Rabu, 12 Disember 2012

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Bomba padam guna air longkang

Posted: 11 Dec 2012 11:48 AM PST

KLANG: Sebuah kilang kitar semula tong dram hampir musnah dalam kebakaran di Batu 5, Jalan Kapar, semalam.

Dalam kejadian jam 1.48 tengah hari itu, kilang berkeluasan 2,000 meter persegi hampir musnah selepas api marak dan membakar sebahagian bangunan kilang.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, tiga jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Kota Raja dan Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Katanya, pihaknya mengalami kesukaran memadam kebakaran itu kerana kawasan terbabit tiada sumber air dan menggunakan air dari longkang berhampiran.


"Kami menggunakan air longkang kerana kawasan itu tiada pili bomba dan tekanan air yang rendah menyebabkan operasi mengambil masa tiga jam bagi memadam keseluruhan kebakaran.


"Api dapat dikawal sepenuhnya jam 5.05 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Mohamad Sani berkata, seramai 12 anggota bomba dan penyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Siasatan Tinggi, Ishak Bakar ditugaskan bagi memadam kebakaran itu.


Katanya, punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12



4 rakyat kita parah di Taiwan

Posted: 11 Dec 2012 11:47 AM PST

KUALA LUMPUR: Empat rakyat Malaysia parah manakala 10 penumpang lain cedera ringan selepas bas pelancong dinaiki mereka terbabit kemalangan di Lebuh raya Alishan, Chiayi County di selatan Taiwan, kelmarin.

Kemalangan terbabit berlaku di Kilometer 39.5 Lebuhraya Alishan yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Persekutuan No 18 yang menghala Alishan iaitu kawasan pergunungan yang menjadi tarikan pelancong.


Bas itu dipercayai hilang kawalan selepas mengalami masalah brek menyebabkan kenderaan terbabit merempuh pembahagi jalan sebelum terbabas.

Difahamkan, pemandu bas terbabit yang cedera ringan di tangan dan kaki cuba memperlahankan kenderaannya untuk memberi laluan kepada sebuah kereta untuk memotong namun gagal akibat brek tidak berfungsi.


Pemandu terbabit menarik brek tangan menyebabkan bas terbabit hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan kemudian membelok ke dinding batu di sebelah kiri dan terbalik.


Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay berkata, kemalangan itu membabitkan bas pelancong yang membawa 14 penumpang terdiri 10 warga Malaysia, tiga Singapura dan seorang Filipina.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis Taiwan mendapati bas terbabit melanggar tembok penahan di lebuh raya berkenaan, tetapi tidak terjatuh dalam gaung.


"Polis belum mengetahui punca sebenar kejadian namun tiada kehilangan jiwa berlaku. "Semua mereka yang tercedera dihantar ke St Martin De Porres Hospital dan Chiayi Christian Hospital, Chiayi," katanya.

Mangsa yang terbabit kemalangan itu ialah Thien Yum Sang, 60, Ng Chiow Kion, 60, Thien Yun Ping, 57, (parah), Ching Bit Ha, 53, (parah), Thien Yun The, 63, Catherine Hiew Vui Fong, 38, (parah), Wong Chi Khyun, 37, (parah), Lee Geok Tian, 38, Thien Jack How, 39, dan Thien Yu Xuan, sembilan tahun.


Beliau berkata, wakil Malaysia di Taiwan kini cuba mengesan keluarga mangsa melalui syarikat pelancongan yang mengendalikan pelancongan berkenaan untuk memaklumkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved