Selasa, 2 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Zo-In Sung bakal meletup lagi

Posted:

Mahu mengikut jejak bapanya berkhidmat dalam angkatan tentera, panggilan menyertai latihan ketenteraan pada 2009 pastinya satu perkhabaran gembira buat aktor hebat ini sekali gus berpaling daripada bidang lakonan.

Mula aktif dalam bidang seni dan memahat profil cemerlang dalam bidang lakonan, Zo In-Sung, 31, muncul sebagai antara aktor paling digeruni lantaran setiap kali membintangi mana-mana drama atau filem, pasti menjadi hit.

Bagaimanapun, atas tuntutan kewajipan dia beralah dan menunaikan tanggungjawab demi negara tercinta selepas tersenarai mengikuti program ketenteraan. Dalam tempoh 25 bulan itu, nampaknya dia tidak meninggalkan jauh bidang seni apabila turut menyertai band untuk angkatan tentera berkenaan.

Sejak itu, namanya 'hilang' seketika daripada dunia hiburan Korea Selatan namun tetap dinantikan peminat untuk dia kembali menghiasi skrin.


Apapun, penantian itu kini berakhir apabila aktor kacak itu membuat kemunculan pertamanya tahun ini menerusi siri yang terus melonjak hit, That Winter, The Wind Blows.


Bergandingan pula dengan pengarah yang bukan nama asing di arena lakon layar rantau itu, Kim Kyu-tae memberi kelebihan buatnya lantaran karya pengarah tersohor itu paling dinantikan penonton.

Persoalannya, selepas beberapa tahun tidak turun ke set penggambaran, bagaimanakah agaknya In-sung mengembalikan semula momentum lakonan hebat-nya?

Menurutnya, tidak susah berbuat demikian kerana kunci utama adalah produksi itu sendiri.

"Bukan mahu meninggi diri, namun penggambaran tidaklah sukar sebagaimana yang disangka kerana di sisi saya adalah barisan pelakon serta kru produksi yang hebat.

"Barisan pelakon memainkan peranan yang mengagumkan dan fokus terhadap watak masing-masing ditambah pula dengan kemesraan terjalin begitu pantas, kami sentiasa gembira sepanjang penggambaran," katanya.

Tidak menyangkal bahawa naskhah itu satu karya yang sangat bagus, dia turut mengakui sangat berbesar hati dipilih pengarah berpasangan dengan aktres hebat, Song Hye-kyo.

Tambahan pula skrip yang dihasilkan penulisnya, Noh Hee Kyung sangat menyentuh dirinya dan di situlah sebenarnya kekuatan utama siri berkenaan.

"Pengarah Kim Kyu Tae memang mempunyai kemahiran luar biasa dalam pembikinan visual cerita itu bergandingan pula dengan Hee Kyung yang menulis plot cerita hebat. Koordinasi yang wujud dalam kalangan pelakon juga bukan calang-calang dan dilaksanakan dengan begitu baik.

"Sewaktu berjumpa dengan penulis skrip, hati saya kuat mengatakan saya perlu bersetuju menerima watak itu dan terfikir pastinya akan menyesal sekiranya tidak berbuat demikian," katanya.

Tercabar menjadi Oh Soo

Memainkan watak sebagai seorang pemuda yang penuh dengan konflik dalaman dan berhadapan dengan banyak babak tekanan emosi, ternyata mencabar In-sung untuk menghidupkan watak terbabit.

Tidak mahu melakonkan karakter berkenaan dan turun ke set penggambaran secara membabi buta, dia sempat membuat ulang kaji sebagai persiapan rapi.

"Saya perlu benar-benar menghayati dan mendalami watak Oh Soo terutama sekali bahagian membabitkan permainan emosi berkenaan. Bukan saja pada emosi semata-mata namun ekspresi wajah, isyarat badan dan kebolehan berada dalam atmosfera watak itu perlu diberikan tumpuan lebih.

"Oh Soo adalah lelaki yang suka menyimpan perasaan kepada dirinya saja. Lantas, paling penting adalah untuk saya menyempurnakan setiap lapisan emosi yang dimilikinya.

"Setiap kali membelek skrip itu, saya menyedari emosi yang saya rasa berlainan. Maka, apabila berada pada situasi berkenaan, saya akan mengikut rentak pasangan saya untuk mengeluarkan emosi bagaimana ataupun ikut saja seperti mana yang saya sudah berlatih," jelasnya mengenai cabaran siri berkenaan.

That Winter, The Wind Blows adalah olahan semula daripada drama Jepun popular pada 2002 berjudul I Don't Need Love yang kemudiannya diangkat pula ke filem pada 2006. Menerusi siri ini, ia akan membongkar semula kisah silam yang sarat dengan kesedihan serta cerita percintaan agung.

Sudah mula disiarkan pada 13 Mac lalu menerusi saluran One (Astro 393), siri ini berkisarkan seorang anak yatim piatu, Oh Soo yang berputus-asa dalam hidupnya selepas kehilangan cinta pertama. Waktu itu dunia begitu gelap buatnya dan mula terbabit dalam perjudian serta menjadi kaki tipu.

Sasaran seterusnya adalah Oh Young (Hye-kyo) yang bakal mewarisi kekayaan keluarga apabila ibu bapanya meninggal selepas terbabit dalam kemalangan tragis. Oh Soo menyamar sebagai abang Oh Young yang sudah lama terpisah dan di situlah berlaku pertembungan dua manusia daripada dunia berbeza cuba mengenali makna hidup bersama-sama.

Menyentuh dan pastinya menampilkan lakonan hebat In-sung, drama ini boleh diikut setiap Rabu dan Khamis pada jam 8.55 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02

Jejak Bintang: Noor tak suka berdandan

Posted:

Siri pertama Jejak Bintang pelakon serba boleh, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 37, atau mesra dengan panggilan Noor semalam menceritakan kisah kerjaya seninya yang bermula di pentas teater selain abang sulungnya, Nor Sapizan, 38, yang kurang senang dengan pembabitan Noor sebagai pelakon.

Dalam siri kedua hari ini sahabat karib Noor sejak sekolah, Sabadilah Mat Din, 37, sudi untuk berkongsi cerita mereka berdua.

Berkongsi kisah Noor yang mesra dengan panggilan 'Key' dalam kalangan rakan-rakan di alam persekolahan dulu, Sabadilah berkata, dia memang tak pernah terfikir Noor memilih bidang seni sebagai kerjaya.

Tidak pernah menyuarakan hasrat hatinya untuk bergelar pelakon, membuat­kan rakan-rakan karibnya tidak pernah menduga bahawa sahabat mereka mampu mencipta nama di lapa­ngan seni tanah air.


Apatah lagi, dengan perwatakan diri sebagai gadis lasak, pemalu dan tidak berdandan, siapa yang akan menduga bahawa Noor mampu bergelar artis seterusnya mengukir kejayaan sebagai pelakon terkenal serta diminati ramai.


"Saya memang tahu dia minat berlakon dalam teater ketika zaman sekolah dulu. Namun, tak sangka pula dia sebenarnya menyimpan impian untuk menjadi artis. Ini kerana, dia tidak pernah pun memberitahu kawan-kawan mahu menceburi bidang seni.

"Jadi, saya ingatkan pembabitannya yang aktif dalam teater ketika itu sekadar suka-suka saja kerana kami memiliki minat sama. Maklum sajalah, masa itu dia suka sangat berlakon dan saya pula gemar menari," katanya.

Kini bertugas sebagai kakitangan pengurusan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) cawangan Pahang, Sabadilah memberitahu sepanjang dia mengenali Noor dulu, dramatis dan pelakon komedi popular berkenaan juga, seorang yang tidak berdandan.

"Noor yang saya kenal memang tak pernah berdandan ketika zaman persekolahan kami dulu. Apa lagi menggunakan mekap. Dia hanya seorang gadis kampung biasa yang hidup dalam keluarga serba sederhana.

"Cuma, seronok ber-kawan dengan Noor ini kerana dia sahabat yang baik dan merendah diri. Saya ingat lagi, dulu dia juga adalah pengawas sekolah, tetapi kalau ponteng kami mesti bersama," kata­nya.

Sabadilah berkata, mereka memang sama-sama nakal dan aktif berlakon teater ­ketika di tingkatan lima. Bahkan, ketika pelajar lain sibuk fokus kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka masih sempat berlakon teater.

Biarpun mengenali Noor ketika sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Shah­bandar Hussain, Raub dari tingkatan satu hingga tiga dan kemudian ke tingkatan empat dan lima di SMK Tengku ­Kudin, Raub Sabadilah juga tahu Noor suka menyertai pertandingan bercerita ketika di sekolah rendah.

Suka karaoke lagu Teringin dendangan Shima

Bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Raub, Pahang, di sebalik sikap pemalunya, Noor juga aktif menyertai pertandingan bercerita. Apapun, selain suka bercerita dan berteater, satu lagi minat Noor ialah menyanyi.

Sabadilah berkata, Noor juga suka menyertai pertandingan karaoke, tetapi bakatnya dalam nyanyian tidak begitu bersinar berbanding lakonan. Noor tidak pernah bernasib baik untuk menang dalam pertandingan nyanyian disertai.

"Apapun, saya masih tak lupa lagu kesukaan Noor yang dinyanyikannya dalam pertandingan karaoke disertai iaitu lagu Teringin daripada Shima.

"Inilah lagu yang dinyanyikannya dalam setiap pertandingan karaoke disertainya dan walaupun tak pernah menang, dia tidak berputus asa. Bahkan, dia sentiasa yakin dan gigih berusaha biar pun selalu kalah," katanya.

Mengakui pernah mencabar Noor untuk menang anugerah pelakon terbaik, Sabadilah berkata, dia gembira kerana Noor juga seorang rakan yang tidak melupakan janji.

"Sebaik dia diumumkan menang Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) dalam Anugerah Skrin TV3 pada 2007, Noor terus menghubungi saya memberitahu kemenangannya. Bahkan, dia juga menunaikan janjinya untuk belanja saya makan," katanya bangga dan gembira melihat kejayaan dicapai Noor dalam karier lakonan yang diceburi.

Menurut Sabadilah lagi, dia sentiasa mendoakan semoga kejayaan terus berpihak kepada Noor. Ia kerana menerusi rezeki berlakon itu juga Noor dapat membela nasib keluarganya kini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved