Khamis, 7 Mac 2013

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Suami 'hilang' di ibu kota

Posted:

Shah Alam: Ada pelacur yang mahu pulang ke pangkal jalan, tetapi tidak tahu kepada siapa mahu mengadu. Ada keluarga merempat bawah jambatan bersama anak kecil, ada pula yang mahu mengundi, tapi kehilangan kad pengenalan. Desakan hidup menyebabkan golongan ini mesti dibantu.

Itu antara 1001 rencah hidup gelandangan yang direkodkan Pertubuhan Bantuan Malaysia Bersatu Selangor (PBMBS) dalam usaha badan bukan kerajaan (NGO) itu turun padang dan membantu golongan berkenaan, terutama di Klang, Banting, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.


Dalam banyak kes dikesan, PBMBS berdepan satu kes menyedihkan apabila seorang isteri yang mengandung tujuh bulan dan berasal dari Kelantan ditemui merayau-rayau sekitar sebuah masjid di Kuala Lumpur dalam misi mencari suaminya yang menghilangkan diri dipercayai berada di ibu negara.

Mendedahkan perkara itu, Presiden PBMBS Datin M Mageswary berkata, isteri berusia 27 tahun itu ditemuinya dua kali sejak beberapa hari lalu dalam keadaan keletihan kerana menyusur jalan di Kuala Lumpur mencari suami kesayangannya.


"Ini adalah antara rencah kehidupan golongan yang memerlukan pertolongan. Kami cuba membantu wanita itu, tetapi dia keberatan kerana mahu mencari suaminya sehingga dapat walaupun dalam keadaannya yang berbadan dua. "Begitu juga beberapa kes lain yang unik, misalnya membabitkan pelacur. Dia mendakwa ditinggalkan suami dan sudah mempunyai anak yang ditinggalkan di kampung.


"Mereka amat memerlukan bantuan terutama dari segi pekerjaan dan tempat tinggal, tetapi kami sebagai NGO tidak mampu membantu semua kerana dihalang ketiadaan dana mencukupi. Golongan ini membabitkan 65 peratus Melayu dan 30 peratus India," katanya.

Foto

PEGAWAI PBMBS mengambil keterangan wanita terbabit pelacuran yang mahu pulang ke pangkal jalan di Klang.

Mageswary memberitahu Harian Metro, sebelum ini pihaknya melakukan kerja amal serupa di beberapa bandar lain seperti Pelabuhan Klang.


Menurutnya, dalam kerja amal itu pihaknya menemui golongan gelandangan yang layak mengundi, tetapi tidak pernah melaksanakan tanggungjawab mereka kerana terlalu dihimpit desakan hidup.

"Mereka tinggal di bawah jambatan melakukan kerja seperti mencuci kereta selama bertahun-tahun. Mereka tiada rumah dan lebih menyedihkan pengaruh persekitaran yang tidak sihat menyebabkan ada antara mereka terbabit kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya.


Sehubungan itu, beliau mencadangkan pihak yang lebih berkemampuan membantu golongan terbabit dengan segera kerana dibimbangi jumlah mereka meningkat, sekali gus mencetuskan gejala sosial luar biasa di beberapa bandar sekitar Lembah Klang.


Menurutnya, sehingga kini PBMBS sudah kehabisan dana untuk membantu golongan itu kerana terbabit beberapa kerja amal menyediakan makanan dan perlindungan sewajarnya sebelum ini.


"Kalau boleh kami mohon agensi atau pihak yang lebih mampu berhubung dengan PBMBS menerusi talian 03-33418021 atau e-mel di alamat mages_pbmbs@ yahoo.com. Kita mesti membantu golongan itu kerana sebahagian besar mereka mahu kembali ke dalam masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved