Rabu, 12 Disember 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Dapat layanan buruk

Posted: 11 Dec 2012 08:45 AM PST

PADANG macam sawah padi! Itu nada kecewa disuarakan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal selepas melihat padang latihan yang digunakan Harimau Malaya di Bangkok, semalam.

Penganjur Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menyediakan padang di Jaran Buraprat untuk skuad kendalian Datuk K Rajagobal menjalani latihan namun ia tidak seperti yang diharapkan.


Keadaan permukaan padang yang berlopak, rumput tebal boleh mengundang kecederaan kepada pemain dan lebih mengecewakan, padang awam itu tanpa tempat persalinan dan bilik air.

Bagi Subahan, beliau tidak menyangka AFF dan juga Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memberi layanan buruk kepada skuad kebangsaan yang dianggap boleh menjejaskan persiapan menghadapi Thailand pada separuh akhir kedua Piala AFF esok.


"Saya amat kecewa dengan padang latihan disediakan. Ketika Thailand datang ke Kuala Lumpur pada aksi pertama separuh akhir, kami beri layanan baik dengan menyediakan anggota polis dan stadium latihan tertutup tapi di sini mereka beri padang sawah kepada kita.


"Tindakan mereka langsung tiada semangat kesukanan, ini hanya merugikan masa latihan skuad kebangsaan di sini," katanya.

Skuad kebangsaan tiba di Bangkok kelmarin, sehari lebih awal bagi melakukan persiapan rapi selepas seri 1-1 pada pertemuan pertama di Kuala Lumpur, Ahad lalu.


Menurut Subahan, beliau sudah mengemukakan laporan kepada AFF dan FAT mengenai masalah itu.

"AFF sudah dimaklumkan tapi dengan tempoh singkat ini, mereka gagal menyediakan padang lain," katanya.


Sementara itu, Rajagobal mengaku kecewa keadaan padang membahayakan selain tidak dapat menilai tahap pemain yang cedera.


"Saya takut dengan keadaan padang teruk ini akan mencederakan pemain dan sebab itu mereka hanya memanaskan badan saja.


"Senario ini mengganggu persiapan pasukan tapi kami tidak boleh terlalu memikirkan masalah ini dan saya mahu semua pemain kekal fokus," katanya.


Peluang terakhir Rajagobal merencana strategi adalah pada sesi latihan rasmi di Stadium Supachalasai, hari ini.


Mengulas kecederaan pemain, beliau berkata, Mohd Shakir Saari dan Wan Zack Haikal Wan Noor masih belum pasti dapat diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12



Felda sambar pemain ternama

Posted: 11 Dec 2012 08:40 AM PST

KETIKA beberapa pasukan lain gah mempersiapkan pasukan apabila menyambar pemain bertaraf bintang, Felda United FC tidak mahu ketinggalan membentuk skuad terbaik bagi mengelak menjadi skuad belasahan pada saingan Liga M musim depan.

Usaha mendapatkan khidmat pemain berpengalaman tetap menjadi sasaran apabila berjaya mendapatkan pemain kebangsaan, Amar Rohidan.


Pemain lain yang memiliki reputasi tinggi yang turut menganggotai skuad itu adalah Ahmad Fauzi Shaari, Mohd Helmi Eliza Alias dan Khaironnisam Shahabudin Hussain yang dilantik sebagai kapten.

Ketua jurulatih, K Devan berkata, skuad bimbingannya kali ini dianggotai sebahagian besar pemain muda namun mereka mampu menggalas cabaran saingan musim depan.


Katanya, dua pemain import dari Afrika Selatan dan Amerika Selatan yang beraksi di posisi penyerang dan pertahanan sudah dikenal pasti tapi nama mereka belum dapat diumumkan kerana dijangka sampai dalam tempoh terdekat.


"Saya belum dapat umum nama mereka kerana belum lagi sampai di sini. Bagaimanapun, kedua-dua mereka sudah didaftarkan bersama pemain tempatan lain pada 6 Disember lalu.

"Saya yakin pemain import itu mempunyai keupayaan untuk memantapkan lagi pasukan bagi merealisasikan sasaran pengurusan," katanya.


Menurut Devan, persiapannya sebaik mengambil alih tugas daripada E Elavarasan bulan lalu berjalan lancar dan sudah merancang untuk mengadakan tujuh perlawanan persahabatan bermula dengan menentang ATM.

Bekas pengendali Johor FC musim lalu itu berazam membawa Felda United FC ke tahap lebih cemerlang musim depan.


"Saya harap melalui gabungan pemain berpengalaman dan muda, Felda United FC mampu menjadi pencabar terkuat sama ada pada saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved