Khamis, 7 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rekod tercalar!

Posted:

Kuala Lumpur: Rekod konsisten skuad Bawah 23 Tahun negara kendalian Ong Kim Swee yang mencatatkan keputusan seri menentang Myanmar dan Laos sebelum ini disentap skuad kebangsaan Kemboja apabila tewas 1-3 dalam aksi persahabatan di Stadium Olimpik Nasional, semalam.

Kekurangan komunikasi antara pemain membawa padah kepada barisan muda negara apabila melepaskan dua gol pada separuh masa pertama untuk membolehkan lawan mendahului selepas 45 minit pertama sebelum penyerang A Thamil Arasu merapatkan kedudukan pada awal babak kedua apabila menggegar gawang lawan.


"Pemain melakukan kesilapan hingga lawan selesa mendahului dua jaringan. Namun saya menurunkan kombinasi pemain lama dan baru dalam perlawanan ini bagi memberikan pendedahan sewajarnya kepada mereka," kata pengendali berusia 42 tahun itu yang ditugaskan untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA hujung tahun ini.

Antara pemain yang pertama kali diturunkan adalah pertahanan kanan, Muhamad Hazwan Rahman selain ketiadaan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan terutamanya perancangan tengah yang juga kapten pasukan, Irfan Fazail.


Kebangkitan diharapkan anak-anak buah Kim Swee selepas jaringan Thamil tidak kesampaian apabila lawan menjaringkan gol ketiga menerusi satu serangan balas selepas pemain negara rancak mencari gol penyamaan.


"Penting untuk pemain menyedari tahap permainan pada peringkat ini berlainan. Ruang dan masa yang masih ada akan digunakan untuk membaiki segala kelemahan sebelum bersaing di Sukan SEA." Skuad negara kembali ke tanah air hari ini sebelum meneruskan sesi latihan dan perlawanan persahabatan di Slovakia bermula pertengahan bulan ini.

Misi melakar hatrik pingat emas Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini menjadi buruan Kim Swee selepas cemerlang mempertahankannya pada edisi 2011 di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07

Erat persefahaman alumni, mahasiswa

Posted:

Melaka: Sebanyak 32 pasukan remaja bersaing pada Kejohanan Futsal Terbuka Politeknik Melaka di gelanggang futsal Cheng, baru-baru ini.

Kejohanan anjuran alumni politeknik itu menyaksikan pasukan Kampung Bahagia A dan B muncul juara dan naib juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM500 serta hamper dan sijil penyertaan.


Pengarah Program, Syahiran Johal berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan sukan futsal terus mendapat perhatian remaja dan golongan belia Melaka.

"Penganjuran bertujuan membentuk persefahaman antara alumni, mahasiswa dan remaja setempat mendedahkan bakat cemerlang dimiliki setiap pemain.


"Sokongan pengurusan tertinggi politeknik, pusat pengajian tinggi lain, agensi awam dan swasta menjadikan kejohanan ini amat menarik dengan semua pasukan turut menerima hamper sagu hati.


"Sumbangan bekas pelajar terhadap aktiviti ini memberi makna besar kepada pelajar untuk proaktif mengadakan lebih banyak program kemasyarakatan pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Politeknik Melaka, Ariffin Aman berkata, program itu pentas pembentukan generasi cergas selain menjurus amalan gaya hidup sihat.


"Saya bangga dengan penganjuran kejohanan yang turut memberi faedah kepada pembentukan komuniti bebas gejala tidak bermoral, isu sosial termasuk penyalahgunaan dadah dan rempit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved