Rabu, 10 April 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Sertai maraton setiap bulan

Posted: 10 Apr 2013 01:54 PM PDT

"Dulu saya gemuk dan tubuh sering rasa tidak selesa," ringkas saja kata-katanya yang membuatkan penulis terpaku seketika melihatkan susuk tubuhnya ketika ini.

Dengan tubuh kurus dan tinggi bak peragawati, bagaikan tidak percaya dengan apa yang terpacul dari bibirnya itu.

Karen Loh mengakui detik di mana tubuhnya yang dulu sederhana berubah mendadak selepas melahirkan anak kedua beberapa tahun lalu.

Meskipun aktif dan menjadi atlet olahraga di sekolah, hampir 20 tahun Karen tidak bersenam atas alasan ti­ada masa dan menumpukan perhatian kepada keluarga.

Foto

KAREN mahu wanita Malaysia amalkan hidup sihat.


"Saya tidak suka ke gimnasium dan saya rasa tidak perlu kerana rasa sihat. Tapi berat badan yang naik tiba-tiba selepas mempunyai anak kedua membuatkan saya tergerak untuk kembali bersenam," katanya.


Melihatkan jiran yang gemar berlari di sekeliling kawasan kediaman mereka juga membuatkan wanita berusia 43 tahun ini makin bersemangat untuk kembali bersukan.

"Langkah pertama memang amat sukar untuk dilakukan. Dulu saya sentiasa katakan pada diri tidak mampu untuk kembali berlari kerana tiada stamina.

"Tapi saya nekad untuk mencuba, ditambah dorongan suami dan jiran yang menemani saya berlari sekeliling taman perumahan kami.

"Langkah pertama itu akhirnya memberi perubahan besar dalam hidup saya. Daripada sifar, kini saya berjaya mengharungi larian sejauh 100 kilometer (km) di Hong Kong, baru-baru ini.

"Saya percaya, wanita lain juga mampu melakukannya seperti saya," ujarnya.

Langkah pertama itu jugalah yang memberi laluan untuk Karen terus mengembangkan minat­nya dalam larian maraton.

Tahun lalu, Karen beraksi di dua maraton berbeza dalam sehari. Di sebelah pagi, dia berada di Singapura untuk acara 50km dan sebelah malam pula menyertai acara di Putrajaya dengan melakukan larian sejauh 42km.

"Kedua-dua larian itu untuk aktiviti amal dan saya langsung tidak rasa letih selepas itu, malah lebih bertenaga! Ia juga membuktikan bahawa wanita sebenarnya mempunyai semangat juang dan ketahanan yang tinggi.

"Dari segi kekuatan fizikal, saya tidak berasakan wanita ketinggalan jauh daripada lelaki. Contohnya, rekod dunia maraton wanita ialah 2 jam 15 minit manakala lelaki mencatat 2 jam 3 minit.

"Hanya 12 minit di belakang, jadi ia bukanlah jurang yang jauh untuk dikejar. Untuk larian jarak jauh yang melebihi 42km, saya percaya wanita lebih berupaya bertahan lama.

"Saya sendiri bangga kerana dapat mengalahkan lelaki bagi larian kategori itu," jelasnya.

Sememangnya apabila bersemuka dengan Karen, pasti terselit rasa kagum dengan pencapaian wanita ini. Apa yang diceritakan dan dilakukannya nyata mencetuskan inspirasi dalam kalangan pelari maraton muda.

"Sebenarnya mudah saja. Apabila mula merancang untuk melakukannya, sarungkan kasut dengan segera dan mula berlari. Apabila kita menetapkan minda untuk merealisasikan hasrat itu, lakukan sebaiknya dan ia akan membawa kita lebih jauh tanpa kita sedari.

"Ramai dalam kalangan wanita mengatakan tidak mampu berlari maraton kerana jarak yang jauh, sukar, berat badan, malah baju tidak sesuai.

"Tapi, itu semua hanya alasan semata-mata kerana kita sendiri yang mengehadkan diri untuk melakukannya.

"Dulu saya juga begitu. Saya tidak pernah jangka dapat berlari seperti ini tapi saya beranikan diri untuk mengambil langkah pertama.

"Selain itu, saya dapati diri akan lebih yakin dan berani selepas itu kerana berjaya melakukan sesuatu yang sebelum ini dirasakan mustahil.

"Apa yang penting, tetapkan minda kemudian berusaha ke arah itu. Kelak ia pasti mengubah hidup anda kepada perkara positif," katanya.

Di sebalik kesibukannya menguruskan keluarga dan menyertai acara maraton hampir setiap bulan, Karen masih mempunyai masa untuk mengembang­kan lagi aktiviti larian maraton dalam kalangan wanita di negara ini.

Acara Maraton Wanita Malaysia Nestle Fitnesse 2013 (MWM) menjadi titik permulaan Karen kepada gerakan hidup sihat untuk diamalkan wanita Malaysia.

Objektif MWM bukan hanya mengumpulkan pelari wanita yang aktif bermaraton, tapi menarik lebih ramai pe­nyertaan kali pertama agar budaya hidup sihat menjadi amalan dalam masya­rakat negara ini.

Menariknya, ia tidak hanya bertumpu kepada aktiviti larian semata-mata, tapi merangkumi minat wanita antaranya kesihatan, kecantikan dan fesyen.

"Kami mahu wanita tahu bahawa aktif dalam maraton atau apa jua sukan tidak mengehadkan diri untuk tampil feminin. Ramai pelari maraton dunia yang berjaya mencipta rekod dunia, tapi pada masa sama masih mengekalkan ciri kewanitaannya serta gemar berfesyen.

"Jadi untuk meraikan aspek kewanitaan itu, peserta MWM tidak menerima kemeja-T seperti lazimnya, tapi digantikan dengan kain pareo pelbagai guna," tambahnya.

MWM juga tidak menyediakan pingat yang berat dan besar untuk pemenang, tapi rantai dan tag perak yang boleh diukir di belakangnya. Ia seperti aksesori yang boleh disuai padan dengan busana pilihan dan dipakai pada bila-bila masa.

Perlumbaan yang berjaya menarik 1,900 penyertaan bagi kategori maraton penuh, separuh dan 8km itu juga menyaksikan kemunculan pelari maraton legenda, Kathrine Switzer melakukan upacara pelepasan peserta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11

Sapu losen tapi kulit terbakar

Posted: 10 Apr 2013 11:26 AM PDT

Dulu sering terfikir mengapa baru-baru ini ketika berkunjung ke Pulau Langkawi (yang memang panas cuacanya), kulit muka penulis ada kesan terbakar walaupun disapu tebal dengan losen tabir suria pelindung matahari sedangkan sapuan sebelum ini kebanyakannya berjaya. Adakah losen yang dibeli itu tidak berkesan?

Selepas bertanya-tanya dan membaca, barulah tahu rupanya ia bukan salah losen sebaliknya penulis yang kurang ilmu. Berdasarkan pembacaan, rupa-rupanya ramai orang melakukan kesilapan apabila menggunakan losen tabir suria (pelindung matahari) sehingga menyebabkan ia tidak menunjukkan kesan seperti diharapkan.

Bahkan ada pihak berkata, jika losen yang disapu tidak cukup atau tidak mengikuti saranan, ia bukan saja tidak berfaedah, malah mungkin boleh menyebabkan penuaan pramatang - satu perkara yang hendak dielakkan.

Menggunakan losen tabir suria setiap hari bukan saja membantu menghalang dan mengurangkan kesan kerosakan akibat pancaran terik matahari, malah dikatakan ia boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada produk kecantikan antipenuaan.

Antara perkara yang perlu diketahui mengenai losen tabir suria:

Pemilihan

Pilih losen berdasarkan kandungan faktor pelindung matahari (SPF). Secara teorinya, lebih tinggi kandungan SPF satu-satu produk, lebih baiklah perlindungan diberikan daripada sinar ultra ungu B (UVB) yang menyebabkan kulit terbakar dan menjadi gelap, tetapi ia tidak melindungi kita daripada sinar ultra ungu A (UVA) yang boleh meresap masuk lebih jauh ke dalam kulit.

Namun, kadangkala sukatan SPF ini mengelirukan. Kita mungkin terfikir produk yang mengandungi SPF 30 memberi perlindungan dua kali ganda berbanding SPF 15. Hakikatnya tidak begitu.

Seorang pakar dermatologi Florida, Dr James M Spencer, seperti yang dilaporkan dalam artikel kesihatan WebMD, berkata, produk dengan SPF 15 menghalang 94 peratus sinar UVB dan produk dengan SPF 30 memberi perlindungan sehingga 97 peratus pada sinaran yang sama. Produk dengan SPF 45 pula menghalang 98 peratus sinar UVB.

Jadi buatlah pertimbangan bijak, bergantung kepada kesesuaian aktiviti yang hendak dilakukan. Produk yang baik haruslah mempunyai sekurang-kurangnya SPF 15, avobenzone, titanium dioxide atau zinc oxide.

Bagi anda yang mempunyai kulit sensitif, cubalah sedikit dulu losen ini
di pergelangan tangan. Jika ada tanda alahan, hentikan penggunaannya dan beli jenama lain. Lakukan kaedah ini sehingga anda menemui losen yang bersesuaian.

Kuantiti digunakan

Antara kesilapan yang selalu dilakukan ialah menyapu losen tabir suria ini terlalu sedikit. Kebanyakan orang menyapukan losen sebanyak 25 hingga 50 peratus daripada jumlah yang disarankan.

Losen ini sepatutnya disapu secukupnya sehinggalah kelihatan seperti satu lapisan pada kulit. Sapulah pada semua bahagian atau anggota yang terdedah kepada cahaya matahari.

Kulit kita mengambil masa 20 hingga 30 minit untuk menyerap losen tabir suria ini. Inilah sebabnya kita perlu menyapukan losen sekurang-kurangnya 20 minit sebelum melakukan aktiviti di luar.

Sapuan

Ada orang menyapukan losen tabir suria terlebih dulu dan kemudian diikuti produk lain. Sepatutnya losen pelindung ini dijadikan sapuan terakhir pada kulit khususnya muka kerana ada sesetengah jenis losen boleh terjejas keberkesanannya dengan kehadiran air dalam krim asas dan pelembap.

Namun, jika kita hendak pergi bekerja, cara yang disarankan ialah menyapukan losen tabir suria terlebih dulu pada seluruh muka, leher dan telinga. Kemaskan penampilan dengan mengoleskan bedak padat dan mekap.

Bedak ini akan membuat­kan losen tabir suria bertahan lebih lama pada kulit wajah kita.

Tidak menyapu semula losen tabir suria

Walaupun sudah membaca arahan bahawa losen tabir suria ini perlu disapu semula selepas satu tempoh masa, ramai mengabaikannya kerana ia dianggap melecehkan.
Kalau diperhatikan, hampir semua jenama losen ini menyarankan supaya kita menyapu krim ini dengan kerap, tetapi persoalannya sekerap mana? Adakah kita benar-benar perlu menung­gu sehingga dua jam selepas sapuan pertama untuk olesan kedua?

Dalam satu kajian mendapati krim tabir suria yang disapu setiap 30 minit memberikan kesan yang lebih baik daripada menunggu tempoh disarankan (contohnya dua jam). Saranan untuk sapuan kedua ini diberi mungkin kerana ramai orang tidak menyapukan jumlah losen yang secukupnya.

Sapuan kali kedua ini lebih digalakkan selepas berenang, berpeluh dengan banyak atau mengesat muka (dan anggota badan yang terdedah) dengan tuala.

Tidakkah kandungan SPF dalam produk kecantikan sudah mencukupi?

Jawapannya, tidak. Memang kebanyakan produk kecantikan sekarang diberi nilai tambah dengan adanya SPF. Namun, ia masih tidak mencukupi kerana secara umumnya kita memerlukan tujuh kali ganda jumlah krim asas dan sehingga 14 kali jumlah bedak yang digunakan untuk mendapat kesan sama seperti losen tabir suria.

Walaupun ditulis pada bungkusan satu-satu produk kecantikan itu mengandungi sehingga SPF 30, jumlah atau kuantiti yang kita gunakan untuk disapu sebenarnya sangat sedikit dan tidak cukup untuk melindungi kulit kita daripada UVB.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved