Isnin, 17 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Nely tidak pernah cemburu

Posted: 16 Dec 2012 05:09 AM PST

KEMUNCULANNYA dalam bidang lakonan sudah mencecah lima tahun, namun Nelydia Senrose, 18, masih cuba membina nama untuk menjadi pelakon angkatan baru yang berjaya.

Dia boleh dianggap bertuah kerana mula berlakon pada usia 13 tahun menerusi drama Spa Q namun selepas itu namanya agak tenggelam berbanding rakan seangkatannya, Elfira Loy yang semakin popular dan menjadi perhatian ramai.

Mengakui populariti Elfira jauh lebih menonjol berbanding dirinya, pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen ini bagaimanapun tidak pernah cemburu kerana menganggap semua itu rezeki Tuhan.

Katanya, apa yang pasti dia semakin selesa. Apatah lagi, ujarnya kini fokus utama adalah pada pelajaran yang menjadi jaminan masa depannya nanti.


"Saya hanya berlakon ketika cuti semester saja kerana apabila sesi pembelajaran sudah bermula, jadual memang padat.


Setiap hari masa saya dihabiskan di kolej dengan menghadiri kuliah dan mengadakan perbincangan bersama rakan. Jadi, memang tiada masa untuk saya memikirkan soal menerima tawaran berlakon.

"Ditambah lagi, segala urusan berkaitan tawaran berlakon saya yang uruskan sendiri. Justeru, jika ada penerbit yang menghubungi ketika saya sibuk dengan pelajaran, memang ditolak terus kerana kesukaran memberikan komitmen.

Pada saya, tidak eloklah menyusahkan orang kerana berlakon adalah kerja berpasukan.
"Jadi, daripada timbul banyak masalah ketika penggambaran nanti maka lebih baiklah saya menolaknya dan penerbit pun boleh mencari pelakon lain yang sesuai. Dalam soal ini, saya memandang positif.

Kalau bukan rezeki saya, lepaskan saja dan tak perlulah bersikap tamak yang akhirnya akan menyusahkan produksi," katanya.

Mesra dengan panggilan Nely, anak saudara kepada pelakon dan produser Rosnah Mohd Noor ini juga memaklumkan dia mengambil jurusan psikologi di Kolej SEGi Subang Jaya dan kini di semester tiga.

Malah, jika tiada aral Nely bercadang mahu melanjutkan pengajiannya ke Australia pada tahun depan dan dia perlu rajin.

"Saya berlakon kerana minat saja dan tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk jaminan masa depan. Atas sebab itu, saya tekad belajar bersungguh-sungguh kerana mahu memperoleh kerja tetap suatu hari nanti.

Apatah lagi, industri hiburan ini sukar dijangka dan kemunculan artis baru pula sentiasa ada.

"Sampai masanya nanti, saya yakin akan ada artis pelapis yang mengganti tempat saya seka

rang ini. Oleh itu, saya harus ada perancangan lain untuk masa depan sendiri. Saya tak boleh terikat menjadi anak seni sampai bila-bila," katanya tak kisah kurang popular berbanding dikenali ramai menerusi kontroversi semata-mata.

Menyentuh soal cerewet dalam pemilihan watak, Nely berkata, dia bukanlah seorang yang terlalu memilih.

Bagaimanapun, faktor wajahnya yang kelihatan agak matang membuatkan tidak semua watak sesuai untuknya. Malah tanpa berselindung dia mengakui sering terkandas dalam uji bakat untuk watak pelajar sekolah.

Katanya watak remaja berusia 17 tahun ke bawah seolah-olah tidak sesuai untuknya. Maka kalau ada tawaran berlakon pasti watak diberikan kepada Nely, melebihi usia sebenarnya.

Lebih mengejutkan, dia pernah mendapat tawaran untuk berlakon watak wanita ibu yang sudah mempunyai anak. Itu disifatkan Nely sebagai amat tidak sesuai untuk diterimanya.

Ditemui pada majlis ramah mesra dan sidang media drama terbaru lakonannya, Setia Hujung Nyawa terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik pelakon Rosyam Nor yang diadaptasikan daripada novel popular itu, Nely berkata dia gembira mendapat peluang untuk watak utama Ersalina, seorang gadis lepasan sekolah.

"Dalam drama ini, saya menjadi Ersalina yang baru habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia naif tetapi mengandung anak luar nikah. Akibat terlanjur dengan bekas kekasihnya, Ersalina yang tak sedar dia mengandung akhirnya dikahwinkan dengan Zain Hakimi, lelaki berusia 26 tahun dan seorang tokoh korporat.

"Berkahwin pada usia muda dan tanpa cinta memang sukar bagi Ersalina pada mulanya. Namun keikhlasan Zain Hakimi akhirnya membuatkan mereka saling jatuh cinta.

Pun begitu, Ersalina tiba-tiba keguguran lalu membuatkan segala rahsia terbongkar. Zain Hakimi yang menyayangi Ersalina mula berasa tertipu," katanya.

Bagaimanakah kisah keseluruhannya, Nely berkata penonton perlu menyaksikan drama 24 episod yang mengisi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam mulai 24 Disember ini.

Selain Nely, barisan pelakon lain seperti Amar Ashraf sebagai Zain Hakimi, Zila Bakarin (Datin Adibah) dan kemunculan semula, Raja Ema (Puan Haliza).

Diarahkan Amie Maziah dan pertama kali Nely digandingkan dengan Amar Ashraf, katanya Amar seorang pelakon yang profesional dan senang berbincang. Ujar Nely lagi, dia selesa kerana Amar mudah memberikan kerjasama.

Mengakui masih solo dan tidak terikat dengan 'cinta', Nely berkata buat masa ini juga dia selesa tidak memiliki seseorang yang istimewa di dalam hatinya. Ujarnya, sekarang dia berasakan lebih sesuai berkawan saja sebelum berjaya dalam pelajarannya.

Pun begitu, tidak menolak berkahwin pada usia muda, Nely menjelaskan dia seboleh-bolehnya mahu berjaya dalam pelajaran lebih dulu sebelum memikirkan soal untuk berumah tangga.

Apapun, sedar soal jodoh ketentuan Tuhan, dia hanya mampu berharap semoga semuanya tidak terlalu awal dan dia berjaya mengejar cita-citanya termasuk dalam bidang pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Kejayaan artis Malaysia

Posted: 16 Dec 2012 04:53 AM PST

MALAM kemuncak Anugerah Planet Muzik (APM 2012) yang mengiktiraf penggiat muzik serantau, Malaysia, Singapura dan Indonesia melakar sejarah paling manis buat penyanyi popular Alyah apabila lagu dendangannya Kisah hati ciptaan Komposer Manusia Putih diangkat sebagai Lagu Terbaik pada acara yang berlangsung The Max Pavilion @ Singapore Expo di sini, malam kelmarin.

Lagu itu menewaskan lima lagi calon lain iaitu Apa Bisa (Kotak), Ombak Rindu (Hafiz & Adira), Sedang Apa dan Dimana (Sammy Simorangkir), Terukir di Bintang (Yuna).

Selain kategori Lagu Terbaik, Alyah turut dicalonkan dalam empat lagi kategori iaitu Artis Wanita Terbaik, Artis Serantau Paling Popular, Lagu Serantau Paling Popular dan Ikon Media Baru.

Secara peribadi, Alyah mengakui, anugerah yang dimenanginya pada APM2012 menyuntik semangat buatnya untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik dalam karier nyanyiannya.


"Ia anugerah pertama yang dimenanginya di luar negara selepas berkecimpung selama 12 tahun dalam bidang seni tempatan.


Saya sangat bersyukur kepada Allah atas kemenangan yang tidak disangka pada malam ini. Anugerah ini juga buat emak, ahli keluarga dan peminat setia yang tidak pernah jemu menyokong karier seni selama ini.

"Saya juga berharap kemenangan lagu Kisah Hati ini akan menjadi platform terbaik buat saya menembusi pasaran muzik Indonesia pula selepas ini kerana kejayaan lagu ini membuktikan peminat di sana juga menerima kehadiran saya," katanya.

Pemenang Lagu Terbaik (Awan Nano) pada APM tahun lalu, Hafiz menerusi lagu Ku Akui pula memenangi kategori Artis Lelaki Terbaik, APM 2012. Manakala, kategori, Artis Wanita Terbaik pula menjadi milik penyanyi Shila Amzah dengan lagu popularnya, Patah Seribu.

Kekasih pelakon Sharnaaz Ahmad ini menewaskan calon lain yang sama hebat iaitu Yuna, Alyah, Agnes Monica dan Astrid untuk kategori berkenaan.

Anugerah yang memasuki edisi ke-11 itu turut mengangkat Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid yang menerima Anugerah Khas Planet Muzik 2012 sekali gus menghargai pembabitannya dalam bidang muzik serantau.

Sheila yang tampil anggun dengan busana warna merah jambu berkata, anugerah itu adalah penghargaan yang cukup bermakna dalam karier seninya.

"Syukur Alhamdulilah untuk anugerah ini. Kemenangan ini juga buat semua yang terbabit dalam perjalanan seni saya selama ini terutama suami dan anak yang sangat memahami kerjaya saya yang tidak tentu masa ini," katanya.

Seorang lagi artis dari Malaysia yang membawa pulang anugerah pada malam itu ialah Abdul Muttaleb yang memenangi kategori baru yang diperkenalkan tahun ini iaitu Anugerah Nova Media Baru.

Sementara itu, APM2012 menyaksikan Taufik Batisah yang sudah terbabit selama lapan tahun dalam bidang unggul dengan membolot tiga kategori sekali gus pada malam itu iaitu Artis Serantau Paling Popular, Artis Paling Popular Singapura dan Kolaborasi Terbaik dengan Rossa menerusi lagu Aku Bersahaja.

Bagaimanapun Rossa tidak hadir pada malam itu untuk menerima trofi berkenaan.

Selain itu, lagu dendangan penyanyi Singapura, Hady Mirza iaitu Ku Tetap kan Menunggu diangkat dalam dua kategori iaitu Lagu Serantau Paling Popular dan Lagu Singapura Paling Popular.

Lagu Pulanglah dendangan kekasih pelakon Hanez Suraya iaitu Awi Rafael pula diangkat sebagai lagu Terbaik Singapura.

Gandingan tiga pengacara yang mewakili tiga negara serantau ialah Datuk AC Mizal (Malaysia), TG (Singapura) dan Sophie Navita (Indonesia)
Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan mantap dari barisan artis dari tiga negara iaitu kotak dengan lagu Pelan-Pelan Saja, Aliff Aziz (Jangan Ganggu Pacarku), Awi Rafael (Pulanglah), Anji (Hatiku, Berhenti Di Kamu), Zahidah (Malam Ini), Najwa Latiff (Kosong), Sleeq (Salam Semua), Shila Amzah (Patah Seribu), Alyah (Kisah Hati) Mojo (Andai Ku Bercinta Lagi), Hady Mirza (Betapa Berat Cinta) dan ramai lagi.

Sebanyak 17 kategori dipertandingkan pada APM2012 dengan tiga kategori baru yang diperkenalkan tahun ini iaitu Anugerah Nova Media baru, Anugerah Ikon Media baru dan Anugerah Hits Radio.

APM2012 dianjurkan stesen radio Melayu Mediacorp Singapura, 89.7 FM dan Warna 94.2 FM. Ia juga disiarkan secara langsung melalui saluran Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/17



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved