Rabu, 10 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Cinta tiga segi

Posted: 10 Apr 2013 12:45 AM PDT

Tidak dapat dinafikan darah seni yang mengalir dalam diri diwarisi daripada ibunya yang juga penyanyi terkenal era 1980-an, Rohana Jalil. Malah, kedua ibu bapa jugalah yang menjadi tulang belakang pembabitan penyanyi muda berbibir seksi, Kilafairy, 21, dalam bidang nyanyian.

Justeru, tidak hairanlah, bidang nyanyian nampaknya tidak dapat dipisahkan dalam dirinya walaupun dia mula mencipta nama sebagai pelakon ketika ini.

"Secara peribadi, saya memang meminati kedua-dua cabang seni sama ada nyanyian mahupun lakonan sejak kecil lagi. Misi saya untuk menempa nama dalam kedua-dua bidang diceburi sekali gus. Jika nak diikutkan, bapa juga lebih suka saya dikenali dalam bidang nyanyian seperti ibu.

"Tapi saya pula sebaliknya ingin mengembangkan bakat dalam pelbagai cabang seni sedia ada. Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan juga mencurah termasuk tawaran beraksi watak utama dalam projek drama, telefilem serta filem ketika ini. Apapun, undangan persembahan tetap ada," katanya.


Bagi membuktikan dirinya serius untuk bergelar penyanyi, pemilik nama sebenar, Syakila Nisa Jahangir Khan atau lebih mesra disapa Kila mempertaruhkan single terbarunya berjudul Pasti yang juga sentuhan penyanyi dan komposer muda Amylea Azizan (Amylea AF).


"Ibulah yang mendorong saya untuk buat single demi single ini. Single pertama Roman (band Roman) featuring Kilafairy juga ciptaan Amylea. Saya memilih untuk bekerjasama dengan Amylea kerana puas hati dengan hasil single pertama dulu.

"Pembikinan single kedua, Pasti yang juga berkonsep R & B dan soul ini dilakukan tahun lalu dalam tempoh lima bulan. Manakala, klip video single ini juga sudah dimuat turun di laman sosial YouTube.

"Proses pembikinan single kedua ini mengambil masa kerana saya ingin hasil berkualiti. Maklumlah, saya menggunakan modal sendiri. Insya-Allah, saya bercadang untuk melancarkan single Pasti dalam tempoh terdekat ini, manakala album penuh pula dijangka siap pada tahun depan," katanya.

Impian tercapai berlakon dalam cerita ala Bollywood

Impian Kila yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan untuk berlakon dalam cerita tema Bollywood akhirnya tercapai dalam telefilem Cinta Agra arahan Jamal Khan untuk saluran RTM. Penggambaran telefilem ini berlangsung pada musim sejuk membabitkan lokasi di sekitar New Delhi dan Kashmir, India pada awal Januari lalu.

Kila yang boleh menguasai lagu Hindi dengan baik turut diberi kepercayaan memegang watak utama dalam kisah cinta tiga segi yang menampilkan Shah Iskandar dan pelakon baru Narenth Rao ini.

"Saya tertarik untuk berlakon dalam cerita itu kerana ia tema Bollywood. Ibu juga beriya-iya nak tengok saya berlakon dalam cerita itu. Malah, dia sanggup menemani saya sepanjang penggambaran di sana.

"Saya menimba pengalaman menarik dan berharga sepanjang penggambaran di negara itu. Selain Jamal selaku pengarah yang banyak memberi bimbingan, saya juga tidak ada masalah untuk mendapat keserasian dengan Shah mahupun Narenth yang menampilkan lakonan seperti dikehendaki dalam cerita ini," katanya.

Menyusul selepas itu, Kila yang dikenali dalam drama Saiful Nita (TV3) dan filem Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin ditawarkan pula berlakon dalam telefilem romantik komedi, Mentolku arahan Eoon Shuhaini untuk stesen TV3.

Kali ini, dia digandingkan dengan Juara program realiti One A Million, Tomok sebagai watak utama dalam cerita yang bakal bersiaran 4 Mei nanti.

"Sebelum ini, saya sering diberikan watak antagonis dan penggoda dalam drama. Justeru, bila ditawarkan berlakon dalam cerita romantik komedi ringan ini, saya tidak berfikir dua kali kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.

"Saya pegang watak Ain yang juga pekerja baru di sebuah syarikat. Ain juga belajar seni mempertahankan diri 'Muay Thai' kerana dia seorang yang takut gelap. Saya juga tidak ada masalah bergandingan dengan Tomok dalam telefilem ini kerana sering digandingkan sama dalam program RTM sebelum ini.

"Bukan saja dengan Tomok, ia juga kali pertama saya bekerjasama dengan Eoon Shuhaini selaku pengarah telefilem ini. Pada pandangan saya, dia suka memberi bimbingan pada pelakon dan tahu apa yang dimahukannya dalam cerita ini," katanya.

Beralih soal peribadinya pula, Kila yang pernah dihimpit dengan pelbagai cerita kontroversi memberitahu dirinya masih belum mempunyai teman istimewa lagi.

"Usia saya masih muda baru 21 tahun. Saya juga bakal menamatkan pengajian dalam Dip-loma Lanjutan Fesyen, Pemasaran dan Pengurusan di Raffles International College pada April ini. Buat masa ini, biarlah fokus saya untuk membina nama dalam karier seni terlebih dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Advertorial: Oblivion - Dari Fantasi Ke Realiti

Posted: 10 Apr 2013 12:32 AM PDT

Pada Mac 2012, kerja-kerja produksi bermula untuk filem 'Oblivion' di Celtic Studios, Baton Rouge, Louisiana.

Bagi menghidupkan visi pengarah Joseph Kosinski yang juga penulis asal novel grafik ini, tujuh pentas dibina di studio berkeluasan 23 hektar itu.

Di Pentas 4, Kosinski dan krewnya seramai 350 orang memulakan tugas 'membina semula' Perpustakaan Awam New York di ruang berukuran 30,800 kaki persegi.

Bezanya dengan perpustakaan sebenar yang terletak di 42nd Street dan Fifth Avenue, sebahagiannya telah musnah gara-gara peperangan dengan mahkluk asing.


Pereka produksi Darren Gilford dan krewnya memberi perhatian teliti kepada setiap perincian. Contohnya, mereka telah membina 12 'chandelier' gergasi tiga tingkat dengan 150 mentol kayu yang diperbuat dari tangan seperti yang terdapat di Perpustakaan Awam New York.


Salah satu babak berlatarbelakangkan Perpustakaan Awam New York melihat watak utama, Jack Harper lakonan Tom Cruise, diturunkan dari ketinggian 54 kaki ke dalam sebuah gua yang sebenarnya sisa peninggalan Perpustakaan Awam New York.

Pentas 5 menyaksikan pembinaan 'Skytower', tempat tinggal Jack dan pembantunya, Victoria 'Vika' Olsen (lakonan Julia Rusakova) yang terletak 3,000 kaki di permukaan troposfera.

Bagaikan sebuah dunia di awang-awangan, keadaan di Skytower menampilkan persekitaran yang bersih, sintetik dan berteknologi tinggi. Berbeza dari bumi yang sudah musnah dan setiap ceruk menyorokkan ancaman yang tidak diketahui.

Lima bulan sebelum penggambaran awal, kerja-kerja membina 'Skytower' sudah bermula. Dari pereka lampu dan pembuat almari, semua yang terlibat bertungkus-lumus mereka bentuk sebuah rumah yang digambarkan sebagai kediaman impian setiap pereka rumah.

Bagi memastikan hasil yang realistik, Kosinski memutuskan untuk menjadikan set Skytower kelihatan seperti benar-benar di awang-awangan semasa penggambaran. Enggan menggunakan skrin biru, kumpulan VFX yang diketuai Eric Barba dan penyelia VFX Pixomondo, Bjorn Mayer telah bekerjasama dengan Production Resource Group (PRG) untuk mereka sebuah awangan yang realistik untuk 'Oblivion'.

Tempoh tiga minggu dihabiskan untuk mendapatkan hasil yang dipersetujui Kosinski, Barba dan sinematografer Claudio Miranda. Plat yang digunakan untuk mewujudkan senario langit di sekeliling Skytower adalah rakaman krew VFX sewaktu di lokasi di kemuncak Haleakala Crater, Maui, Hawaii. Tiga kamera digunakan untuk merakamkan keadaan langit dari siang sehingga malam.

Selain set, pihak produksi juga dikerah membina pesawat Bubbleship, gabungan jet pejuang dan helikopter Bell 47. Lebih setahun sebelum penggambaran, mereka di Wildfactory di Camarillo, California yang diketuai Daniel Simon telah mereka sebuah pesawat masa depan.

Selepas rekaan diluluskan, Bubbleship mengambil masa empat bulan untuk dibina menggunakan aluminium dan fibreglass di sebuah gudang di Los Angeles sebelum ia dileraikan dan dihantar ke Louisiana, Iceland dan Mammoth, California untuk penggambaran. Ia mengambil masa lima jam untuk dipasangkan dengan empat orang krew.

Gilford memberitahu beberapa replika Bubbleship terpaksa dibina bagi tujuan penggambaran. Malah satu 'gimbal' Bubbleship yang memuatkan replika kokpit pesawat telah dibina di Pentas 6, bertujuan mensimulasikan perjalanan udara dengan bantuan skrin hijau.

Selain itu, Gilford dan krewnya juga bertanggungjawab menghidupkan robot drone yang dilengkapi dengan animatronik, membolehkan mereka bergerak, berpusing dan menyala dengan alat kawalan jauh.

Mereka juga membina semula bahagian dalam kapal angkasa Odyssey dan kedai hadiah Empire State Building, peralatan senjata yang digunakan Jack dan makhluk asing, 'pod' tempat tidur, ruang kerja Jack, bilik kawalan Vika…

Pendek kata, bukan mudah untuk merealisasikan visi Kosinski. Lebih-lebih lagi bila setiap rekaan bukanlah hanya sedap mata memandang tetapi mampu wujud di masa akan datang.

Mengikut entri di Wikipedia, 'Oblivion' dikatakan menelan belanja AS$120 juta. Mampukah 'buah tangan' terbaru Kosinski memuaskan peminat filem aksi-penggambaran? Mampukah ia membawa pulangan 'box office' yang diharapkan?

Nantikan jawapannya di pawagam 11 April ini.

http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=A27xPYvqERw

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved