Isnin, 8 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Ada strategi tersendiri

Posted:

Program realiti Akademi Fantasia (AF) nyata satu platform terbaik buat Hafiz dan Hazama membina karier nyanyian mereka. Kini kedua-dua jejaka yang dipilih peminat sebagai juara AF musim ketujuh dan kesembilan ini nampaknya memiliki strategi tersendiri untuk terus bertahan.

Tak nafikan, pengaruh seni dua 'H' ini semakin menjadi perhatian ramai. Jika Hafiz makin cemerlang di pentas nyanyian apabila berjaya menembusi pasaran muzik Indonesia serta meraih peluang mengadakan konsert solo pertama di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 3 Jun nanti, Hazama pula giat berlakon.

Apatah lagi, ia sudah dibuktikan pada lakonannya dalam filem Apa Celop Toqq arahan Ahmad Idham. Biar baru pertama kali menjadi hero filem namun pencapaian Hazama cukup menakjubkan apabila namanya dicalon untuk kategori Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), Mac lalu.

Memaklumkan bidang lakonan membantu membentuk keyakinan dirinya, namun fokus Hazama pada nyanyian tidak pernah pudar. Bahkan, kini dia begitu teruja menantikan kemunculan album sulungnya yang dijangka akan menembusi pasaran muzik tanah air penghujung Mei nanti.


Menurut Hazama, album yang akan mengangkat judul Penglipur Lara itu cukup istimewa baginya kerana ia adalah hasil penantiannya selama tujuh tahun untuk dikenali sebagai anak seni.


Katanya, berkat kesabaran menanti terlalu lama untuk album ini membuatkan dia amat bersyukur dengan nikmat diperoleh.

"Sebanyak sembilan lagu dimuatkan di dalam album ini yang mana enam daripadanya adalah lagu baru dan tiga lagi ialah lagu bonus seperti Relakan Jiwa, Simetri dan Noktah. Apapun, single taruhan saya untuk album ini nanti ialah Penglipur Lara ciptaan Audi Mok dan lirik pula ditulis oleh Omar K.

"Bahkan, Penglipur Lara dipilih sebagai judul album kerana ia bertepatan dengan impian saya untuk bergelar penyanyi. Malah, secara keseluruhannya juga lagu-lagu dimuatkan di dalam album ini ada hubung kaitnya dengan perjalanan saya untuk membina nama sebagai anak seni yang berjaya.

"Ternyata, bukan mudah untuk saya menempa nama pada tahap sekarang. Justeru, dalam tempoh dua tahun yang aktif ini, saya sangat bersyukur dan gembira dengan pencapaian diri. Segala usaha dilakukan selama ini nampaknya makin membuahkan hasil dan kini impian saya pastinya untuk terus bertahan," katanya.

Memilih konsep pop rock untuk album itu, Hazama berkata, proses rakaman lagu semuanya sudah siap dilakukan dan kini hanya menunggu untuk pembikinan muzik video lagu Penglipur Lara yang menjadi single pertamanya. Malah, dia juga mahu album dan muzik videonya dilancarkan secara serentak.

Mengulas mengenai bidang lakonan pula, Hazama berkata, dia berlakon kerana mendapat peluang daripada Ahmad Idham yang dianggap berani mengambil risiko mengetengahkan bakatnya. Dia tidak pernah menyangka bahawa bakat lakonannya cukup diyakini oleh Ahmad Idham.

"Apa yang pasti, lakonan bukanlah pilihan pertama saya. Pembabitan saya hanya sekadar mencuba saja dan menyahut cabaran bersandarkan keyakinan Ahmad Idham pada bakat yang ada pada diri ini. Bagaimanapun, jujur saya katakan bahawa lakonan berjaya membantu membentuk keyakinan diri saya.

"Dulu, saya adalah seorang yang pemalu untuk beraksi di hadapan kamera. Namun, sejak terbabit berlakon di bawah bimbingan Ahmad Idham, saya bertambah yakin," katanya terus mendapat kepercayaan daripada Ahmad Idham untuk membintangi filem Lari dan sebelum itu menjayakan telefilem Ady Valentino.

Mengakui dia lebih selesa berlakon filem berbanding telefilem atau drama, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 28, turut menolak dakwaan mengatakan yang dirinya kini menjadi 'anak emas' kepada Ahmad Idham selepas pelakon Kamal Adli. Ujar Hazama, dia masih baru dan belum layak dilabel sebegitu.

Hafiz selesa fokus karier berbanding kisah cinta

Pada usia 23 tahun, Hafiz sudah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan besar dalam karier nyanyian yang diceburi sejak empat tahun lalu. Justeru, secara tidak langsung, kejayaan itu turut meletakkan nama Hafiz dalam kelas tersendiri terutama membuktikan betapa dia adalah juara AF paling komited dan efektif.

Bimbingan diberikan pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina nyata tidak pernah disia-siakan Hafiz. Bahkan, pemuda kelahiran Kuching, Sarawak ini sudah mampu tersenyum lebar apabila impiannya untuk melebarkan sayap untuk karier nyanyiannya bertapak di persada muzik Indonesia sudah menjadi kenyataan.

Pada tahun lalu, juara program Mania terbitan Astro yang bernaung di bawah empayar pemuzik ternama Indonesia, Ahmad Dhani itu melancarkan albumnya Hafiz Suip : Luahan Hati Anak Seni di Indonesia. Malah, selain lagu Awan Nano, Hafiz juga dikenali di negara jiran itu menerusi lagu Bahagiamu Deritaku.

"Bagi saya, ia lagu yang cukup puitis mengisahkan cinta tak kesampaian ciptaan Ly dan Baiduri. Malah, saya sangat berpuas hati dengan lagu ini kerana turut diterima baik di Indonesia. Kini, saya dalam proses untuk melancarkan album berkenaan untuk pasaran Malaysia pula.

"Sebagai album ketiga saya untuk pasaran tempatan, sebanyak sembilan lagu dimuatkan termasuk Bahagiamu Deritaku. Bagi saya, album ini cukup bermakna kerana bekerjasama dengan ramai komposer terkenal yang bertindak sebagai penerbit seperti Ajai, Kunci Demak, Ly, Baiduri, AG Coco dan Zul 2 By 2.

"Bagaimanapun, album ini dijangka berada di pasaran muzik tanah air pada hujung April nanti. Justeru, harapan saya semoga album ini disukai ramai dan diterima baik peminat. Namun, apapun saya amat berterima kasih kepada kelab peminat Hafiz FC yang masih aktif menyokong saya hingga kini ," katanya.

Bakal mengadakan konsert solo pertama yang mengisi segmen 'Spotlight' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC pada Jun ini, Hafiz akui dia cukup teruja dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Ujarnya, menyedari bukan mudah memperoleh peluang keemasan itu, Hafiz berasakan dirinya amat bertuah dengan kepercayaan diterima.

"Memang menjadi impian saya juga untuk beraksi di pentas berprestij seperti DFP. Jadi, apabila memiliki peluang ini saya bertekad mahu memberikan yang terbaik kepada penonton yang hadir menyaksikannya. Apatah lagi, kesudian mereka membeli tiket untuk hadir menyaksikan persembahan saya.

"Saya amat terharu dengan sokongan yang diberikan peminat. Begitu juga dengan kedua-dua ibu bapa saya dan keluarga. Bagi saya, tanpa sokongan itu, pasti takkan berada hingga ke tahap ini. Apapun, saya sangat bersyukur dan berharap semua sokongan ini akan berterusan kekal bertahan," katanya.

Berbicara pula mengenai hubungan cintanya, Hafiz tanpa berselindung mengakui kini memang dia menjalin cinta dengan seseorang. Pun begitu dia lebih selesa berbicara mengenai perkembangan karier berbanding kisah peribadi.

Kata Hafiz, buat masa ini dia takkan memberi lebih komen mengenai cintanya.

Menyentuh pula soal lakonan Hafiz berkata, biar pun dia pernah menonjolkan bakat seninya sebagai pelakon, namun dia lebih memilih untuk fokus utamanya pada nyanyiannya.

Katanya, kini dia juga lebih memberi ruang pada dirinya menceburi bidang penulisan lirik dan mencipta lagu.

Bagi konsert sulungnya di DFP pada 3 Jun ini, tiket berharga RM80 sudah habis terjual. Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert ini, masih boleh mengisi kekosongan bangku VIP dengan harga tiket RM124 dan RM144. Keterangan lanjut layari dfp.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved