Isnin, 8 April 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Persiapan masa depan

Posted:

Aroma kek dan biskut yang dibakar di dalam ketuhar begitu menusuk hidung. Sekumpulan wanita berpakaian serupa sibuk memasukkan adunan tepung ke dalam bekas sambil diperhatikan pegawai penjara. Keadaannya sama seperti sebuah kedai kek dengan setiap orang diberikan tugasan berlainan.

Apa yang membezakannya, ia dilakukan banduan yang sedang menjalani tempoh hukuman di Penjara Wanita Kajang.

Menariknya, setiap kek dan biskut yang siap dibakar dimasukkan ke dalam bekas berlabel dan sedia dihantar ke lokasi terpilih. Ada juga yang disediakan untuk tempahan orang perseorangan di kawasan sekitar. Malah tempahan semakin bertambah apabila tiba musim perayaan seperti Aidilfitri.

Penulis berpeluang merasai biskut yang dihasilkan banduan dan rasanya tidak kurang enak berbanding biskut yang dijual di pasaran. Malah harga lebih murah dan berkualiti.

Foto

KEMAHIRAN jahitan yang boleh dimanfaatkan banduan selepas keluar penjara.

Foto

BANDUAN diajar membuat kek ketika menjalani hukuman di penjara.


Di tingkat atas pula sebahagian banduan khusyuk menyiapkan tempahan baju kurung pelanggan. Namun bukan semua boleh bekerja di bahagian jahitan kerana ia biasanya dikhaskan untuk banduan yang menjalani hukuman tempoh panjang. Ini kerana, kemahiran ini mengambil masa yang agak lama untuk mencapai tahap mahir manakala bagi banduan baru, mereka mempelajari teknik jahit lurus menggunakan sisa kain.


Bagi banduan yang pandai membaca dan menulis pula diberi kelebihan mengikuti kelas memotong kain kerana lebih cepat dan cekap mengira ukuran dengan tepat. Kebiasaannya, semua kemahiran itu dipelajari dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan sebelum menjahit tempahan baju pelanggan.

Seperti kuih raya, tempahan pakaian juga berlipat kali ganda menjelang Aidilfitri kerana harga ditawarkan lebih murah berbanding di luar.

Selain memasak dan menjahit, terdapat beberapa kemahiran popular seperti membuat makanan sejuk beku dan mencanting batik yang turut disediakan kepada banduan. Ironinya, penjara yang dikatakan sebagai tempat pesalah menerima hukuman adalah sebuah sekolah kecil yang bukan saja mendidik tetapi mempersiapkan diri untuk menjadi manusia berguna dan berkemahiran selepas dibebaskan nanti.

Bagi Roslina, 42, (bukan nama sebenar) yang dipenjara atas kesalahan pecah amanah pada 2010 menganggap dipenjarakan bukanlah penamat kepada zaman hitamnya. Ini kerana selain mendalami ilmu agama, dia berpeluang mempelbagaikan kemahiran dalam bidang makanan.

"Saya berminat menyertai bengkel sejuk beku makanan kerana ingin mengetahui lebih lanjut cara penghasilan makanan sejuk beku.

"Jika sebelum ini saya hanya memasak untuk anak tetapi peluang menambah kemahiran menghasilkan makanan sejuk beku seperti karipap, murtabak, donat dan cucur badak sememangnya sesuatu yang sangat bermakna dan istimewa," katanya yang menjalani hukuman selama 13 tahun di Penjara Wanita Kajang.

Menurut Roslina, walaupun penghasilan makanan sejuk beku nampak mudah, ia memerlukan teknik tertentu bagi memastikan makanan dihasilkan separuh masak dan dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Inilah yang dilakukan tenaga pengajar, mereka bukan saja menunjukkan teknik menghasilkan makanan sejuk beku tetapi menyediakan resipi bermula daripada penyediaan adunan, teknik penghasilan, menggoreng separuh masak sehingga kepada pembungkusan makanan.

Roslina yang melakukan kesalahan dengan mengambil wang pelanggan dan dimasukkan ke dalam akaun simpanan benar-benar menyesal dengan apa yang berlaku. Selain sedih kerana terpaksa meninggalkan anak-anak, dia berbangga kerana mereka memberi sokongan kepada dirinya.

"Saya sangat rapat dengan anak-anak dan begitu sayangkan mereka. Selepas dipenjarakan saya jelaskan apa yang berlaku, mereka dapat menerimanya dan memberi sokongan kepada saya. Lebih penting mereka sangat berdikari walaupun tanpa saya di sisi," katanya.

Bagi Roslina, dia reda dengan apa yang berlaku dan berharap ada hikmah di sebaliknya. Inilah juga masa untuk berfikir dan memperbetulkan kesilapan. Walaupun melalui dugaan yang berat ketika di penjara, hidup harus diteruskan. Dia juga tidak bercadang untuk bekerja dalam bidang yang sama selepas dibebaskan sebaliknya mahu memulakan hidup baru bersama anak-anak.

"Mungkin dengan kemahiran dalam pembuatan makanan sejuk beku, saya boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan kerana masa depan dalam bidang makanan sangat besar," katanya.

Bagi Janice, 28, (bukan nama sebenar) sebelum ini dia tidak pernah melakukan kerja mencanting batik disebabkan tidak berpeluang melakukannya. Namun selepas dipenjara atas kesalahan membunuh teman lelaki tanpa niat pada 2010, dia teringin mencuba bidang itu.

"Pada peringkat permulaan, saya diperkenalkan dengan jenis kain dan warna. Selepas mencuba ia tidak semudah disangka kerana ia memerlukan kreativiti dari segi gabungan warna ketika melakukan kerja mencanting," katanya.

Janice yang menjalani hukuman penjara sehingga 2018 mengakui sangat gembira kerana berpeluang mempelajari kemahiran yang dapat membantu dirinya memperoleh pekerjaan apabila bebas nanti. Sekurang-kurangnya kelak dia dapat membuka perniagaan atau bekerja dalam bidang berkaitan.

Selain batik, Janice teringin mencuba kemahiran menjahit, spa, katering dan makanan sejuk beku namun lebih berminat kepada mencanting kerana mahu meluahkan perasaan menerusi lukisan.

"Sejak dulu saya memang suka melukis. Apabila menghadapi tekanan, melukis dan bermain dengan warna mampu meredakannya dan membuatkan saya kembali ceria," katanya yang berharap masyarakat dapat menerima dirinya selepas keluar dari penjara nanti.

Pada masa hadapan, Janice ingin memperbaiki teknik melukis dan mencari pengalaman dalam bidang fesyen.

"Saya memang minat menjahit tetapi tidak pernah mencuba disebabkan tidak berpeluang melakukannya. Selepas dipenjara dan menyertai bengkel jahitan, baru saya tahu ia bidang yang sangat menarik dan memerlukan tumpuan yang tinggi," jelas Amnah, 32, (bukan nama sebenar).

Dia yang dipenjara pada 2010 atas kesalahan samun kini menunggu untuk dibebaskan pada September nanti.

Mengikuti bengkel jahitan pada Ogos 2012 lalu, oleh kerana Amnah tidak pernah menjahit dia diajar menggunakan jarum dengan menjahit lap kaki terlebih dulu. Selepas itu sedikit demi sedikit Amnah belajar menghasilkan baju menggunakan mesin jahit.

"Mulanya memang nampak susah kerana saya tidak pernah memegang jarum. Selepas tahu menggunakan mesin jahit, ia semakin mudah. Dalam masa dua minggu saya berjaya menghasilkan baju kurung kanak-kanak," katanya gembira.

Lama-kelamaan timbul rasa seronok terutama apabila mempelajari jahitan manik. Ini kerana Amnah bukan sekadar menjahit sebaliknya memilih jenis dan warna manik bersesuaian dengan pakaian. Melakukannya juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana manik yang kecil perlu disusun mengikut ukuran dan warna bagi menghasilkan perincian menawan.

"Di sinilah letaknya daya kreativiti seseorang dalam menghasilkan jahitan. Kesilapan dalam memilih warna dan ukuran manik akan menjejaskan keindahan pakaian," katanya.

Menceritakan bagaimana boleh ditangkap, Amnah mengikut rakan mencuri motosikal di sebuah taman perumahan. Malangnya ketika serbuan, dia ditangkap manakala rakannya berjaya melarikan diri.

"Memang sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga tapi saya reda dan benar-benar menyesal dengan apa yang berlaku. Saya berjanji tidak akan mengulanginya dan ingin berubah menjadi manusia sempurna seperti orang lain," katanya.

Menurut Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Jabatan Penjara Malaysia, Rokiah Deraman, tiada yang membezakan antara mengajar banduan dan individu biasa kerana kedua-duanya bergantung kepada keupayaan masing-masing. Apa yang ditekankan ialah teknik pengajaran supaya dapat dimanfaatkan apabila banduan keluar dari penjara.

Setiap banduan menjalani tempoh kursus selama enam bulan sebelum menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran. Ini menunjukkan setiap kemahiran mendapat pengiktirafan kerajaan dan boleh digunakan apabila dibebaskan nanti.

Sebagai tenaga pengajar, Rokiah akui setiap banduan begitu komited mempelajari ilmu dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Ini mungkin disebabkan ia satu bidang baru yang belum pernah dipelajari sebelum ini lantas setiap teknik dan pengajaran diambil secara positif.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09

Cikgu Rania 2 (Siri 39): Masih kuharap padi di seberang

Posted:

Wajah bujur sirih yang kelihatan begitu sugul itu direnung Halim dari satu sudut yang terpencil. Agak pelik melihat raut yang selama ini ceria berubah rona. Apa yang ditanggung Rania? Tidak bahagiakah Rania dengan rumah tangga yang dibina?

Dulu, aku menarik diri kerana sedar diri ini bukan pilihan cinta buat Rania tapi masih tidak bertemu bahagiakah Rania?

Hati Halim berdetak kencang. Halim kian mendekati Rania. Di sisi Rania, ada ibunya yang setia menemani. Ummar Qayyum tidak pula kelihatan. Di mana Ummar Qayyum? Sudah balik ke Swedenkah? Seingat Halim, Ros Ilyani ada memberitahunya bahawa Ummar Qayyum masih berada di Malaysia pada masa itu.

"Jambu kamu ni sedap sungguh Halim," pujian Puan Sri Zalia membuatkan Halim tersenyum nipis.


Terbang lamunannya seketika. Beberapa hirisan jambu yang dipotong kecil-kecil oleh Puan Sri Zalia disuakan pula kepada Rania. Dicapai sepotong oleh Rania tetapi seleranya terbantut. Dia meletakkannya balik di pinggan.


"Kenapa tak makan Ren? Kau kan suka sangat dengan jambu Janda Baik," tanya Halim apabila menyedari Rania tidak mampu menghabiskan walau sepotong kecil hirisan jambu.

"Tak selera," sahutnya perlahan.

"Makanlah, susah susah Halim bawa," pujuk Puan Sri Zalia pula.

Dia pula yang rancak mengunyah buah jambu dan berulang-ulang memakannya.

"Mana Qayyum mak cik?" tanya Halim berbasi-basi.

"Sepatutnya dia dah datang ni." Jam di dinding dilihat Puan Sri Zalia.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Ummar Qayyum di skrin telefon. Kening Puan Sri Zalia berkerut. Dia meminta diri dan keluar dari bilik sakit Rania.

Tempat Puan Sri Zalia diambil pula oleh Halim. Sekali lagi wajah bujur sirih yang selama ini bertakhta di hati direnung dengan sebuah keluhan.

"Maaf kan aku Ren, lambat ziarah kau. Aku di Singapura masa tu." Maklum Halim tentang situasinya.

Rania angguk lesu. Kedudukannya diperbetul. Dia tidak mahu berbaring dengan adanya Halim di sisi tanpa ibu. Tudung kelabu yang menutupi kepalanya pula dilabuhkan.

"Kenapa kau kurus sangat Ren?" Halim telus bertanya. Itu yang dilihat di mata kasarnya dan kerana itulah dia bertanya.

"Aku memang kurus pun," sahut Rania acuh tak acuh.

"Ah, selama aku kenal kau, mana kau pernah kurus macam ni," bantah Halim.

Dia sayangkan Rania dan sehingga kini dia mengambil berat tentang wanita itu. Semua tentang Rania sudah masak di fikirannya.

Pertanyaan Halim membuatkan Rania sedih. Dia memalingkan muka dan menahan diri. Seboleh-bolehnya biarlah penderitaan yang ditanggung hanya diketahui oleh dirinya sahaja. Dia tidak sudi berkongsi masalahnya dengan sesiapa apatah lagi dengan Halim. Halim tidak boleh tahu masalah rumah tangganya.

"Kau nak berahsia dengan aku?" serkap Halim.

Rania membatukan diri.

"Ren...," panggil Halim lembut.

"Kak Ros ada bercerita sikit-sikit pada aku tentang masalah kau," kata Halim kemudian.

Rania menghela nafas. Ah! Susah untuk merahsiakan masalahnya daripada Halim kerana kini kakak Halim, Ros Ilyani sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

"Aku tumpang simpati...," tambah Halim lagi.

"Aku tak perlukan simpati sesiapa," Rania mencebik.

"Ren, aku kawan kau sejak zaman kita remaja lagi. Kau tetap jadi teman aku. Walau apa pun masalah yang kau lalui, jangan sesekali kau lupa bahawa aku akan sentiasa menyokong kau." Kata-kata semangat yang dihulur oleh Halim membuatkan Rania tercebik.

"Dah nasib aku!"

Halim tergelak kecil. Rania menjeling padanya.

"Apa yang kelakar Halim?"

"Ren, itu bukan nasib! Itu sebahagian kecil dugaan Allah untuk engkau."
"Ah, kau tak tahu Halim.

Kau sibuk dengan pokok jambu dan hidup kau..."

"Kau pun sibuk dengan hidup kau..."

"Memang selama ini aku pun sibuk dengan hidup aku Lim. Aku tak berapa kisah sangat sehinggalah Allah beri aku rasa akan makna sebuah kehilangan sebelum sempat aku memilikinya." Sendu Rania kedengaran.

"Aku tahu makna kehilangan tu Ren, aku tahu. Dah berkali-kali aku laluinya," tekan Halim. "Aku pernah kehilangan emak ayah, kehilangan isteri, kehilangan anak malah aku pernah hilang kehidupan sehinggalah kau datang dan membawa obor menyemarakkan kembali hidup aku!"

Rania terkesima.

"Kau lupa peranan besar kau dalam hidup aku? Kau lupa kau yang memberi semangat pada aku?"

Rania menelan liurnya.

"Daripada lelaki lumpuh yang tidak berdaya di kerusi roda, kau dorong aku, kau memotivasi aku. Kau sabar melayan kerenah aku. Kau jinakkan aku dan akhirnya kau juga yang berperanan menjadikan aku seorang usahawan yang berjaya seperti hari ini."

Rania angkat mukanya perlahan-lahan.

"Kau wanita yang hebat Ren, kau wanita perkasa. Itu Ren yang aku kenal!" Pujian Halim menyimpulkan sebuah senyuman pada Rania.

"Terima kasih Halim..."

"Qayyum dah balik kampung. Ambil emaknya dengan Murni," ujar Puan Sri Zalia apabila dia masuk semula ke bilik Rania.

Halim sudah pulang dan sempat bersalam-salam dengannya sebelum meminta diri tadi. Tangannya menekan-nekan huruf yang tertera di skrin telefon. Seketika kemudian, dia bercakap pula dengan Pak Mud.

"Pak Mud datang sekarang ya!" arah Puan Sri Zalia sebelum talian dimatikan.
Beberapa barangan di atas meja sisi di tepi katil Rania dikemas lalu dimasukkan ke dalam bakul.

"Ren nak balik bila?" tanyanya pada Rania pula. "Doktor kata Ren dah boleh balik ke rumah dah kalau nak. Hari ni pun boleh balik!"

"Terpulanglah mama."

"Berehat kat rumahlah ya, senang sikit mama. Tak payah nak berulang alik hospital," tambah Puan Sri Zalia lagi.

Rania akur pada kata-kata ibunya. Entah mengapa, hatinya rasa agak tenang sebaik berbual dengan Halim tadi. Banyak benarnya kata-kata Halim tadi.
Pengalaman mematangkan Halim. Kalau begitu, pengalaman juga sepatutnya mematangkan aku! Fikirnya. Kerana itu juga, dia bersetuju pulang ke rumah petang itu juga. Kelam-kabut Puan Sri Zalia bersama Makcik Rohaya mengemaskan barang-barangnya. Cutinya pula dilanjutkan.

"Ren nak sambung cuti tanpa gaji?" tanya Puan Sri Zalia yang telah pun berbincang dengan Tan Sri Razlan tentang cuti Rania.

"Ya mama."

"Nanti ayah uruskan," ujar Puan Sri Zalia.

Rania malas ambil tahu. Kesihatannya kurang memberangsangkan untuk dia memikirkan hal-hal lain. Badannya masih berasa lemah malah tenaganya terhad. Apabila mereka sampai di rumah, Ummar Qayyum masih belum sampai dari kampung.

"Qayyum tidur di kampung emaknya ke Puan Sri?" tanya Makcik Rohaya semasa dia memasukkan barang-barang Rania ke dalam bilik.

"Tidak. Dia jemput saja."

"Nak balik kampung tak sempat-sempat. Nak balik ke sini pun tak boleh tunggu, hai bukan main lagi." Bebelan Makcik Rohaya kedengaran.

Dia meradang mendengar berita Ummar Qayyum kena jemput Nenek Ninda bersama Murni di kampung.

"Kalau tidak Bakhtiar yang jemput tapi dia ada hal pula," sahut Puan Sri Zalia.

"Sudahnya Rania kena balik dengan Pak Mud. Patutnya suami dia yang jemput," leternya lagi.

"Tak apalah, mak dia!" ujar Puan Sri Zalia.

Rania dibantu oleh ibu bersama Makcik Rohaya untuk naik ke atas. Dia memerhatikan sekeliling bilik yang ditinggalkan. Kamar yang sentiasa kemas dan berbau harum. Semasa dia hendak masuk ke bilik air, dia rasa berdebar-debar. Di situlah dia terjatuh dan kandungannya keguguran. Pedih hati hanya Allah yang tahu.

"Baik-baik Ren." Tubuhnya segera diapung oleh Makcik Rohaya semasa kakinya melangkahi bendul di bilik air.

Wajah Makcik Rohaya berkerut. Dia terkenang cairan pencuci lantai yang bercampur dengan darah Rania setiap kali masuk ke bilik air tersebut. Selesai menguruskan Rania, dia berjumpa dengan Puan Sri Zalia lalu menceritakan hal tersebut.

"Kenapa akak baru bagi tahu?" Puan Sri Zalia terkejut.

"Dah lama saya nak bagi tahu tapi Puan Sri suruh tunggu," ujar Makcik Rohaya mengimbas cerita tersebut.

"Jadi maksud akak, ada orang sengaja nak jatuhkan Ren?" Puan Sri Zalia memohon penjelasan.

Makcik Rohaya angguk.

"Siapa?"

"Er... tak ada orang lain lagi di rumah ni selain dari....er..." Makcik Rohaya tergagap-gagap.

"Siapa kak?"

"Er...Murni."

"Murni?"

"Ya, Murni."

Terduduk Puan Sri Zalia mendengarnya. Penjelasan Makcik Rohaya benar-benar memeranjatkan Puan Sri Zalia. Semakin sesak nafasnya apabila dimaklumkan oleh Makcik Rohaya tentang penemuan beberapa botol berisi minyak pengasih di bilik Murni. Benarkah seperti dakwaan pembantu rumahnya bahawa Murni turut memainkan peranan dalam menghuru-harakan hubungan antara Rania dengan Ummar Qayyum? Beberapa biji botol kecil yang ditunjukkan oleh Makcik Rohaya diperhatikan saja. Dia tidak berani menyentuhnya.

"Dah dibawa oleh Pak Mud berjumpa dengan ustaz Qasim. Dia dah pun mengesahkan tentang minyak pengasih ni." Makcik Rohaya gulung semula botol-botol kosong di dalam kain perca lalu dimasukkan semuanya ke dalam uncang asal.

"Susah saya nak percaya benda-benda macam ni kak," akui Puan Sri Zalia.

"Memanglah kak. Benda macam ni tak nampak tapi Puan Sri kena percaya juga. Puan Sri tengok sajalah dalam rumah tangga ni. Saya nampak banyak yang tak kena," tekan Makcik Rohaya lagi.

Dia sedar bukan semudah itu untuk Puan Sri Zalia percaya akan cerita yang baru disampaikan padanya sebentar tadi.

"Takkan tergamak si Murni nak buat benda macam ni?" dalihnya lagi.

Sukar sungguh untuk dia mempercayai bahawa Murni mempunyai niat serong terhadap Rania dan Ummar Qayyum.

"Berdosa kalau kita menuduhnya."

"Jadi Puan Sri ingat Rania jadi macam tu sebab apa?"

"Memang perangai Ren macam tu. Sejak dulu dia keras kepala. Tengok saja apa yang Ren dah lalui. Dia jenis tak kisah. Bukan dia tak pernah putus cinta!

Berkali-kali. Dengan Farhan dulu, selamba sahaja dia pergi ke Sabah lepas Farhan buat hal. Lepas tu dengan Halim. Ada dia kisah? Kisah tak kisah masa Qayyum tinggalkannya dan pergi ke Sweden, nampaklah hatinya parah sikit, tapi sekejap lepas tu dia balik semua ke perangai tak kisahnya tu."

"Itu lain Puan Sri, saya pun kenal Ren tu. Saya tahu hati budinya."

"Entahlah kak, pening saya kenangkan Ren seorang ni."

"Ni bukan semata-mata kerana Ren ataupun Qayyum Puan Sri, ni dah bercampur-aduk dengan ubat ubat pengasih ni. Mereka berdua tu dah terkena. Saya yakin sangat." Beriya-iya benar Makcik Rohaya mempertahankan pandangannya. Puan Sri Zalia tidak terkata.

Sungguhpun dia kurang percaya akan cerita-cerita sedemikian tetapi dalam diam, dia memerhatikan tindak tanduk dan geri geri seisi keluarga. Pulangnya Ummar Qayyum daripada menjemput Nenek Ninda dan Murni, diperhatikan tingkah laku Ummar Qayyum dan Murni.

Tidak ada yang pelik atau mencurigakan. Malah, dia mengikut Ummar Qayyum yang naik menjengah Rania di bilik. Dia mahu lihat kalau-kalau penerimaan Rania terhadap Ummar Qayyum mulai berubah tetapi apa yang diharap tidak menjadi.

Rania tetap dingin terhadap Ummar Qayyum. Muka Ummar Qayyum langsung tidak dipandang Rania. Setiap kali Ummar Qayyum menghampirinya, dia akan menoleh ke arah lain. Adakalanya, dia akan menyembunyikan mukanya di sebalik gebar. Dia memang tidak sudi memandang muka si suami. Perasaan belas kasihan Puan Sri Zalia pada Ummar Qayyum makin menjadi-jadi.

Ummar Qayyum benar-benar jadi mangsa kemarahan Rania. Rasa kasihan pada Rania sudah bertukar menjadi marah dek tindakan Rania terhadap Ummar Qayyum.

"Mama tak tahu nak buat macam mana dah Qayyum. Mama buntu! Mama tak faham kenapa Ren bersikap macam tu pada Qayyum," rintih Puan Sri Zalia semasa dia bersama Ummar Qayyum minum petang di pondok di laman hijau.

"Saya tahu dia marahkan saya." Nescafe O panas dihirup oleh Ummar Qayyum.

Jauh di sudut hati, Ummar Qayyum dapat merasakan banyak sebab Rania marahkannya. Ceritanya meleret-leret. Daripada kes-kes kecil melibatkan Ummi Kalthum melarat pula ke Murni dan klimaksnya apabila Rania keguguran. Apabila dihimpun semua, bertambah marah Rania kepadanya. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat.

"Nak marahkan Qayyum kenapa?" Puan Sri Zalia tetap tidak mengerti.

"Banyak sebab mama, yang paling utama ialah dia menyalahkan saya sebab kegugurannya," tutur Ummar Qayyum sedih.

Dia sedar permasalahan antaranya dengan Rania menjadi semakin buruk ekoran peristiwa keguguran itu.

"Qayyum buat apa? Apa salah Qayyum? Ren yang terjatuh di bilik air. Bukan Qayyum yang tolak." Beberapa kali Puan Sri Zalia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mengerti mengapa Rania masih bermasam muka dengan Ummar Qayyum sehingga ke saat itu.

Terkenang pula akan cerita Makcik Rohaya tentang cairan pencuci lantai. Makcik Rohaya menuduh Murni bertanggungjawab. Kononnya Murni busuk hati terhadap Rania. Murni tidak akan membiarkan Rania dan Ummar Qayyum hidup bahagia.

Benarkah? Tergamakkah Murni berbuat begitu? Bagaimana kalau apa yang dikatakan oleh Makcik Rohaya ada kebenarannya? Naik seriau pula bulu roma Puan Sri Zalia memikirkannya.

"Hal-hal kecil yang saya tak sangka akan menjadi besar pula," sahut Ummar Qayyum, menepis lamunan yang hinggap di minda Puan Sri Zalia.

"Bumi mana yang tak ditimpa hujan Qayyum. Suami isteri memanglah akan sentiasa berselisih faham tapi adatlah."

"Mungkin salah saya juga mama..."

Puan Sri Zalia mengeluh dalam. Tiba-tiba dia berasa ingin tahu tentang Murni. Tak salah kalau aku dapatkan sedikit maklumat daripada Ummar Qayyum.

"Murni macam mana Qayyum?" Topik perbualan Puan Sri Zalia pusingkan.

"Murni?" tanya Ummar Qayyum balik.

"Er, yalah, maksud mama, macam mana dia menerima perkahwinan Rais dengan Ros Ilyani? Mama pun tak sempat nak sembang-sembang dengan dia. Banyak sangat masalah yang melanda keluarga kita akhir-akhir ni."

Ummar Qayyum termenung sejenak. Sejujurnya, dia memang tidak berapa ambil peduli tentang Murni tetapi dia tahu emaknya sangat prihatin pada nasib Murni dan anaknya. Dia sedar Murni banyak bercerita dan mengadu pada emaknya tentang keadaan dirinya.

"Dia marah tak Rais kahwin lain?" cungkil Puan Sri Zalia berhati-hati.

"Saya rasa dia tersinggung. Saya terdengar dia bercerita pada emak."

"Sebab itu ke dia selalu balik kampung akhir-akhir ni?"

"Mungkin juga."

"Tapi Rais dengan Ros akan berpindah nanti, mereka ada cakap dengan mama, nak pindah..."

"Murni?" tanya Ummar Qayyum prihatin.

"Murni duduk dengan mamalah kat sini. Sesekali Rais balik tengok dia dengan anaknya. Takkan nak mereka berkumpul semua di sini..." komen Puan Sri Zalia.

Ummar Qayyum angguk faham. Sungguhpun tubuhnya ada bersama Puan Sri Zalia tetapi roh dan hatinya ada di tempat lain. Dia terkenangkan Rania. Dia tahu Rania ada rancangannya yang tersendiri. Dia yakin Rania sedang merancang sesuatu. Dia melemparkan pandangan ke arah jendela di bilik Rania.

Ren, kembali pada abang! Abang merinduimu!

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/09
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved