Selasa, 2 April 2013

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Cadang tindakan mahkamah

Posted:

Shah Alam: Selepas beberapa kekecohan berlaku di taman asuhan kanak-kanak, Tadika Manjaku di Seksyen 8, di sini, pemiliknya bercadang mengambil tindakan mahkamah terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa apabila menyita tadika berkenaan 25 Mac lalu.

Pemiliknya Monaliza Mokhtar, 43, berkata, dia sudah mengarahkan peguam memohon injuksi mengarahkan JKM membuka semula lak atau kunci di premis berkenaan bagi meneruskan operasi seperti biasa selain tidak mengganggu sebarang operasi dijalankan.


Katanya, dia percaya berlaku penyelewengan ketika proses permohonan lesen dilakukan sejak awal tahun lalu dan jabatan itu seolah-olah sengaja mahu mencari kesalahan supaya operasi di tadika berkenaan dihentikan serta-merta.

"JKM mendakwa pekerja saya tiada sijil asas asuhan kanak-kanak seperti dihebohkan sebelum ini, tapi itu semua tidak benar. Kebanyakan pekerja di sini sudah berkhidmat lebih lima tahun sehingga ada yang dianugerahkan sijil cemerlang.


"Saya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak JKM, tapi mereka seolah-olah mahu mencari kesalahan saya. Saya akui kerenah birokrasi banyak menyusahkan saya sehingga menghabiskan duit yang banyak sepanjang proses permohonan lesen dilakukan," katanya ketika sidang media memperjelaskan isu tindakan lak di sini, semalam. Katanya, laporan forensik serta bedah siasat yang dilakukan sudah mengesahkan punca kematian dua kanak-kanak terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bukan disebabkan unsur jenayah.


"Saya mengesyaki ibu mangsa mereka cerita mengenai kematian anaknya terhadap JKM sehingga menimbulkan rasa tidak senang jabatan itu terhadap premis saya. Ini kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah memberi kelulusan, namun JKM enggan memberikannya.

Foto

PAGAR Tadika Manjaku yang dikunci JKM.

"Saya tidak teragak-agak untuk memfailkan saman fitnah terhadap wanita itu kerana memfitnah Tadika Manjaku sehingga disenarai hitam," katanya. Sementara itu, peguam yang mewakili Tadika Manjaku, Mohd Fikah Sanusi berkata, pejabat guaman Haida Mohd Fikah& Partners sudah mengeluarkan satu notis kepada JKM supaya menarik semula tindakan lak terhadap Tadika Manjaku.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved