar mampu mendendangkan lagu pelbagai genre dengan baik, tetapi seorang penyanyi yang masih kekal konsisten dengan karakter dan vokal mantap hingga sekarang.

Untuk mendapatkan cerita di sebalik tabir dan sejarah beliau menjadi ikon seni di Malaysia, Jejak Bintang mendekati produser, penyusun muzik, komposer dan pemain piano jazz yang juga Pengarah Muzik Malaysian Idol 2004, Aubrey Suwito yang pertama kali mendengar nyanyian Jac dalam satu majlis di Sentul pada 1999.


Aubrey Suwito ketika ditemui RAP berkata, dia sudah mendengar 'cakap-cakap' mengenai kehebatan persembahan Jac daripada pengunjung kelab-kelab malam sebelum penyanyi itu menyertai Malaysian Idol lagi.


"Ramai mengatakan Jac begitu menyerlah bersama kumpulannya yang diketuai pemain dram hebat, Jerry Felix di kelab-kelab malam terkenal di Lembah Klang.

"Kebetulan saya berkesempatan melihat dia menyanyi pada satu majlis di Sentul pada sekitar 1999. Memang saya terkejut dan tertanya-tanya siapa wanita ini? Masakan tidak, saya sendiri pun lebih banyak mendengar cakap-cakap orang berbanding mendengar sendiri vokalnya atau melihat dia menyanyi depan mata.

"Bagaimanapun, saya terkejut selepas mendapati dia antara peserta menyertai Malaysian Idol pada 2004. Saya memang sudah dapat menjangkakan dia akan menjadi peserta pilihan kerana skil nyanyiannya sudah berada pada satu tahap yang sangat tinggi. Apapun, saya ada juga meragui apakah dia mampu muncul juara walaupun ada kelebihan vokal kerana pertandingan nyanyian itu membabitkan undian penonton," katanya.

Aubrey berkata, bakat Jac bukan dibuat-buat tetapi bakat dalam diri penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu sebenarnya menjangkaui nyanyian rock, pop atau balada. Malah Jac ibarat khazanah jazz yang sangat bernilai dimiliki industri muzik tempatan.

Katanya, Jac ada keistimewaan dan karakter tersendiri seperti pemuzik dengan instrumen masing-masing pernah bekerjasama dengannya.

"Kalau pemuzik biasanya hebat dengan instrumen mereka, Jac hebat dengan instrumen anugerah Tuhan iaitu vokal lain daripada yang lain. Ia ada karakter tersendiri yang tidak pada kebanyakan penyanyi moden.

"Tidak keterlaluan mengatakan Jac adalah penyanyi jazz sejati, memiliki keupayaan membawa lagu-lagu jazz yang kebetulan genre yang saya ceburi dalam bidang muzik.

"Lontaran vokalnya tidak ubah seperti penyanyi jazz luar negara. Apabila dia memberitahu meminati Billie Holiday atau lebih popular dengan gelaran 'Lady Day', saya faham mengapa kerana Jac memang ada 'perpustakaan vokal' untuk menyanyikan lagu jazz," katanya.

Bagi Aubrey, Jac punya pengetahuan sejarah pelbagai muzik dan pernah mempelajari piano klasikal pada usia yang muda yang membolehkannya memahami struktur muzik.

Lagu Gemilang ciptaan Aubrey yang dinyanyikan Jac dalam final Malaysian Idol itu sebenarnya ada sejarah tersendiri.

"Lagu itu saya cipta untuk dinyanyikan oleh Dina dan Jac selaku dua finalis. Dina lebih awal menyanyikannya sedangkan Jac masih tercari-cari rentak dan sering tidak yakin sewaktu latihan. Hanya beberapa hari sebelum final, barulah Jac mendapat rentaknya dan akhirnya bergelar juara.

"Jac dan Dina sangat profesional dan rakan baik yang bersaing dengan cara sihat. Dari segi masa melatih nyanyian, saya tidak perlu buang masa mengajar Jac itu dan ini.

"Lagu Counting Days pula kami rakam sekali gus bersama semua pemuzik tanpa ada sebarang kesalahan dilakukannya. Apabila saya tanya, jika saya buat album jazz lagi, Jac langsung tidak fikir dua untuk berada dalam studio sekali lagi," katanya.

Pembabitan awal Jac sebagai penyanyi ialah selepas dia tamat sekolah pada 1996 sebelum menyertai kumpulan The JJEDS yang mengadakan persembahan di kelab-kelab malam.

Jac sendiri berkata, pada peringkat awal dia seorang pemalu tetapi Felix membantunya menjadi seorang penyanyi berkeyakinan selepas melepasi satu uji bakat menyertai JJEDS.

"Mereka pemuzik profesional dan memahami. Saya juga sering ditanya pemandu teksi yang menghantar saya balik setiap malam ke rumah, apakah ibu tidak marah saya keluar seorang diri dan menjadi penyanyi kelab malam? Saya rasa naluri seorang ibu dapat merasai mahu saya melakukan apa disukai dan kepercayaan ibu yang membawa saya ke tahap sekarang," katanya Jac yang mengharapkan dapat bertahan lama dalam industri hiburan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved