Rabu, 24 Julai 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Guna pembayang mata

Posted: 24 Jul 2013 08:01 AM PDT

Majlis makan malam seolah-olah tiada serinya jika tidak disertakan dengan pakaian bergemerlapan dan gaya solekan menawan.

Namun, kedua-duanya perlu diseimbangkan agar gaya yang ditampilkan tidak kelihatan janggal.

Penggunaan warna terang dan berkilat sememangnya lebih sesuai untuk majlis waktu malam, namun kombinasinya perlu diadun secara sederhana.

Ia bertujuan mengelakkan kejelitaan semula jadi terselindung di sebalik jumlah perhiasan atau solekan tebal.

Foto

WAJAH sebelum memakai mekap.

Foto

BUATKAN pembayang di bahagian hidung menggunakan jari, ratakan hingga sekata. Untuk kecilkan bahagian pipi yang berisi, gelapkan sedikit bahagian rahang dan tulang pipi menggunakan pembayang. Sapukan pemerah pipi secara sederhana.

Foto

BENTUKKAN bibir dan pakaikan gincu mengikut warna diingini.

Foto

GAYA sederhana ke majlis di malam hari.

Foto

SEMBURAN pada wajah untuk mengekalkan mekap.

Foto

SAPUKAN penyamar cela untuk menutup lingkaran gelap di bawah mata, kemudian penyamar cela berwarna hijau bagi menutup parut jerawat atau jeragat.

Foto

GUNAKAN bedak asas dan hanya tekapkan pada bahagian yang memiliki penyamar cela bagi mengelakkan ia terpadam. Gunakan bedak debu untuk kesan tebal dan ratakan menggunakan berus.

Foto

BENTUKKAN kening dan ratakan dengan berus, tambahkan maskara warna coklat.

Foto

SAPUKAN penyerlah di bawah tulang kening, sapukan pembayang mata. Gunakan kaedah soket iaitu sapukan warna lebih gelap pada hujung mata dan adun menggunakan berus dengan gerakan ke dalam.

Foto

GUNAKAN penggaris mata jenis gel kerana lebih pekat dan lancar.

Foto

TAMBAHKAN maskara pada bulu mata dan tambahkan bulu mata palsu.

Foto

PAKAIKAN celak mata putih pada garisan bawah mata untuk menampakkan bentuk mata lebih besar. Kemudian tambah celak hitam di bawah garisan tadi dan gunakan berus serong untuk merapikan garisan.


Untuk mengekalkan solekan pada wajah, sebelum memakai mekap, basuh muka dengan air mineral terlebih dulu.


Bagi menampilkan solekan lebih ranggi, pelbagaikan warna dengan mengadunkan pembayang mata warna biru, ungu, hijau atau coklat.

Sebagai contoh, lapisan pertama disapukan dengan warna ungu lembut, diikuti lapisan kedua ungu gelap serta adun bersama warna hitam di tepi mata.

Pembayang mata warna putih boleh digunakan sebagai penyerlah (highlight) pada tulang atas mata bagi kulit cerah manakala warna pic dan vanila kelihatan lebih anggun bagi mereka berkulit lebih gelap.

Selain itu, jangan sesekali menyapu pembayang mata berwarna gelap di bawah mata dengan alasan untuk menampakkan mata lebih besar. Ini akan membuatkan mata kelihatan terlalu sarat atau lebam. Cukup sekadar menggunakan penggaris mata.

Diingatkan juga jika pembayang mata berwarna gelap, gunakan warna lebih lembut pada bahagian pipi dan bibir.

Contohnya, apabila bahagian mata sudah gelap, pastikan pilih pemerah pipi dan gincu warna merah jambu lembut atau coklat tanah.

Selain itu, bentukkan kening menggunakan pensel warna yang sepadan dengan bulu kening untuk kesan lebih dramatik.

Tip penjagaan kulit sebelum memakai mekap

  • Sebelum membersihkan wajah, pastikan tapak tangan bersih daripada kotoran atau minyak agar tidak memberi kesan kepada kulit wajah.
  • Jangan abaikan kawasan leher dan dada. Jika menggunakan pembersih wajah kemudian penyegar dan seterusnya pelembap, sapukan ketiga-tiga regim pembersih ini pada bahagian leher dan dada.
  • Selepas memakai pelembap, tunggu beberapa minit agar ia menyerap ke dalam kulit dengan sempurna. Kemudian barulah mengenakan solekan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
  • Sejarah baru

    Posted: 24 Jul 2013 07:55 AM PDT

    Seluruh dunia memang tidak sabar menantikan saat kelahiran putera sulung pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton. Kelahiran si comel di Hospital St Mary's yang membawa gelaran His Royal Highness (HRH) Prince of Cambridge pada jam 4.24 petang Isnin lalu dengan berat 3.8 kilogram membuatkan seluruh dunia tersenyum riang.

    Apatah lagi bagi William sendiri kerana menjadi bapa moden dan memecahkan tradisi keluarga diraja dengan berada di sisi isteri tersayang sehinggalah Kate melahirkan anak. Tindakan William ini mencatat sejarah kerana sebelum ini tiada suami dalam keluarga diraja itu yang melihat sendiri saat payah dan indah kelahiran zuriat mereka.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak istana William berkata, mereka berasa sangat gembira, ibu dan anak berada dalam keadaan yang baik. Bagaimanapun nama yang bakal diberikan kepada putera kecil ini masih dirahsiakan sehinggalah tiba saat sesuai untuk diumumkan.

    Kelahiran putera ini sememangnya menempa sejarah kerana dia bukan saja menjadi pewaris takhta ketiga Britain selepas datuk dan ayahnya (Putera Charles dan William) mengikut undang-undang pewarisan takhta yang baru, tetapi namanya juga tercatat sebagai orang pertama dalam keluarga diraja itu yang diberikan gelaran Prince of Cambridge dalam tempoh 100 tahun.

    Foto

    WILLIAM membawa puteranya memasuki kenderaan yang menunggu.

    Foto

    WILLIAM memeluk putera sulungnya.

    Foto

    SELURUH dunia menanti kelahiran putera sulung William-Kate.


    Mengikut undang-undang pewarisan takhta yang baru ini, anak pertama William dan Kate mempunyai hak untuk mewarisi takhta tanpa mengira jantinanya. Pakar diraja agensi berita CNN, Victoria Arbiter berkata, dalam tempoh 60 hingga 70 tahun, putera kecil ini akan menjadi raja. Inilah kali pertama dalam sejarah empat generasi keluarga diraja Britain hidup bersama sejak Ratu Elizabeth mengambil alih takhta.


    Pakar sejarah dan pengacara, David Starkey berkata, buat pertama kali jantina anak tidak diambil kira sebagai pewaris takhta. Sama ada lelaki atau perempuan, ia tetap ada hak untuk duduk di atas takhta dalam sistem beraja Britain. Pun begitu, kelahiran seorang putera membuatkan undang-undang pewarisan baru ini lebih mudah untuk diterima dan dilaksanakan.

    Bahkan Starkey berkata, kelahiran Prince of Cambridge ini secara tidak langsung 'menunda' idea untuk memberikan takhta kepada wanita. Ia bermakna, impian untuk melihat wanita sebagai pewaris takhta hanya akan dapat direalisasikan 100 tahun lagi.

    Kegembiraan dan kesyukuran dengan kelahiran putera sulung itu seolah-olah melenyapkan tragedi yang berlaku kerana keghairahan orang untuk mengetahui setiap perkara dalam keluarga diraja itu.

    Mengandungkan anak sulung ini bukan satu pengalaman mudah bagi Kate kerana pada awal kehamilannya dia mengalami mabuk yang teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital. Ketika Kate dimasukkan ke hospital inilah dua pengacara radio di Australia membuat panggilan palsu dengan menyamar sebagai keluarga diraja dan membuatkan jururawat yang menyambung panggilan berkenaan berasa sangat tertekan sehingga nekad membunuh diri.

    Kematian itu menjadi peringatan yang sangat penting khususnya mengenai kesan buruknya apabila keghairahan mendapatkan berita eksklusif mengenai keluarga diraja mengatasi kewarasan dan rasa hormat pada hak peribadi orang lain.

    Berita kehamilan Kate juga secara tidak langsung menguntungkan pihak industri. Pereka fesyen berebut-rebut dan bersaing menghasilkan pakaian mengandung untuk Kate dan Pusat Penyelidikan Peruncitan meramalkan kelahiran putera sulung William dan Kate itu bakal merangsang ekonomi Britain sehingga RM1.2 bilion.

    Ini termasuklah penghasilan pelbagai cenderamata bertemakan bayi. Malah Charles sendiri dikatakan merancang untuk menjual kasut bayi buatan tangan melalui kedai cenderahati di Highgrove. Pada masa sama, ibu dan bapa Kate juga mempunyai rancangan menjual cenderahati terpilih melalui syarikat mereka, Party Pieces. Itu belum masuk barangan keperluan bayi yang Kate beli kerana sebaik berita mengenainya diterbitkan, jualan produk berkenaan melonjak naik.

    Keluarga diraja yang baru ini dikatakan akan menghabiskan banyak masa mereka di Istana Kensington di mana William dan Harry dibesarkan. Tentu saja kawalan ketat akan diberikan kepada keluarga diraja ini khususnya si putera kecil.

    Bagaimanapun pengawal pihak istana akan cuba menjadikan kehidupan putera kecil ini senormal mungkin dan paling penting tidak terpisah daripada masyarakat.

    Dalam satu laporan mengatakan Kate akan menghabiskan masa berpantang di rumah ibu bapanya selama enam minggu. Ini kerana William suka kepada kehidupan keluarga Kate yang 'normal' dan tahu isterinya akan berasa selesa berehat di rumah ibu bapanya sendiri di mana mereka akan turut membantu menjaga si kecil.

    Kebanyakan pasangan diraja mengupah pengasuh selepas bersalin tetapi William dan Kate dikatakan akan memecahkan tradisi itu. Mereka dilaporkan tidak bercadang mengambil pengasuh sepenuh masa untuk si kecil. William mahu melalui pengalaman manis sebagai bapa dengan menukar lampin dan membacakan buku kepada anaknya.

    Keadaan ini sangat berbeza bagi Ratu Victoria dan Putera Charles kerana adakalanya Charles tidak berjumpa ibunya selama beberapa bulan kerana semua urusan penjagaan diserahkan kepada pengasuh.

    Menurut pengasas laman web keibubapaan Netmums, Siobhan Freegard, latar belakang Kate memberi banyak pengaruh dalam keputusan ini. Dia merancang kehamilannya dan mahu merasai pengalaman sebagai ibu seperti wanita lain.

    Dalam limpahan jutaan ucap tahniah, putera kecil ini sebenarnya berhadapan dengan pelbagai perkara yang kurang menyenangkan dalam bab pewarisan takhta selain beban kuasa yang bakal ditanggungnya satu hari nanti.

    Dalam soal ini, si ayah, William sangat memahami kerana dia juga melalui pengalaman yang sama.

    Sejurus selepas melahirkan Putera Harry, Puteri Diana pernah berkata, "Putera sulung diraja mungkin mendapat semua perhatian, keagungan dan sanjungan tetapi anak kedua saya akan menikmati lebih banyak kebebasan. Putera kedua saya ini tidak akan menerima tekanan seperti yang perlu ditanggung oleh William sepanjang hayatnya."

    Antara tekanan yang perlu ditanggung anak sulung diraja termasuklah membawa gelaran HRH dan semua aspek warisan yang berkaitan dengannya. Si putera kecil ini juga tidak terkecuali kerana dia dikatakan bakal menjadi Supreme Governer of The Church of England (gelaran yang dipegang oleh keluarga diraja Britain sebagai pemerintah tertinggi gereja), ketua pasukan tentera dan menjadi ketua kepada 16 negara.

    Malah pakar diraja juga meramalkan putera sulung William dan Kate ini bakal menjadi seseorang yang mempunyai pengaruh besar di seluruh dunia, sebagai ketua dan menjadi harapan ramai.

    Namun buat masa ini, Prince of Cambridge yang mungkin menjadi raja satu hari nanti kini berkongsi tugas yang sama seperti semua bayi lain di dunia menyusu dan tidur supaya boleh membesar dengan sihat dan sejahtera.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/24
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved