Rabu, 12 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Saham Robbie belum merudum

Posted: 11 Dec 2012 06:13 AM PST

TEMPOH 15 jam merentasi benua untuk tiba di kota London atas satu tujuan - menyaksikan persembahan Robbie Williams - adalah pengalaman yang berbaloi bagi penulis.

Berdiri di suatu ruang khas bersama ribuan peminat yang menyaksikan Konsert Take The Crown adalah ruang terbaik bagi menikmati sendiri kehebatan Robbie.

Hakikatnya, Robbie masih hebat dan kekal bertenaga walaupun sudah lebih sedekad menghiburkan peminatnya.

Seramai mana penyanyi muda hari ini sekali pun, ia bukan jaminan untuk menenggelamkan bintang popular berusia 38 tahun ini kerana puluhan ribu yang hadir menyaksikannya menjadi satu bukti - Robbie Williams legenda baru Britain.


Namun entah apa punca dan alasannya, penyanyi kelahiran Stoke-on-Trent, Staffordshire, England yang pernah terkenal dengan sembilan album hebatnya ini tiba-tiba diketepikan stesen radio popular England, Radio 1.


Kononnya selepas berdekad membina empayar sejak zaman Take That dan kemudiannya tampil dengan kerjaya solo, nama Robbie dikatakan tidak lagi relevan dengan perkembangan industri muzik di England.

Bukan sekadar muzik dan perjuangan melodinya, penampilan penyanyi yang terkenal dengan lagu Better Man ini dikatakan sudah jauh ketinggalan menyebabkan stesen radio di bawah naungan BBC ini tidak langsung memutarkan lagu-lagunya.

Bagaimanapun peluang berdiri di depan lebih 20,000 peminat pada konsert jelajah Take The Crown sempena kehadiran album terbarunya, membuktikan penyanyi yang nama sebenarnya, Robert Peter Williams ini masih ada ruang di hati peminat muzik dunia.

"Walaupun tidak mendapat sokongan dan bantuan lagi dari Radio 1, album Take The Crown masih berjaya meletakkan single saya, Candy di tangga teratas kesemua carta muzik Eropah selain berjaya terjual lebih sejuta unit dalam masa yang singkat.

"Lihat saja malam ini, anda semua hadir kerana ingin berhibur bersama saya dan pastinya kerana kesemua koleksi lagu-lagu saya membangkitkan nostalgia kepada anda.

"Justeru, adakah saya tidak lagi relevan untuk terus berkarya?" katanya secara berseloroh kepada peminat.

Robbie yang tampil bertenaga pada malam ketiga bagi konsert jelajah Take The Crown itu akui dia tidak kecewa apabila diketepikan sebegitu oleh Radio 1, sebaliknya menyifatkan senario itu sebagai pembakar semangat untuknya terus berusaha dan mengukuhkan lagi namanya dalam dunia hiburan.

"Tiga malam beraksi di O2 Arena ini benar-benar memberikan saya perspektif dan nafas baru kepada diri saya. Anda semua adalah sumber inspirasi buat saya," katanya yang turut mengumumkan konsert jelajahnya untuk 2013 di seluruh Eropah bermula Jun hingga Ogos depan.

Jelasnya lagi yang begitu bijak berjenaka, bagaikan mimpi apabila dia kembali menghiburkan peminat selepas beberapa tahun menumpukan kepada pembikinan album dan perancangan lain.

Bukan saja kembali mengubati rindu peminat malah tambahnya, konsert Take The Crown bagai sebuah cenderahati buat setiap seorang yang hadir.

"Sejak kegemilangan Take That lagi, peminat adalah semangat dan inspirasi buat saya. Lantas berpeluang berdiri di atas pentas dengan barisan pemuzik terbaik, menyanyikan kesemua lagu-lagu hit termasuk dari album terbaru Candy adalah sebuah mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan.

"Apa yang perlu kita lakukan adalah menyanyi bersama, mengimbau segala saat manis dan menari hingga ke akhir lagu," katanya yang sinonim dengan gaya lincah.

Malam itu Robbie menyanyikan kesemua lagu hit termasuk Rock DJ, Kids, Supreme, Let Love Be Your Energy, Eternity/ The Road To Mandalay, Better Man, Somethin' Stupid, Feel, Come Undone, Millennium, No Regrets, Strong dan She's The One.

Robbie turut menggegarkan O2 Arena apabila mengalunkan single terbarunya, Candy yang dipetik dari album Take The Crown.

Di sebalik jeritan ribuan peminat yang memenuhi setiap ruang dalam O2 Arena dengan mainan lampu dan gimik yang begitu meriah, konsert Take The Crown boleh dianggap sebagai suatu biografi sentimental buat Robbie secara peribadi.

Meskipun kata-katanya berlapik jenaka ketika di atas pentas, Robbie pernah meluahkan perasaannya dalam temubual yang diaturkan lebih awal bersama media.

"Selepas lebih sedekad di sini, membina nama dan muzik, saya melalui 1001 kenangan dan peristiwa. Namun itulah pengalaman yang akhirnya memberikan pengajaran bagi terus mematangkan saya. Sejak kisah disingkirkan Take That hinggalah usaha saya bangkit dengan kerjaya solo, semuanya adalah cerita yang saya simpan dengan kemas.

"Malam ini adalah terjemahan kepada semua perasaan itu apabila saya meraikan album terbaru, Take The Crown yang menampilkan lagu Candy yang mana sentuhan bersama bekas anggota Take That, Gary Barlow. Itulah yang manis dan indahnya album ini jika ada yang bertanya kerana ia begitu peribadi buat saya.

"Kiranya saya berpeluang kembali bersama kenangan Take That yang membesarkan saya dan bekerja semula dengan Gary Barlow yang sudah saya anggap seperti saudara sendiri," katanya.

TRIVIA ROBBIE WILLIAMS

  • Robbie Williams meninggalkan Take That pada tahun 1995 dan kemudiannya melancarkan album solo, Life Thru A Lens dua tahun kemudian.
  • Namanya terkenal dan mula terpahat sebagai bintang popular dunia selepas muncul dengan album Sing When You're Winning pada tahun 2000 dan Swing When You're Winning setahun kemudian yang menampilkan lagu Rock DJ, Better Man dan No Regrets.
  • Pada tahun 2006, namanya tersenarai dalam Guiness Book of World Records apabila tiket konsert Close Encounters terjual lebih 1.6 juta dalam masa sehari.
  • Robbie Williams juga antara penyanyi yang paling berjaya di Britain apabila albumnya terjual lebih 70 juta unit sekali gus meletakkan namanya sebagai penghibur tersohor di Eropah.
  • Sejak berkahwin dengan aktres berdarah campuran Turki Amerika, Ayda Field pada 7 Ogos 2010, Robbies bahagia menjadi ayah kepada Theodora Rose yang selamat dilahirkan pada 18 September 2012.
  • Kini album terbarunya, Take The Crown yang diedarkan syarikat rakaman terbarunya, Universal Music antarabangsa dan sedang rancak berada di pasaran selain lagu-lagu hit boleh boleh dimuat turun menerusi iTunes.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



  • Tahun cemerlang Shila

    Posted: 11 Dec 2012 06:00 AM PST

    LEMBARAN 2012 membawa kenangan manis dan cukup berharga bagi Shila Amzah apabila satu demi satu kejayaan serta pengiktirafan diraihnya dalam bidang nyanyian sepanjang 12 tahun menjadi anak seni.

    Malah, paling bermakna buat anak sulung kepada penyanyi ND Lala ini tentunya tatkala dia dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa dan berprestij, Asian Wave di Shanghai, China pada 20 September lalu.

    Bukan saja berjaya meraih kemenangan besar di luar negara tetapi Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah turut berpeluang melebarkan karier nyanyiannya di negara Tembok Besar itu. Karier Shila di sana kini di bawah pengurusan Shanghai Media Group (SMG).

    Apapun, kerjaya nyanyian Shila di persada seni tempatan tak kurang hebatnya dan turut cemerlang. Pelantun dan pencipta lagu Patah Seribu itu turut meraih dua anugerah utama iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19), baru-baru ini.


    Bahkan, menerusi lagu sama juga (Patah Seribu), kekasih hati kepada pelakon Sharnaaz Ahmad itu turut berjaya melayakkan diri ke final Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) yang dijangka berlangsung pada Januari 2013 nanti.


    Bagaimanapun, lebih membanggakan lagi dalam kariernya apabila Shila baru-baru ini dimaklumkan turut mendapat pencalonan di arena muzik antarabangsa iaitu World Music Awards 2012 yang akan berlangsung di Miami, Amerika Syarikat pada 20 Disember ini.

    Menerima pencalonan dalam kategori World Best Female Artist, Shila tersenarai bersaing dengan 40 calon hebat ternama dunia termasuk Adele, Taylor Swift, Selena Gomez, Pink, Kelly Clarkson, Madonna dan Beyonce. Shila cukup bersyukur dengan perkemba–ngan itu.

    "Saya tidak sangka selepas penat lelah selama berbelas tahun berusaha membina nama dalam industri muzik tempatan, akhir berjaya juga meraih pelbagai anugerah. Saya menganggap segala kejayaan dimiliki ini adalah rezeki yang dianugerahkan Tuhan.

    "Selepas puas berusaha, berdoa serta reda pada ketentuan-Nya selama ini, ia nampaknya sudah berbaloi. Malah, saya juga sebenarnya tidak menyangka nama akan dicalonkan berentap dengan artis ternama dari luar negara di World Music Awards 2012 ini.

    "Selain bersyukur, saya sangat gembira dengan pencapaian ini apatah lagi menjadi artis pertama negara yang mendapat peluang bersaing di majlis anugerah berprestij itu. Apapun, lebih manis lagi buat saya apabila turut diundang membuat persembahan di hadapan tetamu dalam majlis itu nanti," katanya tenang.

    Apapun, yang menjadi masalah kepada Shila kini ialah mendapatkan visa daripada Kedutaan Amerika Syarikat. Ketika dihubungi baru-baru ini sebelum berangkat ke Indonesia pada Ahad lalu bagi menjayakan konsert di sana, dia memaklumkan kini segala usaha memperoleh visa itu gigih dilakukan bapanya.

    "Ini peluang saya untuk sekali lagi beraksi di pentas antarabangsa yang lebih besar. Oleh itu, saya amat menghargainya dan berbesar hati untuk membuat persembahan di World Music Awards 2012 itu nanti berikutan ia bukanlah peluang yang selalu datang dan mudah diperoleh.

    "Atas sebab itu, saya amat berharap ada pihak sedia membantu bagi mempermudahkan proses mendapatkan visa berkenaan. Kelewatan membuat visa ini berlaku kerana saya mengetahui mengenai pencalonan dan undangan persembahan di majlis itu agak lambat.

    "Ia kerana, penganjur di Amerika menghantarkan kedua-dua undangan itu kepada syarikat SMG yang menguruskan segala jadual karier saya di China. Selepas puas mengurus sendiri perjalanan karier saya sebelum ini, bersama SMG semuanya diurus secara sistematik dan begitu selektif. Malah, mereka sentiasa memilih hanya yang terbaik untuk saya.

    "Apapun, tak dinafikan, kini jadual undangan persembahan saya sangat padat.
    Memang tak menang tangan dibuatnya. Apatah lagi, selepas konsert di Indonesia, saya terus terbang ke Singapura untuk hadir di majlis Anugerah Planet Muzik 2012 (APM2012), hujung minggu ini dan selepas itu ke Shanghai untuk menjayakan persembahan sempena tahun baru. Jadi, masa saya di tanah air cukup terhad hingga persediaan untuk AJL27 pun belum sempat dilakukan," katanya.

    Menurut Shila, dia berharap dapat melalui jalan mudah untuk membuat visa ke Amerika Syarikat. Namun, dia sebenarnya tidak terlalu mengharapkan kemenangan berpihak padanya memandangkan saingan calon yang hadapi cukup sengit. Baginya, kunjungan ke Amerika itu lebih kepada mahu memenuhi undangan pentas diterima demi mengharumkan nama segera.

    "Menang atau kalah adat bertanding. Apapun, melihatkan senarai saingan yang sengit itu saya tidak meletakkan sebarang harapan. Namun, sekiranya menang di sana, saya anggap ia sekadar bonus dan rezeki daripada Allah," katanya.

    Bagaimanapun Shila berkata, kejayaannya di Asian Wave lalu memberi impak yang cukup besar apabila satu demi satu kejayaan menjadi miliknya. Bahkan, katanya, kejayaan itu turut membuatkan dia lebih berhati-hati dan tidak lalai dengan nikmat Tuhan yang dipinjamkan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11



    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved