Isnin, 15 Julai 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Zizan sudah serik

Posted: 14 Jul 2013 06:54 AM PDT

Bukan 'demand' sebaliknya pelakon yang dikenali menerusi watak Tun Dr Ismail dalam filem Tanda Putera, Zizan Nin mengakui serik untuk be­kerja dengan pengarah dan produksi yang tidak profesional.

Zizan yang mula serius berlakon sejak 2004 hingga sekarang berkata, antara kejadian yang sukar dilupakan ketika dia hampir ditumbuk seorang penolong pengarah ketika terbabit dalam satu penggambaran drama, baru-baru ini.

Secara peribadi, kata pemilik nama sebenar Azizan Nin, 40, itulah pengalaman terbarunya berdepan dengan produksi yang tidak profesional selepas hampir 12 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

"Semuanya gara-gara tekanan kerja yang dihadapi penolong pengarah itu untuk menyiapkan drama berkenaan mengikut jadual.

Foto

ZIZAN tidak serik berlakon filem sejarah.

Foto

MARDIANA sibuk melayan anak yatim memilih juadah disediakan.


"Bagi saya, itu salahnya sendiri kerana gagal menyiapkan kerja seperti direncanakan serta tidak memiliki etika kerja yang profesional.


"Terus terang, itu adalah kali terakhir mereka mendapat khidmat saya sebagai pelakon. Maaf, saya juga mengelak untuk bekerja dengan pengarah dan produksi yang bermasalah selepas ini," katanya.

Zizan ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Aquila Emas Sdn Bhd bersama rumah anak yatim serta pihak media yang berlangsung di Hotel Federal Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Selain Zizan selaku pengacara, majlis berbuka puasa disemarakkan de­ngan kehadiran barisan selebriti seperti Serina Redzuawan, Airis Yasmin, Mardiana Alwi, Fimie Don, Tania Zara dan ramai lagi.

Hadir sama, Pengarah Urusan Aquila Emas, Syarizan Mohd Isa.

Menyentuh aktiviti Ramadan pula, kata Zizan yang pernah mengungguli kategori Pelakon Lelaki Harapan, Festival Filem Malaysia ke-20 (filem Cinta Terakhir), dia masih memenuhi undangan berlakon drama dan telefiem.

"Saya baru selesai peng­gambaran telefilem Janji Sandora yang membabitkan penggambaran di Sabah untuk stesen RTM. Saya bergandingan dengan pelakon baru Mira dan penampilan pelakon dari Sabah.

"Penggambaran telefilem ini sebelum Ramadan lagi dan selepas penggambaran selesai, saya dan isteri pergi bercuti di Kundasang, Sabah untuk berehat dan menenangkan fikiran," katanya.

Selain itu kata Zizan, dia juga akan beraksi dalam satu projek telefilem baru minggu depan.

Drama lakonannya yang ditayangkan di kaca televisyen ialah drama bersiri Violet Sukasih dan sitkom Kelas Sebelah untuk stesen RTM.

Zizan yang turut dikenali sebagai hos juga terbabit dalam program game show Akua Ekstrem musim ketiga yang bersiaran di RTM.

Zizan beraya di rumah baru

Sambutan Syawal kali ini cukup bermakna buat Zizan dan isterinya Penerbit Berita di ntv7, Fazilah Hani Harun kerana beraya di kediaman baru mereka di Ukay Perdana.

Ramadan ini genap setahun mereka menginap di situ.

"Persiapan raya kami sederhana saja. Contohnya saya juga sudah memperuntukkan tiga pasang baju Melayu untuk majlis buka puasa dan sesi fotografi raya kali ini.

"Saya juga akan beraya di rumah keluarga mentua pada hari raya pertama di sini. Menyusul selepas itu, saya akan pulang ke kampung untuk menziarahi kubur arwah emak pula. Kami tidak dapat beraya lama sebab isteri dapat cuti selama dua hari saja.

"Dari segi kuih-muih pula, saya lebih suka buat sendiri seperti kuih Tart Nenas. Selain itu, juadah istimewa air tangan isteri iaitu Rendang Tok yang menjadi kegemaran saya pada pagi raya," katanya.

Sementara itu, Zizan juga berdebar menanti tayangan filem lakonannya, Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air tanggal 29 Ogos nanti.

"Maklumlah, saya sudah menunggu selama dua tahun untuk filem ini ditayangkan di pawagam. Sesibuk manapun dengan aktiviti seni dan keluarga, saya pastikan tetap turun padang untuk mempromosikan filem ini.

"Bagi saya, sejarah ini perlu dikongsi dan jangan bataskan minda dan pemikiran penonton kita. Sepanjang pengetahuan saya, belum pernah ada filem yang mencetuskan huru-hara di negara ini," katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk berlakon filem genre sejarah atau patriotik, Zizan menafikannya.

"Sebagai pelakon, saya menanti peluang untuk beraksi dalam filem sejarah dan biografi yang lain pula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14

Nadia sahur air panas

Posted: 14 Jul 2013 06:47 AM PDT

Ketibaan Ramadan membuka semula kenangan indah yang sudah jauh ditinggalkan oleh kita semua terutama ketika zaman kanak-kanak. Nostalgia bangun sahur dan berbuka bersama keluarga pasti akan kembali bermain di ingatan. Biar dengan apa cara sekalipun, kenangan ini sukar dikembalikan lagi.

Pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah atau Almy Nadia turut mempunyai memori indah bersahur ketika zaman kanak-kanak. Mengimbas kisah lalu, dia mula belajar berpuasa ketika berusia enam tahun.

"Biasalah budak-budak, ada masa saya senang bangun untuk makan sahur dan ada kala susah. Namun sebagai anak sulung, saya paling senang bangun berbanding tiga adik beradik lain.

"Seronoknya, emak saya (Roshiba Hashim, 45) sering ikut kemahuan anak-anak. Dia akan masak pada sebelah pagi supaya tidak kelam kabut pada waktu nak berbuka," katanya.


Menurut Nadia, keluarganya bukanlah terlalu mementingkan menu kerana ada kala emaknya hanya menyediakan nasi dengan ikan goreng atau ikan masin, namun ia sudah mencukupi sebagai juadah pembuka selera.


"Nak dikatakan asyik makan nasi pun tak juga kerana kadang kami berbuka dengan roti. Sekiranya tak menjamah makanan pun, kami diwajibkan minum air panas untuk menambah tenaga. Amalan ini memang dipraktikkan oleh keluarga kami. Sampai sekarang kami masih terikut-ikut cara ini. Saya takkan minum ais kerana boleh buatkan badan jadi lemah.

"Paling kurang saya akan minum air masak," katanya yang suka makan kurma ketika bersahur kerana boleh memberikan tenaga secukupnya ketika berpuasa.

Pelakon yang masih menjalani penggambaran drama Maahad Al-Amin untuk TV Al-Hijrah ini berpeluang merasai keseronokan bersahur dengan keluarganya sehingga berusia 19 tahun. Apabila menceburi bidang seni di ibu kota, dia hanya sesekali berpeluang bersahur dan berbuka bersama keluarganya di Pulau Pinang.

"Memanglah rindu dengan kenangan dulu. Di Kuala Lumpur saya kurang berselera untuk bersahur tapi di kampung memang lain keadaannya. Kebetulan saya bercuti di kampung bagi menjaga ibu yang patah tulang rusuk kanan kerana terjatuh dalam bilik air baru-baru ini. Buat masa ini dia tak mampu buat kerja berat.

"Adik-adik pula masih belajar. Jadi saya terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke kampung untuk lihat keadaan emak. Dugaan datang bertimpa-timpa kerana pada 16 Jun lalu, bahagian bawah rumah pula terbakar akibat letupan daripada radio lama.

"Kepulangan saya juga sebenarnya untuk menyelesaikan beberapa perkara seperti pembayaran bil dan beli apa-apa yang perlu untuk keluarga," katanya yang akan muncul menerusi drama raya berjudul Baskin bersama Saiful Apek, Jepp Sepah, Roy Azman dan Drama Band arahan Zulkiflee Said.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/14
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved