Jumaat, 5 April 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Ketiadaan TMJ, kerugian PBNJ'

Posted:

Kuantan: Tindakan drastik Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dilihat sebagai kerugian besar buat sukan nombor satu negara, terutama di negeri itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah yang terkejut dan dukacita dengan keputusan itu, berharap Tunku Ismail menimbang semula keputusan melepaskan jawatannya itu.


"Saya sangat menyokongnya menyertai bola sepak dan berasa dukacita apabila dimaklumkan mengenai peletakan jawatan TMJ (Tengku Mahkota Johor), saya harap beliau menimbang semula keputusannya itu.

"Bagi saya, mereka (PBNJ) amat memerlukan beliau, kita tengok sejak TMJ menjadi Presiden, bilangan peminat bola sepak Johor di stadium amat menggalakkan, ini apa yang saya lihat sendiri melalui media," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), kelmarin.


Ditanya berhubung keputusan Tunku Ismail meletak jawatan kerana sukar mentadbir PBNJ yang terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM, beliau berkata, tiada siapa terkecuali daripada dikenakan hukuman jika mereka disabitkan kesalahan.


"Tiada siapa boleh lari daripada undang-undang dan perlu patuh serta terima hukuman jika bersalah, kerana tiada siapapun mengatasi undang-undang di Malaysia ini.

Foto

Sultan Ahmad Shah

"Bila kita sanggup berkhidmat dalam apa jua jawatan, kita tertakluk kepada undang-undang yang perlu dipatuhi dan perlu ikut dan terima hukuman jika melakukan kesalahan.


"Tiada siapa tidak melakukan kesilapan, kita sebagai manusia mesti terima ini semua. Jika saya melakukan sesuatu yang salah, saya akan berdepan dengannya kerana ia sebahagian daripada kehidupan." Sementara itu, beliau turut bercadang bertemu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara terbabit.

"Saya baru saja bersama Tuanku Sultan Johor pergi ke Langkawi, Kedah. Mungkin dalam masa terdekat saya akan bertemu beliau lagi untuk bertanya 'khabar'."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05

'Rookie' tekad cabar kejuaraan

Posted:

Kuala Lumpur: Usianya masih remaja tetapi komitmen dan sikap mahu belajar membuatkan pelumba berpengalaman sentiasa waspada dengan kehadirannya di litar lumba.

Itu gambaran diberikan terhadap Mohd Fithri Ashraf Razali, pelumba muda kategori CP130 pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing.


Pelumba 'rookie' yang mewakili pasukan kendalian Soong Chee Kieong itu sedia mencabar tiga pelumba lebih berpengalaman seperti Azlan Shah Kamaruzaman, Norizman Ismail dan Md Affendi Ismail.

Menjelang saingan pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, bermula esok, Ashraf, 17, tekad memperbaiki kedudukan dengan berada dalam kelompok terbaik CP130.


"Ini musim kedua saya bersama pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, antara pasukan Cub Prix yang memiliki tradisi dan rekod perlumbaan cemerlang.


"Semangat diberikan pelumba senior yang memberikan bimbingan taktikal serta pengetahuan pelarasan enjin membuatkan saya bersedia memikul tanggungjawab besar itu. "Saya sedar podium hanya menyediakan tiga tempat dan rasa berbaloi mendapatkan keyakinan selain bersaing secara positif bersama mereka yang berpengalaman dalam pasukan ini," katanya.

Musim lalu, Fithri mempamer aksi mantap apabila menaiki podium lima kali. Dia menamatkan saingan di tempat kedua di Banting dan dua kali tempat ketiga di Teluk Intan dan Sepang pada saingan Cub Prix. Pelumba muda itu menang perlumbaan Asia di Qatar dan tempat kedua di Taiwan pada Piala Impian Asia (Asia Dream Cup). Tahun lalu, Ashraf menduduki tangga tujuh keseluruhan kategori CP130 dan satu-satunya pelumba muda berada dalam kedudukan 10 Terbaik pada musim pertama menyertai pasukan itu.


"Sungguh seronok berada dalam pasukan ini, apatah lagi dapat bergandingan dengan mereka bertiga (Azlan Shah, Norizman dan Affendi) yang pernah muncul juara kategori Expert, Underbone, CP130, Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia.

"Berbekalkan rakan sepasukan yang sentiasa positif serta pengurus dan mekanik yang tahu bagaimana untuk menangani jentera, situasi seperti itu menambahkan keyakinan kepada seseorang pelumba sebelum berlepas dari petak permulaan.


"Saya harapkan permulaan baik di Batu Kawan kerana tidak mahu tercicir mata hingga terpaksa bergelut pada pertengahan musim yang belum tentu dapat menjamin mata konsisten hingga akhir musim. "Lima pusingan pertama penting untuk mencorak 'mood' serta gambaran kedudukan pasukan dan pelumba untuk keseluruhan musim 2013."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/05
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved