Rabu, 10 Julai 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Cabaran bina empayar perniagaan

Posted: 10 Jul 2013 11:59 AM PDT

Kerjaya Leena Hassan, 33, sebagai Pengurus Mahkota Songket iaitu anak syarikat Lunas Atur Sdn Bhd bermula pada 2003 iaitu selepas dia menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Meneruskan perniagaan keluarga yang mula diterokai oleh bapanya, Hassan Mohd Jamil, Leena menyimpang jauh daripada bidang pengajiannya kepada satu dunia baru.

Berbekalkan semangat dan usaha keras, Leena mempelajari selok-belok perniagaan daripada ayahnya apatah lagi perusahaan yang dijalankan adalah berasaskan fabrik songket.

Malah, siapa sangka ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini yang dulunya tidak tahu menenun kini amat mahir menggunakan alat tenun tradisional yang menggunakan teknik menyungkit.

Foto

BAHAN dekorasi rumah, bunga hiasan dan cenderahati perkahwinan boleh didapati di Latur.


"Saya hanya sempat 'hidup' dalam dunia kewartawanan selama enam bulan saja itupun kerana mengikuti latihan amali di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan selepas itu cuba beberapa kerja lain.


"Bagaimanapun, akhirnya saya membuat keputusan untuk membantu ayah menguruskan perniagaannya yang semakin berkembang pada ketika itu. Pada asalnya, syarikat kami terbabit membekalkan bahan mentah batik, songket dan pelbagai jenis benang yang diimport dari China untuk pengusaha songket bukan saja di Malaysia malah hingga ke Brunei.

"Selain itu, kami juga bermula dengan kerja membekal songket untuk kakita-ngan tentera, namun kerana permintaan yang semakin meningkat, Mahkota Song­ket memberanikan diri melebarkan empayar perniagaannya de­ngan membesarkan lagi operasi kilang penghasilan songket dan menambah jumlah pekerja.

"Boleh dikatakan kami adalah pelopor kepada perusahaan pembuatan songket di Selangor kerana sebelum ini hanya Terengganu, Kelantan dan Pahang saja yang aktif melakukannya," katanya.

Apa yang lebih membang­gakan, Mahkota Songket juga menjadi sebuah syarikat Bumiputera yang unggul dalam pengeluaran song­ket tenunan mesin di Malaysia.

Menurut Leena, mereka banyak menerima tempahan daripada kerabat diraja dan orang kenamaan kerana produk keluarannya berkualiti tinggi dan amat mementingkan seni buatan ta­ngan.

Sehingga kini, syarikatnya masih mendapat tempahan dan menjadi pembekal kepada kain samping untuk pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan bomba.

"Kelebihan produk kami terletak pada corak dan bunga samping yang lain daripada yang lain. Buatan tangan agak mahal namun memiliki samping berkualiti tinggi ini ibarat kalah membeli menang memakai.

"Samping eksklusif yang berkualiti tinggi mempunyai jangka hayat yang lama dan boleh diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi lain," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Sungguhpun berjaya menghasilkan songket tenun secara komersil, sebagai anak tempatan, Leena tetap mengekalkan ciri tradisional tenunan songket yang menjadi kebanggaan warisan negara.

Diperbuat oleh pekerja mahir, sudah pasti semua samping songket yang dihasilkan dijamin kualiti­nya.

Ulas Leena lagi, syarikatnya mengeluarkan dua jenis samping songket iaitu songket tenun tangan dan songket tenun mesin.

Bagi tempahan songket tenun tangan, ia akan mengambil masa lebih kurang sebulan untuk disiapkan daripada tarikh tempahan manakala songket tenun mesin pula kurang daripada tempoh itu.

Bagaimanapun, apalah maksud sebuah perniagaan tanpa cabaran mendatang menguji kecekalan diri. Leena mengakui bukan senang mahu membina empayar dan me-ngekalkannya sehingga sekarang apatah lagi bapanya memulakan perusahaan keluarga itu sejak 1997.

"Masalah yang selalu saya alami adalah mendapatkan tenaga kerja mahir dalam seni tenunan kerana mereka cepat berasa bosan atau mempunyai masalah peribadi lalu mengambil keputusan berhenti kerja.

"Daripada berbelas pekerja kini saya hanya mempunyai empat penenun saja yang perlu menyiapkan segala tempahan di kilang kami yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

"Kebanyakan pekerja saya adalah pelajar lulusan Institut Kraf Negara (IKN) yang tentu saja berkemahiran dalam bidang ini. Satu perkara yang membuat saya terkilan apabila ramai graduan memilih bidang pekerjaan lain selepas tamat pengajian kerana mereka berasakan tiada pekerjaan sesuai untuk mereka dan ternyata pemikiran itu salah.

"Atas tujuan membantu, saya juga bekerjasama dengan IKN dengan mengadakan sesi perbincangan atau ceramah kepada pelajar mengenai potensi mereka dalam pasaran dan sebagainya. Tidak terkecuali, saya juga mengambil pelajar yang mahu melakukan latihan amali menenun di kilang," jelasnya.

Kini, dia maju setapak lagi apabila membuka pusat sehenti perkahwinan dikenali sebagai Latur di Jalan Serai Wangi H 16/H, Alam Avenue Seksyen 16, Shah Alam.

Mempunyai empat tingkat, Leena menjual pelbagai kelengkapan perkahwinan, barangan harga istimewa, bunga hiasan, hiasan dalaman rumah dan tentu sekali produk kebanggaannya, songket.

"Dulu kami beroperasi di Seksyen 13 dan di situ kami hanya fokus menjual songket serta cenderahati berasaskan fabrik berkenaan. Namun kini, kedai itu sudah di disewakan dan kami berpindah ke sini serta menawarkan lebih banyak lagi pilihan kepada orang ramai.

"Saya terfikir kenapa tidak melakukan pusat sehenti perkahwinan bagi memudahkan bakal pengantin mencari semua barangan kelengkapan di satu tempat saja.

"Niat saya mahu menolong orang ramai mencari sesuatu yang berlainan dan tampak eksklusif tetapi membelinya pada harga berpatutan. Kami juga bertindak sebagai pemborong dan peruncit semua barangan ini," kata Leena mengenai kedainya yang dibuka pada setiap hari kecuali Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10

Sedia konsep 'sparty'

Posted: 10 Jul 2013 08:38 AM PDT

Berkunjung ke Spa Cendana yang terletak di Jalan Kristal J7/J, Seksyen 7, Shah Alam, setiap wanita akan dilayan dengan penuh mesra oleh pekerja di situ.

Keramahan mereka membuatkan pengunjung berasa seperti di rumah sendiri dan tidak kekok untuk bergerak ke mana-mana apatah lagi kaum Adam tidak dibenarkan sama sekali berada di dalam spa sewaktu isteri, ibu atau teman wanita menjalani rawatan.

Alunan irama dan bauan herba seperti serai wangi yang menenangkan juga tersedia bagi menyambut kedatangan pengunjung.

Dekorasi hiasan dalaman yang ringkas tetapi menarik pula membuat­kan keadaan persekitaran tampak lebih santai dan ceria.


Menurut pemiliknya, Norizan Zulkifli, konsep gabu­ngan spa Bali kontemporari dijadikan ukuran untuk dekorasi dalaman spa manakala prinsip mahu pengunjung berasa selesa tanpa kehadiran atau bercampur dengan lelaki pula memang menjadi matlamatnya sejak dulu lagi.


"Saya mahu setiap wanita yang datang ke spa ini berasa bebas dan tenang daripada tekanan di rumah atau pejabat yang mungkin disebab­kan perlu melayan kerenah anak, suami dan majikan.

"Contohnya, jika ada suami yang mahu menemani isterinya melakukan rawatan kecantikan, saya akan memberitahu bahawa kami tidak membenarkan lelaki masuk ke dalam spa kerana selain isteri mereka, ada lagi pe­ngunjung lain yang mahukan sedikit ruang peribadi.

"Selain itu, kami tidak mereka spa ini seperti kebanyakan spa lain yang terlalu mewah kerana mengikut pengalaman sendiri, kita akan berasa takut atau segan untuk masuk ke dalam spa sebegitu," katanya.

Selain itu, Norizan turut menyediakan konsep 'sparty' iaitu spa dan parti di mana bakal pengantin atau pe­ngunjung wanita boleh me­ngadakan jamuan bersama beberapa teman mereka di samping melakukan rawatan di situ.

Perkhidmatan rawatan kecantikan disediakan bermula daripada hujung rambut hingga ke kaki buat wanita yang mahu memanjakan diri di spa tidak kira sama ada pada waktu pagi, tengah hari atau petang.

Menurutnya, ramai yang datang ke Spa Cendana untuk membuat rawatan pakej Cendana Seri Pengantin dan Cendana Seri Bonda serta beberapa pakej lain lagi.

"Pakej cendana Seri Pengantin cuma berharga RM300 dan rawatan mengambil masa enam jam. Ia khusus buat bakal pengantin yang mahu menyegar dan mencantikkan lagi diri menjelang hari bahagia.

"Antara rawatan yang dilakukan adalah urutan dan rendaman kaki dengan air bunga, sauna herba, lulur serta sentalan badan, mandian susu dan naik seri pengantin, rawatan muka dan rambut serta kuku.

"Cendana Seri Bonda pula adalah pakej hadiah yang boleh diberikan kepada isteri dan ibu supaya mereka boleh merehatkan diri dengan sesi urutan, sauna, mandian susu dan sebagainya selama tiga jam di spa ini," katanya.

Norizan banyak menggunakan herba tradisional dan bunga-bungaan sebagai bahan utama di dalam rawatannya.

Tujuh warna bunga yang berbau harum akan digunakan dalam bahan mandian supaya ia memberi kesan seakan aromaterapi dan menyegarkan pengunjung ketika menjalani rawatan.

Rawatan sauna herba juga amat digemari pengunjung kerana ia membantu mereka membuang angin atau toksik dalam badan, memecahkan lemak dan membantu melancarkan aliran darah.

Namun Norizan mengi­ngatkan pengunjung supaya membuat tempahan terlebih dulu terutamanya pada hari Jumaat kerana ia adalah waktu yang ramai pelanggan dan agak sibuk.

Ia bagi mengelakkan pelanggan terpaksa menunggu lama dan lebih menyedih-kan mereka langsung tidak dapat melakukan rawatan kerana jumlah pengunjung yang ramai. Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Spa Cendana, layari www.cendanaspa.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/10
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved