Isnin, 17 Disember 2012

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Minta air sebelum kelar

Posted: 16 Dec 2012 12:54 PM PST

MIRI: "Apa yang saya bimbang akhirnya berlaku," kata Senab Saing, 26, isteri pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia yang mati akibat dikelar di leher dengan sebilah pisau buatan sendiri oleh sepupunya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 awal pagi di rumah pekerja ladang kelapa sawit di Bakong itu, Mantang Sakara, 33, berasal dari Makasar, Indonesia mati di tempat kejadian akibat parah di leher dan dahi selepas dikelar suspek yang dipercayai mengalami gangguan mental.


Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa memberikan segelas air yang diminta lelaki berusia 20-an itu ketika dia terjaga daripada tidur.

Bagaimanapun, ibarat bom jangka, sepupu Mantang itu tiba-tiba bertindak agresif menyerangnya sebelum mengelar leher mangsa menggunakan pisau buatan sendiri.


Menurut Senab, dia terjaga dari tidur selepas terdengar suaminya menjerit meminta tolong dan terkejut apabila melihat Mantang berlumuran darah terbaring mengerang kesakitan.


Katanya, ketika itu dia melihat suspek memegang pisau dan cuba merampasnya namun gagal, malah menyebabkannya hampir menerima nasib sama apabila diserang suspek sebelum lelaki itu melarikan diri.

"Ketika itu, saya melihat suami yang berlumuran darah mengerang kesakitan serta memegang lehernya yang cedera sebelum rebah ke lantai.


"Usaha saya untuk menghalang pendarahan pada leher suami dengan sehelai tuala gagal sebelum dia tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di Hospital Miri, semalam.

Katanya, sebelum kejadian, suspek yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran bertandang ke rumahnya petang kelmarin dan menyatakan hasrat untuk bermalam di situ.


"Ketika itu, saya benar-benar bimbang dan menyuarakan perkara itu kepada suami selepas melihat perangai pelik sepupunya yang sering bercakap seorang diri namun tidak dihiraukan suami.


"Malah, saya dan suami serta anak perempuan berusia tiga tahun tidur di luar kerana bilik tidur kami dikunci lelaki itu dari dalam beberapa jam sebelum kejadian," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika mengesahkan kejadian itu berkata, gerakan mencari suspek dilakukan.


Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Lima jam tergantung

Posted: 16 Dec 2012 12:24 PM PST

AMPANG: Selepas lima jam tergantung pada tali, seorang lelaki yang terjatuh ke dalam gaung terselamat daripada maut apabila diselamatkan seorang pendaki profesional ketika mangsa mendaki Bukit Tabur, Taman Melawati, di sini, bersama lima rakannya, pagi semalam.

Kira-kira jam 9 pagi, iaitu dua jam selepas mereka mula mendaki, Chun Wing Sing, 28, terjatuh ke dalam gaung dan tersangkut pada tumbuhan, tetapi tidak boleh mendaki semula.


Rakannya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak membawa peralatan mendaki secukupnya, namun mangsa bernasib baik kerana seorang pendaki profesional kebetulan melalui laluan itu dan mencampakkan tali ke bawah untuk dipaut Chun bagi mengelaknya terus jatuh ke dalam gaung.

Sumber berkata, mangsa berpaut pada tali berkenaan selama hampir lima jam sebelum sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dengan peralatan mendaki, menyelamatkannya.


"Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari bukit berkenaan kira-kira jam 3 petang," katanya.


Difahamkan, Chun yang cedera di muka, badan dan terseliuh kaki kanan, dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi dan tiba di lokasi 40 minit kemudian.


Menurutnya, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dihantar ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima pegawai dan anggota bomba bagi membantu menyelamatkan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved