Rabu, 10 April 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


TMJ tak jadi letak jawatan

Posted: 09 Apr 2013 10:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik balik keputusan meletak jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta merta.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah mengumumkan keputusan itu pada sidang media selepas Tunku Ismail berkunjung ke Istana Pahang, semalam.


Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Sultan Ahmad Shah berkata, keputusan itu dibuat Tunku Ismail selepas dipujuknya selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim.


"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana harapan saya menjadi kenyataan, Tunku Mahkota Johor akan kembali sebagai Presiden PBNJ dan saya telah menasihatkan (Tunku Ismail) supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan bola sepak di Johor," katanya.


Sultan Ahmad Shah bagaimanapun menegaskan, Tunku Ismail tetap akan menjalani hukuman penggantungan dan denda diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini.

"Sekali anda memutuskan untuk menjadi anggota persatuan, kita tertakluk kepada undang-undang yang diperuntukkan persatuan dan tiada siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang telah termaktub bertahun-tahun," ujar beliau.


Sultan Ahmad Shah turut gembira dengan pencapaian diraih dua pasukan di bawah PBNJ iaitu Johor Darul Takzim (Liga Super) dan Johor FA (Liga Perdana) sejak Tunku Ismail menjadi Presiden PBNJ.

Tunku Ismail sebelum ini digantung enam bulan dan denda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga M dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lalu.


Beliau turut dipalit kontroversi selepas didakwa duduk di bangku simpanan pemain sewaktu aksi Liga Super antara Johor DT menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 30 Mac ketika hukuman masih berkuat kuasa.


Pada 3 April, Tunku Ismail membuat keputusan meletak jawatan selaku Presiden PBNJ.


Beliau dikatakan berbuat demikian kerana mahu menumpukan tugas selaku TMJ dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.


Tunku Ismail turut mengumumkan akan menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ akan disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10

Leban Chondong B menyinar

Posted: 09 Apr 2013 10:47 AM PDT

Rompin: Seperti diramal pasukan Leban Chondong B muncul juara Kejohanan Cabaran Futsal Padang Tertutup Kolej Komuniti Rompin 2013 di padang Dataran Majlis Daerah Rompin, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir, Leban Chondong B menewaskan Cardiff City, 2-1 menerusi sepakan penalti untuk membawa pulang hadiah RM700 dan piala kejohanan.


Naib johan meraih RM500, Jiran Muda ketiga, RM300 dan Blue Knight keempat RM150.

Kejohanan kali pertama dianjur Kolej Komuniti Rompin mendapat kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Majlis Daerah Rompin dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin disertai 32 pasukan.


Turut diadakan kejohanan bola jaring disertai tujuh pasukan yang menyaksikan skuad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin muncul juara.


Majlis perasmian kejohanan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Mohd Johari Hussain. Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Rompin R Muraly Tharen.

Mohd Johari yang juga penasihat Kolej Komuniti Rompin berkata, kejohanan itu antara program mendekati rakyat dianjurkan Kolej Komuniti Rompin. Menurutnya, tujuan utama program adalah untuk memperkenalkan selain mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat setempat dengan Kolej Komuniti Rompin.


"Kejohanan futsal dan bola jaring turut menjadi gelanggang mencungkil bakat baru di kalangan belia daerah ini untuk membawa cabaran di peringkat negeri.

"Saya puas hati dengan sambutan dan kejayaan menganjurkan program ini yang membuktikan Kolej Komuniti Rompin memiliki kemahiran menganjurkan acara sukan," katanya.


Beliau berkata, lebih banyak pertandingan sukan dan aktiviti riadah akan dianjurkan di daerah ini dalam usaha menarik minat golongan belia mendampingi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved