Isnin, 22 April 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Bangunan usang tinggal kenangan

Posted: 22 Apr 2013 08:22 AM PDT

Terletak sejauh 72 kilometer dari bandar Keningau, Kampung Bonor, Sook di Sabah ini hanya dihubungkan oleh jalan tanah merah yang tidak berturap.

Tidak cukup dengan itu, orang luar yang mahu memasuki kampung ini juga terpaksa melalui perjalanan selama dua jam merentasi kawasan berbukit-bukau, jalan curam dan lecak apabila hujan lebat untuk tiba di kampung itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Kesukaran perhubungan dengan dunia luar turut menyebabkan banyak kemudahan di sini begitu ketinggalan berbanding di kawasan lain.

Selain tidak mempunyai prasarana bekalan elektrik dan sumber air bersih, kemudahan pendidikan di kampung ini juga amat memerlukan pembelaan.

Foto

KEADAAN bilik darjah tadika Cahaya Hati yang baru.

Foto

SUKARELAWAN Raleigh melayan pelajar di situ.

Foto

SUZYLINE mengajar anak muridnya mengeja.

Foto

IMMY tidak ketinggalan bermesra dengan pelajar tadika Cahaya Hati.

Foto

KEPUASAN dan kegembiraan kumpulan sukarelawan yang membina tadika Cahaya Hati untuk kegunaan anak Kampung Bonor.


Ini kerana, sejak 2010, kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun di sini terpaksa belajar mengenal huruf, mengeja dan membaca di bahagian atas rumah pastor kampung berkenaan.


Tidak seperti kanak-kanak lain yang tinggal di bandar dan mempunyai kemudahan pembelajaran lebih sempurna, mereka belajar di dalam keadaan kurang menyenangkan apatah lagi rumah yang diperbuat daripada papan itu semakin usang.

Mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan keadaan kehidupan sebegitu, mereka tetap meneruskan kehidupan seharian dengan penuh warna-warni, walaupun hati menjerit mahukan pembaharuan sama seperti masyarakat lain di bandar.

Bagaimanapun, selepas sekian lama menunggu, kira-kira 500 penduduk kampung itu kini dapat menarik nafas lega apabila syarikat korporat, Nestle Malaysia Berhad (Nestle) dan sebuah pertubuhan sukarela dari United Kingdom, Raleigh International Malaysia (Raleigh) menyumbang dana dan tenaga membina sebuah tadika sebagai pusat kemudahan pendidikan awal kanak-kanak.

Menerusi tadika yang diberi nama Cahaya Hati itu, ia membolehkan 17 kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun mengikuti pembelajaran awal dengan lebih selesa dan sempurna berbanding sebelum ini.

Mempunyai ruang bilik darjah yang luas, dua bilik dan dihiasi dengan warna ceria biru dan kuning, tadika itu mula dibina Februari lalu membabitkan 45 sukarelawan Raleigh yang turut menerima bantuan daripada penduduk kampung.

Selepas 10 minggu proses pembinaannya, kini tadika ke-10 Nestle dan Raleigh itu disiapkan sepenuhnya walaupun pelbagai kesulitan terpaksa dilalui sepanjang tempoh itu.

Cabaran siapkan bangunan

Wakil sukarelawan, Robert Donat berkata, mereka mengambil kayu dari hutan dan menggunakan laluan sungai untuk menghantar kayu berkenaan ke kawasan daratan semula.

Kesukaran mendapat kenderaan sesuai bagi tujuan pengangkutan membawa masuk dan keluar kelengkapan diperlukan diakui cabaran terbesar buat kumpulan sukarelawan.

"Kawasan kampung ini juga selalu mengalami hujan lebat dan sedikit sebanyak ia turut mengganggu gerak kerja kami kerana tempoh yang diberi untuk menyiapkan bangunan tadika ini hanya sekitar sembilan hingga 10 minggu.

"Kebanyakan sukarelawan juga tidak mempunyai pengalaman bertukang kerana mereka semua masih muda, namun berkat kesabaran, tunjuk ajar dan semangat bekerjasama, kami berjaya melakukannya dengan bantuan orang kampung.

"Hari ini (Sabtu minggu lalu) selepas melihat semua kanak-kanak itu duduk di tempat masing-masing dan tersenyum gembira, perasaan puas, gembira, sebak dan terharu menyelubungi diri saya. Saya percaya sukarelawan lain juga berperasaan sama.

"Satu lagi pengalaman berharga yang tidak dapat dilupakan sepanjang berada di sini apabila kami perlu bergaul dengan penduduk tempatan yang tidak memahami bahasa Inggeris selain perlu tidur di dalam dewan beramai-ramai, mandi air sungai yang keruh setiap hari dan menjamu selera dengan hidangan suku kaum Murut.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana mereka dapat menerima dan melayan kami dengan cukup baik sekali sepanjang tempoh ini," katanya.

Sukarnya hidup serba kekurangan

Penduduk kampung, Sayun, 35, yang menghantar anaknya, Elmi berusia enam tahun ke tadika Cahaya Hati pula berkata, kampungnya sangat terpencil dan terpinggir. Namun, kewujudan tadika baru ini membolehkan kanak-kanak daripada masyarakat setempat mendapatkan pendidikan prasekolah yang baik.

Sebelum 2010, kebanyakan kanak-kanak di bawah umur enam tahun tidak mempunyai peluang belajar di tadika dan hanya mula mengenal huruf apabila mereka ke sekolah rendah ketika berumur tujuh tahun.

Sayun gembira kerana jika sebelum ini abang dan kakak Elmi tidak dapat belajar di sekolah tadika, keadaan sama tidak berulang lagi kepada anak bongsu kesayangannya itu.

Mendapat bimbingan dua guru terlatih, Rekey Raipai, 22 dan Suzyline Jikang, 22, pelajar di tadika itu boleh mula menimba ilmu seawal jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari dan melakukan aktiviti riadah pada sebelah petang.

"Saya dan Suzy adalah anak jati kampung ini dan kami amat memahami kepayahan menjadi kanak-kanak di kawasan pedalaman yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

"Sewaktu zaman kami, tiada sekolah tadika seperti ini. Atas sebab itu, saya gembira kerana terpilih untuk berkhidmat di kampung sendiri serta mengajar anak kecil ini erti pendidikan di awal usia.

"Jika dibandingkan tadika ini dengan yang dulu, ia jauh berbeza kerana kemudahan seperti alat bantu mengajar juga tidak ada. Justeru, kewujudan tadika ini diharapkan dapat membantu pelajar untuk belajar dalam keadaan selesa dan teratur," katanya.

Usaha jangka panjang

Sementara itu, Pengurus Tanggungjawab Korporat Nestle, Immy Ooi berkata, projek tadika berkenaan sejajar dengan falsafah korporat syarikat itu yang berusaha membantu membangunkan masyarakat yang memerlukan khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam meneruskan komitmen Nestle untuk menyokong pembangunan luar bandar, pihaknya bekerjasama dengan Raleigh International, sebuah organisasi antarabangsa bukan berasaskan keuntungan, yang memberi tumpuan kepada belia dan pembangunan mampan untuk membina tadika di kawasan terpencil dan termiskin di Sabah di mana masyarakat setempat kebanyakannya menyara hidup dengan berladang sebagai mata pencarian mereka.

Tahun ini juga masuk kali kesembilan Nestle dan Raleigh bekerjasama dan sudah membina 10 tadika di kawasan pedalaman Sabah seperti di Kampung Liu, Mapan Mapan, Maliau Layung, Sonsogon Magandai, Lingka Bugan 2 dan Paus di Pitas, Kampung Saguon di Tongod, Kampung Keranaan di Ranau dan Kampung Terian di Sugud.

"Nestle mempercayai akses kepada pendidikan prasekolah amat penting kerana ia membentuk dan membina asas bagi pendidikan awal kanak-kanak.

"Tanpa ilmu dan pelajaran, saya percaya sukar untuk kita bersaing di dalam dunia yang dipenuhi dengan arus kemodenan ini. Justeru, bantuan sebegini diberikan kepada mereka yang memerlukan demi masa depan lebih terjamin.

"Inisiatif ini juga sejajar dengan falsafah perniagaan kami iaitu menjana nilai bersama yang menyatakan demi mencapai nilai jangka panjang untuk pemegang saham kami, kami juga perlu menjana nilai masyarakat di mana kami beroperasi," ujarnya.

Pengurus Program Negara Raleigh, Sarah Hoare menjelaskan, 2013 menyaksikan satu lagi kerjasama mengagumkan antara Raleigh International dan Nestle.

Menerusi kerjasama ini, pembiayaan disediakan Nestle manakala kerja pembinaan dilaksanakan oleh sukarelawan Raleigh International dengan sokongan masyarakat setempat agar kanak-kanak berusia antara tiga hingga enam tahun di kampung ini mampu menerima pendidikan prasekolah di sebuah bangunan khas.

"Perkara ini memberikan mereka peluang untuk mencapai tahap yang diperlukan bagi memasuki sistem sekolah di Malaysia dan meluaskan peluang pendidikan untuk generasi seterusnya.

"Sukarelawan datang dalam tiga kumpulan berbeza dan mereka bergilir-gilir melakukan pembinaan bangunan tadika itu sebaik mungkin. Saya mengharapkan kesinambungan kerjasama yang sekian lama dan berjaya ini memberi impak positif kepada penerima sumbangan," katanya.

Selain digunakan sebagai tadika, bangunan itu juga berperanan sebagai pusat pembelajaran komuniti bagi menampung sesi pendidikan tambahan untuk golongan dewasa di waktu petang seperti pembelajaran budaya tradisional dan pertanian.

Projek ini turut disokong oleh Organisasi Kerjasama Komuniti (PACOS) yang menumpukan pada sokongan komuniti penduduk asli di Sabah dengan memberi bantuan semasa perancangan awal projek termasuk penilaian kampung, mengenal pasti dan melatih guru.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22

Arkitek kek

Posted: 22 Apr 2013 08:05 AM PDT

"Kami benar-benar terpukul dengan kehilangan arwah abang (Anwar Rashidi Abdul Rashid). Pemergiannya kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya di Merchang, Terengganu, enam tahun lalu memberi kesan mendalam di sanubari abah dan mak.

"Sehingga pada satu tahap, abah enggan membenarkan saya dan seorang lagi abang (Anwar Rahimi, 23) berjauhan darinya. Abah mahu kami sentiasa di sisi walaupun tugasnya tidak membenarkan kami berkepit dengannya sepanjang masa," tutur Ainal Rashiqah dalam pertemuan di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Kehilangan anak kedua daripada lima beradik pada usia 20 tahun itu menyebabkan keluarga Ainal Rashiqah trauma, malah ibunya, Datin Ainal Marhanim Abd Ghani, 55, mengambil masa lama untuk memulihkan kembali semangatnya. Sehingga kini, suri rumah sepenuh masa itu masih tidak bersedia untuk berjauhan daripada anaknya.

"Mak dan abah tidak pernah bertemu dengan pelajar yang terselamat dalam kemalangan itu untuk mendapatkan cerita sebenar. Pada mereka ia sudah berlaku dan mereka reda dengan ketentuan-Nya.


"Ketika itu, saya berusia 16 tahun dan sudah faham mengenai kematian. Mahu atau tidak, dia tetap pergi. Ketika kejadian, arwah sedang mengikuti pengajian peringkat Diploma Seni Kulinari di Universiti Teknologi MARA Dungun, Terengganu," katanya.


Bagi meneruskan cita-cita arwah abangnya yang tidak kesampaian, sebaik tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, anak bongsu lima beradik itu terus melanjutkan pelajaran peringkat Diploma Pastri dan Bakeri di Food Institute Malaysia (FIM), Kuala Lumpur.

"Saya bagai terpanggil untuk menggantikan tempat arwah abang, malah mak dan abah memberi sokongan 100 peratus untuk saya mengikuti pengajian dalam bidang ini.

"Saya akan menyambung cita-cita arwah abang yang ingin menjadi seorang tukang masak berjaya dan terkenal di Malaysia," katanya mengenai permulaannya menceburi bidang masakan itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kuala Lumpur itu berkata, sebaik tamat pengajian, dia mencuba nasib untuk bekerja di hotel, tetapi hasratnya itu tidak dipersetujui bapanya, Datuk Abdul Rashid Harun, 56, yang enggan berpisah jauh daripada puteri bongsunya itu.

"Saya faham perasaan abah yang sehingga kini masih terasa dengan kehilangan arwah abang. Justeru, saya akur dengan permintaan abah dan rela menjalankan perniagaan sendiri di rumah.

"Abah sediakan segala-galanya untuk saya memulakan bisnes kek dan roti di rumah. Abah keluarkan modal hampir RM20,000 membeli ketuhar, mesin pembancuh tepung, pendingin dan peti sejuk," katanya.

Ainal Rashiqah berkata, selain enggan berjauhan dengan anak, bapanya yang juga pegawai kanan polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur mempunyai alasan sendiri enggan membenarkan anaknya bekerja makan gaji.

"Abah mahu kami menjadi bos dan kuli kepada diri sendiri kerana pengalaman itu sememangnya sangat berharga," katanya.

Sebagai bukti kasih sayang terhadap ibu bapanya, Ainal Rashiqah berkata, abangnya kini bergelar tukang jahit dan rakan kongsi di syarikat perniagaan yang menerima tempahan membuat pakaian seragam daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Mengenai perniagaan dalam talian yang diusahakannya, Ainal Rashiqah mengakui tidak mudah mengaku kalah dengan persaingan.

"Memang ramai menceburi perniagaan maya, tetapi apa yang saya hasilkan berbeza daripada mereka. Kek saya hanya berasaskan coklat. Kek coklat tetap menjadi pilihan kerana ia diminati semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak sehingga dewasa,"" katanya yang obses dengan kek coklat lembap.

Begitupun, pengalaman mematangkan setiap individu. Tidak terkecuali Ainal Rashiqah yang terpaksa mengorbankan masa dan wang apabila bahan mentah yang diadun untuk dibuat kek tidak mencapai kualiti diharapkan.

"Memang kecewa apabila adunan keras dan teksturnya tidak menjadi. Siapa yang tidak sedih apabila sejumlah wang yang banyak dibelanjakan, tetapi hasilnya mengecewakan.

"Menghadapi situasi ini, saya kembali mengingati pesanan pensyarah dengan menilai kemampuan diri sama ada menerusi pembacaan, penyelidikan atau Internet," katanya.

Walaupun baru tiga bulan menjalankan perniagaan, sambutan diterima sememangnya menggalakkan. Setiap hujung minggu waktu paling sibuk bagi si manis berlesung pipit ini menyiapkan tempahan.

Ainal Rashiqah menerima tempahan untuk kek majlis perkahwinan, pertunangan dan hari ulang tahun, selain mufin dan kek cawan dengan harga antara RM10 hingga RM180 mengikut bentuk, rekaan dan saiz.

Gadis ini tidak menafikan, sesiapa saja boleh menghasilkan kek, tetapi bergantung kepada kebolehan masing-masing.

Dalam membina kerjayanya, dia terharu dengan pengorbanan ibunya yang tetap setia membantu untuk menyiapkan kek.

"Prinsip saya, harga bukan ukuran kerana saya seronok membuatnya. Saya suka pelanggan menikmati kek hasil air tangan saya walaupun jari saya ini sebenarnya untuk melukis pelan kerana cita-cita asal untuk menjadi seorang arkitek.

"Kini, saya adalah arkitek untuk kek saya kerana pelanggan hanya perlu buat panggilan dan memberitahu apa yang diinginkan.

"Seterusnya, saya membayangkan permintaan mereka dan melakarnya di atas sekeping kertas putih. Arkitek juga namanya, arkitek dalam bidang pemakanan," katanya berseloroh.

Jauh di sudut hati, dia masih bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang seni bina yang menjadi cita-citanya sejak di bangku sekolah.

"Buat masa ini, saya lebih senang menjadi tukang buat kek yang bekerja untuk diri sendiri, sayalah bos dan saya juga kuli.

"Kalau rasa malas, saya lupakan seketika dapur kek saya dan mengambil peluang bersiar-siar atau menghabiskan masa bersama anak saudara saya yang berkunjung ke rumah setiap hujung minggu," katanya.

Berpandangan jauh dalam bidang yang diceburinya, dia akui tidak selamanya perlu bergantung kepada ibu dan ayahnya.

"Saya kini menyimpan wang untuk memiliki premis perniagaan sendiri. Saya merancang untuk membuka kios coklat dan pada usia yang masih muda, saya ada banyak masa untuk ke arah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/22
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved