Rabu, 6 Mac 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pernah rugi RM40,000

Posted:

Wanita lain seusianya apatah lagi memegang segulung ijazah, lazimnya lebih gemar bekerja di dalam pejabat berhawa dingin.

Namun, keselesaan itu bukanlah perkara penting bagi wanita kecil molek ini yang lebih rela bekerja di bawah terik matahari bagi memastikan perniagaannya berkembang maju.

Bau minyak dan bunyi bising di bengkel sudah menjadi perkara biasa yang dihadapinya setiap hari. Dia juga lebih banyak berada di luar premis sebagai pengedar barangan kereta untuk menambah pendapatan syarikat yang diusahakan bersama suami.

Kali pertama bersua muka dengannya, terasa wanita berusia 31 tahun ini mempunyai semangat tinggi dan tidak mudah berputus asa lantaran mahu mengecap kejayaan seperti usahawan lain yang terbabit dalam dunia perniagaan.

Foto

SALEHEN (kiri) dan Norliyana turut belajar memperbaiki enjin kereta.


Impian yang disemat dalam diri sejak remaja lagi membuatkan Norliyana Samsudin terus berusaha bersungguh-sungguh walaupun terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk mengumpul modal permulaan bagi membuka perniagaan.


"Keluarga saya bukanlah dalam golongan berada, tetapi untuk menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain, saya perlu menunjukkan semangat yang tinggi untuk berjaya.

"Ini kerana saya percaya sembilan daripada 10 pintu rezeki adalah melalui perniagaan dan impian ini harus diteruskan.

"Selepas tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia dalam bidang pentadbiran perniagaan, saya menjadi tenaga pengajar secara sambilan sementara mencari pekerjaan lain," katanya.

Selain mengajar, dia melakukan pekerjaan sampingan dengan menjual kereta sebagai cara permulaan untuk mempelajari selok-belok perniagaan.

Berani dan tahan lasak, semangat wanita berusia 31 tahun ini semakin membara apatah lagi suaminya juga mempunyai impian sama.

Walaupun berkahwin di usia muda, ia tidak dijadikan batu penghalang kejayaan malah semakin percaya untuk mengecap impian ditambah dengan sokongan suami, Salehen Abas, 31.

Bergabung tenaga dan usaha, akhirnya pada 2008 Norliyana berjaya membuka bengkel kereta yang menawarkan khidmat menukar atau memasang peralatan gas asli kenderaan (NGV) di Bandar Puchong Utama, Selangor.

Idea bersama suaminya untuk membuka bengkel tercetus tatkala kegawatan ekonomi melanda dan semua orang mahu mencari alternatif terbaik bagi mengurangkan kos perbelanjaan.

"Pada waktu itu, saya dapati harga minyak naik dan mula terfikir untuk menyediakan khidmat kelengkapan NGV bagi menjimatkan kos perbelanjaan kereta.

"Dalam tempoh sebulan pertama, saya dan suami bekerja sehingga malam tidak mengira hari kerana ramai pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat NGV di bengkel kami," jelasnya.

Pada 2009, bengkel yang hanya menyediakan khidmat menukar atau memasang peralatan NGV ditambah dengan servis tayar bagi mendapatkan pendapatan sampingan syarikatnya, Sahan NGV and Services (SNS).

Pada awal 2009 juga, perniagaannya sedikit merosot namun disebabkan dia dan suami memahami perniagaan yang ada pasang surutnya itu, mereka perlu bijak mengurus kewangan setiap masa.

"Kami pernah menghadapi kerugian kira-kira RM40,000 pada awal 2009 dan hanya memiliki baki sebanyak RM5,000 saja dalam akaun.

"Malah, kami juga pernah menerima notis untuk keluar dari kedai yang disewa itu. Keadaan itu juga membuatkan kami terpaksa menjual kereta sendiri untuk meneruskan perniagaan kerana ketika itu wang simpanan tinggal sedikit," katanya.

Berkongsi juadah bersama suami dan tidak memikirkan hiburan untuk diri sendiri menjadi perkara biasa baginya kerana ada perkara penting lain yang perlu diberi tumpuan.

Berjuang hingga ke titisan terakhir, itu matlamatnya apatah lagi dia juga harus memikirkan nasib tiga pekerjanya. Lantas Norliyana menebalkan muka mengunjungi bengkel berlainan untuk menjadi pengedar barangan keperluan NGV dalam usaha mengumpul semula modal.

Baginya, dia tidak kisah terhadap pandangan sinis yang dilemparkan kepada dirinya kerana perkara penting adalah mencari duit untuk keperluan keluarga.

Ditambah pula dengan minatnya dalam pekerjaan yang mencabar, dia sentiasa meneruskan usaha mencari jalan lain bagi memastikan bengkel yang dibangunkan dapat dikembangkan.

"Perniagaan banyak mengajar saya supaya sentiasa berfikiran kreatif untuk bersaing dengan orang lain yang melakukan perniagaan sama.

"Walaupun saya memegang jawatan sebagai pengurus bengkel, ini tidak bermakna saya hanya duduk di dalam pejabat tetapi perlu selalu keluar bagi mencari pelanggan dan meninjau barangan keperluan bengkel," jelasnya yang turut memiliki cawangan bengkel di Johor Bahru.

Walaupun hanya bermula dengan modal RM60,000 yang dikumpul sejak 2003 bersama suami, kini dia nampak usaha dilakukan pasti akan terus berjaya.

Di samping mencari alternatif lain untuk menambah keuntungan, syarikatnya merancang untuk membuka cawangan lain bagi mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan sejak lima tahun lalu itu.

Membuka perniagaan bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan dalam masa singkat, tetapi harus memikirkan pelaburannya sehingga lima tahun ke hadapan.

"Selepas membuat keputusan membuka perniagaan ini, saya hanya berdoa dan bertawakal kepada Allah kerana rezeki yang datang itu milik-Nya.

"Saya juga mempunyai kad visi yang ditampal di rumah untuk mengingatkan diri setiap matlamat yang ingin dicapai dalam kehidupan selepas ini," jelas anak sulung itu lagi.

Walaupun adat perniagaan ada pasang surutnya, dia juga memerlukan seseorang yang sentiasa menyokong untuk menaikkan semangat tatkala menghadapi kesulitan.

Tentunya, Norliyana beruntung kerana mengahwini jejaka yang turut mempunyai semangat tinggi untuk berjaya dalam dunia perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Pupur kekal ciri tradisi

Posted:

Tidak sukar untuk tampil cantik tapi tidak mudah pula untuk mengekalkannya. Sejak berkurun lamanya manusia sentiasa mencari bahan yang boleh mengekalkan keremajaan serta kecantikan wajah dan tubuh biarpun kadang­kala kaedah atau teknik yang digunakan tidak ma­suk akal.

Masyarakat Asia, khususnya golongan wanita di China, Jepun dan Mesir mempunyai sejarah yang panjang membabitkan amalan kecantikan. Selain haruman dan sabun, pupur wajah dikenal pasti antara rutin kosmetik utama bagi wanita di negara itu sejak 6,000 tahun lalu.

Dikatakan bahawa Cleopatra menyapu putih telur di wajahnya sejurus bangun tidur. Ratu Mesir itu percaya lapisan nipis terhasil daripada putih telur yang kering itu dapat menjadikan kulit wajahnya lebih halus dan cerah, selain tampak lebih muda.

Cleopatra juga terkenal kerana cintanya pada ekstrak lidah buaya yang dijadikan sebagai topeng muka malah dikatakan sering tidur dengan memakai pupur emas di wajahnya.


Rutin yang dilakukan­nya hampir setiap hari itulah dikatakan antara penggerak kepada teknik pupur yang kini popular dalam kalangan masyarakat dunia.


Yang Guifei daripada Dinasti Tang pula amat dikenali kerana kegemarannya menjaga kecantikan diri. Selain mengutamakan penjagaan keseluruhan tubuh, puteri China itu mengamal­kan penggunaan pupur yang dibuat khas.

Pupur itu bagaimanapun tidak sukar disediakan. Pakar sejarah mendapati ia menggunakan batu jed putih, mutiara dan ginseng yang dihancurkan sehingga menjadi serbuk lalu dicampurkan bersama kanji akar teratai.

Campuran unik ini disapukan ke seluruh wajah, ditutup dengan lapisan kain nipis berbentuk wajah dan dibiarkan setengah hari.

Kaedah kecantikan ini dikatakan dapat membantu memutihkan kulit wajah dan mengurangkan tanda cela atau garisan halus.

Sesetengah golongan bangsawan juga dipercayai mengamalkan penggunaan pupur lumpur yang dicampur dengan beberapa bahan lain seperti madu, buah-buahan dan minyak pati.

Dalam kepesatan teknologi hari ini, banyak pupur boleh didapati di pasaran tanpa perlu bersusah payah menghasilkannya sendiri. Biarpun dijana kaedah perubatan moden dan teknologi kecantikan, pupur zaman ini masih mengekalkan ciri tradisi dengan menggabung­kan bahan semula jadi bersama produk kimia seperti ekstrak vitamin.

Justeru, apa signifikan­nya pupur atau topeng wajah ini dalam rutin harian setiap wanita? Pupur muka jarang digunakan sebagai produk sendirian dalam rutin kecantikan wanita.

Bagaimanapun, topeng muka boleh menjadi elemen penting dalam pembersihan menyeluruh kulit muka sebagai persediaan untuk rawatan kulit yang lain.

Sebagai contoh, pupur boleh digunakan untuk membersih dan menyegarkan kulit sebelum bersolek. Pupur juga boleh digunakan untuk tujuan kesihatan serta perubatan seperti menenangkan kulit yang kemerahan dek selaran matahari, kesan pencemaran serta terdedah kepada cuaca ekstrem.

Dengan mengetahui pelbagai jenis pupur muka serta cara penggunaannya, ia boleh memberi impak dan hasil lebih baik dalam proses penjagaan kulit harian.

Prinsip rawatan penjagaan kulit dengan pupur

Prinsip pemakaian satu topeng muka atau pupur tunggal produk adalah untuk tempoh singkat meliputi keseluruhan wajah agar dapat memisahkan udara dan pencemaran daripada kulit buat sementara waktu.

Rutin penjagaan wajah ini dapat membantu menyeimbangkan suhu kulit pada zon wajah, membuka liang roma untuk memudahkan pembersihan pori tersumbat, meningkatkan tahap metabolisme sel kulit dan menggalakkan rembesan kelenjar peluh agar ia dapat meningkatkan lagi kandungan oksigen pada kulit.

Pada masa sama, berpupur juga membantu perkumuhan sel epidermis yang mati, menyingkirkan bua­ngan metabolik dan bahan berminyak dari kulit yang menjadi penyebab kepada liang roma tersumbat hingga menjadi habitat bagi bakteria buruk.

Kandungan air yang ting­gi dalam pupur atau topeng muka pula akan menembusi lapisan epidermis kulit, sekali gus membantu melembutkan tekstur dan meningkatkan tahap keanjalannya.

Jenis pupur

  • Lumpur

    Penggunaan lumpur dalam produk rawatan kulit bermula sejak zaman Yunani dan Rom purba. Ma­syarakat zaman itu dikatakan mandi dalam lumpur dan menyapunya ke seluruh muka sebagai salah satu rawatan untuk kulit bermasalah.

    Topeng muka jenis lumpur ini kaya dengan mineral yang boleh bertindak sebagai antiradang, penentang bakteria dan membuang bahan berminyak serta menghalang jerawat.

    Ia juga boleh membuat­kan liang pori mengecil, selain mineral membantu kulit mendapatkan nutrisi yang diperlukan.

  • Krim

    Sasarannya untuk melembapkan kulit. Kulit yang mengalami masalah kekeringan paling sesuai menggunakan pupur jenis ini kerana biasanya ia menggunakan minyak sebagai bahan asas.

    Pupur muka jenis krim ini bagaimanapun memerlukan bantuan daripada beberapa bahan lain agar dapat menyerap dan mengunci air dalam kulit.

    Komposisinya digabung­kan dengan bahan bermi­nyak untuk penyerapan lebih mudah. Prinsip penggunaan topeng muka jenis krim ini sama seperti menggunakan krim harian cuma ia mempunyai molekul lebih besar untuk kelembapan berpanjangan.

  • Jeli

    Jika dinilai pada penampilannya, pupur jenis jeli atau agar-agar ini sering jadi pilihan kerana warnanya yang jernih dan meninggal­kan haruman buah-buahan.

    Pupur jenis ini sesuai untuk melegakan kulit selepas terdedah lama di bawah terik matahari. Ia memberikan rasa dingin dan selesa sejurus disapu pada kulit dan meninggalkan kesan segar selepas dicuci.

  • Topeng (kertas atau kerajang)

    Antara kelebihan pupur jenis ini ialah liputannya yang lebih besar. Esen pupur yang tersedia pada topengnya memudahkan penggunaan dan boleh digunakan di mana saja tanpa bimbang meninggal­kan kesan kotoran pada pakaian atau tempat duduk.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
  • Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved