Rabu, 10 Julai 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Jejak Rasul: Ramadan di tiga tempat suci

Posted: 09 Jul 2013 05:14 AM PDT

Bagi mengimarahkan lagi Ramadan yang mulia ini, TV3 sekali lagi membawakan program yang sinonim dengan sambutan bulan puasa di negara ini iaitu Jejak Rasul.

Program yang sudah memasuki edisi ke-19 kali ini tampil dengan kelainan apabila kru yang ditugaskan membuat liputan berpuasa dan menyambut Aidilfitri bersama penduduk di Arab Saudi, Jordan, Palestin, Makkah dan Madinah.

Kembara Jejak Rasul kali ini bertemakan Ramadan Di Tiga Tanah Suci iaitu Makkah, Madinah dan Baitulmaqdis. Ia ditayangkan di TV3 setiap hari sejak semalam pada jam 6 petang.

Dalam penggambaran itu, krew dibahagikan kepada dua kumpulan di mana penerbit dan pengacaranya, Ahmad Fedtri Yahya bersama empat kru ditugaskan ke Makkah dan Madinah.

Foto

FEDTRI bertuah apabila dapat bermalam di Gua Hiraq.

Foto

FEDTRI ketika berbuka puasa di tepi pantai di Jeddah.

Foto

PENGGAMBARAN di padang pasir Wadi Rum, Jordan ketika suhu mencecah 50 darjah selsius di bulan puasa memang amat mencabar.

Foto

MAJLIS ilmu berterusan di sepanjang 10 hari terakhir Ramadan di Palestin.

Foto

KREW Jejak Rasul berbuka puasa bersama keluarga kaum Badwi, Ahmed di Deir Alla, Jordan.

Foto

KECACATAN tidak menghalang Amna, 12, mencari keredaan Ramadan.


Kumpulan kedua yang diketuai penerbit, Mat Nasir Yusof pula berkelana di bumi Arab Saudi, Jordan dan Palestin.


Bagi mencetuskan suasana sebenar menyambut Ramadan dan Aidilfitri di sana, kedua-dua kumpulan itu berangkat ke sana pada Ramadan tahun lalu.

Kumpulan Fedtri bertolak seminggu sebelum Ramadan dan pulang ke tanah air seminggu sebelum Aidilfitri tahun lalu manakala Nasir pula bertolak seminggu selepas bermulanya Ramadan dan kembali ke tanah air seminggu selepas Aidilfitri selepas meraikan sambutan Syawal bersama penduduk Baitulmaqdis.

Berkongsi pengalaman dengan mereka, dapat dirasakan apa yang mereka lalui begitu indah kerana dapat merasai keunikan dan perbezaan berpuasa serta menyambut Aidilfitri di tempat yang bukan calang-calang tetapi di bumi yang Allah SWT janjikan pahala beribu kali ganda banyaknya.

Fedtri berkata, dengan suhu melebihi 50 darjah selsius di Madinah dan Makkah, ia begitu menguji kekuatan dan keimanan mereka. Namun apabila berada di bumi Allah SWT itu, perasaan yang melanda lain rasanya kerana di sanalah seluruh umat Islam bertumpu bagi memperbanyakkan amal ibadah.

Tiada yang difikirkan melainkan mencari keredaan Ilahi. Bekerja sambil mencari rahmat Allah SWT menguatkan semangatnya sepanjang berada di sana.

"Dalam keadaan cuaca yang panas membahang ia tidak menghalang saya, kru dan puluhan ribu jemaah lain menuju ke Masjidil Haram. Berbeza menyambut Ramadan di sana kerana tiada Bazaar Ramadan seperti di tempat kita.

"Menu yang enak-enak memenuhi meja bukanlah keutamaan mereka kerana cukup bagi mereka dapat mengalas perut ketika berbuka dengan menjamah sebiji dua kurma dan membasahi tekak dengan air zam zam. Apa yang mereka kejarkan ialah pahala dan seboleh mungkin mereka akan berebut-rebut untuk berbuka puasa dan bersolat di depan Kaabah.

"Selesai solat Maghrib mereka terus menunggu untuk solat Isyak dan tarawih. Hal dunia langsung diketepikan dan mereka hanya akan menjamah hidangan berat selesai tarawih.

"Tenang rasa hati dapat berada dalam suasana itu. Di sana juga penduduk Madinah dan Makkah berebut-rebut mahu bersedekah. Anda tidak perlu risau ke masjid tanpa membawa bekalan kerana pasti ada saja yang akan menghulurkan rezeki untuk berbuka kepada anda. Air zam zam pula berada di setiap penjuru Masjid Nabawi dan Masjidil Haram," katanya.

Katanya, dek kerana kepanasan yang melampau masyarakat Arab menghabiskan masa mereka di sebelah siang dengan berehat dan tidur di rumah. Mereka hanya akan keluar rumah pada sebelah malam hinggalah subuh.

Fedtri juga bertuah kerana dalam kembaranya itu dia dapat bermalam di Gua Hiraq dan menyaksikan keindahan Kota Makkah dari puncak Gunung Jabal Nur itu.

Dugaan dengan pegawai kerajaan Arab Saudi

Dalam menceritakan segala yang indah dan manis sepanjang berada di sana, pasti ada cabaran yang menanti terutama dalam melunaskan kerja penggambaran.

Fedtri berkata, di sana peraturan untuk merakam gambar amat ketat dan sepanjang masa mereka ditemani pegawai kerajaan Arab Saudi yang akan memantau segala aktiviti penggambaran mereka.

"Itupun kerap kali kami ditahan dan kamera dirampas. Masalah lain pula masyarakat di sana tidak suka bergambar dan pegawai yang bertugas dengan kami pula mahu tidur siang. Namun, mahu tidak mahu dia 'terpaksa' juga bekerja kerana tanpanya, kami pula tidak boleh bekerja. Jadi, bermasam muka dengan kami adalah perkara biasa.

"Itu belum lagi penggambaran yang perlu dilakukan berulang kali. Selain itu, pergerakan kami juga kerap diperhatikan kerana bimbang kami membawa ajaran sesat," katanya.

Mengejar Lailatul Qadar di Palestin

Pengalaman berpuasa di Palestin cukup menarik buat Nasir apabila menyaksikan sendiri penduduknya mengejar pahala malam Lalilatul Qadar pada 10 hari terakhir Ramadan.

Katanya, pada malam-malam terakhir Ramadan penduduknya tidak teruja terperap di dapur membuat kuih raya atau membanjiri pusat beli-belah membeli baju raya, sebaliknya masing-masing sibuk mengejar pahala dan keadaan itu amat menginsafkan Nasir.

"Mufti di sana akan beritahu bila malam Lailatul Qadar yang biasanya jatuh pada malam 27 Ramadan. Lebih 500,000 penduduk akan membanjiri Masjid Al Aqsa.

"Masjid Al Aqsa antara masjid yang dijanjikan Allah SWT sesiapa yang beribadah di dalamnya akan mendapat ganjaran yang amat besar selain di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

"Dari waktu Subuh hingga malam esoknya, masjid dipenuhi jemaah. Alhamdulillah mereka menghargai kedatangan kami ke sana dan diberi keistimewaan duduk di belakang imam. Mereka sukakan orang Malaysia," katanya.

Nasir berkata, pada malam itu dia dapat rasakan suasananya sejuk dan tenang. Ketika imam membacakan doa qunut dia begitu sebak hingga menitiskan air mata.

"Ketika Aidilfitri, selepas solat sunat Aidilfitri di masjid, masing-masing balik ke rumah tiada ziarah-menziarahi. Kemeriahan bagi masyarakat Arab ialah pada bulan Ramadan.

"Kami yang terkenangkan keluarga di Malaysia bertakbir dalam hotel dan merebus ketupat segera yang dibawa bersama. Amat lain rasanya berhari raya di tempat orang tetapi pada masa sama saya dan krew gembira kerana dapat melalui sendiri pengalaman yang amat hebat itu," katanya.

Selain itu, ketika di Jordan Nasir juga merasai pengalaman berbuka puasa dengan masyarakat Badwi yang menghuni padang pasir. Menu mereka adalah nasi ditanak dengan susu unta yang sudah diperam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09

Lee Min Ho penuh janji

Posted: 09 Jul 2013 05:02 AM PDT

Ketampanan aktor ini memang jadi kegilaan peminatnya dari serata Asia. Tanyakan saja apa drama atau filem mahupun segala karier seni mengenai­nya, mereka pasti boleh senaraikan dengan tepat.

Berkunjung buat kali kedua ke Malaysia, baru-baru ini, Lee Min Ho, 25, terus mengukuhkan empayarnya di sini apabila 'showcase' sulungnya di Kenanga Wholesale City, Pudu, Kuala Lumpur dibanjiri kira-kira 3,000 peminat fanatik.

Awal tahun ini, bintang siri kegilaan Boys Over Flowers itu me­ngumumkan berita gembira apabila dia mahu menceburi bidang nyanyian pula selepas peminat sendiri membuat permintaan berkenaan.

Bukan perkara baru pelakon Korea melebarkan sayap kepada bidang nya­nyian dan Lee Min Ho turut tergolong dalam kelompok itu.

Foto

Persembahan Lee Min Ho diiringi penari.

Foto

PEMINAT bertuah dapat bersamanya di pentas.


Disebabkan perkara ini, semestinya peminat yang selama ini memujanya sebagai hero drama pasti teringin mendengar sendiri kemerduan vokal beliau itu.


Ternyata, kebolehan Min Ho di pentas nya­nyian tidak mengecewakan meskipun kalau diikut­kan, tahap vokalnya masih belum setanding pe­nyanyi hebat dari negara kelahirannya.

Walaupun Min Ho sendiri tidak pernah terfikir akan mampu membuat persembahan di ribuan hadapan peminat, 'showcase' bermula jam 8 malam itu tetap mendapat maklum balas positif daripada penonton.

Paling penting, Min Ho tahu genre lagu yang bagaimana bertepatan de­ngan suaranya menyebabkan bukan saja menghiburkan penonton malah bersatu dengan muziknya.

Diiringi mainan 'live band', aktor itu melunaskan setiap lagunya dengan penuh bertenaga dan sesekali menukar 'mood' lagu kepada sentimental dengan penuh 'feel'.

Tidak ketinggalan, sementara dia berehat sebentar di belakang pentas untuk persembahan seterusnya, rakan seperjuangan yang penari juga penya­nyi latarnya pada malam itu Monsterz tampil sebagai selingan.

Min Ho mendendangkan tujuh lagu semuanya pada malam itu termasuklah lagu yang menaikkan namanya My Everything, You and I, Us, Pieces of Love, My Little Princess, Love Motion dan Without You. Dia menutup persembahan malam itu dengan lagu Say Yes.

Berwarna-warni dan tampil dengan persembahan penuh props, dia kemudian diberikan tepukan gemuruh seluruh peminatnya yang sempat berasak-asak ke belakang pentas dengan harapan dapat bersemuka dengannya.

Hebat di arena lakonan, pelakon siri popular City Hunter berkenaan me­ngakui sejak terbabit dalam nyanyian, dia meneroka banyak benda baru yang tidak pernah terfikir mampu dilakukannya.

"Memang berbeza dua bidang ini. Dalam nyanyian banyak benda perlu saya jaga. Bukan sekadar nya­nyian, malah emosi dan stamina perlu kuat untuk beraksi di pentas.

"Buat masa ini, saya selesa dengan genre lagu balada dan belum bersedia untuk menyanyikan lagu rancak," katanya.

Sempat berkongsi perkem­bangan terbarunya, dia bakal tampil membintangi sebuah lagi siri berjudul The Heirs yang mengisahkan percintaan remaja.

Mahu kembali fokuskan kepada lakonan, dia juga belum terfikir untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai keutamaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/09
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved