Isnin, 17 Disember 2012

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Serbegeth cadang Kim Swee

Posted: 16 Dec 2012 12:56 PM PST

BEKAS pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh berpendapat sudah tiba masanya tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya diserahkan kepada Ong Kim Swee berikutan kegagalan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012.

Menurut Serbegeth atau turut dikenali dengan panggilan Shebbie, pandangan disuarakan itu bukan hanya berasaskan kepada kegagalan di Piala AFF baru-baru ini, sebaliknya ia mengambil kira prestasi skuad negara yang merosot selepas bergelar juara rantau Asia Tenggara dua tahun lalu.


Bagi Penasihat Global kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers itu, skuad kebangsaan sepatutnya meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi namun ia sebaliknya berlaku di bawah pimpinan Rajagobal.

"Selepas kita menjuarai Piala AFF, kita masih lagi dalam era eksperimen pemain, sepatutnya kita sudah melangkah ke satu tahap lagi, tapi sebaliknya kita seperti masih 'meraba-raba'.


"Kita melakukan eksperimen dengan mengharapkan kita boleh berada di kemuncak prestasi dua tahun kemudian. Untuk maju ke depan, kita harus memiliki jurulatih yang boleh meningkatkan prestasi pasukan yang kita miliki sekarang dan bukannya membentuk pasukan baru.


"Jangan fikir pandangan saya ini satu kritikan, sebaliknya ia satu persoalan yang harus kita bincangkan bersama, adakah Rajagobal mampu meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih kebangsaan?" katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini berada di London mengakui tidak boleh memberi ulasan terperinci mengenai permainan skuad kebangsaan dalam kejohanan AFF kali ini kerana hanya melihat sebahagian aksi menerusi YouTube.


Namun berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh dua tahun selepas Malaysia menjadi juara kali pertama Piala AFF, skuad kebangsaan berada dalam era kemerosotan selepas gagal melayakkan diri dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, kejatuhan ranking negara berikutan beberapa aksi buruk dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dianggap tidak penting oleh Rajagobal.

Rajagobal, 56, dianggap jurulatih tempatan paling berjaya apabila membimbing skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 serta Piala AFF 2010 di Jakarta dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2.


Biarpun menyaksikan anak buahnya tersingkir di peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1 di tangan Thailand pada kejohanan Piala AFF Khamis lalu, Rajagobal masih mahu meneruskan misi utamanya iaitu kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan.


Manakala Kim Swee yang terkenal dengan kepakarannya menggilap pemain muda seperti Mohd Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbart pula menggalas misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun depan selepas kejayaan di Jakarta tahun lalu.


"Dua masalah timbul jika Rajagobal terus menjadi jurulatih iaitu adakah pemain percaya dengan kemampuannya serta tekanan daripada penyokong sendiri," jelas Shebbie.


Ketika ditanya kenapa jurulatih Harimau Muda A, Kim Swee yang menjadi pilihannya, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata: "Sudah tiba masanya untuk Kim Swee diberikan tanggung jawab lebih besar. Kita kena tahu, kejayaan bola sepak negara berasaskan kepada sistem pembangunan bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).


"Kim Swee cukup arif dengan sistem ini kerana beliau membimbing Harimau Muda A yang memiliki ramai pemain yang bagus. Jika beliau diberi peluang, beliau boleh menggabungkan dua pemain dari dua generasi iaitu generasi pemain Rajagobal dan generasi pemain Harimau Muda A yang ada sekarang. Dengan dua generasi ini kita boleh memiliki satu pasukan yang mantap. Tapi masalahnya siapa yang boleh menggantikan tempat Kim Swee bersama Harimau Muda? Bagaimanapun, Shebbie mengingatkan agar sumbangan dan kepakaran yang dimiliki Rajagobal tidak boleh diketepikan begitu saja.


"Rajagobal banyak berjasa kerana sudah membawa kita ke satu tahap baru, mungkin beliau boleh dilantik menjadi penasihat teknikal untuk melihat keseluruhan sistem termasuk skuad belia. Kerana beliau juga pernah membimbing skuad belia sebelum ini," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Garcia gah

Posted: 16 Dec 2012 08:43 AM PST

HAYUNAN konsisten dengan membenam 11 birdie pada aksi terakhir Terbuka Iskandar Johor 2012 memastikan bintang golf Sepanyol, Sergio Garcia muncul juara buat pertama kali mengetepikan pencabar terdekat, Jonathan Moore dari Amerika Syarikat dengan kelebihan tiga pukulan pada saingan akhir di Kelab Golf Horizon Hills, semalam.

Garcia, yang berada di ranking ke-20, mencatat 65 pukulan 11 di bawah par berjaya mengumpul 198 pukulan keseluruhan 18 di bawah par tatkala pada hari kedua, prestasinya agak merudum apabila berada di tangga ketujuh sebelum bangkit mempamerkan aksi penuh bergaya untuk membawa pulang wang tunai AS$317,000 (RM968,435) dalam kejohanan yang menawarkan wang tunai keseluruhan AS$2 juta (RM6.2 juta).


"Sungguh menarik apabila menamatkan saingan musim 2012 dengan kejuaraan dan ia pasti beri lebih keyakinan kepada saya untuk memulakan saingan pada Master Qatar tahun depan. Apapun kejayaan ini cukup mencabar terutama permainan terganggu akibat hujan sepanjang tiga hari.

"Situasi ini jelas mengganggu konsentrasi namun saya berjaya mengekalkam momentum dengan mempamerkan aksi konsisten ketika berdepan fairway yang lecak namun apabila berada di green, pukulan ke lubang tidak beri masalah untuk mencatat sebelas birdie," kata Garcia.


Moore yang diletak sebagai pemain bukan pilihan melonjak dari tangga ke-28 ketika hari pertama dan kedua menamatkan saingan di tangga kedua dengan catatan 15 di bawah par 201 keseluruhan manakala Thongchai Jaidee, ketiga dengan 14 di bawah par 202 pukulan.


Saingan merebut Senarai Merit Jelajah Asia menyaksikan Thaworn Wirachant dari Thailand unggul selaku Pemain Terbaik Asia musim ini selepas pernah merangkul kejayaan pada 2005 apabila mencatat 11 di bawah par 201 pukulan keseluruhan mengetepikan pencabar terdekat, Marcus Fraser dari Australia. "Impian jadi kenyataan malah saya berusaha untuk beraksi dengan baik sepanjang saingan ini biarpun sering terganggu apabila hujan namun perlu mengekalkan momentum selepas Marcus mengatasi saya di hari kedua.

"Saya gembira kerana dapat beraksi tenang tanpa lakukan kesilapan untuk merangkul Senarai Merit buat kali kedua," kata Thaworn.


Dalam pada itu pemain golf amatur negara, Gavin Kyle Green muncul pemain terbaik negara biarpun berusia 18 tahun hingga mampu menamatkan saingan di tangga ke-19 selepas mencatat tujuh di bawah par 209 pukulan mengatasi pemain profesional negara, S Sivachandran, Danny Chia, R Nachimuthu dan Sukree Othman.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved