Khamis, 7 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Fazura buat persediaan

Posted:

Kecantikannya tidak perlu dipertikaikan lagi, bukan saja cantik dia juga seorang pelakon yang berkaliber dan kini mengorak langkah menjadi seorang usahawan dengan mengusahakan butik pakaian House of Doll (HOD) yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Begitulah perjalanan hidup pelakon cantik, Nur Fazura Sharifuddin yang diatur begitu sempurna bagi merealisasikan satu demi satu impiannya yang dilihat hampir terlaksana.

Menyedari diri jarang sekali muncul di kaca televisyen dek kesibukan menguruskan butik, gadis tinggi lampai yang berasal dari Pekan, Pahang ini tegas memilih watak yang boleh meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Kisah Cinta terbitan BZ2121, Fazura bergandingan dengan Shaheizy Sam juga selaku penerbit bersama drama berkenaan dan bakal ditayangkan di slot Lestary TV3 tidak lama lagi.


"Agak lama saya tidak berlakon, kali terakhir drama bersiri Tahajjud Cinta dua tahun lalu dan selepas itu saya lebih fokus terhadap HOD yang baru dilancarkan tahun lalu dan pastinya banyak perkara yang harus saya fikir dan uruskan.


"Bukan niat untuk berhenti berlakon apabila saya membuka perniagaan, sebaliknya ini semua sebagai jaminan masa depan mungkin satu hari nanti jika saya sudah tidak diperlukan dan tawaran berlakon semakin berkurangan bolehlah saya memberi sepenuh perhatian terhadap HOD.

"Saya gembira dengan apa yang dilakukan sekarang walaupun sudah kurang berlakon hari-hari saya tetap sibuk selain menjadi duta beberapa produk dan terbaru saya dipilih menjadi duta Colgate," katanya.

Mengambil peluang berlakon bersama Sam, Fazura berkata semua ini dilakukan selepas penerbit BZ2121, Zizie Ezette sering bertanyakan padanya bilakah dia mahu berlakon di bawah terbitan syarikat pelakon berkenaan.

"Zizie banyak kali bertanya kepada saya sehingga pihaknya sanggup menghasilkan sebuah watak yang sesuai untuk saya dan atas kesungguhan itu saya terima tawarannya lagipun selepas melihat pelakon-pelakon yang terbabit mereka semua adalah kawan-kawan saya.

"Rasanya tiada masalah untuk berlakon dengan mereka bagi saya lebih senang jika berlakon dengan kawan-kawan dengan ini senang untuk kami berkomunikasi dalam melakonkan watak yang diberi.

"Gandingan pertama kali bersama Sam juga saya yakin memberikan keserasian buat kami berdua ini kerana Sam seorang pelakon yang profesional ditambah pula dia sudah banyak kali menang dalam anugerah dan tidak mustahil dia mampu menjayakan watak dengan berkesan malah saya selesa bekerja dengannya," katanya.

Melalui drama Kisah Cinta Fazura memegang watak sebagai Azalea anak kepada seorang pemilik hotel terkenal yang bertemu dengan Shah (Sam) secara tidak sengaja selepas bapa Azalea dan ibu Shah terbabit kemalangan dalam sebuah kereta yang sama.

Pelbagai persoalan timbul mengenai perhubungan kedua orang tua mereka yang menjadi tanda tanya sehingga berlaku pelbagai pertelingkahan di antara mereka berdua.

Selain drama Kisah Cinta, Fazura bakal terbang ke Turki April ini bagi
menjayakan filem Manisnya Cinta arahan Bernard Chauly di mana dia sekali lagi disatukan bersama Sam.

"Saya teruja untuk berlakon di bawah arahan Bernard, saya tahu dia seorang yang bagus lagipun sejak tahun lalu lagi dia sudah menawarkan saya watak dalam filem Manisnya Cinta jadi rasanya tidak salah untuk saya mencuba," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan butik HOD, Fazura begitu teruja untuk menambah cawangan butik berkenaan selepas melihat maklum balas positif terhadap butiknya di Bangsar.

"Alhamdulillah ramai yang suka dengan reka bentuk baju yang ada di HOD dan ada peminat berharap saya dapat membuka cawangan di tempat lain, saya sedang merancang untuk membuka cawangan di sekitar Kuala Lumpur ada beberapa tempat yang sudah dikenal pasti tetapi biarlah menjadi rahsia saya dulu.

"Saya juga berhasrat jika tiada halangan dapat menambah dua atau tiga cawangan HOD di Lembah Klang," katanya.

Berbicara soal cinta dan perkahwinan, pelakon berusia 30 tahun ini sambil tersenyum berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berkahwin. Baginya tidak perlu risau memikirkan perkara itu dan percaya jika tiba masa kahwinlah dia.

"Saya sentiasa optimis dalam soal kahwin dan jika sampai waktunya saya akan kahwin tetapi bila biarlah takdir dan masa yang menentukan.

"Saya juga bersyukur keluarga tidak pernah memaksa dan memberi tekanan kepada saya untuk segera berkahwin sebaliknya sentiasa menyokong apa juga yang saya lakukan," katanya yang tidak mempunyai sebarang tips kecantikan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Keating akui bahagia

Posted:

Kuala Lumpur bukanlah kali pertama dikunjungi Ronan Keating, baik ketika bersama Boyzone mahupun selepas bergerak solo. Namun, kehadirannya sebagai artis undangan dalam Bella Awards 2013 anjuran ntv7, Sabtu lalu berbeza.

Kehadiran penyanyi berusia 36 tahun itu ditemani kekasihnya, Storm Uechtritz, 31, sekali gus mengubah fokus berita yang sepatutnya lebih tertumpu pada karier muzik serta pembabitannya sebagai artis undangan Bella Awards 2013.

Ternyata kisah cinta Keating dan Storm, produser kelahiran Australia lebih menarik perhatian media tempatan. Tambahan pula, Keating tidak menetapkan sebarang syarat atau keka--ngan untuk diajukan soalan berhubung cinta barunya.

"Saya sangat gembira kerana dia (Storm) ada bersama saya datang ke Kuala Lumpur untuk menjayakan Bella Awards," katanya tiba sehari sebelum anugerah itu dilangsungkan di hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur.


Mengakui dirinya berasa amat bahagia di samping Storm sepanjang lima bulan berhubungan, Keating bagaimanapun tidak merancang untuk melamar teman wanitanya dalam masa terdekat ini.


"Oh! Tidak sama sekali dan tiada perancangan ke arah itu. Kami gembira dengan perhubungan kami sekarang." katanya.

Sebagaimana diketahui umum, Keating sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas model, Yvonne Connolly pada April 1998, sebelum ikatan perkahwinan terlerai selepas 14 tahun berkahwin.

Francine Cornell, penari latar kepada penyanyi itu adalah wanita yang bertanggungjawab di atas segala kemusnahan yang berlaku. Enam bulan hubungan mereka berlanjutan sebelum ianya dihidu Yvonne.

Menyorot perkembangan terbarunya, Keating yang memulakan karier solo pada 1999 kembali bersatu dengan anggota Boyzone iaitu Keith Duffy, Mikey Graham, dan Shane Lynch sempena meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.

Penyatuan semula itu dirancakkan lagi dengan kehadiran konsert jelajah yang bakal bermula di seluruh Eropah mulai November ini.

"Ia satu berita yang menggembirakan. Saya berharap selain Eropah, Boyzone dapat kembali menghiburkan peminat di Kuala Lumpur tahun depan," katanya.

Ketika nama kumpulan itu berada puncak, Boyzone dianggotai lima jejaka tampan. Bagaimanapun salah seorang daripada mereka adalah Stephen Gately yang ditemui mati pada 1 Oktober 2009 ekoran masalah jantung.

"Setiap saat saya merinduinya. Kehadirannya amat penting bagi kami berempat untuk memasukkannya ke dalam persembahan. Namun dalam apa cara kami belum tahu.

"Kami juga tidak pasti bagaimana akan menyampaikan setiap lagu tanpa dia, memandangkan Gately terbabit dalam kumpulan ini sejak dari mula Boyzone ditubuhkan.

"Saya berharap kami dapat lakukan sesuatu sebagai penghormatan buat Gately dengan menayangkan semula detik-detik penting dia bersama kumpulan ini seperti mana yang sentiasa dilakukannya. Ini adalah penting untuk saya dan Boyzone," katanya.

Rancangan besar Keating tahun ini tidak tertumpu pada persediaan konsert bersama Boyzone saja, malah dia yang memulakan karier nyanyian seawal usia 16 tahun, terus relevan dalam industri muzik antarabangsa, muncul dengan album studio kelima berjudul Fires yang disifatkannya sebagai himpunan karya-karya terbaik daripadanya.

Album yang mengambil masa cukup lama untuk disiapkan itu, masih mengekalkan muzik pop yang cukup sinonim dan sebati dengan imejnya.

Keating juga meluahkan rasa bangga dengan kebang-kitan 'boyband' generasi baru yang mana dulu pernah diperjuangkan Boyzone sendiri termasuk beberapa nama popular lain seperti Westlife, Backstreet Boys, Nsync dan banyak lagi.

"Terdapat banyak kumpulan pop yang menyinari arena muzik ketika ini dan paling berpengaruh pada saat ini adalah The Wanted dan One Direction. Malah, One Direction artis paling popular di Eropah.

"Saya merasakan mereka ini hebat dan ia satu perkembangan yang baik untuk industri muzik pop. Tambahan pula, 'boyband' adalah keunikan yang penting dalam industri muzik Eropah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved